Isnin, Mac 16, 2009

Ceburi perniagaan berkaitan seni

petikan Harian Metro 16 Mac 2009
Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

DALAM usaha membantu karyawan seni menceburi bidang perniagaan berkaitan industri hiburan, sekumpulan pemuzik dan komposer tanah air sepakat menubuhkan Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopim).

Satu mesyuarat agung permulaan diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, 5 Mac lalu untuk melaksanakan lapan agenda utama iaitu pelantikan pengerusi mesyuarat, mendapatkan persetujuan menubuhkan koperasi daripada yang hadir, mendapatkan persetujuan ke atas Undang-undang Kecil Koperasi dan mendapatkan persetujuan mendaftarkan koperasi.

Agenda lain, mendapatkan persetujuan ke atas Belanjawan Koperasi mendapatkan persetujuan ke atas Had Maksima Keterhutangan Koperasi, mendapatkan persetujuan ke atas pelantikan panel Juru Audit Luar iaitu dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Sanusi & Associates serta mendapatkan persetujuan ke atas pelantikan anggota lembaga pengarah Koperasi (sembilan anggota lembaga dan seorang untuk menandatangani Undang-undang Kecil Koperasi.

Ia dihadiri lebih 60 pemuzik dan komposer tempatan terutama dari kalangan ahli Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Muzik (Music Authors' Copyright Protection/MACP. Antaranya, M Nasir, Johan Nawawi, Johari Teh, Amran Omar, Helen Yap, Tam Spider,

Presiden MACP, Habsah Hassan, berkata idea menubuhkan koperasi artis itu muncul dari kalangan karyawan seni yang melihat ramai orang di luar industri (disifatkan sebagai parasit) yang mengaut keuntungan atas penat lelah insan seni memperjuangkan industri seni.

Katanya, tidak cukup ancaman lanun cetak rompak, pihak luar juga mengaut keuntungan melalui jualan muat turun lagu dan pelbagai aktiviti menguntungkan membabitkan karya dan insan seni itu sendiri.

"Jadi mengapa tidak semua keuntungan itu dinikmati karyawan seni itu sendiri dengan membabitkan diri dalam perniagaan seperti itu. Perkara ini diluahkan ahli dalam mesyuarat tetapi MACP tidak boleh membabitkan diri dalam aktiviti berasaskan keuntungan.

"Apabila difikirkan semula, siapa yang akan menolong orang dalam industri kalau bukan orang dalam industri itu sendiri. Bagi melaksanakan projek ini, ia perlu bergerak sendiri dengan menubuhkan satu badan dinamakan Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopim).

"Dari situ, kita meminta pandangan dan pendapat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehinggalah sampai ke tahap mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan.

"Antara lain, ia bakal menjadi medan penggiat seni menjalankan perniagaan berkaitan industri seni sekali gus membantu menambahkan pendapatan terutama ketika berhadapan kegawatan ekonomi.

"Antaranya perniagaan muat turun lagu, jualan melalui Internet kerana kita mempunyai ahli yang pakar dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) seperti Kamal Ishak dan Johan Nawawi serta pelbagai perniagaan lain yang akan diputuskan nanti.

"Kami mengundang karyawan seni untuk menghadiri mesyuarat agung penubuhan untuk melaksanakan lapan agenda khusus. Alhamdulillah, perjumpaan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada karyawan kita walaupun tidak kesemuanya hadir.

"Koperasi ini terbuka kepada semua karyawan seni tanah air dan setiap ahli dikenakan yuran RM20 dan turut menawarkan saham bergantung kepada kemampuan ahli dengan pelaburan minimum RM200," katanya.

Bagi pemilihan Anggota Lembaga Koperasi, mereka yang dipilih ialah Johan Nawawi, Ahmad Kamal Ishak, Johari Teh, Habsah Hassan, Amran Omar, Raja Iskandar, M Nasir, Chan Mui Lan, Helen Yap serta Roslan Mamat sebagai anggota kesepuluh untuk menandatangani Undang-undang Kecil Koperasi.

Terlebih dahulu, hadirin mendengar taklimat daripada pengerusi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad, Mohd Said Mohd Kadir, Bahagian Ehwal Ekonomi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Chan Won Wah serta Pro-tem Komiti Kopim, Johan Nawawi.

Selepas ini, Kopim akan didaftarkan secepat mungkin dan kini menyiapkan dan menyusun dengan teliti segala dokumen diperlukan supaya tidak berhadapan masalah apabila membuat permohonan.

Dalam pada itu, Habsah meluahkan rasa terkilannya atas pemergian penyanyi dan komposer Zubir Ali ke rahmatullah pada 6 Mac lalu kerana menjadi antara orang penting untuk melihat usaha Kopim dapat dijayakan.

"Arwah mempersembahkan modul koperasi Universiti Malaya sebagai contoh untuk kita memulakan langkah ini dan yakin ia juga boleh memberi pendapatan tambahan kepada karyawan seni. Bagaimanapun sehari selepas mesyuarat agung permulaan Kopim diadakan, arwah lebih dulu dijemput Ilahi," katanya

Tiada ulasan: