Jumaat, September 02, 2005

Anak didik M.Nasir Rakam album pop etnik

petikan Utusan Online 2 September 2005
Oleh: WANDA IDRIS

POP etnik daripada seorang remaja berusia 20 tahun? Mungkin ia sesuatu yang tidak disangka oleh sesetengah pihak.

Kenapa? Kerana faktor usia?

Tapi anak muda bernama Alif Azfar ini ada wawasan yang ingin disuarakan melalui genre muzik yang dipilihnya itu.

``Pasti saja jawapannya, agar irama kita tidak hilang dalam arus kemodenan. Mungkin jawapan ini dianggap klise oleh sesetengah orang. Tapi itu jawapan pasti saya.

``Mungkin ini juga merupakan satu perjuangan saya sebagai orang muda untuk memastikan irama kebanggaan bangsa Melayu kekal dan diminati,'' tegas Aliff kepada Mega sewaktu ditemui di Studio Ronggeng, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Menurut Alif, selain minatnya terhadap irama Melayu itu sendiri, keputusannya untuk mengangkat genre muzik itu adalah sebagai satu tanggungjawab untuk menyemarakkan lagi kegemilangan irama itu khususnya kepada generasi muda sepertinya.

``Lagu-lagu irama Melayu memang sudah sebati dengan diri saya kerana semenjak kecil didedahkan dengan irama itu oleh bapa saya.

``Bapa merupakan seorang penyanyi lagu-lagu irama Melayu dan saya sangat berbangga apabila dapat meneruskan perjuangan itu.

``Lebih penting, saya mempunyai harapan tinggi untuk melihat genre itu diterima khalayak khususnya golongan muda seperti saya.

``Saya tahu bukan mudah memikat hati golongan muda dengan rentak sebegini tetapi mereka harus mendengar dan kemudian menilai album itu,'' pintanya.

Bagaimanapun Alif memberitahu, konsep albumnya bukanlah seratus peratus mempertaruhkan irama Melayu asli.

Sebaliknya ia masih bertunjangkan pop dengan elemen etnik diserapkan bagi memberi nafas baru.

Ia diakui sendiri oleh penerbitnya, M. Nasir yang menganggap, pemilihan genre itu sebagai satu variasi kepada lagu-lagu pop Melayu.

``Album ini sebenarnya adalah album pop Melayu tetapi kita mahu jadikannya sebuah album pop Melayu yang bergaya.

``Maksudnya, ia bukan sebuah album yang sepenuhnya irama Melayu sejati tapi dalam setiap lagu yang dipersembahkan, ia menyelitkan unsur-unsur etnik sama ada irama asli, joget dan sebagainya.

``Kerana itu Alif sendiri tidak akan muncul dengan bertanjak sebaliknya tampil dengan imej kasual yang menjadi penampilan anak muda lain.

``Justeru, ia tidak progresif sebaliknya menjadi sebuah album yang enak didengar. Senang kata, mudah memikat anak muda masa kini,'' katanya.

Bercerita tentang album debutnya itu, kata Alif, proses rakamannya mengambil masa kira-kira setahun.

Terdapat 10 buah lagu; tujuh daripada ciptaan M. Nasir manakala selebihnya ciptaan To'Ki dan Rafi.

Mempertaruhkan lagu berentak ceria Jatuh Cinta Pandang Pertama sebagai single pertamanya manakala Jarak Rindu sebagai single kedua.

Lagu-lagu lain ialah Yang Bernama Cinta, Walau Berjauhan, Kekasih Tersayang, Apatah Lagi dan Ghazalku; ciptaan M. Nasir manakala Joget Ijab kabul dan Sesal (To'Ki) dan Kembali (Rafi).

Malah pada petang itu, Mega berkesempatan mendengar beberapa buah lagu yang telah dirakamkan oleh Alif; bakat yang dicungkil melalui pertandingan lagu-lagu asli ini.

Alif merupakan johan Bintang Asli peringkat kebangsaan pada 2000 dan merupakan juara Sinaran Pertiwi 2001, terbitan TV3.

Menjelaskan bahawa tidak sukar bekerja dengan sifu yang seorang itu, namun kata Aliff, M. Nasir sentiasa mahukan yang terbaik untuk album tersebut membuatkan proses pembikinannya mengambil masa yang agak lama.

``Tak ada tekanan ketika di studio kerana M. Nasir sendiri selalu menasihatkan saya supaya relaks sebelum memulakan rakaman,'' ujarnya.

Bagaimanapun Alif memberitahu, lagu Yang Bernama Cinta dan Jarak Rindu merupakan lagu yang paling sukar dihayati.

``Yang Bernama Cinta adalah lagu ceria manakala lagu Jarak Rindu adalah lagu berentak perlahan.

``Oleh kerana rakamannya dibuat pada satu masa, transisi untuk mengubah mood dan feel itu yang menjadikannya agak sukar.

``Tetapi lagu Joget Ijab Kabul paling mudah sebab lagunya berirama joget yang relaks dan menggembirakan,'' cerita Alif.

Menurutnya, lagu pertama yang dirakamkan ialah lagu Kekasih Tersayang yang mengambil masa selama tiga jam manakala lagu terakhir ialah lagu single pertama yang kini sudahpun diputar dicorong radio, Jatuh Cinta Pandang Pertama.

``Walaupun perjalanan karier saya masih jauh namun saya berharap semangat Melayu yang ingin saya sampaikan melalui karya ini akan dapat memikat pendengar,'' kata anak muda dari Taiping, Perak ini.

8 ulasan:

Azyze berkata...

hmmm...
selalunya anak didik m.nasir berjaya mengukir nama di persada seni.

apa agaknya khabar adik beliau ya...? lakukah albumnya?

Saudagar Mimpi berkata...

Mmg benar. Diantara yg berjaya spt Hattan & Spider. Dulu ada Joey tapi kejayaannya kurang memberangsangkan.

Adik beliau gitaris Zoul khabarnya dah pun mengeluarkan dua album

Tanpa Nama berkata...

saya masih mrasakan promosi utk album Alif Azfar ini sgt kurang kalau dbandingkn dgn sifu,padahal masing2 brnaung dbawah nama yg sama.

album Alif Azfar adalah satu album amat mnarik ttapi kurang promosi mnyebabkn album ini kurang dkenali.

Luncai emas patut lbh peka dgn promosi album di bwh jenamanya.

Semoga Alif Azfar akan berjaya dlm prjuangannya mwakili golongan muda yg masih syangkn irama asli bangsa.

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dengan pandangan yang mengatakan album keluaran Luncai Emas atau lebih tepat terbitan M Nasir kurang dipromosikan. Di manakah agak silapnya?

M Nasir banyak mencipta lagu tetapi tidak dapat dinikmati kerana kelemahan tersebut.

Sebelum album Alif ini ada album Quest dengan 6 buah lagu ciptaan dia. Entah apa yang terjadi dengan kumpulan tersebut kerana lagunya langsung tidak kedengaran di radio atau telivisyen dan kumpulan tersebut langsung tidak dikenali.

Sebelum itu, album Siso yang memuatkan beberapa buah lagu ciptaan M Nasir, menimpa nasib yang sama.

Harap apa yang terjadi kepada Joey tidak berlaku kepada penyanyi-penyanyi baru seperti Quest, Alif, Yazer dan Idayu.

Sepatutnya Joey hari itu, harus digilap bakatnya lagi, lebih-lebih kerana kebolehan dia mencipta lagu. Kalau digilap hari itu, saya yakin dia boleh menjadi macam Ajai.

Spider pun pernah menyuarakan rasa tidak puashati berkenaan masalah ini dan hampir nak meninggalkan Luncai Emas.

Kalau M Nasir tidak berkemampuan untuk mempromosikan album di bawah naungannya, adalah lebih baik dia mencipta lagu untuk penyanyi di syarikat rakaman lain setidak-tidaknya peminat-peminatnya dapat menikmati lagu ciptaannya.

Tanpa Nama berkata...

Ye la, nak harapkan promosi dari Luncai emas di alam maya pun tak ada. Luncai emas patut ambil inisiatif buat homepage sendiri sekurang-kurang dpt juga promote artis yg bernaung di bawah produksinya.

Tanpa Nama berkata...

Betul tu, website Luncai Emas memang tidak ada di alam maya. Yang ada cuma www.myspace/mnasir. Ini buat apa kerana berita-berita berkenaan M Nasir dah banyak tersebar dan meluas.

Tanpa Nama berkata...

Hmmm... yang dkt myspace tu mmg M.Nasir yg betul ke?

Tanpa Nama berkata...

lawati www.alifazfar.com. belum siap lagi. tapi itulah yang boleh kita buat setakat ini. budak ni unik. sokong dia. sekarang ada bertanding di one in a million 8tv (jumaat 930 mlm). utk undi type IN AZFAR hantar ke 32728. email: azfaroiam@yahoo.com