Isnin, September 10, 2007

Jatuh Cinta Pandang Pertama... dengan album sulung AZFAR

petikan luncaiemas.com.my 10 September 2007
oleh Syah Mohamed

Bekas peserta akhir (top 6) One In A Million, AZFAR kini boleh menarik nafas lega apabila syarikat rakaman naungannya Luncai Emas kini mula memasarkan album sulungnya di pasaran mulai 20 Ogos 2007 ini.

Azfar berpengalaman luas menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sebelum ini dan kerap muncul sebagai juara seperti Sinaran Pertiwi TV3 2001 – Juara, Bintang Asli Remaja Kebangsaan – Juara, Bintang Asli Selangor & Perak –Juara dan terakhir OIAM 2005 sebagai peserta akhir.

Album berkonsepkan Pop Kreatif ini menonjolkan keupayaan vokal Azfar membawakan pelbagai rentak lagu yang mana kebanyakannya ke arah pop yang bersulamkan irama tradisi melayu asli yang ringan.
Walaupun kemampuan Azfar lebih ke arah lagu-lagu melayu asli yang lebih tulin, namun memandangkan usianya yang masih muda dan perjalanan seni beliau masih panjang lagi maka corak lagu-lagu di dalam album ini dirasakan mampu mendekatkan beliau lagi kepada peminat-peminat seni tanahair terutama anak-anak muda masakini disamping memperkenalkan kehebatan Azfar sebagai pelapis artis yang berpotensi besar di masa hadapan.

Kesemua 11 lagu di dalam album ini terhasil dengan penglibatan beberapa penerbit/ komposer hebat seperti M.Nasir, Tony Spider, Hanafi Spider, To’Ki, Arab, Razman, Pak Pandir dan beberapa penulis lirik berpengalaman seperti Loloq, Keon, S.Amin Shahab, Seth, Usop Kopratasa dan Mael.

Jatuh Cinta Pandang Pertama telah dipilih sebagai single pertama untuk siaran radio. Lagu yang berentak ‘tempo pantas’ dan liriknya yang mudah difahami diharap dapat menarik perhatian peminat untuk mengenali Azfar dengan lebih dekat lagi.

Album ini boleh di dapati dalam bentuk kaset dan cakera padat CD di kedai-kedai muzik. Dengan harga istimewa RM29.90/CD dan RM16.50/kaset, kami berharap album Azfar ini mampu dimiliki oleh peminat-peminat seni tanahair. Edaran album ini dibuat melalui Universal Music Sdn Bhd.

Tiada ulasan: