petikan Utusan Malaysia 3 Julai 2013
Konsert M. Nasir Sang Pencinta menyaksikan penyanyi itu memberikan persembahan bertenaga sebagai hadiah buat peminatnya.
SEJAK kebelakangan ini kita didedahkan dengan banyak konsert-konsert yang membabitkan nama-nama besar dalam dunia hiburan antarabangsa khususnya penyanyi-penyanyi dari Korea Selatan.
Tidak kurang juga konsert-konsert yang dijayakan oleh artis ternama tempatan antaranya kumpulan Wings, Jamal Abdillah dan terbaru yang berlangsung di Istana Budaya, konsert M. Nasir Sang Pencinta.
Datuk M. Nasir membuktikan janjinya bahawa konsert selama tiga hari bermula pada 28 Jun lalu itu adalah hadiah berharga dari dalam dirinya sendiri, istimewa buat peminat tersayang.
Ternyata, walaupun dengan lambakan persembahan dan konsert-konsert yang melibatkan nama-nama besar di peringkat antarabangsa dan tempatan, M. Nasir masih mempunyai aura tersendiri apabila konsert yang diadakan tersebut mendapat sambutan sehingga memenuhi ruang panggung.
Persembahan yang bermula pada pukul 8.30 malam tersebut dimulakan dengan dendangan beberapa buah lagu-lagu popular penyanyi kelahiran Singapura iaitu Dalam, Bahtera Raudhah dan Apokalips.
Selesai babak pembukaan, M. Nasir menyampaikan sedikit ucapan mengatakan niatnya membuat konsert tersebut selain mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang tidak jemu-jemu menyokong karier seninya.
Persembahan diteruskan pula dengan dendangan lagu-lagu seperti Keroncong Untuk Ana, Hidayah, Rajawali dan Perang Yang Lagi Satu.
Tidak menunggu terlalu lama, hadirin dipersembahkan dengan lagu 'berhantu' yang masih popular sehingga kini iaitu lagu Mentera Semerah Padi sebelum diteruskan dengan lagu Hijab Kekasih.
Selain menyanyikan lagu-lagu popularnya, M. Nasir juga mempersembahkan beberapa lagu popular yang dihasilkannya untuk penyanyi-penyanyi lain seperti Layang-Layang Terputus Tali nyanyian kumpulan Alleycats, Meniti Titian Usang (Search) dan juga Srikandi Cintaku (Bloodshed).
Pengunjung yang hadir menyaksikan konsert tersebut juga berpeluang mendengar lagu baru yang turut diselitkan dalam konsert tersebut iaitu lagu berjudul Aku Dah Bilang.
Persembahan diteruskan lagi dengan lagu-lagu popular penyanyi yang pernah bergelar Pengetua program realiti nyanyian Akademi Fantasia musim ke-3 iaitu lagu Tanya Sama Itu Hud Hud, Akar Kita dan Bukalah Hati Mu.
Sepertimana kehebatan dia sebelum ini, M. Nasir bijak mengambil peluang, meluaskan bahasa seninya dengan sesi interaksi langsung dengan penonton. Dia yang serius boleh dalam sekelipan mata menjadi si pencetus humor dalam erat semangat di hadapan peminat.
Lawaknya yang bersahaja, sememangnya menjadi penyeri hidangan yang membawa keceriaan, acara tidak jemu dan memberi rasa kepuasan tidak terbanding. Di situ hebatnya sang pencinta ini.
Kemuncak interaksi antara penyanyi terbabit dengan para penonton pastinya sewaktu dia mendendangkan lagu Sahabat Gua dan Ada, di mana dia mengajak penonton untuk berdiri dan bernyanyi bersama selain turut menggoyangkan badan mengikut rentak muzik dimainkan.
'Bertemankan' kumpulan pemuzik profesional serta alatan muzik moden dan tradisional seperti Gamelan, M.Nasir menamatkan persembahan yang memakan masa kira-kira dua jam setengah itu dengan lagu Sesat Di Kuala Lumpur dan juga Sentuhan Listrik Mu.
Menonton konsert kali ini, terasa diri sekaligus menjadi saksi kepada kehebatan seorang legenda dunia muzik tempatan. Benarlah, pada usianya yang melebih angka 50 tahun, M. Nasir kekal 'muda'. - KHAIRUL
1 ulasan:
mantap gan...
Catat Ulasan