petikan Utusan Malaysia 2 September 2002
KERISAUAN penghibur M. Nasir terhadap sambutan Konsert Mini Phoenix Bangkit di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya bagi meraikan sambutan kemerdekaan ke-45 pada 31 Ogos lalu terjawab apabila ia mendapat sambutan hebat dengan setiap ruang dipenuhi oleh para peminat.
Apatah lagi beban kerisauan itu dikaitkan dengan aktiviti sehari sebelum mengadakan konsert tersebut ialah beliau baru muncul dalam persembahan percuma Konsert Suria Merdeka pada malam menjelang sambutan merdeka di KLCC.
Walaupun penonton dilarang berdiri untuk keselesaan semua penonton di Hotel Singgahsana itu, namun kelihatan mereka berhibur dengan cara tersendiri.
M. Nasir sedar peminat ingin memanaskan badan dengan berdiri dan menyanyi apabila meminta mereka berdiri pada akhir persembahan.
Semasa ingin menyanyikan lagu Phoenix Bangkit Dari Abu dan Raikan Cinta, para penonton tidak melepaskan peluang apabila M. Nasir meminta mereka berdiri.
Penulis yang ditempatkan bersama-sama penonton lain dapat merasakan mereka puas dengan bayaran RM60 yang dikenakan.
Kesemua lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi itu turut dinyanyikan bersama oleh penonton sehingga M. Nasir dapat idea berseloroh mengatakan beliau sendiri patut membayar penonton yang menyanyi.
M. Nasir mengakui bahawa dewan di Hotel Singgahsana yang mampu memuatkan 1,000 penonton itu tidak dibina untuk tujuan konsert.
Beliau memulakan persembahan dengan lagu Balada Seorang Nelayan, diikuti lagu Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi dan tidak ketinggalan lagu ciptaannya Meniti Titian Usang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Search.
M. Nasir turut berkongsi kegembiraan tarikh 31 Ogos dengan para peminat memandangkan ia amat bermakna kerana pada tarikh yang sama dua tahun lalu beliau telah bernikah dengan pelakon terkenal Marlia Musa.
Sebagai satu kejutan, penganjur konsert menghadiahkan kek ulang tahun perkahwinan M. Nasir sekali gus mengundang Marlia ke pentas untuk meniup lilin bersama suaminya itu.
Sesuai dengan semangat merdeka yang masih hangat, M. Nasir menghadiahkan lagu Rajawali Terbang Tinggi yang mempunyai mesej patriotik untuk mengisi erti kemerdekaan mengenai harapan agar negara tidak dijajah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan