Selasa, April 19, 2022

Sifu puji penganjur konsert

 petikan Berita Harian 19 April 2022

Oleh Farihad Shalla Mahmud 

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir memuji penganjur konsert yang berani mementaskan acara itu walaupun terpaksa menanggung risiko berikutan kapasiti penonton terhad kepada 50 peratus dan pandemik COVID-19 belum berakhir.

M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed berkata, inisiatif penganjur konsert wajar diberi sokongan kerana mereka cuba menggerak dan merancakkan kembali industri muzik yang sudah dua tahun 'sendu' daripada penganjuran konsert besar.

"Saya lihat usaha diambil penganjur sangat bagus dan wajar diberi pujian serta sokongan.

"Walaupun masih ada kekangan iaitu tidak boleh menganjurkan konsert di lokasi yang lebih besar kerana perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek jumlah penonton terhad, namun, mereka beranikan diri menanggung risiko.

"Pada saya, tak kisahlah jika sebagai permulaan, mereka anjurkan konsert di lokasi yang agak kecil dan terhad daripada segi bilangan penonton.

"Dengan cara itu sahaja industri kita dapat bernafas kembali," katanya pada sidang media Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Tanjung Lounge, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Konsert anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) itu bakal diadakan di Dewan Merdeka, WTCKL pada 27 Mei ini, jam 8 malam.

Berkongsi konsep persembahan yang bakal diketengahkan, M Nasir yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi memberitahu dia masih mendendangkan lagu popularnya biarpun ramai menyangkakan tema konsert itu adalah Hari Raya.

"Nama konsert itu dipilih kerana kebetulan dianjurkan pada Syawal. Ia juga judul lagu raya popular saya. Untuk konsert itu nanti, saya tetap menyanyikan rangkaian lagu popular kira-kira 20 lagu.

"Walaupun konsert ini berkonsepkan makan malam, namun, saya pastikan penonton akan terhibur. Auranya tetap sama dengan konsert yang pernah saya jayakan di lokasi lain sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, konsert itu juga adalah persembahan amal yang bertujuan membantu IRAMA menyantuni golongan penggiat seni yang kurang bernasib baik.

"Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada penganjur dan M Nasir yang sudi menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini berkonsep amal.

"Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada IRAMA untuk diagihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik," katanya.

Ayob turut memberi jaminan Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir bukan sahaja dapat menghiburkan peminat penyanyi berkaliber itu, malah, memberi kepuasan maksimum kepada mereka.

"Selagi pilihan lagu yang menarik dan menepati cita rasa peminat, konsert itu turut sempurna dari aspek teknikal apabila kami menggunakan khidmat penata cahaya dan sistem bunyi yang berkualiti sama seperti yang kita lihat dan dengar di konsert di stadium," katanya,

Maklumat berhubung pembelian tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir boleh dibuat dengan menghubungi Ayob (019-3682548), Sham Amir Hussain (011-55026994), Salimey (016-6720370) dan Vin (012-5342713).

Tiada ulasan: