Khamis, April 17, 2025

M Nasir isi lompong 'Bapa Lagu Raya'

petikan Berita Harian 17 April 2025

Oleh Farihad Shalla Mahmud - farihad@bh.com.my

Konsert terus gamat apabila M Nasir mendendangkan Salam Dunia dan Satu Hari Di Hari Raya hingga berjaya mengajak penonton untuk menyanyi dan berdansa dengannya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Selepas pemergian komposer legenda, Allahyarham Datuk S Atan yang digelar 'Bapa Lagu Raya' kerana mencipta sebahagian besar koleksi malar segar menjadi halwa telinga peminat, tidak keterlaluan andai dikatakan lompong itu sudah diisi Datuk M Nasir.

Jika Allahyarham pernah menjayakan pementasan khas hari raya di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di ibu negara pada 2022, M Nasir juga berjaya menyempurnakan persembahan serupa di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Apa yang berbeza, Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya berkonsep rumah terbuka, dengan penonton dijamu juadah hari raya enak seperti ketupat, lemang, rendang, sate dan banyak lagi.

Lebih menarik, penonton yang hadir cukup sporting mengenakan busana hari raya seperti baju Melayu lengkap bersamping, manakala wanita berkebaya dan berbaju kurung.

Sesuai dengan judulnya, konsert di bawah jenama Cipta itu menyajikan himpunan lagu raya pelbagai genre yang dinyanyikan sendiri M Nasir atau karya dihasilkannya untuk penyanyi lain.

M Nasir yang digelar sifu turut menyatakan penghargaan terhadap tiga lagu raya klasik dan penciptanya.

Tiga lagu itu adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.

Dendangan tiga untaian indah dan malar segar itu membawa penonton mengembara ke zaman silam, iaitu ketika zaman gemilang karya diterbitkan antara era 1950-an dan 1960-an itu.

Bagaimanapun, apa yang lebih menjadi perhatian penonton pada konsert berdurasi hampir dua jam itu adalah paduan suara M Nasir bersama seorang penonton wanita ketika menyampaikan lagu Halaman Asmara yang pernah dipopularkan Datuk Awie dan Ziana Zain.

Tergelak besar penonton apabila penyanyi dan komposer kelahiran Singapura berkenaan selamba meminta wanita dikenali sebagai Putery Nurshafika itu merendahkan key suara supaya nyanyian mereka senada.

"Key lagu ini rendah sikit, jadi awak kena rendahkan key suara. Bukan rendah sikit tapi rendah banyak," katanya.


Konsert di bawah jenama Cipta itu menyajikan himpunan lagu raya pelbagai genre yang dinyanyikan M Nasir atau karya dihasilkannya untuk penyanyi lain. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sebaik sahaja Putery Nurshafika mula menyanyi, tepukan gemuruh bergema memenuhi ruang kerana rata-rata penonton mengagumi vokal wanita terbabit yang saling tak tumpah seperti suara penyanyi asal.

Secara tidak langsung, lagu ikonik yang diterbitkan pada 1994 itu kembali segar dengan rendisi versi mereka.

Konsert terus gamat apabila M Nasir yang menginjak usia 68 tahun mendendangkan Salam Dunia dan Satu Hari Di Hari Raya. Aura dua lagu itu berjaya mengajak penonton untuk menyanyi dan berdansa dengannya.

Kemeriahan konsert anjuran Icon Entertainment itu diteruskan dengan alunan lagu Apokalips, Sahabat Gua, Hati Emas, Raikan Cinta dan Phoenix Bangkit Dari Abu yang memiliki melodi rancak lagi bertenaga.

Biarpun bukan lagu raya, namun ketika temu bual sebelum ini, M Nasir menjelaskan rasional karya berkenaan dipilih berikutan elemen keraian yang sinonim dengan Syawal yang masih bersisa.

Sesekali seniman asal Singapura itu membuai perasaan penonton dengan lagu bernada melankolik menerusi lagu Suatu Masa.

Menyifatkan konsert itu sesuatu yang istimewa, M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed Sam, berkata kemeriahan dan kesyahduan lebaran wajar diraikan setiap tahun secara besar-besaran.

Sehubungan itu, beliau berharap konsert berkonsepkan hari raya dapat dijadikan budaya baharu dalam industri hiburan tanah air.

"Konsert hari raya sangat istimewa, saya harap boleh jadi satu budaya. Maknanya, setiap kali hari raya, mesti kena ada konsert. Menarik bukan kalau kita kongsi banyak lagu nostalgia macam malam ini (konsert).

"Kita tunggu tahun depan," katanya di hadapan hampir 2,000 penonton persembahan itu.

Seperti yang dijanjikan, tetamu tidak pulang dengan tangan kosong apabila diberi duit raya diisi dalam sampul eksklusif sebagai tanda kenangan daripada penganjur.

Tiada ulasan: