Ahad, Mac 29, 2009

Lagu Ya Papa curi perhatian

petikan Harian Metro 29 Mac 2009
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

TAHUN lalu, komposer dan penulis lirik yang menyertai Bengkel Cipta Ekspres (BCE) anjuran Music Authors Copyright Protection (MACP) berhadapan dengan cabaran untuk menghasilkan lagu berkonsep Muzik Irama Malaysia.

Tema itu diperkenalkan bagi mencari lagu bersesuaian untuk menerajui pembikinan, sekali gus diserapkan ke dalam album tradisional Datuk Siti Nurhaliza, Lentera Timur, yang baru saja dipasarkan, baru-baru ini.

Daripada 13 lagu yang diperdengarkan di pusat peranginan Residence Desa Lagoon, Port Dickson pada 16 Januari tahun lalu, semuanya lulus ujian apabila Siti memutuskan untuk menggunakan semua lagu berkenaan.

Namun, disebabkan beberapa masalah yang timbul akhirnya sembilan saja dimuatkan dalam Lentera Timur.

Dalam menampilkan kelainan tahun ini, BCE menggandingkan pencipta lagu baru dan lama untuk menghasilkan lagu dari himpunan 'genre' terkini.

Masih berlokasikan pusat peranginan sama, BEC diadakan selama empat hari bermula 23 hingga 26 Mac lalu.

Presiden MACP, Habsah Hassan berkata, bengkel itu adalah acara tahunan bagi memberi kebebasan kepada komposer dan penulis lirik yang bernaung di bawah badan perlindungan hak cipta itu berkarya mengikut ruang lingkup dan konsep ditetapkan.

Katanya, pada penganjuran kali kelima itu lebih 20 ahli MACP terdiri daripada pencipta, penulis lirik dan penyusun muzik terkemuka hadir manakala M Nasir, Aidit Alfian dan Alfa Booty antara individu berpengalaman dalam bidang muzik yang turut terbabit dalam memberi ceramah sekali gus memantau pertandingan BCE.

"Ada sedikit perbezaan tahun ini apabila komuniti MACP memutuskan untuk menggandingkan komposer atau penulis lirik baru dengan yang lama.

"Mereka dibahagikan kepada 10 kumpulan di mana setiap kumpulan bergabung tenaga menghasilkan lagu baru berkonsepkan muzik terkini. Setiap kumpulan diberi masa tiga hari bermula 23 Mac, siap dengan penyusunan muzik dan lirik.

"Selepas lagu itu siap, komposer dan penulis lirik akan memperdengarkan lagu mereka kepada khalayak yang terdiri daripada komposer serta wartawan sebagaimana dapat dilihat hari ini. Dengan cara ini, diharap dapat terus menjana hasil kerja yang hebat," katanya.

Habsah yang mesra dengan panggilan Kak Chah berkata, gabungan orang baru dan lama sebagai satu cara mengeratkan silaturahim antara orang muda dengan mereka yang berpengalaman.

"Bak kata orang tua-tua, tidak ada yang lama masakan ada baru. Maka dengan itu kami gabungkan dua generasi ini dalam satu kumpulan.

"Selain itu, program ini bertujuan mengenengahkan pelapis baru dalam industri dan mereka yang layak menyertai bengkel ini dinilai berdasarkan sumbangan dan keaktifan mereka mencipta lagu," katanya.

Difahamkan, semua lagu yang dicipta pada bengkel itu disimpan komposer dan terpulang kepada mereka memberikan lagu itu kepada mana-mana artis dan syarikat rakaman.

Terdapat 10 kumpulan melakukan persembahan malam itu, A.M dianggotai Along Exists selaku pencipta lagu manakala Lew Mable (penulis lirik). Mereka mempersembahkan lagu Biarkan Kita Berdua dan Terasa.

Kumpulan Ada Orang Kisah? dianggotai Hafiz Hamidun dan Royce Sa'ayan menyampaikan lagu Cinta Terduga dan Kapal Satu Nakhoda Dua.

Hafiz Hamidun berkata, tugasan kali ini agak mencabar kerana dia terpaksa menghasilkan lagu rock bagi kesesuaian vokal Royce.

"Jika lagu berkonsepkan muzik sejagat, mungkin tidak begitu sukar kerana sudah menjadi makanan saya, tetapi untuk genre rock memang susah sikit apatah lagi hanya diberi tiga hari untuk menyiapkannya.

"Tetapi saya gembira dapat menimba pengalaman baru ini dan berganding dengan Royce yang punya banyak idea.

"Kapal Satu Nakhoda Dua juga istimewa bagi saya kerana muziknya berunsurkan elemen Timur Tengah dan dangdut yang diilhamkan dari bunyi-bunyian unggas serta laut tatkala asyik berlatih," katanya.

Manakala Badhisham (pencipta lagu) dan Ash Bau (penulis lirik) yang menamakan kumpulan mereka Bad Ash membawa lagu Kembalikan Sentora dan Terbiasa.

Niat Ensun yang menampilkan Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussein dan pencipta lirik terkenal, Hairul Anuar Harun menyerlah dengan lagu Ya Papa.

Shazzy dan Alim Times yang mewakili Nampak Hebat bergandingan dengan Nurfatima sebagai penulis lirik mempertaruhkan lagu Toksik yang mempunyai unsur-unsur hip hop dan rock.

Sementara Marlin dan Mael yang mewakili kumpulan Tisu Tandas Sudah Habis menghasilkan dua lagu, Bukan Lagi Untuk Mu (slow rock) dan Tisu Tandas Sudah Habis berentak 'up-beat' yang disampaikan Marlin dan Abot.

Nur Fatima yang paling banyak menyumbangkan suara dan liriknya untuk acara itu turut berganding bahu dengan Tony Spider menerusi lagu Kedatangan Mu Tak Ku Alu dan Sedarkah.

Manakala peserta termuda, Sam dari kumpulan Bunkface gembira digandingkan dengan komposer dan pemuzik berpengalaman seperti Musa.

Menamakan kumpulan sebagai Lapd, mereka menghasilkan lagu Percaya dan Legasi yang liriknya ditulis Musa sementara Sam selaku pencipta lagu.

Kumpulan Pariz yang menggandingkan Pam Yuen dan Mohariz Yaakup menghasilkan satu lagu, Cinta Aku Dan Kamu.

Persembahan dimulakan jam 9 malam dan berakhir 12 tengah malam itu diakhiri dengan persembahan Damian Mikhail, Megat Acap dan Rudeboy yang mempersembahkan lagu Seketika.

Komposer dan penghibur dihormati, M Nasir dilantik sebagai seorang penceramah mengakui ada beberapa lagu yang menambat hatinya kerana komposisi dan penggunaan lirik seimbang.

"Namun untuk pertama kali kita dengar, tetapi berjaya menangkap telinga saya adalah Ya Papa. Komposisi muziknya menarik, segar, ada keaslian dan ringkas tanpa mengenepikan keindahan lirik.

"Kisahnya jelas, terdapat mesej dan kesedaran. Lirik ditulis bukan mengikut sedap rasa, tetapi haruslah ada cerita dan seninya.

"Saya juga menyukai lagu ciptaan Tony dan Nurfatima, cuma muziknya sedikit tipikal. Hafiz Hamidun dan Royce Sa'ayan juga menarik perhatian saya dengan lagu Kapal Satu Nakhoda Dua," katanya.

Sementara itu, komposer berpengalaman lain turut tertarik dengan Ya Papa.

Kata penulis lirik Ya Papa, Hairul Anuar, dia cuba mengelak menulis lirik berunsurkan cinta.

Katanya, ilham menghasilkan lirik Ya Papa datang apabila melihat masyarakat atau anak muda sekarang tidak lagi menghormati orang tua.

"Ada cerita sedih di sebaliknya. Ayah saya seorang buta dan dia menjadi begitu sejak tiga tahun lalu akibat diabetes yang memberi kesan pada matanya.

"Sekarang ini dia hanya boleh bercakap. Seringkali saya teringat masa kecil-kecil dan muda dulu kata bapa anak-anak tidak mahu dengar.

"Tapi apabila keadaan sudah sakit, saya mula sedar dan lebih menghargai hidup selain percaya bahawa kata-katanya itu adalah satu keramat," katanya.

Sementara itu, Taja yang menang Anugerah Juara Lagu ke-23 menerusi lagu Lagu Untukmu, cukup terharu dengan karya sentuhan penulis lirik disegani ramai itu.

Katanya, acara seperti ini perlu diteruskan kerana ia bukan sekadar program yang menguji minda dan ketangkasan dalam pembikinan lagu, bahkan mengeratkan silaturahim antara karyawan baru dan lama.

"Program seperti ini penting untuk karier saya sendiri kerana berpeluang menimba ilmu dan bertukar buah fikiran dengan individu yang berpengalaman dalam bidang muzik.

"Jujur saya katakan, sewaktu tiba di sini, hanya beberapa kerat saja yang saya kenal, tetapi tiga hari melewati bengkel ini memberi peluang kepada saya serta peserta lain mengenali individu berpengaruh ini secara dekat," katanya.

Tiada ulasan: