petikan Harian Metro 21 April 2025
Ridzuan Abdul Rahman mohamadridzuan@hmetro.com.my
APA sahaja konsert solo diadakan maestro muzik, Datuk M Nasir kebelakangan ini sentiasa mendapat sambutan hebat dari peminatnya.Maka tidak menghairankan apabila hampir 2,000 peminatnya membanjiri Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini untuk merasai keseronokan melayan Konsert Cipta Raya M N45IR.
Bukan tidak pernah ada konsert bertema Raya dan Syawal sebelum ini tetapi persembahan Maestro muzik ini agak berbeza kerana M Nasir menyanyikan lagu-lagu Hari Raya ciptaannya kepada penyanyi lain.
Siapa yang tidak tahu lagu Suatu Hari Di Hari Raya nyanyiannya sendiri, Halaman Asmara (duet Datuk Awie dan Ziana Zain), Raya Yang Sempurna (Datuk Awie), Sentuhan Di Hari Raya (Datuk Amy) dan banyak lagi.
Lagu-lagu ini membawa dan menghidupkan kembali kenangan lama serta semangat Aidilfitri dalam jiwa setiap kita yang pernah menelusuri momen indah beraya zaman bebas gajet suatu waktu dulu.
Menariknya, rata-rata penonton hadir mengikut tema pakaian raya, sekali gus menghadirkan aura Syawal yang masih berbaki.
Yang wanita datang berkebaya, berbaju kurung siap berselendang, manakala si lelaki segak bertengkolok, bersongkok dan bersamping.
Bertambah meriah apabila sebelah petangnya sehingga sebelum konsert bermula, diadakan jamuan raya ala-ala rumah terbuka.
Sudah pasti juadah disediakan sinonim dengan menu raya antaranya nasi himpit, lemang, kuah kacang, rendang, sate dan kuih muih.
Tepat jam 8.20 malam, keseronokan bermula apabila kelibat M Nasir yang ditunggu-tunggu, tampil membuka pentas dengan lagu Raya Yang Sempurna yang agak rancak.
Dia kemudiannya menaikkan bahang persembahan dengan lagu Hari Raya Hari Bahagia (Ramlah Ram) diikuti Hati Emas, Raikan Cinta dan Suara Takbir yang sinonim dengan Hari Raya.
Sesekali dia berkomunikasi dengan peminat apabila menyelitkan fakta berkenaan lagu dinyanyikan. Ia sangat membantu peminat generasi baharu mendapatkan info lagu terbabit.
Ada ketika sebelum menyanyikan lagu Sentuhan Di Hari, M Nasir meminta peminat tidak membandingkannya dengan Amy Search kerana 'key' suara mereka yang berbeza.
Ketika menyanyikan lagu Lebaran Bonda yang asalnya dinyanyikan Datuk Hattan, M Nasir mempersoalkan kegagalan lagu ini menarik minat pendengar sedangkan ia lagu yang sedap didengar.
Selama lebih dua jam beraksi, M. Nasir menyampaikan 20 seleksi malar segar yang bukan sahaja menghiburkan tetapi membahagiakan jiwa-jiwa yang merindui keindahan hari raya sebenar.
Pilihan pada malam terbabit tidak terhad kepada lagu raya semata-mata, bahkan turut diselitkan dendangan lagu popularnya seperti Raikan Cinta, Suatu Masa, Sahabat Gua dan Apokalips.
Tidak ketinggalan, dia turut menyanyikan lagu raya klasik iaitu Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein, Selamat Hari Lebaran.
M Nasir juga mempelawa peminat wanita berduet dengannya menerusi lagu Halaman Asmara dan ia disambut peminat bernama Putery.
Apa yang lucunya, sebaik Putery menyanyikan intro lagu terbabit dan tiba gilirannya, M Nasir bergurau menyebut nama Awie membuatkan peminat ketawa.
Duet ini menjadi kenangan terhebat pada malam itu dan perkongsian video lagu ini oleh penonton di YouTube mendapat tontonan agak tinggi.
M Nasir sekarang juga bukanlah M Nasir yang dahulu kerana dia kini sudah pandai berjenaka kepada peminat, sekali gus mencipta keintiman dengan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan