Rabu, Oktober 01, 2025

CIPTA 3 mencipta sejarah tersendiri buat M Nasir

petikan Harian Metro 1 Oktober 2025

Wan Asrudi Wan Hasan  wanasr@hmetro.com.my

KONSERT DATO’M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, beri kepuasan kepada peminat.

Persembahan bertenaga dan menghiburkan penyanyi legenda Datuk M Nasir pada konsert DATO'M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock, di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu, bukan sekadar persembahan biasa.

M Nasir yang dikenali dengan gelaran sifu tampil dengan penuh aura menyampaikan naskhah yang menembusi sanubari ribuan peminat yang hadir menyaksikan konsert itu.

Sejak mempersembahkan konsert DATO' M.N45IR CIPTA, CIPTA 2 pada 2024 dan CIPTA RAYA April lalu, konsep persembahan yang ditampilkan berjaya menarik minat pelbagai latar usia.

Menurut M Nasir, konsert berkenaan sebahagian daripada cara mendedikasikan irama muzik terbabit kepada peminat.

"CIPTA 3 ini adalah satu label cinta iaitu kecintaan pada mereka yang menyanyi lagu rock yang saya buat dengan menyanyikan lagu terbabit. Saya pula cuba nyanyikan dengan cara saya. Terpulanglah pada penerimaan orang ramai.

"Ini adalah satu peluang atau anugerah kepada saya. Terima kasih bagi ruang kepada saya," katanya.

Pada usia 68 tahun, M Nasir tampil memulakan persembahan CIPTA 3 sekitar jam 9 malam dengan lagu medley Isi Atau Kulit, Musnah, Jerangkung, Dalam Almari diikuti lagu Pembakar Perasaan, Opera Hidup serta Apa Lagi.

Tampil bersahaja dan tidak terlalu 'rockers' dengan kemeja T putih berseluar hitam sambil memakai kain berjalur petak merah seperti gaya tartan 'Scottish'.

"Nak dapat imej ini pasukan Fatimah menciptakan skirt gaya 'Scottish' ini daripada kain pelekat merah," ujarnya ketika konsert itu.

Persembahan maestro muzik tanah air itu terbahagi kepada beberapa segmen. Suami kepada pelakon, Marlia Musa itu turut menyampaikan lagu popular beberapa artis dan kumpulan rock tanah air ciptaannya.

Beliau turut membawa penonton menelusuri kenangan irama rock 80an dan 90an bersama kumpulan Kembara apabila menyampaikan lagu seperti Impian Seorang Nelayan selain lagu medley Perjuangan, Hati Emas, Gerhana dan Duit Duit.

Konsert hampir tiga jam anjuran Icon Entertainment dan Etiqa sebagai rakan strategik utama itu menyaksikan M Nasir menyanyikan lagu popular lain seperti Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Kau Ratnaku, Apokalips, Aku Dah Bosan dan Gemuruh.

Tidak ketinggalan beberapa lagu yang dinyanyikan secara medley antaranya Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Pertama dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Kau Ratnaku, Hipokrasi serta menutup tirai dengan Pawana yang diberi sentuhan genre koplo.

M Nasir ketika ditemui selepas berakhirnya konsert itu meluahkan rasa bersyukur dikurniakan kesihatan baik ketika menjayakan persembahan itu.

"Syukur kerana saya boleh lagi menjayakan persembahan seperti di konsert ini. Saya tengok dan ikut perkembangan dunia muzik ini banyak kawan saya yang seusia dengan saya serta sama-sama menyanyi sejak dulu mereka dah tak boleh sampaikan lagu-lagu mereka rakamkan dengan baik.

"Tapi orang dahulu lain mereka struggel (bergelut). Kita sekarang berpeluang menjaga diri kita dengan pemakanan dan exercise (senaman) apa semua. Kita berpeluang itu lebih daripada orang dulu.

"Saya kira beruntung dapat menyanyikan. Saya menyanyikan lagu saya dengan 'key' yang sama tapi lagu orang lain nyanyi saya memang 'design' untuk suara begitu kerana kena sesuai dengan lagu." katanya.

Seperti yang dijanjikan M Nasir turut mengumumkan pemenang tiket bertuah yang menjadi milik Mirza Haikal pada konsert itu. Mirza membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson, topi keledar dan jaket tajaan Etiqa.

Sementara itu, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata pihaknya mempunyai beberapa perancangan untuk mengadakan konsert akan datang, namun semuanya bergantung kepada beberapa perkara.

"Insya-Allah, jika ada rezeki dan konsep yang tepat dengan sokongan semua pihak kita akan teruskan," katanya.

Tiada ulasan: