petikan Utusan Malaysia 8 September 2002
APA sahaja yang dilakukan oleh seniman berjiwa besar seperti M. Nasir sudah pasti mahu diketahui umum terutama kisah-kisah peribadinya.
Bagaimanapun, perasaan dan jiwa seniman seperti dia bukan mudah untuk diselami kerana M. Nasir dikenali sebagai seorang yang susah untuk berbicara.
Malam 31 Ogos lepas, M. Nasir bagaimanapun tidak seperti lazimnya.
Pada Hari kemerdekaan negara yang ke-45 itu, M. Nasir menjadi seorang manusia atau lebih tepat seorang lelaki yang cukup kelakar dan sesekali dia kelihatan begitu romantik sekali.
Malam itu sebetulnya, dia menghiburkan para peminatnya sempena Mini Konsert Phoenix Bangkit di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.
Meraikan para peminat sempena Hari Kebangsaan sememangnya suatu kegembiraan yang sudah dirancang oleh M. Nasir bersama tenaga kerja produksinya.
Tetapi, satu lagi kegembiraan yang melihatkan ada tanda-tanda terkejut di wajahnya ialah apabila penganjur membuat kejutan kepada M. Nasir dan isterinya, Marlia Musa untuk merai dan memotong kek ulang tahun ke-2 perkahwinan mereka.
``Saya tidak sangka pihak penganjur akan membuat kejutan ini,'' katanya ringkas sambil memeluk erat isterinya selepas mereka berdua memotong kek ulang tahun perkahwinan di pentas.
Pada masa yang sama, pelawak dan pengacara terkenal, Bob Lokman pula mengiringi loving couple itu dengan nyanyian lagu Dua Insan (lagu yang pernah dipopularkan oleh M. Nasir dan Yunizar Hoessein).
Suasana pada ketika itu bertukar menjadi riuh rendah kerana para penonton dan peminat setia M. Nasir turut sama menyanyikan lagu itu.
Sebelum itu, mini konsert M. Nasir berjalan lancar biarpun sesekali dicacatkan dengan masalah teknikal khususnya pada aspek cahaya.
M. Nasir pada malam itu membuat persembahan hampir dua jam. Gaya dan personaliti M. Nasir di pentas sama sekali berbeza ketika dia ditemu bual oleh media.
Ketika di pentas pertunjukan, M. Nasir jelas sekali menunjukkan `kenakalannya' dan kelakuannya itu mendapat tindak balas yang cukup baik daripada hampir 1,000 penonton.
``Kita kena bayar mereka (penonton),'' selorohnya apabila peminat-peminatnya menyambung nyanyian beberapa buah lagu selepas diminta oleh M. Nasir untuk berbuat demikian.
Persembahan mini konsert M. Nasir pada malam itu turut mendapat sokongan daripada tujuh pemuzik berkaliber tanah air serta dua gadis genit yang menjadi penyanyi latar.
Selain menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang menceritakan perihal kebebasan seperti Bakawali Terbang Tinggi, seniman kelahiran bumi Temasek itu juga turut membawa perhatian penonton kepada lagu-lagu yang bercerita tentang emosi.
Sesekali jiwa penonton terusik apabila melodi Kepadamu Kekasih disampaikan dengan penuh penghayatan sehingga penonton memberi tumpuan yang sepenuhnya.
Lagu-lagu seperti Suatu Masa dan Keroncong Untuk Ana juga tidak kurang meninggalkan kenangan penuh syahdu di malam konsert tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan