Sabtu, Oktober 04, 2025

JIWA ROCK OPERA HIDUP

Oleh: Saudagar Mimpi  yang melaporkan dari Axiata Arena, Bukit Jalil

REVIEW
KONSERT DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock 
Tarikh: Sabtu, 27 September 2025 
Lokasi: Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur


Malam minggu yang lalu, Axiata Arena Bukit Jalil bergema semula dengan muzik ciptaan sifu M Nasir. Konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock. Konsert yang membuktikan muzik rock tidak pernah mati dalam tubuh dan jiwa Datuk M. Nasir, mahupun di jiwa-jiwa peminat yang membanjiri arena.

Konsert anjuran Icon Entertainment ini (dengan Etiqa sebagai rakan strategik utama) dikatakan bukanlah penutup trilogi CIPTA, tetapi dalam masa yang sama, ia adalah kesinambungan perayaan muzik rock yang masih bernafas di Malaysia.

Sejak petang di Axiata Arena, beribu-ribu peminat rock “sejati” dan acah acah rock datang dengan dress code “Rock Cara Lu… Janji Rock”. Aku tengok ada yang berjaket kulit, seluar koyak, ber"jeans",  t-shirt rock, berbaju batik pun ada, semua hadir penuh semangat.

Petikan gitar Aznan menjadi signal frekuensi muzik rock konsert bermula. Sifu M. Nasir membuka pentas dengan muncul dari platform mini macam ‘watak hero Indiana Jones versi AI’.  Set lagu rock yang mencengkam perasaan seperti lagu Isi dan Kulit, Musnah, Jerangkung Dalam Almari,  Pembakar Perasaan dan Opera Hidup menyalakan api semangat untuk berkonsert.. Lagu rock yang diiringi pyro api pentas buat aku terasa bahang konsert secara harafiah. Kalau duduk depan lagilah terasa panasnya konsert ini.

Style sifu malam tu santai je, tak terlalu ranggi, tapi steady dengan kemeja-T putih, seluar hitam, dan yang paling ikonik — kain pelikat berwarna merah yang distailkan ala tartan Scottish. Kata Sifu, itu kerja Fatimah dengan konsep stailo pak haji!.

Berikut adalah ranking aku buat berdasarkan beberapa aspek konsert ini

RANKING ASPEK KONSERT

Setlist 🎸🎸🎸🎸


Padu! Walaupun 10 lagu terpaksa diketepikan daripada lebih 40 judul asal kerana nak pendekkan durasi, 32 lagu yang dipersembahkan (31 lagu + Sentuhan Listrikmu sebagai bonus) sangat komprehensif. Persembahan merangkumi rock 80an/90an, balada puitis, dan imbauan lagu lagu Kembara. Bayangkan kalau ada dimasukkan lagu ballad rock penting yang tiada dalam setlist iaitu lagu Sejati (angan angan aku jer ni - dengan penampilan Joe Branko) & ada lagu Nurnilam Sari aku akan terus bagi 5 🎸 sambil pejam sebelah mata!

Setlist mengikut turutan

Segment 1

Set Heavy Rock 

Medley

-Isi Atau Kulit (Search)

-Musnah (Search)

-Jerangkung Dalam Almari (Wings)

-Pembakar Perasaan (Search)

-Opera Hidup (Wings)

Apa Lagi


Segment 2

Laila Namamu Teratas (Search)

Srikandi Cintaku (Bloodshed)

Medley Kembara Seniman Jalanan

-Jiwa Jiwa Luka (Search)

-Rupa Tanpa Wajah (Kembara)


Segment 3

Medley Akustik 

- Pertama Dan Selamanya (Ariwatan)

-Rendang Tak Berbuah (Hattan)

-Mahligai Syahdu (Hattan)

-Falsafah Cinta

-Di Bayang Awan (Awie)

-Ukiran Jiwa (Awie)

-Meniti Titian Usang (Search)

Di Jalan Sesat

Medley

-Kau Ratnaku (Roy)

-Hipokrasi (Rahim Maarof)

Aku Dah Bosan (Amy)


Segment 4

Cinta Sepi (Search)

Saat Ku Idamkan (Amy)

Gemuruh (Search/Wings)


Segment 5

Impian Seorang Nelayan (Kembara)

Medley 

-Perjuangan (Kembara)

-Hati Emas (Kembara)

-Gerhana (Kembara)

-Duit (Kembara)

---- Cabutan Tiket Pemenang Harley Davidson 🎟️ ----

Penutup

Apokalips

Pawana (Search)

Bonus - Sentuhan Listrikmu


Atmosfera Konsert & Tenaga Peminat 🎸🎸🎸🎸🎸

Roh Rock Menjalar! Arena Axiata gegak gempita dengan sorakan dan singalong. Peminat hadir dengan dress code “Rock Cara Lu…”. Lagu lagu sing-along contohnya lagu Mahligai Syahdu, Rendang tak Berbuah memang buat satu dewan jadi sesi karaoke  tanda connection antara Sifu dan crowd memang power.

Stamina Persembahan Sifu & Kekuatan Gong 🎸🎸🎸🎸

M. Nasir pada usia 68 tahun menunjukkan persembahan yang masih bertenaga dan penuh aura. Ada masa beliau tak sempat habiskan lirik tapi sudah disambut nyanyian penonton yang menyanyi bersama. Beliau masih mampu bergerak cergas dan menyanyi dari depan pentas yang curam ke pentas utama tanpa masalah.

Gandingan pemuzik mantap dalam Gong memang tidak boleh dinafikan lagi. Keserasian mereka tidak dapat dinafikan – Aznan Alias (gitar),  Rafi Mohd (gitar) , Norman Abdullah (bass), Firdaus (keyboard), Eddie Slam (keyboard), Ujang (drum), Pa’ang dan Awe (perkusi), Mohar (seruling) serta penyanyi latar – Eja, Juanita, Sutan Yuaz, Awe Azran dan Widdy. Gandingan ini mewujudkan pengalaman yang tidak sekadar didengar, tetapi dirasakan


Konsep & Kejutan Pentas 🎸🎸🎸

Konsep rock sepenuhnya ini memang lain daripada siri CIPTA sebelumnya. Kemunculan awal dari platform mini di bawah pentas utama dan imej beliau dengan kain pelikat merah yang digayakan seperti tartan Scottish memang rare!

Konsep Rock dengan memasukkan elemen nusantara seperti gendang, tabla, perkusi, dan seruling dalam irama rock mungkin adalah trademark rock nusantara. Ini membuktikan beliau sentiasa mengevolusikan muziknya agar tidak statik, selaras dengan falsafah beliau untuk menusantarakan muzik dan menjadikannya lebih rugged. 

Lagu Kau Ratnaku yang asalnya untuk brader yang pakai slack diubah menjadi versi yang lebih rugged untuk yang pakai dungaree.  Muzik Sifu memang melangkaui genre!

Kejutan akhir bagaikan menjawab permintaan untuk dimasukkan lagu “Mari Berdangdut”, lagu rock penutup Pawana telah dikoplo-kan (dangdut rock Indonesia)! 

Ini satu yang tak dijangka untuk final act. Janji Dangdut….jadi layan je lah!

Bunyi, Pencahayaan & Visual 🎸🎸🎸🎸

Sound konsert kali ini ada masa best tapi ada masa seperti kurang “kick”. Contoh sound gitar semasa lagu heavy seperti Jerangkung Dalam Almari yang mana bunyi gitar kurang jelas,  mungkin juga sebab ada drone terbang atas kepala aku masa tu. Kuat juga bunyinya. Video kiri kanan pula ada masa kurang bercerita dalam konsert kali ini. Kalau ada solo gitar ke, solo keyboard ke sekali sekala zoom la kepada pemuzik Gong. Kami nak jugak tengok gitar hero dalam Gong! Rock dan gitar berpisah tiada brader!

Stage lighting pula patut diberi pujian, memang menarik dan spot on. Lihatlah warna bendera Palestine ini  sama seperti lampu di arena. Pyro juga agak sesuai dengan konsep. Stage graphic untuk lagu Rendang Tak Berbuah dengan backdrop pohon gergasi memang puitis dan mengagumkan.

Momentum Konsert 🎸🎸🎸

Memetik lontaran sifu diatas pentas semasa segmen ini, “konsert saya tak macam ini”, segmen cabutan bertuah Harley Davidson yang bernilai RM114,000 sedikit sebanyak mengganggu mood dan momentum konsert dan memakan masa yang agak lama.  Segmen cabutan bertuah motosikal Harley Davidson, walaupun gilang-gemilang dan menarik perhatian, ia sedikit sebanyak bagi aku  merencatkan klimaks emosi yang sedang dibina oleh segmen lagu-lagu Kembara (Impian Seorang Nelayan, Hati Emas, Gerhana, Duit). Dah elok-elok penonton nak beronggeng rock, tiba-tiba kena tengok lucky draw lama-lama, memang potong stim la brader. 

Gangguan kedua adalah  penjagaan paparan lirik (lyric prompter) ada masa kurang memuaskan, tersalah dan lambat  menyebabkan aku lihat Sifu dan peminat tercari-cari lirik beberapa kali. Walaupun melodi M. Nasir mudah lekat di kepala, peminat sendiri memerlukan prompter untuk lirik lagu yang begitu banyak. Terutama lagu lagu yang tak berapa nak hafal.  Ini perlu diperbaiki pada konsert akan datang.

ANALISIS JUMLAH DAN SENARAI LAGU (32 Judul)

Secara keseluruhan, Dato’ M. Nasir mempersembahkan 32 judul lagu (termasuk Sentuhan Listrikmu sebagai lagu bonus/tambahan). Konsert ini ternyata merupakan penghormatan dan terjemahan semula kepada muzik rock yang dihasilkan oleh beliau. Majoriti lagu untuk Cipta 3 datang dari album rock yang beliau cipta untuk kumpulan atau artis lain.

Karya Ciptaan untuk Artis Lain (Fokus Rock) 

21 lagu (65.6%)

Isi Atau Kulit (Search), Musnah (Search), Jerangkung Dalam Almari (Wings), Pembakar Perasaan (Search), Opera Hidup (Wings), Laila Namamu Teratas (Search), Srikandi Cintaku (Bloodshed), Jiwa Jiwa Luka (Search), Pertama Dan Selamanya (Ariwatan), Rendang Tak Berbuah (Hattan), Mahligai Syahdu (Hattan), Di Bayang Awan (Awie), Ukiran Jiwa (Awie), Meniti Titian Usang (Search), Kau Ratnaku (Roy), Hipokrasi (Rahim Maarof), Aku Dah Bosan (Amy), Cinta Sepi (Search), Saat Ku Idamkan (Amy), Gemuruh (Search/Wings), Pawana (Search).

Dari Album Solo M. Nasir

5 lagu  (15.6%)

Apa Lagi (Sang Pencinta), Falsafah Cinta (S.O.L.O), Di Jalan Sesat (Saudagar Mimpi), Apokalips (Saudagar Mimpi), Sentuhan Listrikmu (Canggung Mendonan)

Dari Album Kembara

6 lagu (18.8%)

Rupa Tanpa Wajah, Impian Seorang Nelayan, Perjuangan, Hati Emas, Gerhana, Duit.

Lagu Hipokrasi (Rahim Maarof), Pertama Dan Selamanya (Ariwatan) tiada dalam setlist yang dikongsi dalam promosi konsert. Rasanya lagu ini asing bagi kebanyakan penonton yang menyebabkan graf momentum konsert+karaoke ini menjadi landai seketika. 

Konsert ini berbeza daripada siri CIPTA sebelumnya, dengan fokus berat kepada karya-karya rock ciptaan untuk band-band terkenal, yang menjadikan persembahan ini umpama 'keraian dalam dunia rock'.

Konsert ditutup dengan penuh simbolik melalui lagu Apokalips dan diikuti dengan kejutan Pawana versi dangdut koplo (dangdut rock Indonesia). 


LEGASI JENAMA CIPTA

CIPTA tidak berakhir dengan Dato’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock. Konsert ini merupakan testimoni kepada M. Nasir sebagai sifu dan tukang tempa penting yang membentuk acuan muzik rock negara.

Difahamkan Icon Entertainment, Iman Tang, telah merancang siri konsert seterusnya, iaitu N47IR dan N48IR. Perancangan ini akan memuncak dengan konsert terbesar dan terakhir pada ulang tahun ke-50 M.Nasir dalam bidang seni. 

“Perjalanan seni saya ada naik dan turun. Ia bergelombang. Perjalanan secara keseluruhan itu memang indah kerana ia ciptaan Tuhan. Dalam sengsara pun ada keindahannya; ada banyak drama yang harus saya tempuhi.” – M. Nasir

Bagaikan pentas opera, perjalanan seni muzik seorang seniman seperti beliau bukan sekadar untuk menghibur, tetapi untuk memberi makna pada setiap degup karya ciptaanya. Selagi ada suara, jiwa dan semangat, legasinya yang akan terus menyala, selagi ada generasi yang tidak membiarkan apinya padam.

Tiada ulasan: