ANALITIC

Ahad, Mac 29, 2009

M Nasir wajar siapkan filem Aduh Saliha!

petikan Bintang Popular 29 Mac 2009
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

SESUATU yang masih saya hairan sehingga kini dan ramai juga rakan dalam industri filem bertanya ialah apa perkembangan filem arahan M Nasir yang tak siap-siap sampai sekarang - Aduh Saliha! Ramai yang mengetahui ada masalah dalam produksi itu termasuklah isu syarikat penerbitan dan produsernya menghadapi masalah kewangan. Kalau masalah pengurusan, takkan tak boleh diselesaikan. Kalau masalah duit, boleh minta bantuan Finas atau buat pinjaman tambahan menerusi SME Bank.

Apabila wartawan hiburan bertanyakan M Nasir, komposer dan penyanyi ini enggan memberi komen lagi dan bagaikan cuba mengelak untuk bercakap pasal filem arahannya itu sedangkan ketika memulakan penggambaran dulu, rancangan projek filem itu menjadi riuh dalam industri hiburan sebab Bintang Paling Popular, Mawi bakal beraksi dalam filem itu.

Lebih menarik, M Nasir begitu cerewet cari pelakon wanita untuk watak heroin sebagai Saliha. Pengumuman nama Sarah untuk pembawa watak Saliha dilakukan selepas hampir setahun pencarian dilakukan M Nasir. Pelakon yang dipilih ialah muka baru, Puteri Sarah. Malangnya, sekitar sebulan penggambaran, masalah berlaku dan ia terus tergendala sampai sekarang. Penerbit filem itu pun tak mahu komen. Mawi juga dah malas nak cakap pasal filem itu dan menyuruh media bertanyakan M Nasir saja. M Nasir pun dah macam takut untuk cakap pasal projek filem itu.

Soalnya, apa sudah jadi dengan projek filem itu? Apakah ia sudah terkubur atau memang penerbit sedang merancang untuk menyambung penggambarannya. Jika lambat, ia akan mengundang masalah lebih rumit kerana imej dan bentuk fizikal dua watak utama - Mawi dan Puteri Sarah tentu akan berubah sedikit, maklumlah Mawi dah jadi suami orang kini, badannya pun dah makin berisi.

Bayangkan penggambaran filem itu bermula pada 4 September 2007 dan sebulan kemudian penggambaran dihentikan dan terus tergendala sampai sekarang. Bermakna sehingga hari ini, sudah hampir 17 bulan penggambarannya dihentikan. Takkan nak ikut jejak macam projek filem Pasir Salak - King of the River yang tertangguh sampai 17 tahun! Kalau memang tidak ada niat hendak disambung, umumkan saja pada media dan tidak perlu membuatkan ramai tertanya-tanya apa sudah jadi pada Aduh Saliha! apatah lagi lagu yang berjudul Aduh Saliha pun sudah tidak lagi jadi perhatian dan makin dilupai ketika ini.

M Nasir kena tampil menyelesaikan masalah itu bersama penerbit. Kalau ada unsur perbalahan sebelum ini, cubalah berdamai, jangan masing-masing ego dan kesudahannya kedua-dua yang malu. Jika masih tergendala dan projek itu gagal disiapkan, reputasi M Nasir sebagai pengarah filem juga akan terjejas. Orang akan ingat sampai bila-bila M Nasir adalah pengarah filem yang tak habis penggambaran, ini satu imej yang berbahaya pada karier seni M Nasir. Mungkin selepas ini M Nasir tidak lagi berpeluang untuk mengarah filem sebab produser mungkin tidak mahu percayakan beliau lagi. Kalau mahu projek filem ini diteruskan, M Nasir kena teruskan kerja pengarahan sebab Mawi dan Puteri Sarah dari awal lagi mereka tak akan terus sambung berlakon untuk filem itu kalau pengarahnya ditukar dengan orang lain.

M Nasir kena berpakat dan berbincang dengan produser untuk mencari jalan terbaik siapkan Aduh Saliha! sebab filem itu memang ditunggu-tunggu ramai peminat filem, terutama peminat Mawi. Orang ramai tak kenal siapa produser dan syarikat mana yang urus projek filem itu tetapi tempiasnya akan lebih mengena pada M Nasir sebab dia seniman tersohor dalam dunia muzik.

Sebelum projek filem itu dimulakan penggambaran, M Nasir juga yang banyak bercakap jadi M Nasir kena bertanggungjawab untuk menyiapkan filem itu - walau dengan apa cara sekalipun demi nama baik kerjayanya.

Akibat filem itu tergendala juga, menyebabkan nama Puteri Sarah terus menyepi. Dia sendiri pernah luahkan rasa malu kerana filem itu tak siap sedangkan namanya dulu heboh jadi bahan media massa sebagai bintang baru yang bakal menyinar dan berpeluang beraksi dengan Mawi di layar perak.

Mungkin, jika ditakdirkan penulis skrip filem itu, Allahyarham Loloq masih hidup, mungkin arwah akan menangis terkenangkan skripnya yang kini tak siap untuk dijelmakan sebagai naskhah filem cereka. Lebih setahun Loloq meninggal dunia tetapi tak ada lagi khabar berita mengenai perkembangan filem ini. Aduh, sedihnya...

Akmal

Lagu Ya Papa curi perhatian

petikan Harian Metro 29 Mac 2009
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

TAHUN lalu, komposer dan penulis lirik yang menyertai Bengkel Cipta Ekspres (BCE) anjuran Music Authors Copyright Protection (MACP) berhadapan dengan cabaran untuk menghasilkan lagu berkonsep Muzik Irama Malaysia.

Tema itu diperkenalkan bagi mencari lagu bersesuaian untuk menerajui pembikinan, sekali gus diserapkan ke dalam album tradisional Datuk Siti Nurhaliza, Lentera Timur, yang baru saja dipasarkan, baru-baru ini.

Daripada 13 lagu yang diperdengarkan di pusat peranginan Residence Desa Lagoon, Port Dickson pada 16 Januari tahun lalu, semuanya lulus ujian apabila Siti memutuskan untuk menggunakan semua lagu berkenaan.

Namun, disebabkan beberapa masalah yang timbul akhirnya sembilan saja dimuatkan dalam Lentera Timur.

Dalam menampilkan kelainan tahun ini, BCE menggandingkan pencipta lagu baru dan lama untuk menghasilkan lagu dari himpunan 'genre' terkini.

Masih berlokasikan pusat peranginan sama, BEC diadakan selama empat hari bermula 23 hingga 26 Mac lalu.

Presiden MACP, Habsah Hassan berkata, bengkel itu adalah acara tahunan bagi memberi kebebasan kepada komposer dan penulis lirik yang bernaung di bawah badan perlindungan hak cipta itu berkarya mengikut ruang lingkup dan konsep ditetapkan.

Katanya, pada penganjuran kali kelima itu lebih 20 ahli MACP terdiri daripada pencipta, penulis lirik dan penyusun muzik terkemuka hadir manakala M Nasir, Aidit Alfian dan Alfa Booty antara individu berpengalaman dalam bidang muzik yang turut terbabit dalam memberi ceramah sekali gus memantau pertandingan BCE.

"Ada sedikit perbezaan tahun ini apabila komuniti MACP memutuskan untuk menggandingkan komposer atau penulis lirik baru dengan yang lama.

"Mereka dibahagikan kepada 10 kumpulan di mana setiap kumpulan bergabung tenaga menghasilkan lagu baru berkonsepkan muzik terkini. Setiap kumpulan diberi masa tiga hari bermula 23 Mac, siap dengan penyusunan muzik dan lirik.

"Selepas lagu itu siap, komposer dan penulis lirik akan memperdengarkan lagu mereka kepada khalayak yang terdiri daripada komposer serta wartawan sebagaimana dapat dilihat hari ini. Dengan cara ini, diharap dapat terus menjana hasil kerja yang hebat," katanya.

Habsah yang mesra dengan panggilan Kak Chah berkata, gabungan orang baru dan lama sebagai satu cara mengeratkan silaturahim antara orang muda dengan mereka yang berpengalaman.

"Bak kata orang tua-tua, tidak ada yang lama masakan ada baru. Maka dengan itu kami gabungkan dua generasi ini dalam satu kumpulan.

"Selain itu, program ini bertujuan mengenengahkan pelapis baru dalam industri dan mereka yang layak menyertai bengkel ini dinilai berdasarkan sumbangan dan keaktifan mereka mencipta lagu," katanya.

Difahamkan, semua lagu yang dicipta pada bengkel itu disimpan komposer dan terpulang kepada mereka memberikan lagu itu kepada mana-mana artis dan syarikat rakaman.

Terdapat 10 kumpulan melakukan persembahan malam itu, A.M dianggotai Along Exists selaku pencipta lagu manakala Lew Mable (penulis lirik). Mereka mempersembahkan lagu Biarkan Kita Berdua dan Terasa.

Kumpulan Ada Orang Kisah? dianggotai Hafiz Hamidun dan Royce Sa'ayan menyampaikan lagu Cinta Terduga dan Kapal Satu Nakhoda Dua.

Hafiz Hamidun berkata, tugasan kali ini agak mencabar kerana dia terpaksa menghasilkan lagu rock bagi kesesuaian vokal Royce.

"Jika lagu berkonsepkan muzik sejagat, mungkin tidak begitu sukar kerana sudah menjadi makanan saya, tetapi untuk genre rock memang susah sikit apatah lagi hanya diberi tiga hari untuk menyiapkannya.

"Tetapi saya gembira dapat menimba pengalaman baru ini dan berganding dengan Royce yang punya banyak idea.

"Kapal Satu Nakhoda Dua juga istimewa bagi saya kerana muziknya berunsurkan elemen Timur Tengah dan dangdut yang diilhamkan dari bunyi-bunyian unggas serta laut tatkala asyik berlatih," katanya.

Manakala Badhisham (pencipta lagu) dan Ash Bau (penulis lirik) yang menamakan kumpulan mereka Bad Ash membawa lagu Kembalikan Sentora dan Terbiasa.

Niat Ensun yang menampilkan Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussein dan pencipta lirik terkenal, Hairul Anuar Harun menyerlah dengan lagu Ya Papa.

Shazzy dan Alim Times yang mewakili Nampak Hebat bergandingan dengan Nurfatima sebagai penulis lirik mempertaruhkan lagu Toksik yang mempunyai unsur-unsur hip hop dan rock.

Sementara Marlin dan Mael yang mewakili kumpulan Tisu Tandas Sudah Habis menghasilkan dua lagu, Bukan Lagi Untuk Mu (slow rock) dan Tisu Tandas Sudah Habis berentak 'up-beat' yang disampaikan Marlin dan Abot.

Nur Fatima yang paling banyak menyumbangkan suara dan liriknya untuk acara itu turut berganding bahu dengan Tony Spider menerusi lagu Kedatangan Mu Tak Ku Alu dan Sedarkah.

Manakala peserta termuda, Sam dari kumpulan Bunkface gembira digandingkan dengan komposer dan pemuzik berpengalaman seperti Musa.

Menamakan kumpulan sebagai Lapd, mereka menghasilkan lagu Percaya dan Legasi yang liriknya ditulis Musa sementara Sam selaku pencipta lagu.

Kumpulan Pariz yang menggandingkan Pam Yuen dan Mohariz Yaakup menghasilkan satu lagu, Cinta Aku Dan Kamu.

Persembahan dimulakan jam 9 malam dan berakhir 12 tengah malam itu diakhiri dengan persembahan Damian Mikhail, Megat Acap dan Rudeboy yang mempersembahkan lagu Seketika.

Komposer dan penghibur dihormati, M Nasir dilantik sebagai seorang penceramah mengakui ada beberapa lagu yang menambat hatinya kerana komposisi dan penggunaan lirik seimbang.

"Namun untuk pertama kali kita dengar, tetapi berjaya menangkap telinga saya adalah Ya Papa. Komposisi muziknya menarik, segar, ada keaslian dan ringkas tanpa mengenepikan keindahan lirik.

"Kisahnya jelas, terdapat mesej dan kesedaran. Lirik ditulis bukan mengikut sedap rasa, tetapi haruslah ada cerita dan seninya.

"Saya juga menyukai lagu ciptaan Tony dan Nurfatima, cuma muziknya sedikit tipikal. Hafiz Hamidun dan Royce Sa'ayan juga menarik perhatian saya dengan lagu Kapal Satu Nakhoda Dua," katanya.

Sementara itu, komposer berpengalaman lain turut tertarik dengan Ya Papa.

Kata penulis lirik Ya Papa, Hairul Anuar, dia cuba mengelak menulis lirik berunsurkan cinta.

Katanya, ilham menghasilkan lirik Ya Papa datang apabila melihat masyarakat atau anak muda sekarang tidak lagi menghormati orang tua.

"Ada cerita sedih di sebaliknya. Ayah saya seorang buta dan dia menjadi begitu sejak tiga tahun lalu akibat diabetes yang memberi kesan pada matanya.

"Sekarang ini dia hanya boleh bercakap. Seringkali saya teringat masa kecil-kecil dan muda dulu kata bapa anak-anak tidak mahu dengar.

"Tapi apabila keadaan sudah sakit, saya mula sedar dan lebih menghargai hidup selain percaya bahawa kata-katanya itu adalah satu keramat," katanya.

Sementara itu, Taja yang menang Anugerah Juara Lagu ke-23 menerusi lagu Lagu Untukmu, cukup terharu dengan karya sentuhan penulis lirik disegani ramai itu.

Katanya, acara seperti ini perlu diteruskan kerana ia bukan sekadar program yang menguji minda dan ketangkasan dalam pembikinan lagu, bahkan mengeratkan silaturahim antara karyawan baru dan lama.

"Program seperti ini penting untuk karier saya sendiri kerana berpeluang menimba ilmu dan bertukar buah fikiran dengan individu yang berpengalaman dalam bidang muzik.

"Jujur saya katakan, sewaktu tiba di sini, hanya beberapa kerat saja yang saya kenal, tetapi tiga hari melewati bengkel ini memberi peluang kepada saya serta peserta lain mengenali individu berpengaruh ini secara dekat," katanya.

Selasa, Mac 24, 2009

UJIBAKAT UNTUK DRAMA-DRAMA TERBARU LUNCAI EMAS!

sumber Facebook M.Nasir

LUNCAI EMAS SDN BHD SEDANG MENCARI RAMAI PELAKON UNTUK PENERBITAN DRAMA-DRAMA TERBARUNYA. DIKEHENDAKI KANAK-KANAK LELAKI (11-12 TAHUN, BERBADAN 'OVERWEIGHT'), KANAK-KANAK LELAKI (8-10 TAHUN, PETAH BERCAKAP), KANAK-KANAK PEREMPUAN (12 TAHUN), REMAJA LELAKI (15-16 TAHUN) DAN PELAKON WANITA DAN LELAKI (LEBIH 30 TAHUN).

UJIBAKAT AKAN DIADAKAN PADA HARI SABTU 28 MARCH 2009 DARIPADA PUKUL 11 PAGI - 6 PETANG DI STUDIO LUNCAI EMAS, SG BULOH. BERMINAT SILA HUBUNGI AIN / INA DI NO TEL : 0361561357 / 6700 UNTUK PENDAFTARAN / KETERANGAN LANJUT.

Khamis, Mac 19, 2009

Program Merakyatkan Filem - Kembara Seniman Jalanan

sumber : ajamihashim dan Finas

* Inilah peluang bagi kita menonton kembali filem Kembara Seniman Jalanan pada skrin panggung sebagaimana tahun 80an.

KEMAS KINI :
Ikuti review acara Program Merakyatkan Filem - Kembara Seniman Jalanan di Coliseum pada 28 Februari yang lalu yang telah ditulis oleh dua rakan Saudagar yang telah menyertai acara ini.

Rabu, Mac 18, 2009

Undi

Buat julung kalinya laman Prahara Seni telah mengadakan tinjauan/undian dikalangan pengunjung blog ini.

Berikut adalah hasil Undi dari 21 Ogos 2008 - 15 Mac 2009

"Dapatkah kuota nisbah 90:10 merangsang semula jumlah jualan album artis-artis tempatan?"
Ya 33 (58%)
Tidak 24 (42%)

Jumlah Undi : 57

* Undian kedua sedang berjalan. Jadi marilah kita bersama-sama mengambil bahagian :)

Isnin, Mac 16, 2009

Black Dog Bone, Carefree akan ke IB

petikan Berita Harian 16 Mac 2009
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ALI (kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil NSTP, Wan Abdillah dan Aidah Nordin.

Ali puas hati lebih 4,000 tiket konsert solo M Nasir baru-baru ini habis dijual

SEMANGATNYA untuk menganjurkan Konsert Alam Muzik M Nasir pernah goyah apabila dia mendapati betapa sukarnya untuk mendapatkan tajaan. Keperitan untuk mendapatkan penaja bagi konsert artis tempatan seakan membayangkan betapa syarikat gergasi tanah air kurang berminat untuk membantu penggiat seni tempatan.

Namun, kesanggupan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) tampil menghulurkan bekerjasama sebagai media rasmi bagi konsert berkenaan akhirnya memulihkan semangat Pengarah Urusan Boxoffice (M) Sdn Bhd, Ali Bakar, untuk tetap menganjurkan konsert terbabit pada 27, 38 Februari dan 1 Mac lalu.

Hasil kerjasama semua pihak terbabit, termasuk hebahan berterusan daripada kumpulan akhbar NSTP, tiket ketiga-tiga malam konsert laris bak pisang goreng panas apabila sebanyak 4,017 keping tiket habis disambar peminat.

Dek kejayaan konsert berkenaan, penganjur yang sudah lebih tiga dekad terbabit dalam dunia showbiz itu menerima pelbagai permintaan daripada banyak pihak - peminat mahupun penganjur persembahan - untuk membawakan konsert itu ke luar Istana Budaya.

"Kini, ramai peminat yang bertanya, mengapa konsert berkenaan tidak dianjurkan pula di sebuah lokasi yang membolehkan lebih ramai peminat menontonnya, seperti Stadium Negara? Begitu juga saya mendapat permintaan supaya konsert terbabit dibawa ke Sabah dan Sarawak, serta Singapura.

"Jika diikutkan hati, sudah tentu saya mahu membawa konsert ini ke semua destinasi yang disebutkan tadi. Bagaimanapun, ia bukan sesuatu perancangan yang semudah disangka.

“Saya juga perlu terlebih dulu berbincang lebih lanjut bersama M Nasir sendiri. Sehingga kini, kami hanya berbual-bual saja mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek sumbangan Boxoffice kepada Tabung Kebajikan NSTP.

Menurut Ali, sememangnya dia lebih suka untuk mengadakan konsert di tempat yang membolehkan golongan biasa turut sama menontonnya.

Persembahan di IB pula, katanya, hanya mampu dihadiri sesetengah peminat yang sanggup membayar harga tiket lebih tinggi.

"Bagaimanapun, sebagaimana saya katakan sebelum ini, semua itu bergantung kepada perbincangan lanjut antara saya dengan penyanyi itu sendiri. Perancangan yang sebaik-baiknya perlu diatur supaya persembahan yang dipentaskan nanti benar-benar meninggalkan kesan kepada peminat," katanya.

Apatah lagi, Boxoffice sendiri mempunyai beberapa lagi persembahan besar yang harus ditangani sepanjang tahun ini.

"Pada Mei nanti, kami akan menganjurkan konsert dua kumpulan terkenal suatu ketika dulu, Black Dog Bone (BDB) dan Carefree. Kertas cadangan sudah pun dihantar kepada Istana Budaya dan kami juga sudah mendapat lampu hijau daripada mereka," katanya sambil memberitahu, dia pernah bekerjasama bersama kumpulan terbabit sewaktu mengadakan Pesta Budaya NST, lebih dua dekad lalu.

Ali juga berkeyakinan kumpulan berkenaan masih mempunyai kalangan pengikutnya yang ramai, manakala pemuziknya masih berupaya memberikan persembahan mantap sekalipun masing-masing, terutama anggota kumpulan BDB, sudah melewati usia 50 dan 60 tahun.

Sekali lagi, konsert berkenaan akan dipentaskan di IB kerana Ali percaya, dewan itu menyediakan set pentas serta kesan akustik terbaik.

Sementara itu, bercerita mengenai sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Tabung Kebajikan NSTP, dia memberitahu, sebagaimana diumumkan sebelum penganjuran konsert, sebanyak RM1 daripada setiap tiket yang dijual didermakan kepada tabung berkenaan.

"Sebanyak 4,017 keping tiket dijual pada harga antara RM45 hingga RM250 dan saya berbesar hati kerana dapat menyumbangkan jumlah itu untuk didermakan kepada mereka memerlukan," katanya sebelum menyerahkan cek kepada Pengurus Kanan Jabatan Pemasaran NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi.

Sumbangan terbabit menjadi tanda penghargaan Boxoffice kepada NSTP kerana menjadi penaja dan sudi bekerjasama dengan mereka bagi menjayakan konsert berkenaan.

Ceburi perniagaan berkaitan seni

petikan Harian Metro 16 Mac 2009
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

DALAM usaha membantu karyawan seni menceburi bidang perniagaan berkaitan industri hiburan, sekumpulan pemuzik dan komposer tanah air sepakat menubuhkan Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopim).

Satu mesyuarat agung permulaan diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, 5 Mac lalu untuk melaksanakan lapan agenda utama iaitu pelantikan pengerusi mesyuarat, mendapatkan persetujuan menubuhkan koperasi daripada yang hadir, mendapatkan persetujuan ke atas Undang-undang Kecil Koperasi dan mendapatkan persetujuan mendaftarkan koperasi.

Agenda lain, mendapatkan persetujuan ke atas Belanjawan Koperasi mendapatkan persetujuan ke atas Had Maksima Keterhutangan Koperasi, mendapatkan persetujuan ke atas pelantikan panel Juru Audit Luar iaitu dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Sanusi & Associates serta mendapatkan persetujuan ke atas pelantikan anggota lembaga pengarah Koperasi (sembilan anggota lembaga dan seorang untuk menandatangani Undang-undang Kecil Koperasi.

Ia dihadiri lebih 60 pemuzik dan komposer tempatan terutama dari kalangan ahli Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (Music Authors' Copyright Protection/MACP. Antaranya, M Nasir, Johan Nawawi, Johari Teh, Amran Omar, Helen Yap, Tam Spider,

Presiden MACP, Habsah Hassan, berkata idea menubuhkan koperasi artis itu muncul dari kalangan karyawan seni yang melihat ramai orang di luar industri (disifatkan sebagai parasit) yang mengaut keuntungan atas penat lelah insan seni memperjuangkan industri seni.

Katanya, tidak cukup ancaman lanun cetak rompak, pihak luar juga mengaut keuntungan melalui jualan muat turun lagu dan pelbagai aktiviti menguntungkan membabitkan karya dan insan seni itu sendiri.

"Jadi mengapa tidak semua keuntungan itu dinikmati karyawan seni itu sendiri dengan membabitkan diri dalam perniagaan seperti itu. Perkara ini diluahkan ahli dalam mesyuarat tetapi MACP tidak boleh membabitkan diri dalam aktiviti berasaskan keuntungan.

"Apabila difikirkan semula, siapa yang akan menolong orang dalam industri kalau bukan orang dalam industri itu sendiri. Bagi melaksanakan projek ini, ia perlu bergerak sendiri dengan menubuhkan satu badan dinamakan Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopim).

"Dari situ, kita meminta pandangan dan pendapat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehinggalah sampai ke tahap mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan.

"Antara lain, ia bakal menjadi medan penggiat seni menjalankan perniagaan berkaitan industri seni sekali gus membantu menambahkan pendapatan terutama ketika berhadapan kegawatan ekonomi.

"Antaranya perniagaan muat turun lagu, jualan melalui Internet kerana kita mempunyai ahli yang pakar dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) seperti Kamal Ishak dan Johan Nawawi serta pelbagai perniagaan lain yang akan diputuskan nanti.

"Kami mengundang karyawan seni untuk menghadiri mesyuarat agung penubuhan untuk melaksanakan lapan agenda khusus. Alhamdulillah, perjumpaan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada karyawan kita walaupun tidak kesemuanya hadir.

"Koperasi ini terbuka kepada semua karyawan seni tanah air dan setiap ahli dikenakan yuran RM20 dan turut menawarkan saham bergantung kepada kemampuan ahli dengan pelaburan minimum RM200," katanya.

Bagi pemilihan Anggota Lembaga Koperasi, mereka yang dipilih ialah Johan Nawawi, Ahmad Kamal Ishak, Johari Teh, Habsah Hassan, Amran Omar, Raja Iskandar, M Nasir, Chan Mui Lan, Helen Yap serta Roslan Mamat sebagai anggota kesepuluh untuk menandatangani Undang-undang Kecil Koperasi.

Terlebih dahulu, hadirin mendengar taklimat daripada pengerusi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad, Mohd Said Mohd Kadir, Bahagian Ehwal Ekonomi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Chan Won Wah serta Pro-tem Komiti Kopim, Johan Nawawi.

Selepas ini, Kopim akan didaftarkan secepat mungkin dan kini menyiapkan dan menyusun dengan teliti segala dokumen diperlukan supaya tidak berhadapan masalah apabila membuat permohonan.

Dalam pada itu, Habsah meluahkan rasa terkilannya atas pemergian penyanyi dan komposer Zubir Ali ke rahmatullah pada 6 Mac lalu kerana menjadi antara orang penting untuk melihat usaha Kopim dapat dijayakan.

"Arwah mempersembahkan modul koperasi Universiti Malaya sebagai contoh untuk kita memulakan langkah ini dan yakin ia juga boleh memberi pendapatan tambahan kepada karyawan seni. Bagaimanapun sehari selepas mesyuarat agung permulaan Kopim diadakan, arwah lebih dulu dijemput Ilahi," katanya

Isnin, Mac 09, 2009

Depan Mata: Konsert M Nasir ke Singapura

petikan Harian Metro 9 Mac 2009
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

ADA bertanya, mengapa wartawan semua memuji konsert M Nasir? Betulkah hebat sangat Konsert Alam Muzik M Nasir yang berlangsung tiga malam bermula 28 Februari lalu di Istana Budaya (IB)?

Antara tajuk dipilih, Seleksi terbaik tiga dekad (Harian Metro, 28 Februari), Luasnya alam muzik M Nasir (Berita Harian, 3 Mac), Kegemilangan Seorang Sifu (Utusan Malaysia, 4 Mac) dan The Sifu holds court (New Straits Times, 4 Mac).

Saya tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert itu pada malam pertama untuk melihat kehebatan M Nasir di IB selepas menyaksikan konsert terakhirnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sembilan tahun lalu. Baik saya mahu pun suami bukan peminat setia M Nasir tetapi tidak keberatan menyaksikan konsert itu apabila mendapat tawaran tiket paling mahal RM250 daripada Telekom Malaysia.

Satu pujian untuk M Nasir dan juga barisan pemuziknya yang memberi persembahan hebat dan nampak bersungguh-sungguh. Sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung, M Nasir menghiburkan penonton dengan alunan lagu-lagunya dari irama pop rock kepada inang, joget, keroncong, jaipong hinggalah irama padang pasir.

Peminat setianya tidak mampu hanya duduk di kerusi empuk sementara alunan muzik M Nasir bergema di pelusuk Panggung Sari hingga mereka ikut sama menari walaupun hanya dari tempat duduk.

IB bukanlah tempat sesuai untuk M Nasir. Kalau konsert diadakan di stadium, tentu lebih hebat kerana memberi ruang kepada peminat dibuai dengan alunan muzik M Nasir dan menari bersamanya.

Ada masanya, penyanyi, komposer, penulis lirik, pelakon dan pengarah itu seperti dirasuk terutama ketika menyanyikan Mentera Semerah Padi. Tenaga dimiliki M Nasir tidak seperti lelaki berusia 52 tahun tetapi bapa enam anak itu benar-benar asyik menghiburkan penonton.

Khamis lalu, saya bertemu M Nasir ketika hadir di mesyuarat penubuhan Koperasi Industri Muzik Malaysia di Restoran Puteri. Dalam pertemuan singkat itu, sempat mengorek rahsia kejayaan konsertnya.

M Nasir mengakui sangat berpuas hati dengan sambutan penonton terhadap konsertnya hingga sokongan dan kerjasama penonton memberi semangat dan rangsangan kepadanya sepanjang tiga malam itu.

Apabila dipuji dari mana datangnya tenaga M Nasir kerana melihat aksinya itu, siapa sangka usianya sudah 52 tahun.

Kata suami Marlia Musa ini, dia memang rajin menjaga kesihatan seperti menjalani pemeriksaan rutin serta menjaga pemakanan.

Katanya, tiada pantang dan dia makan semua tetapi terkawal.

Mengenai kehadiran tiga penari wanita berbadan besar yang mengiringinya ketika menyanyikan lagu irama jaipong, Sahabat Gua, M Nasir hanya tersenyum apabila dikatakan elemen itu berjaya mencuit hati penonton,

Katanya, dia sendiri mengundang mereka menjayakan konsertnya dan mengatakan mereka adalah pelakon dari Aswara tetapi tidak pasti apakah mereka peminatnya atau tidak.

Anak seni kelahiran Singapura ini setuju dengan kenyataan bahawa IB kurang sesuai untuk dirinya. Ternyata M Nasir ada berita gembira untuk peminatnya kerana ada perancangan mengadakan konsert di stadium pada tahun ini juga tetapi tidak pasti tarikhnya.

Tidak cukup dengan itu, ada pihak di Singapura mahu membawa Konsert Alam Muzik M Nasir menyeberang Tambak Johor untuk memberi peluang lebih ramai peminat di Singapura menyaksikan persembahannya. Difahamkan, ramai peminat turun dari Singapura untuk menyaksikan konsertnya di IB.

M Nasir juga bersetuju apabila saya katakan kesediaan New Straits Times Press (NSTP) sebagai akhbar rasmi dan juga penaja bersama antara penyumbang besar kejayaan konsertnya hingga tiket untuk tiga malam persembahan habis dijual lima hari sebelum konsert berlangsung.

Karyawan terus berkarya walaupun pelbagai kekangan dan rintangan. Namun minggu lalu kita kehilangan dua insan yang banyak berjasa dalam muzik. Pada Khamis, bekas orang kuat syarikat rakaman EMI (M) Sdn Bhd yang kini menjadi penganjur majlis bebas, Mohd Arzmy Mohamad, meninggal dunia kerana serangan jantung.

Masih terbayang senyuman ramah arwah ketika bertemu dengannya di majlis sidang media Malam Sinar Maulidur Rasul 1430 H di Restoran Chengho, Wangsa Maju pada 17 Februari lalu. Saya sempat menyapa beliau tetapi tidak berkesempatan berbual. Beliau hanya mengangkat tangan dan tersenyum sebagaimana biasa kerana Arzmy memang dikenali mesra senyuman.

Komposer dan penulis lagu puisi, Zubir Ali, 60, pula meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu di Hospital Pakar Damansara, selepas seminggu dimasukkan ke sana untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.

Apabila dikhabarkan berita kematiannya, teringat pertemuan dengan Azlina Aziz ketika pelancaran Festival Filem Malaysia ke-22 di Perbadanan Kemajuan Perfileman Malaysia (Finas), Hulu Klang, Rabu lalu.

Ketika itu Azlina bertanya rakan-rakan yang ditemui mengenai muzik lagu Zubir Ali. Azlina tidak ingat tajuk lagunya tetapi menyanyikan senikata lagunya. Katanya, dia mahu menyanyikan lagu itu untuk satu persembahan sempena Maulidur Rasul pada 15 Mac ini.

Tuhanku..Aku hilang bentuk, Kembara di negeri asing. Tuhanku, Pintu-Mu ku ketuk, Aku tak bisa berpaling...

Lirik dari lagu Doa yang dinyanyikan Zubir Ali ini akan terus berkumandang. Kalau bukan alunan suaranya, pasti oleh penyanyi lain kerana lagu itu begitu dekat dengan kita. Al-Fatihah buat mereka berdua dan selamat menyambut Maulidur Rasul.

Ahad, Mac 08, 2009

Menyelami rentak alam, jiwa M Nasir

petikan Bintang Popular 8 Mac 2009
Oleh Wan Sabariah Shikh Ali

NOVELIS berbangsa Brazil, Paulo Coelho, menulis di dalam bukunya The Witch of Portobello: "Apabila sesebuah teks suci ditulis, ia mengandungi jiwa penulisnya yang menjadi instrumen untuk menyebarkannya ke seluruh dunia. Hakikat ini bukan saja benar bagi teks suci, tetapi bagi setiap ayat yang kita lakarkan pada kertas. Kerana tangan yang melakar setiap kata, menjadi cermin kepada jiwa si penulis."

Jika tulisan Coelho, spiritualis yang juga penulis lirik lagu terkenal di negaranya itu benar, maka menerusi konsert Alam Muzik M Nasir selama tiga malam berturut-turut di Istana Budaya, M Nasir mendedahkan jiwanya – apa yang tersurat dan tersirat sepanjang 30 tahun bergelumang dalam dunia seni.

Jiwanya menggambarkan rasa dunia Melayu yang penuh lara, penuh mimpi panjang, permusuhan dan kesumat yang dalam tetapi juga penuh rentak, berisi kasih yang tersemat, penuh menungan yang melankolik. Rasa dunia Melayu Nusantara juga penuh falsafah, sindiran dan kiasan walau turut sarat dengan angan dan khayalan, didorong oleh detak detik gong dan gendang.

M Nasir mendedahkan gelodak jiwanya yang ada ketikanya pesimis dengan rentak Melayu tetapi tetap juga bersulam humor – mempersenda diri sendiri, mampu tertawa walau ‘hidup bagai roller coaster, susah dan senang bersilih ganti” seperti sebahagian lirik lagu Apokalips dalam Saudagar Mimpi (1992).

Tiga malam peminat M Nasir, yang menurut katanya sendiri – marhain atau cendekiawan, hartawan atau bangsawan - melepaskan dahaga hampir sembilan tahun tidak minum dari cangkir jiwa yang berentak Melayu bersalut falsafah hidup yang mudah seperti lirik Apokapils - ‘Satu Dua Tiga... Do Re Mi, apa nak jadi, alif ba ta A B C, apa nak jadi, akan terjadi hujan pasti berhenti’.

Alam Muzik pada malam ketiga bermula Di Sebalik Cermin Mimpi (album Saudagar Mimpi - 1992) dengan bantuan grafik komputer pada lukisan si gadis yang merengkok dengan mimpinya sendiri, bibirnya mengikut alunan suara M Nasir dalam kegelapan. Sebenarnya, dari kaca mata seorang peminat yang boleh saja menutup mata dan mendengar raungan terus dari jiwa seniman ini, props dan pantomin tidak perlu dalam persembahan M Nasir, namun itulah jiwanya yang kompleks.

Dia harus juga mahu menzahirkan ilham secara abstrak, biarpun pernyataannya secara mudah sampai lebih dekat kepada rasa khalayak. Pada konsert Akar, misalnya, figurin berselimut merah dan perarakan simbolik mengisi acara.

Konsep bagi Alam Muzik adalah ilham M Nasir sendiri manakala Ali Bakar bertindak sebagai penerbit dan pengarah. Barisan penggerak konsert termasuk pemuzik adalah ‘sifu’ dalam bidang masing-masing, pantas saja mentafsir setiap pergerakan ‘kepala sifu’ yang seperti biasa, berinteraksi dengan khalayak seperlunya saja. Tidak kurang dan tidak lebih. Kerana bahasa komunikasi M Nasir adalah suara jiwa dalam lagunya.

Malah, pengalaman lalu menunjukkan M Nasir yang terlebih bicara cenderung untuk tergigit lidahnya sendiri! Penari latar berkostum Sunda/Jawa mengubah definisi lazim seksi, satu lagi petanda humor sinis seniman ini. Ya, mengapa tidak? Penari latar tidak semestinya berpinggang kerengga untuk mentafsir gerak dan rentak.

Usaha Ali membawa M Nasir ke Istana Budaya harus dipuji jika persembahan di Panggung Sari adalah ukuran kepada status teratas pengamal seni tanah air. Namun jiwa lagu M Nasir adalah pernyataan rasa si marhain. Ia laungan rasa anak muda yang mungkin berteleku di wakaf ketika malam bulan mengambang, mengutuk hidup yang ‘menghumbankanku ke penjara ini, adakah bentuk emansipasiku, merupakan sebuah pusara’ - petikan lagu Balada Seorang Teman dari album Sang Pencinta (2007).

Di kerusi empuk Panggung Sari, si marhain ini awalnya kekok untuk menyahut panggilan rebana yang bergetar hampir dengan jantungnya. Mereka diam di samping cendekiawan dan bangsawan yang turut jatuh cinta dengan alam jiwa M Nasir selepas dia bergelar sifu. Yang bergelar peminat pasca Canggong Mendonan pula tidak begitu akrab dengan lagu dari album Solo (1989) seperti Rajawali Terbang Tinggi, Sayembara Hidup atau Mustika.

Hanya apabila M Nasir memulakan lagu popular Raikan Cinta (Phoenix Bangkit - 2001) si marhain dan khalayak muda kota melemparkan rasa canggung ke awan dan bangkit menyahut rentaknya. Bagai gerak tari sufi yang mempunyai rhythm tersendiri. Mulai saat itu hingga jam 11 malam dan berlarutan setengah jam lagi selepas itu apabila khalayak tidak mahu berganjak dari tempat duduk meskipun disuruh pulang, rasa dan rentak bersatu dalam meraikan irama yang tidak syak lagi berjiwa Melayu.

Kerana seperti kata Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang menerusi sajaknya berjudul Melayu:

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya

Jawa itu Melayu

Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

Keturunan Acheh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah muaalaf bertakrif Melayu


Jika rencana ini nadanya memuja, ia bukanlah memuja personaliti. M Nasir bagi saya hanya biasa-biasa. Tetapi gandingan suara jiwanya yang memahami psikik ‘lara’ bangsanya, apabila disatukan dengan lirik S Amin Shahab, arwah Loloq, Bob atau Nurbisa melahirkan sesuatu yang luar biasa. Dia memahami bahawa ‘di balik cermin, cermin mimpi, ada realiti yang tidak kita sedari, hanya keyakinan dapat merestui, hakikat cinta yang sejati.’

Penulis mendengar lagu Sentuhan Listrikmu beratus kali namun inilah kali pertama berasakan rohnya. Apabila M Nasir meminta penonton mengangkat tangan dan berasakan ‘kuingin sentuhanmu, kudamba sentuhanmu, tiada lain kuinginkan, hanyalah, hanyalah sentuhanmu’ mantera cinta berkumandang di Panggung Sari.

Dan ini benar, kerana sebuah mesej pesanan ringkas SMS yang diterima daripada sahabat yang sudah berkahwin 20 tahun memberitahu: “Kami tiba di rumah jam 2 pagi, menikmati asmara yang hangat, dicetus oleh Sentuhan Listrikmu!’

“Oh my God” luahan kata kata spontan seorang urban profesional di sebelah tempat duduk saya di Panggung Sari pad amalam itu, lantas bangkit menari joget, zapin atau rentak inang yang saya fikir tidak akan dibuatnya dalam kelab di Jalan Sultan Ismail. Dia pun mengenal cinta yang dilakar oleh jiwa Melayu M Nasir, walau tafsirannya mungkin berbeza.

Falsafah Cinta, lagu duet bersama Rahim Maarof dalam album Solo (1989) misalnya, mempertikai cinta yang ‘sesat di perjalanan’ apabila kerana cinta, bangsa sanggup berperang. Lagu cinta lain yang turut didendangkan malam itu termasuk Ada, Suatu Masa dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Jika alam rasa dan jiwa dalam lagunya menyentuh dua golongan, pasangan 40-an yang hampir lupa hangatnya sentuhan tangan cinta dan eksekutif 20-an yang menari zapin dengan jemari terangkat bersimbol rock, benarlah Alam Muzik M Nasir berjaya merentasi sempadan generasinya. Tersenyumlah Pak Dogol sambil berlanggam: 'Langgam Dogol langgam keramat, bisik-bisik dalam kelambu, lagak bodoh tapi bersengat, sambil elak (bila ngelik ) dia main siku'.

Di sebalik Konsert Alam M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 8 Mac 2009
Oleh WANDA IDRIS
Foto WAHIDAH ZAINAL

SIFU ini mengakui segmen world beat yang kebanyakan himpunan lagu-lagu daripada album Phoenix Bangkit memberinya satu kepuasan.

PUAS! Itu kenyataan tepat bagi menggambarkan keseluruhan pementasan Konsert Alam Muzik M. Nasir yang berlangsung tiga malam bermula 27 Februari hingga 1 Mac di Panggung Sari, Istana Budaya.

Puas bagi penonton yang hampir sedekad menantikan kemunculan semula M. Nasir di pentas besar dan gah. Puas juga bagi sifu itu kerana dapat beraksi untuk para penggemarnya yang selama ini menantikan sebuah konsert besar daripadanya.

Lega, begitu kata M. Nasir saat ditemui selepas tiga hari konsert itu berakhir. Di pejabatnya, Luncai Emas Sdn. Bhd., Sungai Buloh, Selangor, M. Nasir masih kelihatan lesu tetapi tetap meneruskan kerja-kerja studionya.

"Selepas dua bulan fokus di situ, mesti ada rasa, 'Eh! Dah habis?'. Tapi saya juga sebenarnya tak sabar untuk buat persembahan lagi," katanya dengan nada teruja.

Memang ramai berkata M. Nasir patut beraksi di tempat lebih besar, lebih lapang dan lebih terbuka agar setiap generasi yang mahu menikmatinya mampu menikmati karyanya dengan cara tersendiri.

Mungkin kalau sebahagian besar peminatnya berdiri, menari dan bertepuk, ada pula sebilangan kecil yang lebih enak duduk untuk menikmati irama dan lagu lontarannya

Pada saat ditebak apakah akan ada satu konsert lagi daripada M. Nasir dalam tempoh terdekat ini di Kuala Lumpur, dia mengangguk. Secara spontan saya katakan kepadanya, kalau begitu buat persembahan empat jam terus dan nyanyikan semua lagu-lagunya. Kata M. Nasir dengan selamba, 'tak kisah!'

Ya, para penggemar Mohd. Nasir Mohamed, nantikan kemunculannya beraksi lagi kerana sudah ada pihak yang menaruh minat yang tinggi untuk menganjurkan konsertnya.

Sudah tentu peminat akan dapat menyaksikan persembahan M. Nasir di tempat yang lebih besar dan lebih bebas. "Kepada mereka yang tak dapat menikmati atau terlepas Konsert Alam," tambahnya yang turut merancang sebuah konsert seperti Konsert Alam M. Nasir di Singapura pada penghujung tahun ini.

Bukan itu sahaja, Nasir juga bercadang untuk bertemu peminat dalam bentuk persembahan berskala kecil (black box) yang lebih intim dan dalam beberapa malam yang juga akan dilangsungkan dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Ada masa kita mahu menghibur di dewan, ada masa di tempat lebih besar tapi saya juga sangat suka menghibur di tempat kecil. Di mana sahaja saya menghibur, ia adalah pengalaman menyeronokkan. Sebab perasaannya berbeza-beza," katanya yang gemarkan persembahan artistik dan teaterikal.

Realiti muzik

Menyaksikan Konsert Alam M. Nasir baru-baru ini, sebenarnya itulah realiti muzik kita yang sepatutnya membuka mata dan pemikiran sempit para penaja tempatan. Tetapi Nasir tidak melihat itu satu masalah yang besar kerana baginya yang menaja konsertnya adalah para peminat setia yang sanggup membeli tiket menyaksikan persembahannya.

"Tetapi sumbangan dan sokongan pihak penaja diperlukan," tegasnya.

Mampu berdiri atas namanya sendiri bagi menarik audiens menonton namun Nasir bertegas, kualiti sesebuah konsert turut menjadi tuntunan tinggi kalangan khalayak. Kerana itu, katanya, konsert memerlukan visual, persembahan yang istimewa, tersendiri yang boleh menarik dan memberi impak kepada penonton.

Namun untuk menjayakan konsert besar memerlukan belanja yang besar. Dianggarkan belanja bagi menjayakan konsert terkininya itu berjumlah RM500,000 dan ia tidak termasuk kos promosi.

"Tak ramai yang nampak itu," ujar Nasir.

Sedangkan, katanya, bermula daripada idea untuk melakukan sebuah konsert itu sendiri sudah mampu menjana ekonomi kerana ia memberi pendapatan kepada banyak pihak termasuk pemuzik dan pekerja di belakang tabir.

Kuasa Phoenix


Bagai sakti, M. Nasir khususnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit yang sejak dipasarkan tidak dapat dipersembahkan secara langsung di pentas besar untuk penggemarnya. Lalu tiga malam penuh pada segmen persembahan himpunan lagu-lagu daripada album kedua terakhirnya itu memberikan impak luar biasa buat peminat setianya.

Malah M. Nasir sendiri mengakui amat menyukai segmen world beat yang dianggapnya mencipta gelombang dan getaran tersendiri. Sesungguhnya, tiada siapa yang tidak mahu menari atau sekurang-kurangnya bertepuk tangan sambil mulut mengikut melodi lagu yang dipersembahkan.

Apalagi melihat M. Nasir sendiri begitu teruja menyampaikan karya-karyanya daripada album yang dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan seniman bergelar sifu ini.

Pun begitu, bagi lelaki ini secara keseluruhan persembahan mencipta satu kepuasan kerana pada setiap lagu yang didendangkan pada setiap malam adalah lagu-lagu terpilih.

Diselenggarakan oleh pengarah muzik, Aznan Alias dengan iringan pemuzik profesional seperti Jay Jay untuk bes, Ujang (deram), Zul Mahat (piano), Eddie Slam (keyboard kedua), Nafi Spider (gitar kedua), Mohar (seruling), Ahmad Firdaus (keyboard pertama), Pa'ang (perkusi pertama) dan Hamzah (perkusi kedua).

Sempat juga Nasir melayan perasaan dengan gitar solonya. Berlagu Suatu Masa yang meriuh rendahkan dewan, juga lagu Getaran Jiwa oleh P. Ramlee serta Perjalanan Hidup daripada Ramli Sarip yang turut menonton pada persembahan malam terakhir serta Langgam Pak Dogo dalam loghat Kelatan.

Namun lagu-lagu Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Ada, Keroncong Nostradamus sesungguh menyuntik semangat dan memberikan satu kegilaan kepada audiens untuk terus bertepuk dan menari.

Juga lagu-lagu berentak perlahan Falsafah Cinta yang jarang dilagukan di pentas besar, Keroncong untuk Ana, Hijab Kekasih, juga lagu Hati Emas dengan suntikan lagu Ekspres Rakyat pada pengenalannya.

Mendendangkan 25 lagu, Nasir memulakan persembahan dengan lagu Di Balik Cermin Mimpi dan menutup persembahan selama hampir tiga jam itu dengan lagu Sentuhan Listrikmu yang dianggapnya mempunyai tarikan elektrik buat pasangan bercinta sebelum diakhiri dengan Juwita... Citra Terindah yang didedikasikan kepada isterinya, Marlia Musa.

Cantik aturan lagunya. Bak kata Nasir, ia aturan mengikut emosi - dari rentak perlahan kepada funky hinggalah kepada kemuncaknya.

"Graf konsert umpama drama. Kalau tidak, orang nak dengar lagu hits sahaja yang kebanyakannya adalah sama."

Seperti kebiasaan konsert yang mempunyai falsafahnya tersendiri, konsert ini sebahagiannya adalah perjalanan seninya yang dipersembahkan menerusi lagu.

"Tapi pemilihan lagu-lagunya adalah alam saya. Lagunya memberi makna dalam setiap perjalanan kehidupan dan saya," jelas Nasir lagi.

Sempat juga saya bertanya apakah pada malam-malam persembahan dia terkenangkan arwah Loloq yang selama ini sentiasa berada di belakangnya? Atau mungkin mengharapkan dia ada bersama-sama di konsert itu, lambat dia menjawab.

"Ada... Rasa macam ada. Sebab kebanyakannya pun lagunya. Kalau dia ada dia pasti akan terlibat sama terutama daripada skrip," kata Nasir.