Selasa, April 22, 2008

Hasil kerja seni Loloq mampu sara keluarga

petikan Berita Harian 22 April 2008
Oleh Rozdan Mazalan

Hariah Yaacob bersyukur lirik ciptaan arwah suami terima bayaran royalti tertinggi

HARIAH Yaacob 36, balu kepada penulis lirik terunggul tanah air, Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq bersyukur kerana arwah suaminya meninggalkan hasil kerja seni yang mampu menampung kehidupan beliau dan anak-anaknya.

Hasil kegigihan Loloq dalam dunia seni meninggalkan kesan yang sangat besar sehinggakan Allahyarham diangkat sebagai penerima royalti tertinggi bagi kategori penulis lirik selama enam tahun berturut-turut di Anugerah Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) kali ke-12 yang di Auditorium Penyiaran RTM, Kuantan, Pahang.

"Saya bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan ini dan berbangga dengan bakat penulisannya selama ini sehingga diiktiraf sebegini tinggi. Setidak-tidaknya hasil kerjanya dapatlah saya membesarkan anak-anak dengan sempurna.

"Saya juga akui pengorbanannya untuk menjadi seorang penulis dibuktikan dengan menumpukan 100 peratus kepada kerjayanya tanpa mempedulikan keadaan sekeliling dan ini adalah hasilnya yang ditinggalkan untuk kami.

"Selain banyak mentelaah buku berkaitan muzik dunia, dia terlalu kuat membaca pelbagai buku seperti agama, politik, sejarah dan apa saja yang boleh dijadikan ilham untuk menulis lirik," katanya yang hadir menerima anugerah ditemani anak Jaevn Nur, 9.

Selain dipilih sebagai Penulis Lirik dengan Pendapatan Tertinggi, Allahyarham Loloq juga turut memenangi Kategori Lagu Melayu: Kategori Persembahan Terbanyak menerusi lagu Aduh Saliha. Lagu ini dicipta oleh M Nasir dan dinyanyikan oleh Mawi.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Anugerah MACP diadakan dengan kerjasama RTM dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1. Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid, timbalannya, Datuk Adilah Shekh Omar dan Pengerusi MACP, Habsah Hassan.

Sementara itu, M Nasir yang juga rakan seperjuangan Loloq turut diiktiraf sebagai Komposer kategori Lagu Melayu Kategori Persembahan Terbanyak menerusi lagu Aduh Saliha sekali gus diangkat sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Tertinggi selama lapan tahun berturut-turut sejak ia diperkenalkan pada 1996.

"Apa yang membuatkan saya berbangga dan bersyukur apabila saya dapat menyampaikan anugerah buat Allahyarham Loloq kepada wakilnya. Saya juga bersyukur kerana sehingga kini lagu saya masih mendapat tempat di hati pendengar.

"Apa yang membuatkan saya terperanjat adalah apabila diumumkan lagu Aduh Saliha menerima anugerah bagi kategori Lagu Melayu; Kategori Persembahan Terbanyak, ini membuktikan lagu itu masih lagi top dan diterima pendengar," katanya.

Buat pertama kalinya setelah 12 tahun penganjuran anugerah ini, MACP turut memperkenalkan enam kategori baru melalui pertandingan Juara Kepada Juara (JKJ) yang bertujuan mengangkat prestij majlis ini.

JKJ memperkenalkan kategori Susunan Muzik Terbaik, Lirik Terbaik, Melodi Terbaik, Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan Lagu Terbaik yang dipersembahkan secara langsung semasa majlis anugerah itu berlangsung. Ia turut diadili juri profesional seperti Adnan Abu Hassan, Ramlan Imam, Nasser Abu Kasim, Prof. Rahman Saari dan Fauzi Marzuki.

Pendatang baru, Hafis Hamidun mengungguli dua daripada enam kategori iaitu kategori Melodi Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi lagu dan liriknya Kau Yang Satu. Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini turut membawa pulang tiga trofi termasuk wang tunai RM9,000.

"Kemenangan ini membuktikan lagu nasyid turut mendapat tempat di hati peminat tanah air. Masyarakat perlu mengubah persepsi dengan melihat kualiti lagu berbanding populariti artis. Ini adalah usaha saya selama dua tahun bertungkus lumus menghasilkan lagu ini semata-mata mencuba mendapatkan perhatian masyarakat dan boleh diterima semua golongan usaha.

"Dengan kemenangan ini juga menjadi semangat untuk saya berjuang dengan menghasilkan lebih banyak lagu berkualiti bagi meningkatkan industri muzik tanah air," katanya.

Turut mengungguli penerima tiga kategori JKJ yang juga band baru dan bakal menyinarkan industri muzik ialah Silent Scream.

"Kemenangan adalah nombor dua bagi kami dan apa yang utama adalah persembahan kami mampu memberi kepuasan kepada pendengar dan diri kami sendiri. Kami akui, biarpun sudah 10 tahun terbabit dalam industri ini namun kami masih tidak dikenali ramai. Kemenangan ini juga menjadi pembakar semangat kami untuk terus berada di arena ini dengan menghasilkan karya-karya bermutu lagi," kata penyanyinya John Oommen.

Selain John Oommen, mereka turut dianggotai oleh Tan Hiang Liang (bass), Irwan Haadi (gitar), Yam Wern Jhien (keyboard) dan Andrew Yap (drum).

3 ulasan:

deaf-angel berkata...

Wa sua love at first sight ngan ko nye blog.

Saudagar Mimpi berkata...

Kalo lu sudah jatuh cintan , jgn lupa melepak sini selalu. Hahahahaha!

Lu punya blog yg punya info Iron Maiden pun gerek juga bro!

Ande Sikutawangsa berkata...

salam singgah.


arwah mmg idola saya.

harap karya saya dapat mengikut jejak karya beliau.

amiinn..