Khamis, Ogos 13, 1998
Apabila irama terhenti seketika
HIDUPNYA penuh berirama. Dia memujuk dengan irama, berhujah dengan irama dan marah juga dengan irama. Tetapi pada senja Sabtu lalu, iramanya semacam terhenti. Sepi dan hening menyambut tetamu yang datang juga tanpa banyak bersuara.
Awal malam itu bermulalah imbasan warna pudar lagi menyayukan. Cuma rintik-rintik hujan dan halaman yang basah menggantikan irama yang terhenti itu.
Tentunya irama ini tidak sama dengan sebelumnya yang melahirkan Mentera Semerah Padi, Canggung Mendonan, Anak-Anak Kita, Tanya Sama Hud Hud atau Bonda.
Pola iramanya yang dianggap menerobos hukum-hakam muzik yang lapuk sering dipertikaikan. Tetapi pada masa yang sama memikat banyak orang untuk mengamati irama daripada getaran jiwa seninya.
Demikian M. Nasir yang menghadapi satu kehilangan besar dalam hidupnya. Isterinya, Allahyarham Junainah Johari yang meninggal dunia petang Sabtu lalu ketika M. Nasir berada di ambang kejayaan dan kegemilangan.
Luncai Emas, syarikat rakaman dan studio rakaman di Sungai Buluh membuktikan visi Junainah dan M. Nasir mengubah nasib industri muzik tempatan.
Sebenarnya tidak banyak syarikat rakaman bumiputera yang berjaya dan berpengaruh seperti Luncai Emas.
Senja itu, pada wajah anak-anak berlima yang bermata jernih banyak meruntun air mata saudara dan rakan yang berkunjung dan mengucapkan takziah.
Demikian jugalah sepinya isyarat sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga; anak lelaki dan perempuan, sebuah rumah, kehidupan yang bahagia dan mampu berkarya dengan selesa.
M. Nasir dan Junainah memang mengimpikan anak perempuan sebagai melengkapkan keluarga mereka.
Lalu kehadiran Nilam Sari berusia tiga bulan terlalu membawa erti.
Allahyarham Junainah penyanyi Ideal Sisters yang meninggal dunia petang itu semacam menyentak seluruh irama M. Nasir. Selain isteri, Junainah adalah orang yang sentiasa di sisi M. Nasir dalam apa juga keadaan; manis dan pahit. Tenang dan gelora.
Allahyarham sentiasa di sisi pentas apabila M. Nasir muncul dalam Konsert Akar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tiga tahun lalu.
Malah ikut bangun apabila M. Nasir dihempap kontroversi yang paling getir dalam kariernya dua tahun lalu. Itulah wanita bernama Junainah.
Junainah menjadi penting dalam hidup M. Nasir bukan kerana dia penyanyi Ideal Sisters yang popular akhir 70-an. Allahyarham penting kerana menjadi sebahagian daripada proses kreatif karya-karya terbaik yang pernah dilahirkan oleh seniman ini.
Mereka mempunyai lima anak; Ilham, Yassin, Hidayat, Syafie dan Nilam Sari. Mereka juga banyak menyumbang kepada penghasilan irama yang menjadi penghantar buah fikiran M. Nasir.
Memang benar, manusia ada persamaan dalam sekian banyak perbezaan dan jurang. Peristiwa pilu yang menimpa M. Nasir dapat dirasakan oleh semua. Melihat Nilam Sari yang tidak tahu apa-apa tentang kehilangan ibunya, siapa yang dapat menahan daripada ikut sebak di dada?
Perlu diingat, seniman juga manusia yang mempunyai perasaan seperti orang lain. Kehilangan ini bukan main-main. Bukan gimik yang menjadi sebahagian daripada tradisi budaya pop kita.
Tidak semua kehilangan itu menjadi begitu sepi lagi menyayukan. Dan kematian pula bukan suatu yang luar biasa. Tetapi pemergian Junainah begitu menyentuh dan mengharukan. Kalau mata yang memandang terasa sebaknya, apa lagi M. Nasir yang setiap detik melihat mata jernih mata anak-anak tanpa ibu di sisi mereka.
Perasaan ini membuktikan manusia dihubungkan oleh tali perikemanusiaan yang sama; dapat ikut merasa dari jiwa yang berbeza. Lalu kesayuan banyak orang pada majlis menziarahi Allahyarham Junainah adalah kelangsungan keutuhan kemanusiaan antara kita. Kita sebenarnya mengerti dan merasai apa yang orang lain rasa.
Tetapi tanpa bicara dan tanpa irama juga manusia boleh mencipta suasana yang dimengertikan oleh semua orang.
Kunjungan ke rumah M. Nasir di luar waktu tugas nampaknya lebih bermakna untuk menyelami kejernihan di kelopak mata seorang seniman dalam mendepani saat-saat segetir ini.
Biasanya dia diselubungi keriangan. Irama yang dilahirkan menghiburkan orang selain mencubit dalam kemanisan.
Dalam perjalanan pulang, saya teringat pada sebuah kehilangan setelah lengkapnya sebuah keluarga, ada anak lelaki dan perempuan, rumah dan kedamaian.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSEIN
Isnin, Ogos 10, 1998
Pemergian tragis Junainah Johari
Oleh Hardi Effendi Yaacob

INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan berita kematian bekas anggota Ideal Sisters, Junainah Johari, 36, yang juga isteri kepada seniman terkenal, M Nasir, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang, 8 Ogos 1998, akibat penyakit lelah dihidapinya.
Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Nana, diserang penyakit itu kira-kira jam 10 pagi beberapa hari sebelum kematiannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan tidak sedar diri sejam kemudian.
Beliau kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya, namun sehingga menghembuskan nafas terakhirnya, arwah masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Lebih menyedihkan, Allahyarham masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak bongsunya, Nur Nilam Sari, yang ketika ibunya meninggal dunia, baru berusia dua bulan.
Selain Nur Nilam Sari yang juga satu-satunya cahaya mata perempuan Nana dan Nasir, mereka turut mempunyai empat anak lelaki - Ilham, Yasin, Mohd Hidayat dam Shafie - yang ketika itu berusia dalam lingkungan 3 hingga 13 tahun ketika itu.
Dilahirkan di Singapura, Allahyarham dibesarkan di Kampung Kembangan, Singapura sehinggalah beliau berkahwin dengan komposer dan penyanyi terkenal itu pada 12 September 1981
nota kaki: Petikan asal berkenaan peristiwa ini tiada dalam simpanan, jadi petikan dari tahun 2008 ini sebagai gantinya.
Ahad, Jun 21, 1998
Anak seni yang sukar ditemui
Kata teman itu lagi, sukarnya 'membaca' diri M. Nasir samalah seperti payahnya menterjemahkan lukisan-luki-san abstrak beliau. Segalanya menuntut satu renungan yang mendalam sama seperti karya seni abstrak artis itu yang banyak menimbulkan persoalan - segalanya perlu 'dilihat' dari mata hati dan akal.
Dan sewaktu Mingguan Malaysia mengunjungi M. Nasir di kediamannya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buluh, Selangor untuk merakamkan hobi beliau baru-baru ini, M. Nasir hanya mampu tertawa ketika kenyataan itu dipanjangkan kepadanya.
''Saya akui bahawa sebuah karya seni hakikatnya adalah gambaran pengalaman manusia di alam maya ini, yang dicurahkan dengan segala yang tersirat, menggunakan komposisi, warna, imej dan ruang sebagai bahasa mereka,'' kata M. Nasir sambil menyelak sehelai demi sehelai rahsia hidupnya.
Ramai yang mengenali M. Nasir sebagai penerbit, pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi dan pelakon.
Mungkin ramai yang tahu bapa kepada lima cahaya mata ini, Mohd. Ilham, Mohd. Yassin, Mohd. Hidayat, Mohd. Shafie dan Nurnilamsari memiliki bakat sebagai seorang pengarah.
Tetapi sebelum 'menjadi' semua itu, M. Nasir sebenarnya adalah pelukis sepenuh masa dan pada hari ini minat itu masih terus menebal dalam dirinya.
Menyingkap zaman lalunya, M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir berkata, dia menjalani zaman kanak-kanaknya di Bukit Panjang, Singapura.
Anak keempat daripada sembilan adik-beradik ini yang lahir pada 4 Julai 1957 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Kerajaan Bukit Panjang sebelum melanjutkan pelajarannya ke Vocational Institute Boys Town.
Dia kemudian menyambung pendidikan di Nanyang Academy Of Fine Arts, Singapura.
Di sinilah, M. Nasir disogokkan dengan segala bentuk seni dari Barat terutamanya hasil karya pelukis tersohor Leonardo Da Vinci sehingga beliau mendapat Diploma Seni Halus (Fine Arts).
''Saya tidak akan melukis hanya sekadar diajak berpa-meran sebaliknya ada yang lebih menggoda atau di sinilah kerinduan sekali gus tanggungjawab.
''Seperti Leonardo Da Vinci, saya berasa manusia tidak terus menjadi sebaliknya ia bertolak daripada kebodohannya yang tulus,'' akuinya jujur.
Pengamatannya yang mendalam terhadap karya-karya pelukis kelahiran Itali itu telah memberi inspirasi kepada M. Nasir untuk mencipta gaya dan teknik yang tersendiri. Tulen dan matang.
Menyuluh karya beliau, ternyata lukisan-lukisan M. Nasir tidak menekankan nilai-nilai moral tetapi penerimaan sepenuhnya dari penghayatan yang datang dari dalam diri orang yang melihatnya.
Dan ketika membicarakan soal kanvas dan warna, M. Nasir menjelaskan, pelukis sepertinya tidak hanya me-mainkan warna dan garis yang kasar mata.
Mainan garis di atas kertas dan kanvas atau sapuan warna bukan hanya sekadar palitan spontan atau tiba-tiba, katanya.
''Sebaliknya ada yang mengundang saya untuk berbicara lebih dekat dan akrab pada kertas dan kanvas,'' jelasnya.
Katanya warna tidak penting di peringkat dasar kerana bagi beliau 'hidup kita memang penuh dengan warna'.
Apa yang lebih jelas, kata M. Nasir, selagi beliau diusik oleh alam dalam diri, selagi itu, dia akan dijemput dengan keinginan untuk meluah dan melontarkan apa saja yang terpendam di dalam sanubarinya ke atas kertas dan kanvas.
M. Nasir memulakan kerjaya dalam bidang muzik dengan membabitkan diri sebagai penulis lirik. Pada peringkat awal iaitu sekitar tahun 1970-an, dia banyak menulis lirik secara sambilan tetapi kebanyakan liriknya dirakam oleh kumpulan Alleycats, Flybaits dan Yunizar Hussein.
Sewaktu berusia 23 tahun, M. Nasir mula beralih ke bidang seni suara dan dia pernah merakamkan album secara solo. Kaset pertamanya berjudul Untuk Pecinta Seni dan dia menggunakan nama Mohamed M.N ketika itu.
Selain melukis, M. Nasir yang pernah terjun ke layar perak pada tahun 1986 ini sebenarnya juga minat dengan seni dekorasi.
''Saya berkongsi minat yang sama dengan Junainah dan yang pasti kami mengetengahkan konsep perabot yang bercirikan artistik,'' katanya.
Memasuki sejenak ke ruang rimba belantara album kompilasi terbaru M. Nasir berjudul Terbaik M. Nasir, kita bakal bertemu dengan satu 'lorong' yang mendekatkan manusia dengan pencipta-Nya.
Kelainan dua lagu iaitu Kias Fansuri dan Andalusia dalam album kompilasi yang memuatkan 12 lagu ini, sesungguhnya memberi lonjakan baru kepada penampilan M. Nasir.
''Ketika membuat lagu untuk diri sendiri saya lebih gemar membuat kajian, ada makna yang tersurat dan tersirat dan Kias Fansuri harus dihayati pendengar terutama maksud bait liriknya,'' kata M. Nasir.
Lagu itu dikatakan simbol perjuangan tokoh tasawuf, ulama dan penyair terkenal, Hamzah Fansuri pada awal abad ke-18, ketika kegemilangan kerajaan Islam Acheh.
Kias Fansuri sesungguhnya menyelitkan falsafah kehidupan manusia yang dekat dengan pencipta-Nya.
Sekali gus lagu ini sebenarnya menyorot cara pemikiran M. Nasir yang menjurus kepada soal manusia dan kemanusiaan serta hidup dan kehidupan. Manakala Andalusia menyorot keagungan tamadun Islam di Sepanyol.
Andalusia terserlah menerusi susunan muzik dengan rentak asli Melayu dan melodinya ala padang pasir, mana-kala lenggok vokal M. Nasir agak besar sedikit dan itulah kelainan kali ini.
Penggunaan alat muzik tradisional termasuk marwas dan barakas dengan vokal latar Jay Jay menambahkan kekuatan untuk lagu ciptaannya ini.
Menghayati lirik Kias Fansuri pula, peminat bukan sahaja menyedari akan perjuangan sufisme M. Nasir tetapi yang pasti dapat melihat M. Nasir sebagai seorang seniman yang hidup dengan perasaan, mempertajamkan perasaan, memperdalamkan perasaan serta meninggikan nilai perasaannya.
Tidak salah kalau dilabelkan M. Nasir sebagai seorang pemikir kerana lagunya dihasilkan selepas dia mendalami karya seperti Syeikh Hamzah dan kejujuran mungkin menjadi nadi kepada muzik genre M. Nasir.
''Secara realitinya, diri dan lagu saya tidak boleh ber-khayal, sebaliknya kalau mahu berkhayal saya cipta lagu untuk orang lain.
''Saya mahu album solo saya melambangkan diri sebenar saya, sebab itulah saya tidak berkhayal dalam album, sebaliknya mengajak orang lain berfikir,'' akuinya jujur.
Berbalik kepada soal lagu Kias Fansuri, Nasir menjelaskan, dia sudah lama meneliti karya Syeikh Hamzah dan bagi album kompilasi Terbaik M. Nasir yang dikeluarkan oleh BMG Music (M) Sdn. Bhd. itu, pendekatan kemelayuan tetap menjadi agenda utamanya.
Lagu sebelum ini yang turut dimuatkan dalam Terbaik M. Nasir ialah Bonda, Apokalips, Inang Pulau Kencana, Rajawali Terbang Tinggi, Tanya Sama itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Anak-Anak Kita, Gurindam Gu-nung Tahan, Tari Rimba Mistikal dan Mustika.
Kajian M. Nasir menerusi lagu sebenarnya banyak ke arah kemanusiaan, agama serta yang selalu dilaungkannya - Melayu ! Mood dan suara M. Nasir segar apabila soal Melayu dibangkitkan dan bagi beliau, walau banyak mana pun cuba dilakukan, Melayu yang diinginkannya belum juga kunjung tiba.
Ditanya, Melayu bagaimana sebenarnya yang diidam-kan, M. Nasir dengan tenang menjelaskan, ''Melayu yang idealisme dan yang penuh dengan perjuangan murni.''
Yang pasti, tema yang dihasilkan oleh M. Nasir meliputi segala-galanya dan tidak dapat disangkalkan bahawa lagu-lagu M. Nasir memikat sesiapa juga.
Buktinya, Mentera Semerah Padi memikat peminat rock, Bonda memikat kaum ibu, pemuda dengan Sentuhan Listrikmu dan kanak-kanak dengan lagu Anak-anak Kita.
Oleh: RUHAIDINI ABD. KADIR dan SAHARUDIN MUSTHAFA
Jumaat, Mei 29, 1998
Lagu M. Nasir ke pasaran luar negara
Ada beberapa penyanyi yang cuba menembusi pasaran luar negara menerusi lagu-lagu berbahasa Inggeris dan berentak moden. Malah banyak yang percaya bahasa Inggeris menjadi jambatan sekalipun sekian banyak penyanyi yang gagal mencapainya.
Tidak banyak penyanyi yang mempunyai keberanian luar biasa untuk membawa lagu-lagu bahasa Melayu dan rentak etnik ke luar negara. Mereka kebanyakkannya tidak yakin bahasa Melayu boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Tetapi M. Nasir percaya dan yakin lagu-lagu etnik boleh menembusi pasaran antarabangsa sekaligus memperkenalkan lagu-lagu yang mempunyai nilai kemelayuan ke pentas antarabangsa.
Dia melihat pasaran lagu-agu etnik Melayu mempunyai masa depan yang cerah di pasaran antarabangsa khususnya di Eropah dan Amerika.
Berdasarkan kepercayaan itu, penyanyi yang terkenal dengan konsep etnik itu sedang giat dalam pembikinan album berbentuk single yang berkonsep sedemikian.
M. Nasir bukan sahaja menggunakan sentuhannya malah turut mengundang pemuzik luar negara, iaitu Brad Parker untuk mencari kesesuaian.
Empat buah lagu yang dirakam untuk tujuan pengenalan kepada lagu-lagunya bagi pasaran luar ialah, Walid, Dalam, Senandung Melayuku dan sebuah lagu Inggeris berjudul I have A name.
''Tidak mustahil lagu-lagu saya diterima kerana muzik latin dari Sepanyol turut menjadi kegilaan peminat muzik di seluruh dunia,'' kata M. Nasir.
Dia juga tidak melihat bahasa sebagai satu halangan untuk lagu-lagu Melayu diketengahkan secara lebih meluas kerana muzik bersifat sejagat dan semua orang boleh menghayatinya.
Brad yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang muzik itu tampil bekerjasama dengan M.Nasir kerana yakin muzik yang dibawakan oleh penyanyi itu adalah sesuatu yang unik.
Sebagai mencerminkan lagu-lagu Melayu, lagu-lagu yang dimuatkan menampilkan muzik daripada alat tradisional gendang, rebana, gambus dengan sedikit sentuhan muzik moden.
Sementara itu album kompilasi lagu-lagu terbaik M.Nasir yang memuatkan dua lagu terbaru iaitu Kias Fansurti dan Andalusia kini mendapat sambutan.
Album tersebut telah mencecah jualan melebihi 20,000 unit dalam masa hampir sebulan dipasarkan. Itu adalah petanda baik dalam kemelesetan ekonomi yang dialami sekarang.
Sabtu, Februari 28, 1998
M Nasir - Brad Parker collaboration
Khamis, Februari 19, 1998
Perihal gagak yang malang
PUISI Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar yang ditulis pada tahun 1972 nampaknya masih relevan hingga hari ini. Secara mudah puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang itu sebagai reaksi terhadap satu operasi menembak gagak di Klang tahun yang sama.
Beberapa tahun lalu Usman mendeklamasi lagi puisinya dengan humor berbaur sinis. Dalam humor, Usman membawa imaginasi kepada tragedi gagak yang mati berselerakan.
Usman berjaya memberi kesan dramatik kepada tragedi itu. Ada gagak menjadi 'janda' dan tidak kurang anak gagak menjadi 'yatim piatu', ungkap Usman dengan nada yang sedikit pilu.
Beliau cuba membawa gagak keluar sudut pandangan biasa; hitam, huduh, jahat dan pengotor.
Puisi yang berupa surat ini bukan bertujuan membela gagak pada tragedi yang dilakukan oleh manusia. Pembunuhan 'beramai-ramai' terhadap masyarakat gagak ini adalah metafora untuk menilai kembali manusia dan kemanusiaan.
Tentunya menerusi Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, Usman mahu membawa kepada satu perbincangan dan hujah yang melampaui gagak sebagai gagak.
Banyak yang dianggap sebagai gagak oleh sesetengah pihak dan tindakan ke atas mereka selalunya tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan. Mereka tentunya tidak ada daya untuk melawan apa sahaja tindakan sekalipun di luar kewajaran.
Kerana itu bagi banyak orang, kalau bernasib malang, gagaklah namanya. Lalu tidak hairanlah kalau gagak sering menjadi ukuran darjat. Gagak itu adalah marhaen, hina, miskin atau apa sahaja yang setaraf dengan burung hitam pekat yang berkicau riang menjelang senja di ibu kota.
Gagak menjadi pilihan P. Ramlee yang merintis hiba dalam lagu Merak Kayangan.
Seperti kata P. Ramlee, ''Dikau umpama merak kayangan, rupamu cantik warna kilauan, sehelai bulu laksana berlian, segak dan gayamu membikin hati tertawan. Aku umpama gagak di rimba, rupaku buruk tidak sepadan.''
Demikianlah gagak menjadi lambang kedaifan seorang pemuda yang mencintai gadis bangsawan dalam lagu Merak Kayangan.
Tetapi M. Nasir akan mengubah status gagak yang diberikan oleh P. Ramlee. Khabarnya M. Nasir telah menyiapkan skrip filem bertajuk Gagak Kayangan yang bunyinya agak sinikal. Barangkali M. Nasir mahu berlaku adil kepada gagak.
Gagak terus diperkatakan kerana kejelekannya. Dan merak dijulang kerana kecantikan, keunikan dan yang lebih penting spesiesnya telah hampir pupus. Jadi ia lebih dihargai daripada gagak yang tidak punya apa-apa nilai.
Tragedi di Klang tahun 1972 berulang lagi baru-baru ini. Satu operasi menembak gagak dibuat secara besar-besaran di ibu kota. Rasionalnya tentulah gagak mengotorkan ibu kota sekalipun kekotoran itu bukan seratus peratus kerja gagak.
Selepas lebih suku abad Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar, gagak terus menerima cemuhan yang sama; huduh, jahat dan pengotor.
Tulisan ini bukanlah mahu membela kematian sekian banyak gagak tetapi sekadar melihat bagaimana manusia begitu mudah meletakkan kesalahan kepada yang tidak berdaya seperti gagak.
Kesedaran sivik warga kota ini masih boleh dipersoalkan. Kesedaran mereka tentang kebersihan tempat awam dan persekitaran terbukti masih jauh daripada memuaskan. Lihat sahaja selepas konsert di Dataran Merdeka. Hasilnya sampah bertaburan di mana-mana.
Tetapi seperti biasa, manusia mempunyai kelebihan untuk meletak segala macam keburukan dan kekurangan diri kepada pihak lain. Gagak suka kepada kekotoran. Ini memang salah gagak. Tetapi manusia bertanggungjawab supaya persekitaran mereka tidak kotor.
Puisi Usman Awang ini boleh dijadikan renungan bersama. Tanpa menjadikan operasi menembak gagak di ibu kota sebagai desakan kuat dalam tulisan ini, Surat Masyarakat Gagak Kepada Datuk Bandar tentunya melampaui gagak yang sebenarnya.
Gagak tentunya hanya metafora Usman Awang untuk memperkatakan sesuatu supaya mudah difahami oleh kebanyakkan orang.
Bayangkan kalau tidak ada gagak untuk dipersalahkan kerana mengotorkan ibu kota, kepada siapa hendak diletakkan kesalahan itu?
Oleh: KU SEMAN KU HUSIN
Rabu, Januari 28, 1998
Gagak Kayangan belum ada heroin
KEGAWATAN ekonomi tidak dijadikan alasan oleh pengarah M. Nasir untuk menangguhkan pembikinan filem terbarunya berjudul Gagak Kayangan dan dia sebaliknya akan memulakan penggambaran sekitar April depan.
Namun, sebagai seorang pengusaha filem, dia turut mengambil kira faktor tersebut dan melakukan mengikut kemampuan diri apatah lagi filem itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd.
''Kalau mahu tunggu ekonomi pulih kita tidak tahu bila masanya, jadi saya akan tetap meneruskannya,'' kata M.Nasir mengenai filem yang bakal menampilkan Azhar Sulaiman, Norman Hakim dan Hattan itu.
Dia juga pada awalnya bercadang mengundang Awie sebagai salah seorang pelakon utama, namun kerana penyanyi yang membintangi filem Merah arahannya itu mempunyai komitmen lain, dia terpaksa membatalkannya.
Apabila ditanya mengenai pelakon wanita yang akan menyerikan filem itu M.Nasir berkata dia belum lagi bertemu dengan pelakon yang sesuai untuk membawakan watak utama. Ujibakat yang diadakan juga mengecewakannya.
''Apabila filem ini bakal dimulakan penggambaran, barulah saya boleh pastikan siapakah yang akan dipilih sebagai pelakon wanita utama,'' kata M.Nasir semasa ditemui baru-baru ini.
Apabila ditanya pendapatnya mengenai terdapatnya filem Melayu yang sukar mendapat tempat di kalangan penonton, M. Nasir berkata, ia adalah kerana terdapat sesuatu yang tidak sesuai pada filem itu.
''Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada filem itu membuatkan peminat tidak menerimanya.
''Banyak filem yang bagus, tetapi filem yang bagus juga mungkin terdapat sesuatu yang tidak kena dan ia tidak mendapat tempat di pawagam,'' ujar M.Nasir lagi.
Untuk itu, katanya, dia juga turut membuat penilaian daripada filem-filem lain agar apa yang akan dihasilkannya bakal mendapat tempat.
''Untuk menghasilkan filem yang kena dengan selera semua orang, saya harus menilai sama ada cerita itu bersesuaian atau sebaliknya dan saya tidak mahu membohongi diri saya sendiri,'' katanya.
Penilaian tersebut penting kerana terdapat banyak golongan dalam masyarakat yang mempunyai cara tersendiri untuk menilai sesebuah filem,'' katanya.
Menjadi tugas yang sukar bagi setiap penerbit untuk memenuhi kehendak semua pihak kerana terdapat sesetengah elemen yang tidak boleh berjalan serentak, katanya lagi.
Malah, kadang-kadang untuk menekankan sesuatu aspek membuatkan aspek lain terpaksa dikorbankan.
Sabtu, Disember 27, 1997
Ghazal untuk Rabiah Juara Lagu ke- AJL 12
Juara Lagu 1997 ialah pertandingan yang membariskan lagu-lagu Melayu untuk dinobatkan sebagai "Juara Lagu" bagi tahun 1997. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan telah diacarakan oleh Shamsul "Ghau Ghau" dan Anne Hamid.
Acara kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila komposer M. Nasir menang buat kali kedua Anugrah Juara Lagu dan lebih manis buat kali pertama dalam kategori Irama Malaysia dengan lagu "Ghazal Untuk Rabiah".
Kategori Balada
"Aku Cinta Padamu" : Siti Nurhaliza (Ly / Baiduri)
"Naluri" : Nora (Johan Nawawi)
"Seroja" : Kumpulan Search (M.Nasir / S. Amin Shahab)
"Senja Nan Merah" : Awie & Ziana Zain (Darwis (M. Nasir) / Seth (Loloq)
Kategori Irama Malaysia
"Ghazal Untuk Rabiah" : Jamal Abdillah & M.Nasir (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)
"Awallah Dondang" : Noraniza Idris (Hairul Anuar / Anak Sarawak)
"Kalau Mencari Teman" : Ziana Zain (Razman / Habsah Hassan)
"Hela Bubu Hela" : Kumpulan A to Z (Kiya / Saba)
Kategori Pop Rock
"Itik Gembo-gembo" : Kumpulan A to Z (Halen Yap / Lan)
"Apa Ku Rasa" : Shima (Fauzi Marzuki / Darwis)
"Biru Mata Hitamku" : Wings (Andi Rahman /Loloq (Rosli Khamis))
"Cemburu" : Kumpulan Kool (Zuraini)
Kemenangan
Juara Keseluruhan: "Ghazal Untuk Rabiah" - (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)
Juara Kategori:
Irama Malaysia: "Ghazal Untuk Rabiah" - (Chenderawasih / Jamal Abdillah / M.Nasir)
Balada: "Aku Cinta Padamu" (Ly / Baiduri / Siti Nurhaliza)
Pop Rock: "Itik Gembo-gembo" - (Halen Yap / Lan / A to Z)
Persembahan Terbaik: Siti Nurhaliza - "Aku Cinta Padamu"
Isnin, Disember 15, 1997
Seni Vokal : M.Nasir
S: Boleh saudara komen tentang vokal lagu 'Ghazal Untuk Rabiah'?
J: Saya dan Jamal mempunyai jenis vokal yang sama iaitu tenor. Lenggok iagu tersebut lebih kepada bunyi Arab. Jadi, saya memang berniat membuat bentuk seperti rentak Arab, walaupun kalau didengar ia macam berbunyi Spanish, tetapi ia lebih kepada Arab. Seperti rentak Spanish tiru Arab, dan dibawa kepada kita, dapatlah pengaruh joget.
S: Apakah pendapat saudara tentang penyanyi tanahair sepanjang saudara mencipta lagu dan menerbitkan album-album mereka?
J: Yang penting ialah tone...penyanyi kita yang popular sekarang kebanyakannya memang mempunyai tone tetapi secara teknikalnya tidaklah mahir sangat.
S: Jadi, maksud saudara, kenalah belajar teknik suara di kelas vokal?
J: Tetapi yang belajar vokal, kebanyakannya pula tidak punya tone pula. Tone ini adalah anugerah semulajadi. Sebab itulah bagi kebanyakan orang memang ada tone, tetapi tiada teknik yang betul, Seperti kebanyakan penyanyi rock kita menyanyi dengan teknik yang betul, tetapi disebabkan mereka mempunyai tone, kenalah muzik rock yang dibawakan. Bagi penyanyi pop pula banyak yang mempunyai tone, tetapi tidak ramai yang mempunyai tone yang betul-betul sedap, ada tu memang ada , tetapi dalam teknik menyanyi, tak banyak yang boleh jadi terbaik. Yakni, boleh menguasai lenggok, tuning, pernafasan dan ucapan, menyebutkan lirik tersebut dengan tepat dan berkesan.
S: Jadi, bagaimanapun mesti belajar dengan formal?
J : Dalam bidang muzik Melayu kita tidak ada guru yang benar-benar formal. Semua pandai-pandai,, sendiri sahaja. Kalau dalam bidang soprano, klasikal mungkin adalah. Maksud saya dalam corak muzik Melayu ini sendiri, tak ada.
S: Maksud saudara, tidak sesuai menyanyikan lagu Melayu dengan stail klasikal?
J: Tidak sesuai sangat. Kadang-kadang, muzik Melayu tidak sesuai dengan banyak vibrato. Memang masa dahulu, banyak orang yang menggunakan teknik klasikal seperti falsetto dan lain-lain. Sekarang ni orang dah tak berapa suka lagi.
S: Tetapi dalam R&B, teknik falsetto banyak digunakan?
J : Itu R&B bukan lagu Melayu. Kalau nak belajar, boleh. Tetapi kebanyakan penyanyi R&B di sini pun,tidak menguasai teknik-teknik tersebut juga. Dan tidak mempunyai soul, tiada kejiwaan atau kalau di sini, orang cakap feel atau penghayatan.
S: Bagaimana pula dengan vokal kumpulan-kumpuIan rock?
J: Rock pun pandai-pandai, sendiri, kebanyakannya tidak menguasai teknik-tekniknya. Dalam rock, mestilah kena pandai menyanyi, maknanya menguasai tune,tone memang dah ada pada diri masing-masing.Tetapi teknik rock, ada scalingnya yang tersendiri, dan kebanyakan orang tidak dapat menguasainya. la berpunca daripada blues, dan sebenarnya scale blues tidak ramai yang dapat menguasai. Sebab bila seseorang menyanyi rock, dia ikut lagunya sahaja. Tetapi kalau didengar dengan betul betul, kebanyakannya tidak menguasai yang 'purist' punyalah. Tetapi yang biasa memang boleh.
S: Maksud saudara, dalam rock, ada stail yang tersendiri?
J : Ada Ienggoknya.Seperti juga bila main gitar blues, begitu juga kita main gitar, itulah scale menyanyinya. Kalau boleh ikutkan seperti permainan gitar, itu baguslah.
S: Begitu juga dengan lagu Melayu, ada lenggoknya?
J : Begitu juga dengan lagu Melayu, seperti penyanyi menyanyikah lagu-lagu Melayu perlu mengetahui lenggok-lenggok Arab, Deli dan lain-lain. Seperti Noraniza Idris memang dapat menguasai lenggok- lagu Melayu dengan baik.Yang lain semua poppish(pop), mereka meniru lagu orang putih tetapi mereka cuba sesuaikan dalam lagu Melayu. Tetapi, lagu orang putih sendiri, mereka tak kuasai. Jadi, ditengah-tengahlah. Jadi, kita tengok muzik-muzik Melayu semuanya ditengah-tengah.
temubual berkaitan Seni Cipta Lagu
Ahad, Disember 07, 1997
'Muzik Melayu lebih kaya dari irama Barat'
petikan Berita Harian, 7 December 1997
Kelolaan Hanim Mohd Saleh
M.Nasir beri sebab kenapa tak rakam album Inggeris, beri tip cipta lagu sedap
"Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina."
— M. Nasir
KALAU ada yang pernah terfikir, mengapa pemuzik sehebat M.Nasir sejauh ini belum merakamkam album Inggeris, jawapannya sebenarnya ada pada lagu-lagu Melayu sendiri.
Kata seniman kelahiran Singapura itu, orang Melayu sepatutnya lebih berbangga menghasilkan muzik Melayu kerana kekayaan seninya yang tidak dapat ditandingi Barat.
"Muzik Melayu sebenarnya lebih kaya daripada muzik Barat. Kalau Barat hanya tertakluk kepada 12 bar Do Re Mi... dan seterusnya, bar untuk muzik Melayu tidak ada hadnya. Pengaruh budaya daripada puluhan daerah Timur membentuk muzik kita... ada pengaruh Latin, Arab, Hindustan dan Cina.
"Sebab itu kita kena kenal sejarah. Hanya pemuzik yang tahu akar umbinya akan dapat menghasilkan muzik yang tinggi nilai seninya," kata Nasir yang telah menghasilkan lebih 1,000 lagu sejak menceburi bidang muzik lebih 20 tahun lalu.
Nasir, menerusi sesi Bicara Karya anjuran Persatuan Karyawan Muzik Singapura dan Jamm Recording Studio, untuk pertama kali berkongsi pengalaman bagaimana menghasilkan lagu yang baik dan sedap di dengar.
Sesi tersebut dihadiri oleh penggemar muzik tanah air yang mahu berjinak-jinak dalam seni gubahan muzik dan penulisan lirik.
Jadi, bagaimana nak hasilkan muzik yang sedap?
Tidak ada formula, kata Nasir, tetapi pemuzik harus peka terhadap muzik sekitarnya.
Berdasarkan pengalaman beliau, kata Nasir, muzik paling laku di pasaran ialah muzik yang mudah gubahannya.
"Tetapi nak buat muzik yang mudah itulah yang susah. Kalau anda perhatikan lagu-lagu gubahan Allahyarham P. Ramlee dan Wandly Yazid, semuanya mudah susunannya. Tak bercelaru.
"Apa yang penting ialah kita tak boleh lokek keluarkan melodi," ujarnya.
Tambah Nasir, berdasarkan pemerhatiannya, orang yang terlalu banyak bermain alat-alat muzik elektronik seperti keyboard sukar mencipta lagu yang baik kerana mereka terbatas dengan bunyi-bunyian yang terdapat pada alat tersebut.
"Ini amat berbeza jika anda seorang penyanyi atau main muzik yang membolehkan anda menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan bunyi seperti gendang. Seorang penyanyi lebih tahu nada atau chord mana yang lebih sedap berbanding dengan pemuzik alat elektronik," kata beliau lagi.
Agak menarik perhatian apabila Nasir bersikap terbuka mengenai sikap penggubah muda yang terpengaruh dengan lagu-lagu yang sedia ada, lantas menghasilkan lagu seakan-akan satu 'ciplakan'.
"Tiru juga satu seni. Kita boleh pinjam satu melodi sebuah lagu dan kemudian kembangkan melodi itu kepada bentuk muzik kita sendiri.
"Dengan keadaan ribuan atau jutaan muzik yang dah ada di seluruh dunia, mustahil kalau kita kata melodi yang kita keluarkan adalah yang pertama kali diciptakan. Mana kita tahu orang Sepanyol, Arab atau Afrika dah buat? Yang penting, kita pelbagaikan irama itu," kata Nasir lagi.
Beliau juga menggesa pemuzik muda agar jangan cepat patah semangat jika lagu-lagu mereka kurang mendapat perhatian syarikat rakaman.
"Teruskan berkarya," katanya.
Kegiatan terkini
- Beliau sudah mula masuk Studio Ronggeng miliknya untuk rakaman album terbaru. Setakat ini, empat lagu telah dipilih untuk rakaman.
- Sedang bersiap menerbitkan filem kedua, Gagak Kayangan, yang menampilkan Awie dan kemungkinan, Erra Fazira. Penggambaran dijangka bermula selepas Hari Raya.
- Luncai Emas Sdn Bhd (syarikat milik Nasir) sedang mengatur konsert luar negara kedua, kali ini di Australia. Konsertnya di Royal Northern College of Music, Manchester, pada Mac lalu, mencapai kejayaan membanggakan.
- Nasir juga bakal mengeluarkan album empat artis berkumpulan My Pet Alien, D'Spider, Primary Sun dan Malaysian People. Mereka terpilih daripada uji bakat yang diadakan oleh Luncai Emas.
- Sedang dalam proses mengadun suara bagi album penyanyi Ruhil Amani Hussein dan Khatijah Ibrahim.
