Selasa, September 10, 2002

KONSERT M. NASIR MERIAHKAN GRAND PRIX MALAYSIA

petikan malaysiangp.com.my

Grand Prix Motosikal Gauloises Malaysia, yang bakal menampilkan pertarunganjaguh-jaguh lumba motosikal handalan dunia, akan dimeriahkan dengan satu konsert istimewa, yang bakal menampilkan persembahan hebat M. Nasir.

Digelar Konsert MotoGP 2002 dan akan diadakan pada hari Sabtu, 12 Oktober 2002, masuk adalah percuma untuk semua pemegang tiket Grand Prix Motosikal Gauloises Malaysia 2002.

"Konsert ini adalah nilai tambahan yang kami ingin berikan kepada para pembeli tiket sebagai menghargai sokongan mereka kepada acara ini," kata Encik Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit.

Selain M. Nasir, yang menjadi artis utama, Konsert MotoGP 2002 itu akan turut diperhebatkan dengan persembahan Kumpulan Spider. Ia akan bermula pada 8 malam dan akan diadakan di kawasan Grand Stand Utama, Litar Sepang.

"M. Nasir dan kumpulan Spider menjanjikan persembahan terbaik yang pastinya akan mengkagumkan para penonton. Nasihat saya kepada semua para peminat mereka adalah supaya tidak ketinggalan menyaksikan konsert ini dan perlumbaan itu sendiri," tambah Encik Ahmad.

Selain persembahan konsert, acara tambahan pada Grand Prix Motosikal Gauloises Malaysia ialah Kejuaraan Superbike, yang dimasukkan sebagai acara sokongan dan bakal menampilkan jaguh-jaguh superbike Malaysia dan Singapura.

Diletakkan sebagai Pusingan 14 dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia 2002, Grand Prix Motosikal Gauloises Malaysia akan berlangsung selama tiga hari bermula dengan 11 Oktober, yang akan menyaksikan sesi kelayakan pertama untuk ketiga-tiga kelas perlumbaan iaitu 125cc, 250cc dan kategori MotoGP. Sesi kelayakan kedua akan diadakan pada 12 Oktober dengan acara perlumbaan dilangsungkan pada hari Ahad, 13 Oktober 2002.

Tiket-tiket berharga antara RM20 hingga RM80 dan boleh didapati di kaunter-kaunter tiket sementara di sekitar Kuala Lumpur di KL Sentral, Pasar Seni dan Kompleks Pertama. Tiket-tiket juga boleh dibeli melalui laman web di www.malaysiangp.com.my atau menelefon TALIAN TIKET di 03-8526 2222.

Tiada ulasan: