Isnin, April 14, 2025

M Nasir mahu konsert raya jadi budaya baharu

petikan Berita Harian 14 April 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my


M Nasir membawa 20 lagu termasuk tiga lagu raya klasik yang mengimbau nostalgia pada konsert di Zepp Kuala Lumpur, malam tadi. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Datuk M Nasir berharap konsert berkonsepkan Hari Raya dapat dijadikan budaya baharu dalam industri hiburan tanah air.

Menyifatkan konsert itu sebagai sesuatu yang istimewa, M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed Sam, 68, berkata kemeriahan dan kesyahduan lebaran wajar diraikan setiap tahun secara besar-besaran.

M Nasir berharap konsert berkonsepkan Hari Raya dapat dijadikan budaya baharu dalam industri hiburan tanah air. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

"Konsert Hari Raya ini sangat istimewa. Saya harap boleh jadi satu budaya. Maknanya, setiap kali Hari Raya mesti kena ada konsert. Menarik bukan kalau kita kongsi banyak lagu nostalgia macam malam ini (tadi)... Kita tunggu tahun depan," katanya ketik beraksi pada Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya, di Zepp KL di sini, malam tadi.

Pada malam itu, komposer yang mendapat jolokan sifu itu membawa 20 lagu termasuk tiga lagu raya klasik yang mengimbau nostalgia.

Untaian malar segar itu adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.

Lagu raya lain yang turut dinyanyikan adalah Raya Yang Sempurna, Hari Raya Hari Bahagia, Halaman Asmara, Lebaran Bonda, Salam Dunia dan Satu Hari Di Hari Raya.

Turut dipersembahkan pada konsert berdurasi hampir dua jam itu adalah Hati Emas, Sahabat Gua, Apokalips dan Raikan Cinta.

Lebih menarik apabila hampir 2,000 penonton yang hadir cukup 'sporting' mengenakan busana hari raya seperti baju Melayu lengkap bersamping, manakala wanita berkebaya dan berbaju kurung mengikut tema.

Selain dijamu dengan aneka juadah Syawal seperti lemang, ketupat, rendang dan satay, penonton juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut diberi duit raya.

Tiada ulasan: