Isnin, Januari 22, 2007

Terlalu Istimewa juara lagu

petikan Utusan Malaysia 22 Januari 2007

Oleh: ABD. AZIZ ITAR

ADIBAH Noor bersama Azlan Abu Hassan menjulang trofi yang dimenangi pada Anugerah Juara Lagu ke-21 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar FATAH SULAIMANKUALA LUMPUR 21 Jan. – Penyanyi Adibah Noor membuat kejutan apabila lagu nyanyiannya berjudul Terlalu Istimewa muncul juara pada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah Noor dalam kategori Balada itu menggondol hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi yang disampaikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Razak.

M. Nasir yang menyanyikan lagu Juwita Citra Terindah, ciptaan dan lirik M. Nasir sendiri muncul pemenang kategori Pop Rock dengan merangkul hadiah wang tunai RM12,000 serta trofi pada pertandingan yang mengiktiraf karya komposer lagu dan penulis lirik itu.

Zahid yang membawakan lagu Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik Habsah Hassan dipilih pemenang bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Beliau menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Adibah Noor yang menyampaikan lagu Terlalu Istimewa ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Adibah Noor turut muncul pemenang kategori Balada dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Adibah Noor yang terkenal dengan suara lantangnya mendendangkan lagu Terlalu Istimewa juga muncul pemenang kategori Vokal Terbaik dengan meraih hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, Hazami yang menyampaikan lagu Mungkir Bahagia pula mengungguli kategori Persembahan Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi pada pertandingan yang berkonsepkan fusion moden itu.

Setiap kategori pemenang ditentukan oleh panel juri yang diketuai oleh Ahmad Izham Omar bersama Azhar Borhan.

AJL21 yang bertemakan Rentak Kita, Rentak Dunia mengenakan harga tiket RM3 kepada para penonton dan ia disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Radio Hot FM.

----------------------------------------

sumber wikipedia

Ringkasan Pemenang

Juara Lagu: "Terlalu Istimewa" (Adibah Noor/Azlan Abu Hassan/Adibah Noor)

Kategori:

Etnik Kreatif: "Warkah Buat Laila" (Zahid/Ayob Ibrahim/Habsah Hassan)
Balada: "Terlalu Istimewa" (Adibah Noor/Azlan Abu Hassan/Adibah Noor)
Pop Rock: "Juwita Citra Terindah" (M. Nasir)
Vokal Terbaik: Adibah Noor ("Terlalu Istimewa")
Persembahan Terbaik: Hazami ("Mungkir Bahagia")


Tiada ulasan: