Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
STESEN radio popular, Hot FM tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memperkasakan jenamanya di mata peminat muzik tanah air.
Gambar ZHAFARAN NASIB
M. nasir (kanan) dan mawi turut berganding bahu menyampaikan lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta.
Sebaliknya, stesen yang bernaung di bawah bumbung Media Prima Berhad itu hanya mengambil masa empat tahun untuk muncul sebagai stesen radio pilihan ramai.
Populariti Hot FM ketika ini barangkali sudah boleh meletakkan mereka di kedudukan paling selesa dalam senarai stesen-stesen radio di negara ini.
Begitu juga dengan barisan penyampai radio stesen itu yang sebetulnya populariti mereka sudah melonjak.
Namun, semua itu masih belum boleh dianggap sebagai kayu ukur kejayaan buat stesen yang masih muda itu.
"Kami harus bekerja keras lagi. Masih banyak tugas yang perlu kami buat di Hot FM," jelas Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul kepada Hits mengenai kedudukan stesen yang menjadi kebanggaannya itu.
Biarpun sudah berada di puncak, namun Seelan berpendapat, tugas paling berat buat beliau dan seluruh kakitangan Hot FM ialah mengekalkan kedudukan yang sedia ada.
Baginya, menguruskan sebuah stesen radio bukan satu perkara yang mudah kerana ia melibatkan cita rasa pendengar yang pelbagai dan ada ketika sukar diramal.
Justeru, pendekatan terbaik yang diambil oleh Hot FM ialah memenuhi apa yang dikehendaki oleh pendengar.
Pada perbualan itu, biarpun tidak menunjukkan dengan jelas, namun air muka Seelan juga jelas memperlihatkan kebimbangannya mengenai perkembangan semasa senario industri penyiaran hari ini.
Mana tidaknya, baru-baru ini saja, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menggesa stesen radio swasta memberikan keutamaan untuk menyiarkan lagu baru artis tempatan.
Itu belum lagi dengan tekanan seperti trend perpindahan juruhebah dari sebuah stesen lain ke stesen lain.
Ini tidak termasuk cabaran-cabaran lain yang disifatkan mencabar kreativiti pengusaha-pengusaha stesen radio seperti Seelan dan Hot FM sendiri.
Justeru, cara terbaik dilakukan oleh Seelan dan Hot FM ialah memperkukuhkan aspek hubungan mesra dengan para pendengar.
Lalu, sesi promosi akan terus dipertingkatkan oleh stesen ini dengan langkah terbaru mengadakan konsert mega Hot FM Big Jam di Pulau Pinang hujung minggu lalu.
"Usaha ini (promosi) akan kami lakukan secara berterusan. Saya dan team Hot FM percaya dengan adanya pendekatan promosi dan pemasaran yang baik, pendengar akan menyenangi dan menyayangi kami," kata Seelan yang pernah menimba pengalaman dengan stesen radio pesaing, Era sebelum berhijrah ke Hot FM.
Uniknya Seelan, dia menerajui sebuah stesen radio Melayu yang sangat besar pengaruhnya dan pada masa yang sama terpaksa bersaing dengan stesen-stesen radio lain.
Mujur pula Seelan memiliki minat dan kecenderungan yang tinggi terhadap industri penyiaran.
Pada masa yang sama, stesen itu bertuah kerana Telekom Malaysia muncul sebagai rakan penaja mereka.
Big Jam ditonton 50,000 orang
DI Padang Kota Lama, Pulau Pinang hujung minggu lalu, stesen Hot FM menawarkan hiburan yang amat berbaloi buat 50,000 peminat muzik di negeri itu.
Warga Pulau Mutiara barangkali paling bertuah kerana menerima kehadiran artis-artis hebat yang menghiburkan mereka.
Sebut saja nama artis popular masa kini, semuanya hadir memeriahkan pentas Hot FM sempena sesi promosi stesen itu.
"Konsert ini sebagai tanda penghargaan kami buat pendengar yang banyak menyokong sejak stesen ini mula beroperasi pada 4 Februari 2006," ujar Seelan yang ternyata begitu gembira dengan pencapaian konsert itu.
Padang Kota Lama, Pulau Pinang merupakan destinasi ketiga Hot FM selepas Kuala Lumpur dan Johor Bharu, Johor.
Jika bukan kerana populariti stesen itu, tidak mungkin juga seramai 36 penggiat muzik dan penyanyi terkenal tanah air bersedia ke Pulau Pinang menjayakan konsert itu di depan 50,000 orang.
"Saya bersyukur dan gembira kerana komitmen artis-artis popular pada kami sangat baik," katanya merujuk kepada senarai panjang artis yang menjayakan Hot FM Big Jam.
Hot FM Big Jam hujung minggu lalu dijayakan oleh ramai penyanyi popular tempatan antaranya kumpulan Meet Uncle Hussein, Hujan, Bunkface, Faizal Tahir, Anuar Zain, Stacy, M. Nasir, Mawi, Tomok, Misha Omar, Black, Adam, Stacy, One Nation Emcee, Imran Ajmain, Shila, kumpulan Modred, Diddy, Ahli Fikir, Kumpulan Sixth Sense dan Bittersweet.
Tidak ketinggalan band senior industri hiburan seperti seperti Fotograf, Bumiputra Rockers (BPR) dan AXL turut serta. Apa yang menariknya, muka-muka baru seperti SSK, Tilu , Anna Rafalli dan Hunny Madu turut diberi peluang oleh stesen itu.
Kolaborasi sebegini kata Seelan, sebagai bukti komitmen Hot FM menawarkan hiburan pelbagai kepada pendengar stesen itu.
Pada asasnya, konsert mega anjuran Hot FM itu berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang masalah.
Bahkan, persembahan daripada penyampai-penyampai Hot FM seperti Farah Fauzana, Faizal Ismail, Sharifah Aleeya (Leya), Ann, Ikhwan, Tini, AG dan Kieran juga sangat menghiburkan hati.
Apa yang menarik, pada malam konsert berkenaan, penyampai HotFM mendendangkan lagu khas Lebih Hangat Daripada Biasa ciptaan suami Leya, Ashraf dan liriknya ditulis Faizal Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan