petikan Berita Harian 22 Mac 2010
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
Peminat boleh tuntut kembali wang daripada penganjur
HASRAT peminat M Nasir untuk menyaksikan Konsert Satu Wajah penyanyi itu nampaknya tidak kesampaian apabila ia tidak akan diteruskan. Berita mengecewakan itu diumumkan syarikat pengurusan M Nasir, Beyond Events Sdn Bhd menerusi kiriman faksimili Jumaat lalu.
Konsert yang sepatutnya berlangsung Julai tahun lalu mula membayangkan wujudnya masalah apabila ia ditunda kepada Februari tahun ini. Bagaimanapun memasuki bulan Mac, tiada sebarang khabar berita mengenainya sebaliknya berita mengenai pembatalan pula yang menyusul. Pada Januari lalu, Pengarah Urusan Maya Axis Creative Sdn Bhd, Samirah Hambali ada memberitahu mereka tidak berniat untuk melengah-lengahkan penganjuran konsert berkenaan, tetapi apa yang berlaku kerana mereka masih lagi berbincang dengan penaja. Bagaimanapun ketika dihubungi ketika itu, Samirah memberitahu, konsert berkenaan tidak dapat diteruskan kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun dia berjanji wang peminat yang membeli tiket akan dipulangkan selewat-lewatnya April ini.
“Kami kesal kerana konsert ini tidak berjaya diteruskan. Ada masalah yang sukar untuk diselesaikan. Kami di pihak Maya Axis sudah berkerja keras bagi memastikan konsert ini berjalan tetapi terpaksa akur apabila ia harus dibatalkan.
“Bagaimanapun, peminat M Nasir yang sudah membeli tiket tidak perlu bimbang kerana kami akan memulangkan wang mereka selewat-lewatnya April ini. Malah pemulangan kembali wang sudah dibuat secara berperingkat sejak awal lagi.
“Bukan saja kami kecewa, kami faham peminat M Nasir juga kecewa dengan pembatalan konsert ini. Apatah lagi tiket konsert ini terjual dengan cukup menggalakkan sekali iaitu lebih 60 peratus. Jadi kami berharap kepada peminat yang sudah membeli, boleh menghubungi pihak kami untuk menuntut kembali wang mereka,” kata Samirah.
Sebelum Konsert Satu Wajah, M Nasir pernah membuat persembahan di Stadium Negara pada 1994 menerusi Konsert Canggung Mendonan. Selepas 15 tahun, penyanyi itu teruja untuk mengulangi detik manis itu namun hasratnya tidak kesampaian impian untuk membuat persembahan di dalam Konsert Satu Wajah tidak kesampaian.
Namun begitu, Samirah berkata, peminat yang kecewa dengan pembatalan konsert penyanyi itu masih boleh menyaksikan persembahan M Nasir menerusi Minggu Setiausaha yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda pada 21 April ini.
Sementara itu Pengarah Urusan Beyond DDB/Beyond Events, Amin Hussen pula berkata, mereka sudah memaklumkan penyanyi itu mengenai pembatalan konsertnya dan menerima berita berkenaan dengan positif.
“Setakat ini, bagi pihak Beyond, kami tidak menghadapi sebarang kerugian di atas pembatalan konsert kerana memang sejak tahun ini kami menerima semua tawaran yang datang kepada M Nasir berikutan tarikh konsert masih belum tetap lagi.
“Tahun lalu memang kita terpaksa tolak kerana konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada Julai. Kami tidak mempunyai sebarang perancangan atau usaha untuk meneruskan konsert berkenaan. Jadi bagi peminat yang ingin sangat menyaksikan persembahan M Nasir dalam masa terdekat, mereka boleh menyaksikannya pada minggu setiausaha,” kata Amin.
Amin meminta peminat yang sudah membeli tiket supaya menghubungi pihak penganjur untuk mendapatkan kembali wang mereka.
“Pihak pengurusan M Nasir menasihati peminat yang sudah membeli tiket, menghubungi penganjur menganjurkan konsert itu untuk mendapatkan semula wang mereka,” katanya.
Segala pertanyaan hendak diajukan kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Maya Axis Creative Sdn Bhd, No. 1-6M, Tingkat 1, Jalan Kenari 12B, Puchong Jaya, Puchong atau telefon 03-80769872 atau 03-80769873.
* Terima kasih Ain LESB utk berita ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan