petikan Harian Metro 14 April 2022
Najiy Jefri najiy.jefri@hmetro.com.my
BARISAN tenaga kerja yang membolehkan konsert membabitkan 20 lagu popular M Nasir didendangkan nanti.Kali terakhir Datuk M Nasir mengadakan konsert solo adalah tiga tahun lalu. Kini beliau bakal mengadakan konsert amal sempena Aidilfitri tahun ini iaitu Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 27 Mei ini.
Hampir dua tahun industri hiburan 'sepi' tanpa penganjuran konsert berskala besar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun ia dilihat semakin rancak apabila terdapat beberapa konsert bakal dianjurkan penyanyi terkenal tanah air.
Mengakui teruja dengan tawaran yang diberikan, M Nasir menyifatkan konsert yang bertemakan sambutan Aidilfitri itu bakal menjadi penawar untuk kerinduan peminat.
"Selepas penganjuran konsert solo saya pada 2019, saya akui amat rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat.
"Justeru, apabila ditawarkan untuk menjayakan konsert ini, saya terus menerimanya kerana saya tahu peminat memang sudah lama menantikan saat ini.
"Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu," katanya.
Menurut penyanyi berusia 64 tahun itu, persembahan berdurasi 90 minit itu bakal menyaksikan dia mendendangkan 20 buah lagu popularnya.
"Untuk konsert selama satu jam setengah ini, persembahan saya bakal diiringi sembilan pemuzik termasuk penyanyi latar. Bersesuaian dengan konsep, saya juga akan menyampaikan lagu bertemakan Hari Raya termasuk lagu yang pernah hits sebelum ini.
"Dari segi persiapan, saya akan mula menjalani latihan selepas Aidilfitri. Lagipun kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu yang memang kerap saya nyanyikan dalam mana-mana persembahan, Jadi saya tak berdepan dengan masalah untuk menyanyikannya.
"Walaupun konsert ini berlangsung di dalam dewan tertutup dan bukannya di pentas terbuka, saya akan pastikan peminat bukan saja terhibur tetapi dapat bersama-sama menyanyi dan menari bersama saya.
"Saya akan bawa atmosfera dan aura konsert yang pernah saya jayakan di pentas terbuka ke dalam konsert itu," katanya.
Menyentuh mengenai keputusan penganjur yang mengadakan konsert di dewan tertutup walaupun mengetahui kapasiti penonton tidak seramai jika penganjuran di stadium, M Nasir memuji dan menyokong penuh usaha yang dijalankan penganjur.
"Apa yang mereka lakukan sangat bagus dan saya puji inisiatif serta keprihatinan mereka. Dalam situasi hari ini, kita memerlukan penganjur yang berani untuk menganjurkan konsert. Tak kisahlah dengan cara apa sekali pun kerana dengan usaha mereka itu, secara tidak langsung dapat merancakkan atau menggerakkan kembali industri muzik yang sebelum ini agak malap susulan pandemik Covid-19," katanya.
Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir ini dianjurkan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd.
Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, konsert itu juga adalah persembahan amal yang bertujuan untuk membantu IRAMA menyantuni golongan penggiat seni yang kurang bernasib baik.
"Sepanjang IRAMA beroperasi, kami memang tidak mendapat sebarang dana daripada mana-mana pihak atau kerajaan dalam menjalankan aktiviti kebajikan kami.
"Justeru, saya amat berterima kasih kepada seluruh warga kerja dan juga M Nasir yang sudi untuk menjayakan konsert ini selepas mendapat tahu persembahan ini juga berkonsepkan amal.
"Sebahagian daripada hasil jualan tiket nanti pihak IRAMA akan agihkan kepada penggiat seni yang kurang bernasib baik," katanya.
Menurut Ayob, pihaknya akan cuba memberi kepuasan maksimum kepada penonton yang hadir.
"Selain pilihan lagu yang menarik dan menepati cita rasa peminat, konsert itu tidak akan sempurna tanpa mengambil kira aspek teknikal.
"Jadi pada konsert ini kami menggunakan khidmat penata cahaya dan sistem bunyi yang berkualiti sama seperti yang kita lihat dan dengar di konsert yang dibuat di stadium," katanya.
Harga tiket Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Datuk M Nasir bermula RM3,800 hingga RM15,000 untuk lapan orang semeja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan