petikan Harian Metro 23 September 2007
Nasir Bilal Khan beri tips untuk jiwai watak Man Hero
BERADA jauh di Keningau, Sabah bersama rakan artis dan krew Aduh Saliha memberi satu lagi pengalaman baru buat saya.
Walaupun berpuasa, penggambaran tetap berlangsung sepertimana dijadualkan. Baik krew mahupun pelakon, semuanya bersemangat melaksanakan kerja masing-masing.
Kami bersahur dan berbuka puasa bersama-sama di hotel dan lokasi penggambaran. Ia pengalaman baru yang sungguh menarik.
Di Sabah, waktu berbuka puasa lebih cepat daripada Semenanjung. Tak terasa masa pantas berlalu, tiba-tiba sudah masuk waktu berbuka.
Kami menetap di sebuah hotel di Keningau dan penggambaran pula di Tambunan.
Pertama kali ke lokasi penggambaran, saya menempuh perjalanan yang sungguh mencabar. Untuk sampai ke Tambunan mengambil masa satu jam setengah.
Saya, Felix, Zahid dan Radhi OAG menaiki van bersama krew. Kami bertolak dari hotel di Keningau, kira-kira jam 6 pagi. Perjalanan itu terasa sangat jauh.
Dari jalan raya berturap, kami kemudian menempuh jalan tanah merah dan masuk jauh ke dalam hutan. Kebetulan ketika itu hujan lebat, macam-macam perkara terjadi, termasuk van tersangkut.
‘Cuak’ jugalah saya ketika itu. Apa tidaknya, sudahlah jalan licin dan jauh ke dalam hutan, jalan yang kami lalu itu berbukit-bukit dan bergaung.
Macam-macam perkara bermain di fikiran, bimbang juga berlaku perkara tidak diingini. Syukur kami sampai juga ke tempat yang dituju.
Bagaimanapun, lori yang membawa peralatan penggambaran, antaranya kamera dan lampu, tersangkut lama di dalam lopak. Sementara menunggu lori sampai ke lokasi penggambaran, kami sempat berehat dan ada yang mengambil peluang melelapkan mata.
Mata saya terpegun dengan keindahan lokasi penggambaran ini yang terletak di dalam hutan tebal. Cukup tenang, ada air terjun dan sebuah bangunan pihak yang bertanggungjawab menjaga tempat ini.
Tidak ramai orang datang ke kawasan ini, mungkin kerana ia jauh tersorok di dalam hutan. Sepanjang beberapa hari penggambaran berlangsung, hanya empat pelancong dari Jepun berkunjung ke sini.
Kalau ikutkan pada hari pertama di lokasi, kami sepatutnya pulang semula ke hotel apabila penggambaran selesai, tetapi dek kerana jalan licin, kami terpaksa tidur di sana. Ada yang tidur dalam bangunan, khemah dan juga van.
Dalam Aduh Saliha, saya bawa watak Man Hero yang terperangkap dalam alam lain. Dia cemas, keliru dan takut apabila menyedari dirinya dikelilingi makhluk luar biasa.
Dalam usahanya kembali ke dunia asalnya, Man Hero terpaksa berdepan pelbagai cabaran.
Awal penggambaran memerlukan saya menggunakan ekspresi wajah dan reaksi tubuh. Sepanjang empat hari saya berlakon tanpa dialog dan ia bukan perkara mudah. Ada beberapa babak, antaranya aksi saya turun dari celah batu dan mengejar Saliha.
Selasa lalu, baru ada babak saya melafazkan dialog. Kali ini saya berlakon dengan pelakon berkaliber, Nasir Bilal Khan. Saya bertuah kerana abang Nasir banyak bantu saya di lokasi. Dia tidak lokek berkongsi tips dan petua bagaimana mahu menjiwai sesuatu watak.
Saya akui memang sukar menghidupkan karektor Man Hero sepertimana dikehendaki pengarah Aduh Saliha, M Nasir. Mulanya saya masih terbawa-bawa cara saya dalam watak ini. Selepas beberapa kali ditegur M Nasir, akhirnya lahirlah Man Hero. Penat memang penat, tapi saya seronok.
Saya sudah biasa bekerja dengan M Nasir di studio dan sekarang pula di lokasi penggambaran.
Seperti kita sedia maklum, M Nasir seorang yang teliti dan mahukan yang terbaik dalam setiap hasil kerjanya dan biasanya ia mengambil masa lama.
Saya bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan bekerja di bawah arahannya. Baik di studio atau lokasi penggambaran, dia memang bersungguh-sungguh membimbing saya.
Semalam saya ada di Plaza Angsana, Johor, untuk mempromosikan album Satu Dalam Seribu.
Hari ini pula promosi diteruskan di IOI Mall, Kulai. Peminat yang ingin bertemu saya bolehlah datang beramai-ramai ke IOI Mall.
Jika ingin membeli kurma terbitan saya, Kurmawi, bolehlah mendapatkannya di gerai adik saya di IOI Mall. Turut dijual baju Melayu untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.
Selesai promosi album di IOI Mall, saya terbang semula ke Keningau untuk menyambung penggambaran Aduh Saliha. Doakan segalanya berjalan lancar ya.
Insya-Allah, saya akan maklumkan lagi perkembangan penggambaran Aduh Saliha dari semasa ke semasa. Sekian, wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan