petikan NSTP emedia 22 Mac 2002
Oleh : Hardi Effendi Yaacob
ANUGERAH Industri Muzik (AIM) 2002 jelas memperlihatkan dominasi ‘orang lama’ Masterji Nasir dan komposer muda, Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas dari segi pencalonan akhir bagi 17 kategori yang akan dipertandingkan.
Kedua-dua mereka akan bersaing hebat bagi merebut kategori Lagu Terbaik.
M Nasir mempertaruhkan dua lagu daripada album terbarunya, Phoenix Bangkit dan Raikan Cinta dan Masirah.
Manakala, Ajai tampil dengan dua pencalonan iaitu Percayalah (Siti Nurhaliza), dan Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) bersama Syed ENV.
Bagaimanapun, kehadiran Yasin yang dicalonkan bagi kategori berkenaan menerusi Mimpi Laila tidak boleh dipandang sepi, lebih-lebih lagi lagu bercorak world music itu turut mencatatkan kejayaan besar pada Juara Lagu 2001.
Secara keseluruhannya, kira-kira 80 pencalonan layak ke peringkat akhir AIM2002 menerusi 17 kategori yang dipertandingkan kali ini, termasuk kategori baru iaitu Artis Harapan dengan lima finalisnya – Elyana, Izzla, Nitrus, Pop Shuvit dan Uno.
Artis Baru Terbaik pula bakal memperlihatkan saingan di antara lima muka baru, iaitu Joe Radzwill, Sarimah Ibrahim, Maya Karin Pretty Ugly dan Frequency.
Kategori yang menarik juga Vokal Wanita Terbaik yang dibarisi Dayang Nurfaizah h Siti Nurhaliza, Syafinaz dan Ziana Zain.
Saingan dijangkakan bertambah sengit apabila Rabbani dicalonkan ke final bagi Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album menerusi dua album mereka, Intifada dan Aman. Apapun, bukan mudah bagi Rabbani untuk mengungguli kategori ini kerana beberapa ‘lawan’ mereka sedia menanti iaitu Innuendo (BrandNuendo), Raihan (Demi Masa) dan Too Phat (Plan-B).
Pengumuman senarai pencalonan akhir berkenaan dilakukan Afdlin Shauki dan Bob Lokman. Mereka akan menjadi pengacara bersama pada malam kemuncak nanti
Hadir sama Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Abdul Aziz Bakar; Setiausaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Darren Choy yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM2002; Naib Presiden Pemasaran Jenama ntv7, Michael Chan dan Pengurus Rangkaian Era, Kudsia Kahar.
AIM2002 dijadualkan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 20 April ini, jam 8.30 malam.
Peminat juga berpeluang mengikuti siaran langsung berkenaan menerusi Era (Stesen Radio Rasmi) dan Laman Web Rasmi – www.aim.com.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan