Ahad, Mac 08, 2009

Di sebalik Konsert Alam M. Nasir

petikan Utusan Malaysia 8 Mac 2009
Oleh WANDA IDRIS
Foto WAHIDAH ZAINAL

SIFU ini mengakui segmen world beat yang kebanyakan himpunan lagu-lagu daripada album Phoenix Bangkit memberinya satu kepuasan.

PUAS! Itu kenyataan tepat bagi menggambarkan keseluruhan pementasan Konsert Alam Muzik M. Nasir yang berlangsung tiga malam bermula 27 Februari hingga 1 Mac di Panggung Sari, Istana Budaya.

Puas bagi penonton yang hampir sedekad menantikan kemunculan semula M. Nasir di pentas besar dan gah. Puas juga bagi sifu itu kerana dapat beraksi untuk para penggemarnya yang selama ini menantikan sebuah konsert besar daripadanya.

Lega, begitu kata M. Nasir saat ditemui selepas tiga hari konsert itu berakhir. Di pejabatnya, Luncai Emas Sdn. Bhd., Sungai Buloh, Selangor, M. Nasir masih kelihatan lesu tetapi tetap meneruskan kerja-kerja studionya.

"Selepas dua bulan fokus di situ, mesti ada rasa, 'Eh! Dah habis?'. Tapi saya juga sebenarnya tak sabar untuk buat persembahan lagi," katanya dengan nada teruja.

Memang ramai berkata M. Nasir patut beraksi di tempat lebih besar, lebih lapang dan lebih terbuka agar setiap generasi yang mahu menikmatinya mampu menikmati karyanya dengan cara tersendiri.

Mungkin kalau sebahagian besar peminatnya berdiri, menari dan bertepuk, ada pula sebilangan kecil yang lebih enak duduk untuk menikmati irama dan lagu lontarannya

Pada saat ditebak apakah akan ada satu konsert lagi daripada M. Nasir dalam tempoh terdekat ini di Kuala Lumpur, dia mengangguk. Secara spontan saya katakan kepadanya, kalau begitu buat persembahan empat jam terus dan nyanyikan semua lagu-lagunya. Kata M. Nasir dengan selamba, 'tak kisah!'

Ya, para penggemar Mohd. Nasir Mohamed, nantikan kemunculannya beraksi lagi kerana sudah ada pihak yang menaruh minat yang tinggi untuk menganjurkan konsertnya.

Sudah tentu peminat akan dapat menyaksikan persembahan M. Nasir di tempat yang lebih besar dan lebih bebas. "Kepada mereka yang tak dapat menikmati atau terlepas Konsert Alam," tambahnya yang turut merancang sebuah konsert seperti Konsert Alam M. Nasir di Singapura pada penghujung tahun ini.

Bukan itu sahaja, Nasir juga bercadang untuk bertemu peminat dalam bentuk persembahan berskala kecil (black box) yang lebih intim dan dalam beberapa malam yang juga akan dilangsungkan dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

"Ada masa kita mahu menghibur di dewan, ada masa di tempat lebih besar tapi saya juga sangat suka menghibur di tempat kecil. Di mana sahaja saya menghibur, ia adalah pengalaman menyeronokkan. Sebab perasaannya berbeza-beza," katanya yang gemarkan persembahan artistik dan teaterikal.

Realiti muzik

Menyaksikan Konsert Alam M. Nasir baru-baru ini, sebenarnya itulah realiti muzik kita yang sepatutnya membuka mata dan pemikiran sempit para penaja tempatan. Tetapi Nasir tidak melihat itu satu masalah yang besar kerana baginya yang menaja konsertnya adalah para peminat setia yang sanggup membeli tiket menyaksikan persembahannya.

"Tetapi sumbangan dan sokongan pihak penaja diperlukan," tegasnya.

Mampu berdiri atas namanya sendiri bagi menarik audiens menonton namun Nasir bertegas, kualiti sesebuah konsert turut menjadi tuntunan tinggi kalangan khalayak. Kerana itu, katanya, konsert memerlukan visual, persembahan yang istimewa, tersendiri yang boleh menarik dan memberi impak kepada penonton.

Namun untuk menjayakan konsert besar memerlukan belanja yang besar. Dianggarkan belanja bagi menjayakan konsert terkininya itu berjumlah RM500,000 dan ia tidak termasuk kos promosi.

"Tak ramai yang nampak itu," ujar Nasir.

Sedangkan, katanya, bermula daripada idea untuk melakukan sebuah konsert itu sendiri sudah mampu menjana ekonomi kerana ia memberi pendapatan kepada banyak pihak termasuk pemuzik dan pekerja di belakang tabir.

Kuasa Phoenix


Bagai sakti, M. Nasir khususnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit yang sejak dipasarkan tidak dapat dipersembahkan secara langsung di pentas besar untuk penggemarnya. Lalu tiga malam penuh pada segmen persembahan himpunan lagu-lagu daripada album kedua terakhirnya itu memberikan impak luar biasa buat peminat setianya.

Malah M. Nasir sendiri mengakui amat menyukai segmen world beat yang dianggapnya mencipta gelombang dan getaran tersendiri. Sesungguhnya, tiada siapa yang tidak mahu menari atau sekurang-kurangnya bertepuk tangan sambil mulut mengikut melodi lagu yang dipersembahkan.

Apalagi melihat M. Nasir sendiri begitu teruja menyampaikan karya-karyanya daripada album yang dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan seniman bergelar sifu ini.

Pun begitu, bagi lelaki ini secara keseluruhan persembahan mencipta satu kepuasan kerana pada setiap lagu yang didendangkan pada setiap malam adalah lagu-lagu terpilih.

Diselenggarakan oleh pengarah muzik, Aznan Alias dengan iringan pemuzik profesional seperti Jay Jay untuk bes, Ujang (deram), Zul Mahat (piano), Eddie Slam (keyboard kedua), Nafi Spider (gitar kedua), Mohar (seruling), Ahmad Firdaus (keyboard pertama), Pa'ang (perkusi pertama) dan Hamzah (perkusi kedua).

Sempat juga Nasir melayan perasaan dengan gitar solonya. Berlagu Suatu Masa yang meriuh rendahkan dewan, juga lagu Getaran Jiwa oleh P. Ramlee serta Perjalanan Hidup daripada Ramli Sarip yang turut menonton pada persembahan malam terakhir serta Langgam Pak Dogo dalam loghat Kelatan.

Namun lagu-lagu Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi, Raikan Cinta, Phoenix Bangkit Dari Abu, Ada, Keroncong Nostradamus sesungguh menyuntik semangat dan memberikan satu kegilaan kepada audiens untuk terus bertepuk dan menari.

Juga lagu-lagu berentak perlahan Falsafah Cinta yang jarang dilagukan di pentas besar, Keroncong untuk Ana, Hijab Kekasih, juga lagu Hati Emas dengan suntikan lagu Ekspres Rakyat pada pengenalannya.

Mendendangkan 25 lagu, Nasir memulakan persembahan dengan lagu Di Balik Cermin Mimpi dan menutup persembahan selama hampir tiga jam itu dengan lagu Sentuhan Listrikmu yang dianggapnya mempunyai tarikan elektrik buat pasangan bercinta sebelum diakhiri dengan Juwita... Citra Terindah yang didedikasikan kepada isterinya, Marlia Musa.

Cantik aturan lagunya. Bak kata Nasir, ia aturan mengikut emosi - dari rentak perlahan kepada funky hinggalah kepada kemuncaknya.

"Graf konsert umpama drama. Kalau tidak, orang nak dengar lagu hits sahaja yang kebanyakannya adalah sama."

Seperti kebiasaan konsert yang mempunyai falsafahnya tersendiri, konsert ini sebahagiannya adalah perjalanan seninya yang dipersembahkan menerusi lagu.

"Tapi pemilihan lagu-lagunya adalah alam saya. Lagunya memberi makna dalam setiap perjalanan kehidupan dan saya," jelas Nasir lagi.

Sempat juga saya bertanya apakah pada malam-malam persembahan dia terkenangkan arwah Loloq yang selama ini sentiasa berada di belakangnya? Atau mungkin mengharapkan dia ada bersama-sama di konsert itu, lambat dia menjawab.

"Ada... Rasa macam ada. Sebab kebanyakannya pun lagunya. Kalau dia ada dia pasti akan terlibat sama terutama daripada skrip," kata Nasir.

Tiada ulasan: