Isnin, November 25, 2024

Ahmad Nawab pemuzik tulen - M Nasir

 petikan Harian Metro 25 Novenber 2024

Affan Rostam  affan.rostam@bh.com.my

Gombak: Datuk M Nasir, 67, menganggap kehebatan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, 92, barangkali tidak dapat ditandingi mana-mana pemuzik termasuk di peringkat antarabangsa.

M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed turut menyifatkan seniman legenda kelahiran Pulau Pinang itu adalah permata seni tanah air yang cukup berharga apabila berjaya melahirkan ramai penyanyi hebat.

"Kalau kita lihat, tiada sesiapa yang dapat berada pada tahap pencapaian arwah. Beliau berjaya pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Maksudnya selama tiga dekad beliau berada pada satu tahap yang tinggi.

"Tidak perlu cerita berapa ramai penyanyi yang beliau bantu naikkan nama. Satu dunia pun mungkin tidak dapat meraih sebagaimana pencapaiannya.

"Kita tidak nampak seniman di dunia ini yang kita tahu dapat meraih pencapaian seperti beliau. Beliau berjaya menaikkan penyanyi seperti Ramlah Ram dan Siti Fairuz yang mana ketika itu adalah zaman rock," katanya.

M Nasir berkata, Allahyarham Ahmad Nawab adalah sosok pemuzik tulen yang pernah bekerja bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Malah, katanya, keunggulan dimiliki Allahyarham Ahmad Nawab wajar dihormati.

"Beliau adalah pemuzik yang 'genuine'. Beliau hidup dengan muzik. Arwah dahulu

pernah bekerja sebaris dengan Allahyarham P Ramlee sehingga Seniman Agung itu pernah meminta saksofon beliau untuk dimainkan dalam filem lakonannya.

"Arwah seniman dan pemuzik sepenuh masa, jadi itulah perkara yang kita perlu hormati.

"Ada yang menganggap pemuzik atau pencipta lagu ini sebagai kerjaya yang tidak menjanjikan masa depan baik atau bukan pekerjaan yang dikejar pada era beliau.

"Arwah sudah ada dalam bidang ini begitu lama. Kalau saya dalam bidang ini sudah 45 tahun, beliau lebih 60 tahun sejak era 1950-an lagi beliau sudah berkecimpung dalam bidang ini," katanya.

Jenazah Allahyarham Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di sini, pada jam 11.15 pagi tadi.

Pengebumian Allahyarham Ahmad Nawab berjalan lancar dengan dihadiri kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan seni dan kenalan terdekat bagi memberi penghormatan terakhir.

Semalam, Allahyarham Ahmad Nawab disahkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, jam 3.15 petang.

Allahyarham Ahmad Nawab dianggap maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.

Penyanyi terkenal Datuk M.Nasir turut hadir mengiringi perjalanan akhir jenazah Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab. Beliau jugak menyatakan kekaguman arwah yang merupakan seorang seniman hebat dalam arena muzik tanah air. Ramai artis-artis besar telah berjaya dilahirkan berdekad-dekad dengan karya lagu yang begitu banyak dan ciri-ciri seorang seniman telah pun ada pada arwah.
 (Sumber Youtube Astro Awani)


Tiada ulasan: