petikan Utusan Malaysia 17 November 2008
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
PASTINYA gandingan dua figura terulung negara ini dinantikan selepas menghasilkan Bagaikan Sakti empat tahun lalu.
SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke studio Luncai Emas milik M. Nasir di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor telinga terus menangkap ritma dan alunan lagu yang sedang berkumandang dari tingkat atas studio tersebut.
Telahan mula bermain di fikiran. Apakah lagu ini bakal dimuatkan dalam album terbaru penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza berkonsepkan tradisional kontemporari yang akan menjengah pasaran tidak kurang daripada sebulan sahaja lagi?
Daripada pendengaran saya, lagu yang berjudul Ada Masa Mata itu mampu mencuri perhatian pendengar dan peminat setia Siti kerana keunikan yang terletak dalam lagu tersebut.
Iramanya begitu berbeza dengan apa yang pernah dipersembahkan Siti sebelum ini.
Bukan itu sahaja, lagu itu lahir dari hati seorang komposer ternama bernama M. Nasir yang bergabung tenaga dengan penulis lirik, Ad Samad.
Bila M. Nasir bergabung dengan Siti - ia membawa makna yang cukup besar seperti mana impak yang diberikan mereka berdua pada lagu duet Bagaikan Sakti pada tahun 2004.
Namun kali ini, kolaborasi ini sewajarnya diiktiraf sebagai kerjasama bistari kerana M. Nasir ada pandangan tersendiri bila membicarakan mengenai biduanita muda itu.
Dalam pertemuan eksklusif Hits dengan mereka berdua di studio rakaman itu minggu lalu, M. Nasir memberikan rumusan yang menarik mengenai penyanyi wanita yang masih belum mampu ditandingi tred rekod kejayaannya itu.
“Apabila memperkatakan tentang Siti, dia adalah suara.
“Dia (Siti) tidak perlu untuk mengikut trend semasa dalam melahirkan sebarang album. Apa sahaja lagu, dia boleh nyanyikan dan dia tiada masalah untuk mencari lagu yang sesuai untuknya,” demikian luahan jujur seniman terbilang ini mengenai Siti.
Malah, M. Nasir turut memuji Siti yang begitu berani bereksperimen dengan muzik serta lagu yang baru dan bermain dengan lenggok vokal yang boleh dianggap mampu mencabar kredibiliti vokalnya.
Bagi komposer terulung ini, dia juga melahirkan rasa gembiranya kerana dapat berkerja dengan penyanyi terbaik yang pernah dilahirkan oleh industri muzik tanah air.
Dan untuk kerjasama kali kedua ini, M. Nasir menyifatkan gabungan ini sebagai takdir meskipun pernah digandingkan pada pelbagai pentas persembahan.
“Mengenai lagu Ada Masa Mata ini, ia merupakan lagu pertama yang saya cipta dalam bengkel berkenaan.
“Alhamdulillah, ia berjaya menambat hati Siti dan saya sebenarnya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu ini.
“Jika ditanya kepada saya tentang keistimewaan lagu ini, ia terletak pada elemen muzik rambong serta mempunyai jalur muzik dari negara Thailand. Malah, saya juga terapkan sedikit unsur muzik Melayu dan Cina.
“Kita perlu berani lakukan perubahan demi peminat masa kini dalam usaha mereka untuk terus mencintai khazanah muzik kita,” tutur seniman ini penuh makna.
Pelbagai irama
Jika begitu terjemahan M. Nasir mengenai Ada Masa Mata, Siti Nurhaliza pula sudah tentu mempunyai sebab yang kukuh mengapa lagu ciptaan sifu muzik itu menjadi pilihannya untuk dimuatkan dalam album terbarunya itu.
“Saya mahu mempelbagaikan lagi irama dan muzik yang belum lagi diterokai dalam usaha untuk kita memartabatkan lagu-lagu warisan bangsa kita. Lagu Ada Masa Mata sememangnya cukup unik dan saya amat menyukainya.
“Muziknya ringkas namun catchy dan itu yang telah memikat hati saya. Secara zahir nampak mudah, namun, ia agak sukar juga untuk dibawakan kerana saya perlu mencorakkan lenggok vokal saya untuk menepati apa yang dimahukan oleh M. Nasir.
“Apatah lagi, dia mahu disampaikan dengan gaya nakal (ketawa kecil) dan saya telah mencuba yang terbaik,” demikian jawapan yang diberikan Siti pula.
Ada Masa Mata merupakan salah satu daripada 13 buah lagu yang dicipta untuk Siti menerusi Bengkel Cipta Ekspres yang dianjurkan oleh Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) yang diadakan pada awal tahun ini.
Kolaborasi Siti dan M. Nasir kali ini ternyata menyingkap kenangan manis antara mereka berdua kerana selepas empat tahun, mereka bertemu kembali atas nama seni.
Kali pertama mereka digandingkan dan berpadu kesaktian vokal masing-masing adalah menerusi lagu indah, Bagaikan Sakti yang menjadi salah satu lagu tema untuk filem termahal negara, Puteri Gunung Ledang pada tahun 2004.
Empat tahun berlalu, ternyata tiada yang banyak berubah apabila dipertemukan sekali lagi dengan Nasir.
Yang berubah hanyalah status Siti sahaja yang kini sudah bergelar isteri.
“Saya memang menghormati cara dia bekerja. Walaupun raut wajahnya nampak tegas namun apabila bekerja, dia sebenarnya seorang yang relaks dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Seperti mana rakaman lagu Ada Masa Mata ini juga, ia tidaklah susah mana sebenarnya. Cuma, ada kalanya bila kita menyanyi, kita rasa dah okey tetapi ia tidak mencapai kepuasan seperti mana yang dikehendaki oleh komposer.
“Malah, sewaktu rakaman ini pun, tiada sebarang masalah yang berlaku dan kalau dia tidak puas hati dengan penyampaian saya, dia akan beritahu dan saya akan perbaiki mengikut apa yang dia mahukan,” jelas Siti yang anggun meskipun berpakaian ringkas pada petang itu.
Tambahnya lagi, dengan adanya lagu seperti Ada Masa Mata ini, ia mampu mempelbagaikan lagi jalur muzik untuk dibawakannya dalam setiap persembahannya.
Album terbarunya yang akan dipasarkan pertengahan Disember ini merupakan album studionya yang ke-13 manakala yang kelima untuk diskografi tradisional selepas Cindai (1997), Seri Balas (bersama Noraniza Idris) (1999), Sahmura (2000) dan Sanggar Mustika (2002).
Isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa juga tidak mampu menyembunyikan kegembiraannya di samping mengharapkan album ini diterima dengan baik sementelah lagu bercorak demikian kini semakin kurang mendapat perhatian.
“Saya rasa bangga dengan penghasilan album ini kerana ia berjaya menghimpunkan ramai nama besar yang begitu mahir dan arif dalam penghasilan lagu sebegini. Begitu juga dengan komposer muda yang saya kagum dengan semangat mereka.
“Saya percaya dengan jentera promosi yang kuat, album ini mampu memikat hati pendengar dan peminat saya yang sudah sekian lama menantikan album ini daripada saya,” katanya optimis.
Daripada 13 buah lagu yang dicipta untuk Siti dalam bengkel tersebut, Siti hanya memilih 10 yang terbaik manakala selebihnya disimpan untuk projek yang akan datang.
Termasuk Ada Masa Mata, Siti telah merakamkan lima buah lagu yang dicipta oleh Johari Teh, Johan Nawawi, Adnan Abu Hassan dan Zul Mahat.
Malah, Siti juga sudah merakamkan lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara yang berjudul Cinta Ini dan Datuk Shuhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah yang sinonim dengan lagu tradisional untuk Siti juga sudah menyiapkan sebuah lagu untuknya.
Untuk memberikan yang terbaik, Siti telah mengambil masa selama 11 hari daripada jadualnya untuk menumpukan perhatian kepada pembikinan album ini.
“Selepas habis rakaman vokal, barulah album ini nanti akan dimasukkan dengan elemen muzik yang lain seperti strings di bawah pimpinan Eddie Marzuki sebelum dihantar untuk mastering,” katanya yang akan menjalani penggambaran untuk kulit album yang masih belum berjudul ini minggu hadapan.
Lirik peribadi Ad
Sementara itu, penulis lirik lagu Ada Masa Mata, Ad Samad berkata, dia hanya mengambil masa selama 30 minit sahaja untuk menulis liriknya.
Tambahnya, dia berterima kasih di atas situasi yang dihadapinya ketika itu yang telah melancarkan kerjanya.
“Ada Masa Mata lahir daripada tekanan dan emosi yang saya alami ketika itu. Pada ketika itu, semua mengalami masalah yang sama kerana perlu menghasilkan lagu dan lirik dalam masa tiga hari.
“Jadi, selepas berdepan dengan insiden yang cukup menyakitkan hati (ketawa), saya terus pulang ke bilik dan tanpa disedari, lirik pun sudah siap.
“Asasnya, lagu ini mengisahkan bagaimana ada kalanya mata dan hati bisa memberikan pandangan dan nilaian yang berbeza antara satu sama lain,” katanya yang kali kedua bekerja dengan M. Nasir.
Jelas Ad, lirik untuk lagu ini dihasilkannya adalah ringkas seiring dengan melodi lagunya.
“Bimbang juga kalau persepsi masyarakat apabila melibatkan lirik yang ringkas ini. Nanti mereka mengatakan kita lekeh dan tidak serius tetapi hakikatnya, kita perlu faham dan tahu karakter lagu tersebut untuk disesuaikan dengan liriknya,” kata Ad yang pernah menyumbangkan dua buah lagu untuk Siti dalam album E.M.A.S untuk lagu Oda Bumi Anbiya dan Airmata Ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan