Sabtu, Oktober 04, 2025

Metamorfosis M Nasir Metamorfosis M Nasir

petikan Berita Harian 4 Oktober 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

Konsert Cipta 3 sekali gus membuktikan ia bukan sekadar persembahan pentas, tetapi dokumentasi perjalanan seni M Nasir sebagai komposer, penyanyi dan maestro muzik Malaysia. Foto NSTP/Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Empat siri konsert di bawah jenama Cipta yang digerakkan Datuk M Nasir sepanjang setahun menjadi bukti mutlak bahawa karyanya bukan sahaja malar segar, malah terus berakar kukuh di hati penonton dari generasi ke generasi.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, rangkaian konsert itu menyaksikan transformasi M Nasir daripada seorang seniman serius penuh falsafah kepada figura yang mampu berjenaka, melontar gurauan spontan dan berinteraksi dengan penonton secara mesra.

Malah, fesyen yang digayakan turut memperlihatkan sisi baharu M Nasir iaitu lebih terbuka, berani dan moden sekali gus menyuntik warna segar kepada perjalanan seninya yang tidak pernah statik.

Jika konsert Dato M N45IR Cipta, Dato M N46IR Cipta 2 dan Dato M N46IR Cipta Raya meraikan sisi berbeza seorang maestro, konsert Dato M N46IR Cipta 3 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu ibarat membawa penonton pulang ke akar seni seorang legenda.

Dengan konsep 'Malam Ini Gua Rock', ribuan peminat membanjiri lokasi berprestij itu. Peminat datang dengan satu tujuan, iaitu mengimbau kembali zaman keemasan 'rock kapak' yang tidak mungkin dipisahkan daripada sentuhan emas M Nasir sebagai komposer dan pencipta.

Setiap alunan bukan sekadar nostalgia, tetapi bagaikan mesin masa yang membawa penonton mengembara ke dekad 1980-an dan 1990-an.

Malam penuh energi itu memperlihatkan bagaimana muzik 'rock kapak' yang suatu ketika dahulu menguasai industri muzik, masih hidup segar dengan roh dan jiwa sama meskipun zaman sudah berganti.

Deretan lagu ikonik ciptaan M Nasir yang pernah melonjakkan nama kumpulan lagenda seperti Search dan Wings bergema di segenap ruang stadium.

Antara yang mencuri perhatian termasuk Isi Atau Kulit, Musnah, Jerangkung Dalam Almari, Pembakar Perasaan, Opera Hidup dan Gemuruh. Semuanya dipersembahkan dengan susunan muzik baharu, namun, masih mempertahankan roh rock kapak yang sejati.

Sorakan penonton tidak pernah putus. Ada yang berdiri, menghayun tangan, malah ramai yang menyanyi beramai-ramai hingga suasana bertukar menjadi seolah-olah satu kumpulan koir gergasi.

Lebih mengujakan, M Nasir tampil dengan sisi berbeza apabila lebih santai, bersahaja dan dekat dengan peminat. Gurau senda spontan dan interaksi mesra serta menambah warna kepada persembahan yang penuh emosi dan kenangan.

Ini terbukti ketika beliau berkongsi kisah fesyen ranggi yang digayakan malam itu iaitu kemeja putih, seluar hitam dipadankan dengan kain berjalur petak merah dan hitam ala lelaki Scotland.


M Nasir tampil dengan sisi berbeza apabila lebih santai, bersahaja dan dekat dengan peminat pada konsert di Axiata Arena, Sabtu lalu. Foto NSTP/Hazreen Mohamad

"Hendak dapat imej ini, pasukan Fatimah (penata gaya) menciptakan skirt gaya Scottish ini daripada beberapa helai kain pelekat merah," katanya berjenaka, mengundang tawa penonton.

Sepanjang tiga jam di pentas, jelas pesona M Nasir tidak terletak pada vokal buluh perindu atau gimik berlebihan. Rahsia besar Sang Pencinta itu ialah azimat seni yang tiada tandingan iaitu aura dan pesona yang tidak mampu ditiru sesiapa.

Pada usia 68 tahun, tenaganya masih menyala. M Nasir berdiri sebagai figura seni yang berbeza, membuktikan bahawa angka emas bukan alasan untuk kehilangan bisa di pentas.

Lebih istimewa, konsert anjuran Icon Entertainment itu diperkaya dengan visual memukau serta naratif yang tersusun rapi ketika pembukaan konsert serasi dengan konsep persembahan.

Paling mencuri tumpuan, apabila M Nasir muncul ala Harrison Ford dalam Indiana Jones iaitu imej pengembara penuh misteri. Namun, tidak lama kemudian, beliau bertukar wajah menjadi Hang Tuah bersama keris Taming Sari.

Perbandingan itu bukan sekadar gimik visual, tetapi simbol agung seorang pengembara seni yang akhirnya kembali ke akar budaya bangsa, sarat falsafah dan makna.

Diiringi sepuluh panglima muzik dan lima penyanyi latar, M Nasir memukau penonton dengan 31 lagu yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.

Antaranya Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku, Jiwa-Jiwa Luka, Rupa Tanpa Wajah, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Di Bayang Awan, Ukiran Jiwa, Meniti Titian Usang dan Kau Ratnaku.

Karya lain termasuk Saat Ku Idamkan, Gerhana, Impian Seorang Nelayan, Duit, Apokalips, Pawana dan akhirnya Sentuhan Listrikmu sebagai penutup.

"Konsert Cipta 3 ini satu penghormatan buat kumpulan rock yang pernah menyampaikan lagu saya. Dari dahulu, jiwa saya memang rock. Jadi, konsert ini peluang terbaik untuk mengekspresi diri dalam skala besar," katanya pada sidang media selepas persembahan.

Konsert Cipta 3 sekali gus membuktikan ia bukan sekadar persembahan pentas, tetapi dokumentasi perjalanan seni M Nasir sebagai komposer, penyanyi dan maestro muzik Malaysia.

Selepas empat dekad berkarya, beliau bukan sahaja menyatukan generasi lama dan baharu di bawah satu bumbung, tetapi juga menghidupkan semula nostalgia era keemasan rock kapak dengan nafas segar.

Lebih penting, transformasi M Nasir daripada figura serius kepada sosok santai, penuh humor dan berani mencuba gaya baharu menandakan evolusi seorang seniman yang sentiasa relevan dengan zaman.

Dengan kejayaan tiga edisi terdahulu, pastinya Cipta 4 seperti yang dibayangkan menjadi konsert paling dinantikan. Persoalannya, genre dan warna muzik apakah pula yang bakal diangkat oleh maestro agung ini pada persembahan seterusnya?

Tiada ulasan: