Selasa, September 05, 2023

Konsert Gendang Pati M Nasir Live In KL 18 November ini

petikan Utusan Malaysia 5 September 2023

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY


KUALA LUMPUR : Penyanyi lagenda, Datuk M Nasir kembali ke pentas konsert dengan membawakan tema Gendang Pati yang akan menjadikan sebuah konsert tersebut seperti pesta rakyat.

Konsert yang bakal diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 18 November 2023 pada pukul 8 malam.

Menurut M Nasir, Gendang Pati ini diadakan versi Kuala Lumpur kerana sedar kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahu melihat dirinya beraksi di atas pentas sebagai sebuah lambing kelangsungan kariernya yang sentiasa hidup tak lapuk dek zaman.

“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M.Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif. Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang pasti membuatkan semua berdendang bergoyang.

“Saya harap Gendang Pati Datuk M.Nasir Live in Kuala Lumpur akan menjadi sebuah lagi persembahan saya di tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,”katanya.

Konsert kali ini akan dibarisi pemuzik-pemuzik hebat yang menjadi tulang belakang M.Nasir iaitu pengarah muzik dan pemain gitar- Nan Alias, gitar rhythm- Rafi Mohd, bass- Norman, keyboard- Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, dram- Ujang Exists serta penyanyi latar vokal- Eja, Widy, Yuaz & Awe.

Turut terlibat ialah, pemain perkusi utama, Paang, perkusi tradisional, Mat Din, pemain perkusi, Che Long dan Anas serta Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.

Pesta muzik ini diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd yang pastinya memperkuatkan Gendang Pati Datuk M Nasir Live in Kuala Lumpur bakal mempersembahkan sebuah konsert yang menusuk jiwa dan meninggalkan momen istimewa pada malam itu nanti.

Bagi anda yang bermnat untuk menonton konsert Gendang Pati Datuk M.Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia.

Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).

Selain layari MyTicket.Asia, tiket boleh dibeli di support@myticket.asia atau hubungi talian hotline 03 8605 0195.

Untuk sebarang perkembangan terkini mengenai Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur lawati Instagram: @mndsportnevent

Tiada ulasan: