petikan Mstar.com.my 22 Januari 2007
Wahida Asrani dan Radin Sri Ghazali
KUALA LUMPUR: Lagu Terlalu Istimewa ciptaan komposer Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah Noor telah muncul sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Adibah ungguli AJL21 (Foto The Star oleh Darren Tan)
Lagu yang dipersembahkan oleh Adibah sendiri itu berjaya merangkul wang tunai RM25,000 serta trofi.
Terlalu Istimewa juga turut dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Balada, menewaskan tiga buah lain di dalam kategori yang sama iaitu Mungkir Bahagia (nyanyian Hazami), Ku Seru (Misha Omar) dan Secebis Harapan (Nora).
Untuk kategori tersebut, Azlan dan Adibah memenangi wang tunai RM12,000 beserta trofi.
Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pula, kemenangan telah berpihak kepada lagu Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik oleh Habsah Hassan yang dipersembahkan oleh Zahid, manakala untuk Pop Rock pula, M.Nasir mengungguli kategori itu apabila lagu Juwita Citra Terindah, ciptaan sepenuhnya oleh dirinya sendiri berjaya dinobatkan sebagai juara.
Bagi kedua-dua kategori itu, masing-masing turut membawa pulang RM12,000 dan trofi.
Sementara itu, Adibah Noor juga turut memenangi anugerah Vokal Terbaik menerusi persembahannya dengan lagu Terlalu Istimewa dan membolehkannya menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.
M.Nasir juarai kategori Pop Rock
Penyanyi Hazami juga membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 selepas memenangi Persembahan Terbaik menerusi lagunya Mungkir Bahagia.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan.
Lagu lain yang turut bersaing dalam kategori Pop Rock ialah Diari Seorang Lelaki, nyanyian Pretty Ugly, Lagu Jiwa Lagu Cinta (M.Nasir dan Mawi) dan Tak Tercapai Akalmu (Elyana).
Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pula, lagu lain yang turut berentap malam tadi ialah Zapin Cinta SMS (nyanyian Senario dan Adibah Noor), Hantaran Hati (Bob dan Aspalela Abdullah) dan Candak (Siti Nordiana).
Komen pemenang:
Adibah Noor:
"Saya tidak sangka saya menang malam ini, apatah lagi mengalahkan orang lama seperti M.Nasir dan Ayob Ibrahim (komposer Warkah Buat Laila). Malah, saya rasakan saya tidak layak memenangi Vokal Terbaik sebab saya rasa suara saya seperti sumbang.
"Tapi, alhamdulillah. Sudah rezeki saya. Saya memang harap untuk menang kategori Balada, tetapi tidak terlintas untuk jadi juara keseluruhan AJL21. Sayalah orang kedua yang menang tiga kategori selepas Misha Omar."
Azlan Abu Hassan (komposer Terlalu Istimewa):
"Saya memang tidak pernah letak harapan yang tinggi pada lagu ini. Tetapi, Adibah telah beri tuah pada saya. Sepanjang lebih 20 tahun saya di dalam industri ini, inilah kali pertama saya menang Juara Lagu."
M.Nasir:
"Saya gembira dan saya berpuas hati dengan keputusan malam ini. Lagu Juwita Citra Terindah ialah elemen pop yang berbeza daripada lagu-lagu saya yang dulu dan saya gembira juri profesional dapat terima lagu seperti ini."
Warkah Buat Laila dendangan Zahid juarai kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif
Zahid:
"Lagu ini merupaka satu tanggungjawab yang besar untuk saya galas. Malah, saya sendiri takut jika saya tidak dapat sampaikan lagu ini dengan baik.Saya bersyukur kerana diamanahkan oleh Ayob dan Kak Chah (Habsah) untuk nyanyikan lagu yang sungguh puitis ini.
"Alhamdulillah, lagu ini berjaya meraih kemenangan menerusi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Saya puas hati kerana memang saya sendiri tidak menaruh harapan tinggi untuk menang."
Hazami:
"Saya bersyukur sangat dengan kemenangan ini. Saya memang banyak buat research untuk persembahan malam ini dan akhirnya saya putuskan untuk buat pentomin dan koir.
"Saya rasa, saya buat satu persembahan yang kreatif sebab saya gabungkan koir tersebut dengan pentomin. Maknanya, juri nampak apa yang saya cuba lakukan!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan