Khamis, Mac 18, 2010

Karyawan seni belakang tabir kelas kedua?








ROSLINA Khir Johari (kanan) selaku pengerusi Forum Kerjaya Seni - Merisik Khabar bersama-sama ahli-ahli panel (dari kiri) M. Nasir, Marlia Musa dan Pat Ibrahim di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SESUNGGUHNYA penyanyi di negara ini merupakan golongan karyawan seni yang paling bertuah jika dibandingkan dengan pemuzik ataupun penari.
Mereka bukan sahaja menjadi tumpuan para peminat sewaktu berada di pentas dan di luar pentas, malah, turut menerima publisiti meluas daripada media massa serta mendapat bayaran paling lumayan berbanding karyawan seni lain.

Sebab itu, tidak hairanlah golongan seni di belakang tabir terutamanya penari kurang diberi perhatian meskipun ramai di antara mereka yang mempunyai tahap pendidikan hingga peringkat ijazah dalam bidang tersebut.

Menyedari senario itu, koreografer Pat Ibrahim melahirkan rasa kesalnya apabila nasib, taraf hidup dan perhatian yang diberi oleh pihak penganjur persembahan pentas terhadap golongan penari masih berada ditakuk lama.

"Saya dapati sehingga kini masih ada pihak-pihak tertentu terutamanya penganjur persembahan pentas yang menganggap penari golongan yang boleh 'dijentik-jentik'. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa mereka begitu.

"Sedangkan, karyawan seni di belakang tabir seperti penari juga penting dalam memeriahkan sesuatu persembahan," katanya pada Forum Kerjaya Seni - Merisik Khabar di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Pat, forum yang turut disertai dua lagi ahli panelnya iaitu M. Nasir dan Marlia Musa dengan dipengerusikan oleh pensyarah Jabatan Drama Pusat Kebudayaan UM, Roslina Khir Johari itu disaksikan kira-kira 30 siswa jurusan muzik dan tarian universiti tersebut.

Menurut Pat yang merupakan koreografer Puteri Gunung Ledang the Musical, dia juga berasa simpati seolah-olah golongan penari di negara ini diletakkan dalam kategori kelas kedua terutamanya daripada segi bayaran berbanding penyanyi.

"Sebagai seorang penari, saya sendiri tahu betapa susahnya untuk menjadi penari. Seseorang penari itu perlu sentiasa berlatih, adakalanya selama berminggu-minggu sebelum sesebuah persembahan itu diadakan.

"Dalam hal ini, seseorang penari itu haruslah tahu akan haknya dan bandingkan dengan bayaran yang diterimanya. Sebagai contoh, mereka kena kira berapa kali atau berapa jam mereka berlatih. Juga berapa lama tarian yang akan mereka persembahkan. Jangan takut meminta bayaran yang setimpal.

"Kalau mereka tidak berani 'buka mulut' atau terlalu mengikut kata pihak penganjur, maka sampai bila pun nasib mereka tidak akan terbela. Mereka harus berjuang bagi meletakkan harga bayaran dan maruah mereka dalam bidang ini," ujarnya.

Pat juga menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar penari selama hampir 20 tahun yang turut berdepan dengan pelbagai dilema terutamanya dalam menjadikan bidang itu sebagai kariernya.
Koreografer berusia awal 40-an ini misalnya, pernah mendapat tentangan daripada keluarganya selepas dia memilih untuk menjadikan bidang tarian sebagai sumber pendapatannya.

"Selepas habis peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya cakap dengan arwah bapa saya ketika itu bahawa saya mahu menjadi penari. Dia (bapa) kata, kalau jadi penari nanti saya mahu makan apa?
"Itu adalah antara stigma yang saya hadapi sebelum menceburkan diri dalam bidang ini. Saya bernasib baik kerana walaupun tidak ada pendidikan formal dalam bidang tarian tetapi peluang saya dalam bidang ini terbuka luas.

"Menari adalah passion (keghairahan) saya. 10 tahun pertama penglibatan saya dalam bidang ini memang menyeksakan tetapi berkat sabar dan mahu belajar saya berjaya mencipta nama dalam bidang ini," katanya.

M. Nasir yang lebih 30 tahun terbabit dalam bidang muzik menarik perhatian para hadirin dalam memanjangkan lagi isu yang ditimbulkan oleh Pat itu di mana ia katanya, ada kaitan dengan pasaran atau keperluan semasa.

Beliau menyarankan agar karyawan seni tidak kira penyanyi, penari atau pemuzik sepatutnya bijak mengintai peluang dan meletakkan diri mereka selari dengan keperluan dalam bidang hiburan yang saling memerlukan satu sama lain.

"Mereka ini tidak kiralah dalam bidang apa sekalipun seharusnya cuba mengetengahkan bakat yang ada. Kalau rasa ada bakat dan diperlukan dalam sesuatu bidang itu mereka boleh hadir, misalnya dalam sesi uji bakat.

"Selepas itu, cuba letakkan diri mereka dalam keperluan bakat mereka dalam sesuatu bidang seni yang diceburi. Tetapi yang paling penting ialah perlu ada hasil kerja yang bagus, maka barulah boleh 'pergi jauh'," komennya.

Sementara itu, Marlia Musa pula menambah, seseorang karyawan seni tidak boleh terlalu bergantung kepada sesuatu bidang, sebaliknya bakat yang ada harus dikembangkan bagi menambahkan lagi sumber perdapatan mereka.

Pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini memberi contoh dirinya yang bermula sebagai pelakon tetapi kemudiannya beralih arah sebagai peminjam suara latar iklan komersial.
"Saya mula terbabit dalam bidang ini sebagai pelakon sejak dari kecil. Lama-kelamaan usia saya makin meningkat tua. Jadi permintaan berlakon pun semakin kurang. Ini kerana pada masa sama saya perlu bersaing dengan pelakon lain yang lebih muda dan cantik.

"Saya kemudiannya menyambung belajar dalam bidang lakonan pada tahun 1996 di sebuah universiti di UK (United Kingdom) dan apabila pulang ke tanah air menjadi pensyarah.

"Contohnya, dengan cara meminjamkan suara saya untuk iklan-iklan komersial. Dengan cara itu, saya bukan sahaja mengembangkan lagi bakat saya tetapi ia sebagai suatu alternatif dalam menambahkan lagi mata pencarian saya," ujarnya.

5 ulasan:

deaf-angel berkata...

aku harap cd baru m nasir ni cam yang latest tu hari tu.. aku suka

Saudagar Mimpi berkata...

Aku pun tertanya-tanya apa konsep album baru tu nanti
...hmmmmm
Aku lebih prefer mcm Canggung Mendonan.

Samael berkata...

klu x mcm canggung mendonan, mcm phoenix bangkit pun ok ^_^

Saudagar Mimpi berkata...

Samael : Yang penting berbeza, mistik dan ada "umpphhh"!.

Saudagar Mimpi berkata...

sameal ; yang penting juga best!