petikan Berita Harian - 22 November 2024
Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my
M Nasir mengakui Allahyarham Napie banyak membantu dalam proses gubahan lagu ketika menggalas tanggungjawab sebagai jurutera muzik di bawah syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd. Foto NSTP Affan RostamM Nasir mengakui Allahyarham Napie banyak membantu dalam proses gubahan lagu ketika menggalas tanggungjawab sebagai jurutera muzik di bawah syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd. Foto NSTP Affan Rostam
RAWANG: Maestro muzik, Datuk M Nasir mengakui gitaris kumpulan Spider, Allahyarham Napie banyak membantu dalam proses gubahan lagu ketika menggalas tanggungjawab sebagai jurutera muzik di bawah syarikat rakaman miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd.
M Nasir berkata, sudah pasti pemergian Allahyarham Napie meninggalkan kesan mendalam terutama dalam industri muzik tanah air.
"Semua pemergian itu adalah kehilangan. Tapi, kita sudah dengan arwah begitu lama. Ia satu tempoh yang panjang, jadi apabila hilang mereka sudah pasti terasa.
"Arwah banyak membantu saya dalam penggubahan lagu. Arwah pemain gitar yang sangat bagus, pernah menjadi juara. Pernah juga arwah mencuba dalam gubahan lagu dan hasilnya progresif," katanya ditemui selepas urusan pengebumian Allahyarham Napie di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes di sini, hari ini.
M Nasir sempat berkongsi pertemuan awalnya bersama arwah Napie dan anggota Spider lain pada 1998.
"Arwah bermula dengan kumpulan Spider, mereka datang ke pejabat dan mereka menjadi artis di bawah Luncai Emas Sdn Bhd. Rupanya, dia ada bakat lain juga yang kami perlukan iaitu jurutera bunyi.
"Jadi, arwah tumpukan kepada kerja itu. Memang agak lama juga dia bertugas sebagai jurutera bunyi... Mungkin berbelas tahun," katanya.
M Nasir berkata, beliau sempat menziarahi Allahyarham Napie ketika dirawat di hospital.
"Dia sakit memang dah lama. Banyak sakit dia. Tapi, dia orang yang selalu menafikan sakit dia. Kali terakhir, saya sempat berjumpanya di hospital sewaktu menziarahinya," katanya.
Jenazah Allahyarham Napie atau nama sebenar, Hanafi Hamdan yang diserang angin ahmar pada 16 Julai lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Pengebumian Allahyarham Napie yang dihadiri ahli keluarga, rakan seni dan kenalan terdekat lancar biarpun dalam keadaan hujan lebat.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham Napie yang mula menceburi bidang muzik bersama Spider sejak 1996, diurus dan disolatkan di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan