petikan ROTTW Vol 106 September 2005
Teks & Temuramah: SEIR & HASRUL
Fotografi Cover: SEIR
Foto: Luncai Emas
Siapa M. Nasir? Mungkin itu yang selalu dipersoalkan segolongan generasi 'alternative' yang ratanya lahir di 80-an, yang lahir untuk membidas apa saja produk berdasarkan nama Melayu itu sendiri. Mereka yang selalu berkiblatkan muzik Barat ala Amerika atau British... Itu mungkin hanya beberapa golongan (yang menganggap mereka) intelek yang menolak langsung budaya Melayu dalam lagu dan yang pasti, mereka bukan membesar dalam lagu-lagu Melayu. Mungkin sebilangan sahaja, tetapi cuba cari golongan tersebut dan tanya mereka, siapa M. Nasir. Yang pasti, kenangan nama dan pengaruh M.Nasir mungkin hanya sekelumit sahaja dalam ingatan atau hanya didengar anggota famili lain.
Bagaimanapun nama M. Nasir itu tetap kedengaran dan tetap dikenali juga, M. Nasir ialah insan yang digelar media sebagai 'sifu' yang mengembangkan sudut kreatif irama rock dari nama dan kumpulan kumpulan besar Malaysia seperti Wings, Search, Ella, Hattan dan RAMAI lagi! Karier solonya memberangsangkan seniman-seniman muda untuk berfikir lebih mendalam sambil mengaitkan muziknya dengan seni filem, teater, lukisan dan lain lain. Malahan, ramai yang mahu menjadi seperti dia, membikin muzik, lantas menjadi seperti muziknya juga. Kenapa ya? Tiada idea lain kot…
Sebagai pencipta lagu dan lirik, semuanya bermula dengan senikata Senandung Semalam nyanyian Alleycats serta lagu ciptaan pertama Hujan bawaan Sweet Charity. Karya-karyanya yang seterusnya boleh dikatakan 'membentuk' dunia muzik Melayu Malaysia dan serantau. Antara tema serius, masyarakat, fantasi dan cinta, M. Nasir ialah sejarah muzik Malaysia.
Bukan sahaja akar muzik Malaysia secara meluas, malahan ruang pop tanahair hampir didominasi oleh anak seni kelahiran Singapura ini. Bermula dari 1981, dia sudah keluar dengan album Untuk Pencinta Seni dengan menggunakan nama Mohamed M.N. dan seterusnya dengan enam album bersama sebuah kumpulan muzik dan harmoni bernama Kembara. Dia yakin mengakui yang hampir kesemua usaha Kembara ialah usaha besar dirinya sendiri. Tiga album solo dari 1989 hingga 2002 cukup hebat tetapi hampir tiada konsistensi terutama ketika album terbaru Phoenix Bangkit keluar sekitar 2002. M. Nasir ada jawapan itu di dalam temuramah di bawah.
Sekarang bukan kita mahu bercakap tentang konsistensi dalam perjalanan muziknya, tetapi lebih menjurus kepada imej serta perjuangannya yang kita nampak dari luar kulitnya. Jika di era pra-Phoenix, lebih jelas tampak seninya serta lebih dekat karya karyanya dengan masyarakat. Tetapi di zaman pasca-milenium, M. Nasir mula terbabit kuat dengan imej-imej pop yang luar biasa kilatnya, dengan busana-busana rekaan pereka fesyen terkenal serta gaya pentas yang mengeluarkan api (AIM 2002). Ya... gaya-gaya yang bagi sesetengah orang, bagai dewa pop yang menyanyikan lagu-lagu rakyat! Di kala ini hinggalah kini, M. Nasir dilihat bukan lagi dirinya sendiri lagi, tetapi lebih sebagai satu percaturan dunia cantik, kemas, dan berkilat muzik pop. Dan imej itu sukar sekali dikikis sehingga sekarang.
Apatah lagi apabila M. Nasir sendiri yang menjadi pengetua sebuah rancangan realiti popular Akademi Fantasia menggantikan Ramli M.S. Orang yang masih mempercayai M. Nasir mungkin berkata, "tujuannya dia bersekongkol sebegitu ialah untuk mengubah situasi dan mempengaruhinya dari dalam. Kita perlu menjadi seperti ITU, barulah kita boleh mengubahnya." Mungkin juga…
Sebagaimana yang orang mengenali M. Nasir, membencinya atau menyukainya, M. Nasir tetap juga begitu. Berterus terang tanpa selindung, berkata kata dengan hanya sedikit tapisan, berkarya tanpa batasan, memberi kejutan tanpa alasan... yang pastinya, dia mahu menjadi dirinya sendiri tanpa mengambil kira sangat tentang orang lain.
Dari sebuah artikel di majalah muzik Inggeris Tone (sekitar 2002), M. Nasir dikatakan sebagai pemula dan pencetusnya irama Melayu leleh... pengaruh dari hit-hit yang pernah dihasilkannya. Isabella mungkin salah satu darinya.
Bersama M. Nasir…
Ketika memasuki ROTTW sekitar 1997, M. Nasir ialah subjek pertama yang menjadi bahan tulisan penulis dan dia adalah artis pertama yang saya temuramah, bersama Editor Aznie Dean di tingkat atas pejabat dua tingkat Luncai Emas di Sungai Buluh. Kini, setelah hampir 8 tahun berlalu, M. Nasir masih mahu berbual dengan ROTTW buat kali ketiga. Secara panjang lebar. Jadual M. Nasir rupanya tidaklah sesibuk yang kami ingatkan. Satu panggilan telefon ke Luncai Emas sudah boleh membuahkan satu sesi temubual yang selesa dan panjang tempohnya.Tak banyak berubah sangat pejabat itu sejak dahulu, masih tenang dan hiasan di dindingnya hanya bertambah sedikit sahaja. Hari ini saya dan penulis Hasrul memasuki ruang yang belum kami pernah masuki. Lorong kecil ke bilik mesyuarat juga dihiasi poster poster filem yang pernah M. Nasir lakonkan. Berderet kemas. Ruang bilik berbincang ini hampir kesemuanya dicatkan hijau dengan meja besar di tengah-tengahnya. Di kiri dinding penuh dengan anugerah-anugerah yang pernah dimenanginya. Di dinding lain pula penuh dengan lukisan dari pelukis (yang saya kenali Fuad) dan M. Nasir sendiri. Kebanyakannya dari medium cat minyak di atas kanvas hinggalah kepada pensel.
M. Nasir duduk di hujung meja, di atas kerusi yang diletakkan jaket kulitnya. Kerusi bos. Dia tak bertanya apa-apa, hanya duduk diam. Hanya meneliti majalah ROTTW terbaru yang baru kami berikan. Di luar tadi dia bertanya, apa makna ROTTW ni? Lalu saya menjawab, "Rhythms Of The Third World...... Dia membalas sambil ketawa kecil, “third world apa. Ini main muzik barat ni..." merujuk kepada band yang menghiasi muka depan ROTTW bulan lalu, Seven Collar T Shirt. Di dalam bilik mesyuarat, Hasrul sudah berbual sedikit. M. Nasir bertanya lagi.... (temuramah) ini untuk cover? Haah saya jawab. "Abang OK? Abang ada masa sampai pukul berapa?" "Tak kisah,"... jawab dia perlahan. Oleh itu, sesi petang yang molek hari itu berlalu tanpa banyak tekanan masa dan sensor. Lapan tahun lalu, pihak Luncai Emas meminta ROTTW menghantar faksimili soalan dan salinan artikel yang akan dikeluarkan, mungkin kerana fobia dengan kejadian beberapa kenyataan M. Nasir yang diputarbelitkan atau disensasikan kerana ketika itu, M. Nasir memang sensasi. Ketika itu, M. Nasir hangat di media kerana bertanyakan “Siapa Mahathir?”
Hampir sedekad berlalu, secara zahirnya di mata penulis, karier muzik M. Nasir semakin menunjukkan ketumpulannya. Benarkah begitu? Corak dan perkembangan muzik Malaysia sememangnya menjadi semakin kompleks dan sukar dibaca masa depannya. Tetapi M. Nasir ada pendapatnya sendiri juga. Petang itu kami banyak berbual tentang album albumnya, tentang muzik secara global, filem, tentang program realiti dan tentang pengkorporatan M. Nasir... la mungkin sebuah temuramah yang agak panas dan isu-isunya tidak akan terbongkar oleh medium lain pastinya. Ia lebih terarah kepada persoalan muzik yang serius dan terpulanglah kepada anda untuk menilai pro dan kontra, positif dan negatifnya serta baik dan buruknya. Ikuti temubual yang di antara M. Nasir, Hasrul dan Seir di petang yang nyaman itu....
Hasrul: Apa projek terbaru abang sekarang?
M. Nasir: Tak banyak sangatlah, tengah AF. Tak sesibuk mana sangatlah buat masa ni. (sambil membelek naskah terbaru ROTTW). Gambar cantik, ini masa Ramli rock kat Istana, kan? Hmmm.....ok gak, tapi kalau dekat URTV tak kenalah lah kot. Hahaha…
Diam sebentar sambil membaca beberapa artikel dan menyelak rambang
M. Nasir: Oh..ini Seven Collar TShirt. Macam mana album dia boleh jual?
Seir: Tak juallah. M. Nasir: Tahu pasal apa tak jual?
Seir: Tahu jugalah, satu sebab Bahasa Inggeris.. mm..... lagi satu mungkin sebab terlalu eksperimental.
M. Nasir: Bukan.... lagu dia tak sedap. Itu jer jawapan dia, tak kiralah apa jenis muzik pun. Macam sekarang kita suka pada Muse dan apa lagi satu grup tu, aaaa... head apa Motorhead. (Mungkin Audioslave)
Seir: RATM (Rage Against The Machine) M. Nasir: Tak kiralah... kita suka dengan dia. Tetapi... bila kita cuba buat macam dia, kita tak dapat semua attitude macam dia. Tang tu yang kita tak berapa nak bagus. Aku dengar juga dia orang punya ni....(7 Collar T-Shirt). Kalau dia buat semula album Kembara, dia boleh jual. (Batuk) Lagu tu, melodi tu.
Hasrul: Kalau kita masuk dalam market kita hari ini pun, banyak juga lagu yang tak sedap orang jual?
M. Nasir: Mana dia ? Lagu tak sedap macam mana, cuba bagi contoh.
Hasrul: Grup-grup yang tempias yang leleh ni, macam.... (sambil merujuk beberapa nama kumpulan)
M. Nasir: Mana tak sedap, dalam konteks dia.....sedap apa. Engkau dalam konteks engkau.Jadi bila kita nak kritik pun kena tengok dan kritik dalam konteks dia. Dia ada zoner dia sendiri, tak boleh nak disamakan dengan aliran engkau. Dalam aliran tempias dia, dia tetap sampai. Argh... walaupun kita tak berapa nak suka aliran macamtu. Kira gelilah, kan. Tapi macam... (menyebut nama-nama beberapa band sebegitu) ni umpama lah katakan. Lagu dia kira OK, masih boleh nyanyi, tetapi... dalam konteks dia lah, zoner dia.
Faham tak? Kita kena balik pada basics, macam mana... nak start lagu (buat lagu).
Hasrul: Kalau saya katakan... mentaliti orang Malaysia itu sendiri yang tak sampai?
M. Nasir: Itu satu hal juga, kita dalam Malaysia.... berapa ramai yang minat grup (SCTS) macam ini? (tergelak)
Hasrul: Masih ada yang tahu nilai dan menilaikan.
M. Nasir: Betul, dia orang bagus. Tapi engkau dah belanja.... katakan 50 ribu. Lepas tu, belanja untuk promosi lagi puluh-puluh ribu. Off course, kau expect benda itu datang balik, kan?
Hasrul: So... kira masalah marketlah.
M. Nasir: Itu sahaja, (tergelak).
Seir: Jadi.... abang punya aliran sekarang ni, apa?
M. Nasir:Tiada aliran.
Seir: Kalau Pop?
M. Nasir: Aaa... Ya juga.
Seir: Abang punya production material sekarang, fokus kepada apa?
M. Nasir: Dia lebih kepada.... macam improvisation, macam lagu yang sedap didengar dan boleh dinyanyikanlah. Senang dan sedap didengar.
Seir: So... abang tengah workout untuk next albumlah. Pendapat abang sendirilah... Phoenix Bangkit itu sendiri macam mana? Puas hati, successful atau pukul rata sahaja?
M. Nasir: Tak pernah rasa puas hati, tapi... dari segi apa nak dibuat, kira sudah tercapailah. Argh... dari segi yang orang lain tak boleh nak buat, tapi dah terlambat…
Hasrul: Lambat? Maksudnya... patut keluar zaman Canggung Mendonan?
M. Nasir: Canggung Mendonan...... mungkin juga.
Hasrul: Kalau kita nak comparekan Canggung Mendonan dengan Pheonix Bangkit itu sendiri. Canggung Mendonan ada kekuatan sendirinya dari Sentuhan Listrikmu, Bonda dan Apokalips.
M. Nasir: Aaa.... Apokalips bukan dari Canggung (membetulkan)
Hasrul: Oh..ye ker. Tetapi kalau kita dengar aura dari Canggung itu sendiri lebih kuat untuk jadi evergreen berbanding Pheonix. Kita pilih sesiapapun sepuluh orang suruh nyanyi lagu M Nasir, sure dia orang pilih lagu dari album Canggung. Kenapa?
M. Nasir: Ya, itulah dia (menjawab soalan yang sebelumnya). Semuanya pasal album, kita tidak akan buat benda yang dah keluar. Tetapi pendekatannya... lebih pada teknikal. Always... selalunya tiap album itu patut ada harapan. Masa dia dah habis. Telinga orang dah penat mendengar, dia sudah terarah ke lain. Kita rasa nak perfectkan craft tu. Umpamanya.... macam Canggung banyak kekurangannya, aspek jiwa, kira dia dah lepas... kira cukuplah. Tapi dari segi craft, aaa.... teknikal dia, kita rasa belum lagi, kan. Ingat nak buat kat album lain lah. Kira hendak capai puncak dialah. Cuma jarak masa antara Canggung ke Pheonix terlalu lama. Mula-mula Mustika selepas itu kita ke Saudagar Mimpi dan baru datang Canggung. Masa album ketiga dan empat jarak dia lama sangat lebih kurang empat ke lima tahun (sambil memejamkan memejamkan mata, seolah mengimbas kembali).
Hasrul: Tetapi antara jarak jarak itu, ada transition (beberapa) kompilasi, kan?
M. Nasir: Banyak.... tapi singles-singles yang macam gitu jugalah.
Hasrul: Ada Akar.
M. Nasir: Akar pun ya juga, selepas itu kita ada Kias Fansuri, Andalusia. Ghazal Untuk Rabiah mela juga tapi itu untuk album Jamal. Album sebelum pun lebih kurang sebegitu, jadi.... bila sampai sahaja Phoenix Bangkit dia orang dah dengar benda tu tawar... Sepatutnya tak payah keluar apa-apa. Single tu (Kias Fansuri, Akar Kita, Andalusia) patut keluar dalam itu (Phoenix Bangkit). Tapi company hendak keluar something juga. Orang... dah fine tune kat situ. Bila keluar album seterusnya, dia jadi nothing.... sama je. Benda tu jadi tidak seberapalah.... dia orang kata mungkin Oklah, tapi tak cukup mabuk.
Hasrul: Karya itu.... kiranya, semakin bosanlah? Kenapa buat juga?
M. Nasir: Ya, orang dah mula bosan. Saya dah (agak/tahu) benda ini dari dulu lagi. Dia.... benda macam ni lima tahun je, orang dah tak boleh tahan. Muzik itu jadi tidak berapa jauh beza, kan? Sepuluh tahun lama tu, eh..lima tahun. Saya dah figure benda tu, bayang-bayang Irama Malaysia tu dah nampak. Orang pun mula buat, labelkan Irama Malaysia. Jadi sampai waktu itu, dah basi... tak ada apa lagi dah. Kalau benda itu lahir sebagai baru, mungkin orang excited juga. Macam muzik rock juga. (Tiba-tiba teruja) Satu kepelikannya muzik rock ini, dia punya keindahanlah, kan. Rock ini susah nak bosan. Tak tahulah kenapa, benda ini susah nak jawab.
Seir: Projek terbaru Abang dengan Search?
M Nasir: Lebih kepada sambunganlah. Break atau tidak itu... bergantung pada artis itu sendiri. Fire yang ada pada dia orang. Memang involve, tetapi macam biasalah... dia orang ni.... ada problem lain (komitmen masing-masing). Itu yang buat benda jadi lambat sikit.
Seir. Dari segi kreativiti, perbezaan yang abang nampak Search dulu dan sekarang?
M Nasir: Tak banyak, Amy seorang yang suka pada pembaharuan. Band itu boleh ikut cara Amy. Tapi tidak semua yang boleh ikut kepala Amy. Kalau kita tengok pada aliran rock, kan.... pernah satu masa zaman glam rock macam rock n' roll jugalah. Rock (ialah) zaman hero.... semua nak jadi guitar hero dengan drum solo yang panjang-panjang. Sekarang orang dah tak heran, engkau pandai main gitar.... ok fine, dia habis macam tu jelah. Kalau tak boleh nak buat macam mana lagu sekarang, kiranya engkau tak berapa in lah dalam industri. Orang boleh respect sebab engkau bagus dengan instrumen sahaja. Lain lain tidak. Macam Aerosmith (humming sesuatu dan lama mencari nama) Ha!.... Bon Jovi. Dia orang takkan berubah punya. Tetap macam itu, Rock n' roll cuma lagu... yang barulah, imej tetap sama. Jadi engkau expect apa dengan Search?
Hasrul: Push.... untuk meletup balik.
M. Nasir: Lagu, macam-macam.... (terdiam sejenak). orang punya tumpuan dah lari, AF (Akademi Fantasia) contohnya.... itu mungkin muzik punya hal. Entertainment punya hal... dia mungkin promote muzik tapi dari segi nyanyian sahajalah. Pembaharuan? Tiada.....
Skop temuramah kian panas…
Hasrul: Rasionalnya M. Nasir itu sendiri join AF?
M. Nasir: Apa rasional dia.... (tergelak). Apa nak kena rasional pula? Tak perlu rasional...
Hasrul: Apa fungsi M. Nasir di situ (AF). Sebagai pengkritik tentu bukan atau hanya sekadar Pengetua semata-mata?
M. Nasir : (tergelak lebih besar kali ini) Jawapan dia... memang sengaja untuk di situ. Cerita dia memang begitu (terdiam agak lama juga).
Hasrul: Atau Astro ambil M. Nasir itu untuk jual lebih berbanding musim Ramli MS? Komen Abang?
M. Nasir: Tak jugak. (Pendek dan penuh tanda tanya).
Seir: Abang fikir panjang tak sebelum masuk AF?
M. Nasir: Dah lama...... tapi itu isu last minute, kan. Siapa yang nak masuk ni? Sebelum itu, tolak juga... sekeras-kerasnya.
Hasrul: Atas alasan?
M. Nasir: Orang akan fikir benda ini dua tiga bulan sahaja.... dia orang tak ambil kisah sangatlah.
Hasrul: M. Nasir sebagai ikon besar industri.... daripada join AF yang sifatnya cuma realiti di TV sahaja. Lebih baik bertindak sebagai birokrat seni... mengkritik untuk seni.
M. Nasir: Buat apa? Tak nak lah. Kalau nak, saya dah pergi naik satu-satu... takut orang tak tahan nanti. Ini.... (sambil menunjuk pada cover ROTTW) Kenapa dia orang kat dalam ni?
Seir: Untuk hidup... bang.
M. Nasir: Jual ni untuk apa? Hidup semata-mata... dia-dia orang yang dalam ini?
Hasrul: Sebab....dia orang ni tak boleh nak naik dengan jalan yang ada.
Seir: Sebab itu kita letak M. Nasir... untuk cover bulan depan.
Hasrul: Impak dia lain sikit kot. M. Nasir : (tergelak besar)
Seir: Kalau orang kata yang M. Nasir dah tumpul idea?
Hasrul: Kira.... agak perlahan sikitlah?
M. Nasir: Perubahan tu........dalam 10 tahunlah, ketara dalam lima tahun kot. Perubahannya adalah (kerana) radio. Kita tak sedar, tetapi.... baik atau buruknya, peranan radio ini dah terlampau besar sangat. Radio ambil lagu yang ada hook kuat sahaja. Kumpulkan dan mainkan sekali dengan lagu-lagu lama yang hits. Jadi ada tension dan bebanan pada komposer untuk buat lagu. Adalah dalam dua atau tiga radio untuk orang muda. Orang-orang lama pula.... dia kumpul lagu 70-an dan 80-an. Radio itu sendiri dah banyak. Orang suka sebab DJ, ragam DJ. Orang dulu zaman mini compo beli album, memang concentrate.... sekarang tak. Kita dengar radio pun...bila? Masa naik kereta... kalau tak, kita pasang lagu hits, kan. CD yang kita belilah. Beban sebenarnya nak buat lagu yang hits ikut design radio. Contohnya... macam Search, kita nak buat album yang rugged katakan. Album yang ada cerita, arrangement, skill tetapi 10 tahun kebelakangan ini, pop turut digubah begitu juga. Kadangkala lagu pelik macam kumpulan Akar, yang kita pun pelik... rock jenis apa ni? Tapi dari konteks dia mungkin sedap kot. Komposer terarah ke situ.... untuk catchy. Hal lain pulak, lambakan dan kemunculan penyanyi kita yang tiada karakter. Pattern macam ni banyak yang ke sebelah R n' B dan pop. Album tak jalan pun, tapi dia orang ni rasa macam besar sangat. Kenapa? Sebab radiolah yang layan. Jadi itu yang buat kita agak slow sikit. Mencari..... apa benda ya?
Hasrul: Sesuatu yang baru?
M. Nasir: Haaaa... macam itulah. Kita cari dan cuba buat juga. (telefon beliau berbunyi, perbualan terhenti seketika). Penyanyi berkarekter ni cuma tahun 80-an sahaja. Karakter orang sekarang ni tak kuat.
Hasrul: Pakej verstailiti?
M. Nasir: Ya juga, tapi itu satu hal lain pula. Dia.... lebih kurang macam nilah.
Penyanyi yang bercakap untuk masyarakat dia, sebab... masa mula-mula aku join muzik dulu, itu yang aku nak buat dan memang buat masa itu.
Hasrul: Lebih kepada seorang pengkritik sosial, kan?
M. Nasir: Haaa...macam tu. Masalahnya masuk sahaja era 90-an, mood dia berubah pada lagu keperempuanan, cenderung ke situ. Tersandar sekejaplah masa itu. Kita tengok.... dia orang buat macamana. Dia orang buat sebelah sini, aku buat sebelah sini (sambil melakar garis lurus di mejanya). Sebelah sana makin banyak, tapi aku tetap buat macam itu. Jadi orang ada ruang untuk dengar aku. Kemudian datang alternative, dia panas sekejap. Dia membuat musician, macam engkau.... tahu kord gitar sikit, kira dah boleh lepas lah. Tak lama... kualiti dia.... baru nak mula nak ada, dia dah padam. Ini semua pecahan dialah, baru nak naik balik... (sambil menunding pada majalah ROTTW)
Hasrul: Tapi dari segi perjuangan... dia orang lebih jujur. Mengkritik, M. Nasir pun mengkritik juga bukan? Macam... duit, anak kita, akar kita. Abang rasa?
M. Nasir: Ya, tetapi... medium dia itu susah nak sampai kepada masyarakat am. Tak ramai yang boleh dengar begitu. Basic untuk dengar lagu ini... dia nak sedap juga.
Hasrul: Merujuk pakej, Abang rasa.... pakej penyanyi macam mana yang orang Malaysia hajatkan?
M. Nasir: Hmm......suara yang sedap, boleh nyanyi macam-macam lagu, personaliti yang massa boleh terima, orang bandar orang kampung boleh terima, artikulasi bagus, sedikit kebijaksanaan untuk menghantar perasaan... tak perlu bijak sangat. Paling penting dia pandai menghargai dan respect peminat dia, semua skop ini untuk penyanyi pop lah yang saya maksudkan. Band (pun) macam itu juga, tetapi kalau kita tengok England dan Amerika. Grup-grup yang bertahan lama ni biasanya punya karakter yang kuat. Imej…
Hasrul: Dulu muzik kita pernah meletup habis pada 60-an dan turun pada 70-an sebelum empayar rock berkuasa. 90-an kita slow... perlahan sangat, macam ada benda yang tersangkut. Kalau saya katakan graf muzik kita sekarang ini statik, sakit...Abang rasa macam mana?
M. Nasir:Betul, setuju. Satu dunia...memanglah.
Hasrul: Abang rasa.... Abang berada di garis statik itu juga?
M. Nasir: Haaa.... dia sebenarnya ada perkembangan dengan sosial kita aa.... ya sosial. Tapi kau tak sebut kenaikan nasyid, tahu tak sejarah kenaikan nasyid? Penjualan dia, lebih dari artis-artis lain. Itu menunjukkan apa? Orang kita sudah mula sukakan keIslaman. Nilai tu dah ada, cuma sekarang muzik macam tu agak pudar sikit, sebab....lambakan. Tapi tak mustahil dia boleh naik balik kalau kena pada caranya. Macam pop, walaupun industri dia besar...tapi jualan dia tak sebesar mana dan tetap macam itu sejak dari dulu lagi. Paling tinggi sekalipun untuk jualan album pop kalau kita masih ingat tak silap akulah.... Ukays 300 ribu. Zaman dia pernah ada market... dia sedaplah. Rock paling tinggi Search itupun 200 ribu lebih. Paling besar kredit pun untuk Ella setakat ini dengan 300 ribu lebih. Mungkin sebab dia popish dan perempuan barangkali.
Hasrul : Atau orang Malaysia yang tidak boleh nak identified dan salute muzik kita sendiri, masalah bahasa mungkin? Kita tidak boleh keluar jauh sebab ini. Kira-kira Abang macam mana?
M. Nasir: Kalau kita lihat pada Turki umpamanya. Mereka punya aliran muzik barat dan muzik Turki itu sendiri. Jadi budak-budak muda yang main muzik barat di sana, bermasalah juga sebab... market dia orang Turki. Paling berpengaruh Arab pop, western orang dengar juga.... tapi, tak sehebat lagu Arab. Cuba kita lihat industri kita, apa yang kuasai muzik kita? (telefon beliau berbunyi lagi) Dia ada Arab groove dia sendiri, macam Arab campur dengan rhythm westernlah... tapi Arab dia yang lagi kuat. Kita ada Irama Malaysia... tapi tak kuat untuk jadi satu aliran. Orang kita tetap pegang pop sebagai yang main (utama). Macam negara yang patriotik... seperti India, Pakistan. Macam Indonesia, dia pop. Tapi dia ada dangdut. Malaysia.......ada apa? (bersungguh) Itu yang kita cuba buat Irama Malaysia... tapi dah menghilang lepas Siti dah tak nyanyi macam itu lagi, kan. Siti takkan selamanya nyanyi lagu-lagu yang macam itu. Macam Turki.. Arab pop itulah core bagi mainstream dia. India.... Hindustan mainstream bagi dia. Indon... dia pop, tapi dia ada dangdut. Irama Malaysia.... yang sebenarnya... Malaysia poplah. Irama Malaysia itu label semata. As long popish macam ini senang attitude Malaysia. Radio punya kerja jugalah yang jadi macam ini. Ingat tak dulu lagu Scorpions..... 80-an. Lagu ballad dia tulah...lagu rock yang paling gelilah bagi aku. Orang Malaysia ni dia tak kira asal sedap... dia dengarlah. Dia orang tak ada masa nak dengar arrangement dan benda-benda remeh macam ni.
Hasrul: Jadi.... M. Nasir itu sendiri, buat lagu yang asal sedap sahajalah?
M. Nasir: Aku boleh buat macam macam. Ada sembilan lagi lagu lain, samada engkau yang nak dengar atau tak nak. Album ada 10 buah lagu, orang ada masa nak teliti teknikal dia? Tak. Orang beli pasal lagu itu sedap je. Mungkin ada pembeli yang akan teliti, tetapi.... DJ radio tak ada masa dia nak teliti semua. Dia dengar mana yang rasa boleh masuk kepala dia sahaja. Nak yang catchy. Itu yang banyak komposer terdorong ke arah situ. Nak catchy punya pasal dia jadi macam kebudak-budakan. Hook yang murahan. Dia orang tak fikir mahal (masak masak). Dalam tiga bulan jual habis habisan, lepas itu biarkan. Ini fenomena dunia manusia hari ini.... orang sudah tak boleh nak sabar. Aku sendiri pun sudah jarang dengar western sekarang ini. Dia orang pun sakit nak jual... (telefon dia bunyi lagi............)
Hasrul: Tiada lagu baru? Abang tak buat painting.... aaaa writing ke?
M. Nasir: Banyak... benda lain pun buat juga. Orang yang tak tahu.
Hasrul: Tak nak open untuk public? (painting collection)
M. Nasir: Nantilah, kadang-kadang orang nampak macam serius sangatlah pula. Itu pasal bila aku transfer ke acting, orang tak boleh terima watak watak lain.
Seir: Abang rasa... mana direction filem local kita?
M. Nasir: Tiada. Kalau kita tengok masa FFM hari itukan, kita masih ada lagi golongan yang old school...... intelek. Apa yang patut kita buat sekarang ini? Lepaskan sahaja budak budak muda kita ini (telefon berbunyi untuk kali ke 4). Pasal, no big deal. Kalau dia orang boleh buat filem, buatlah. Cari duit sendiri. Kalau tak, pergilah jalan minta mana-mana sponsor tour dunia masuk competition. Bukannya happening sangat pun festival
: Abang perlu support?
M. Nasir: Memang lagi teruk.. (terdiam seketika). Arus perdana.... dia bergantung pada cara kita. Jati diri kita.
Seir: Abang sendiri.... apa Abang perjuangkan?
M. Nasir: (agak serius) Aku... selain kasi makan anak-anak aku yang 6 orang itu. Anak dari isteri aku yang pertama dan yang sekarang. Pembangunan masyarakat (minda), tanggungjawab aku nak bagi dia orang mabuk dengan lagu-lagu aku sebab..... kita nak ambil duit dari dia orang. Di Amerika benda-benda macam ini dah lepas. Amerika itu kalau kita tengok, di tengah-tengah, kan? Semua orang mengelilinginya, jadi.... kalau hendak berhenti mengelilinginya. Kita kena buat pusingan kita sendiri. Kita perlu untuk terbuka, tetapi di dalam satu sudut.... kita kena strong, satunya bahasa. Malaysia ini masalahnya, terlalu banyak pendapat yang tidak setuju. Kalau bersetuju pun, aliran dia lain. Tak boleh juga.
Hasrul: Tentang ? M. Nasir: Banyak perkara.... Malaysia ini macam-macam. Kita nak tengok grup-grup yang macam ini naik (menunding kepada cover ROTTW-7 Collar lagi) tetapi, yang naik, grup yang... aalahai. Tapi, tidak jadi macam yang kita nak. Masih lagi berusaha dan... datang pula reality TV. Perkara perkara macam ini yang menghambat kita. Malaysia tidak ada satu gerakan kesatuan yang padu. Tetapi movement itu hendaklah jelas. Movement.... movement juga, tapi muzik apa? Kita berjuang ada sebab. Sebab yang paling utama, bangsa kita. Kita nak juangkan Irama Malaysia, tapi malu. Alahai.... lembiknya muzik ni. Kita kena create benda ni sehabisnya hingga kita boleh identified. 'Semangat zaman', bukan Semangat Zaman album rock tu.
Seir: Abang masih cipta lagu macam dulu lagi? Atau... kuantiti sikit tetapi lebih pada (kualiti) penciptaan?
M. Nasir: Susah nak cakap. Kuantiti... buat banyak, cuma rakam yang sikit. Hari-hari buat, koleksi....entah berapa ribu entah. (ketawa kecil) Dengar-dengar balik macam tak sesuai, macam sekarang 10 buah lagu... tapi, tak sesuai lagi. Macam rock jugalah. Tengah buat lagi…
Seir: Abang bila nak keluar oversea? (album)
M. Nasir: Tak tahulah, dulu ada jugak ataslah... lama-lama senyap macam itu sahaja. Budak-budak kita sekarang yang patut fikir benda macam ni. Buat satu band yang bagus, cari gitaris bagus, bass yang hidup, dram... vokalis ada rupa sikit. Pergi Europe, Amerika... pergi duduk sana. Dah berulang kali cakap market kita tak besar. Malaysia pun susah nak hidup. Indonesia.. hmmm lagilah, kalau tak ada hits yang betul-betul boleh tangkap dia, dia tak akan layan.
Hasrul: Industri kita ada double standard, Cromok dahulu pun mula dari luar. Bila dah meletup.... balik semua nak sambar. Macam band sekarang ini, masalahnya tak ada yang betul-betul nak push (sponsor) dia orang keluar.
M. Nasir: Ya, betul itu tak dinafikan. Kita jangan cerita tentang Cromok... muzik macam itu dah tak ramai orang yang dengar sekarang. Banyak lagi.. kalau bukan band mungkin yang pop, hip-hop atau yang modern rock macam Linkin Park. Dulu excited jugalah dengar. Linkin Park masa mula-mula keluar... sekarang dah tak ada apa. Sama.
Hasrul: Apa agaknya lagi yang M. Nasir tak dapat buat lagi?M. Nasir : (terdiam sejenak) Endorsement! Hahahaah. Tak penting, asalkan buat tapi tercapai. Orang buat muzik dia buat cerita. Muzik itu bunyi.. lirik itu perlu di baca, bila digabungkan jadi satu form. Cerita apa yang engkau rasakan ada dalam perjalanan hidup engkau. Tengok environment dan ubah, ada orang boleh ikut (hayati) tapi ramai yang nak hiburan sahaja. Ramai yang tak faham, tetapi sebenarnya... seni itu menghiburkan pada yang faham.
Seir: Agaknya apa yang Abang buat bila dah pencen nanti?
M. Nasir: Menulis, melukis semuanyalah tentang... sebenarnya last painting yang aku buat itu kelakar sedikit. Masa pelancaran kereta terbaru Perodua aa... MyVi. Ramai jugalah yang dia orang jemput sampai aku sekali kena melukis.
Seir: Abang tak rasa yang Abang dah jadi alat korporat?
M. Nasir: Tidaklah, itu semua lakonan..... kita kena divide dengan realiti. Kadang-kadang membohongi kita juga, macam reality TV itu pun tipu. Semua tak guna. Sampai Pyan Habib nak buang TV bila tahu M. Nasir join AF, ramai yang marah... (terdiam sejenak) Ini semua permainan jiwa.... macam mana engkau tengok sesuatu benda itu. Apa efek dia?
Hasrul: Mungkin betul, tapi itulah.... perjalanan M. Nasir yang dah sebegitu, tiba-tiba involve dengan benda macam ni. Sejarah yang berjalan itu sedikit sebanyak mungkin ada calar dia. Rugi.
M. Nasir: Itulah sedapnya cerita, kalau tiada cerita... aku tak nak nampak garang. Tetapi lama kelamaan bila engkau sudah sebati dengan suatu benda, susah. Ini berlaku pada orang 70-an dan 80-an khususnya orang Melayu. Benda yang dah memang ada dalam jiwa engkau, memang tetap ada. Itu pegangan engkau, walau ke mana engkau pergi. Kita Melayu dan tetap akan Melayu. Itu simbol semata…
Apa yang boleh disimpulkan di sini, seolah ada sesuatu entiti tersembunyi yang cuba diselindungkan bagi mempertahankan label dan nama M Nasir itu sendiri. Walaupun ada jawapan yang tidak menjawab persoalan yang diajukan, rasanya beliau yang lebih mengetahui dan lebih arif tentang situasi atau dilema konflik diri yang berlaku. Mungkin tersepit atau tertekan dengan soalan yang diberi. Walau apa pun 'ini cuma lakonan cuma semata-mata...' Jika ini bukan zaman kejatuhan M. Nasir, ia mungkin zaman pengkorporatan M. Nasir... -ROTTW
Tiada ulasan:
Catat Ulasan