Jumaat, Mac 22, 2002

Apa kata finalis AIM

petikan NSTP emedia 22 Mac 2002

TIADA banyak perubahan dalam Anugerah Industri Muzik 2002 (AIM) jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, memandangkan kategori yang dipertandingkan masih dipelopori oleh artis sama.

Hanya pemilihan album boleh dibanggakan kerana menampilkan produk bermutu, tidak kira dari artis baru atau lama. Begitu juga dengan pencalonan video klip canggih terbitan anak tempatan menunjukkan peningkatan.

Antara album artis yang diwawarkan menyerlah adalah Phoenix Bangkit (M Nasir), Aku Cintakan Mu (Ziana Zain), Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah), Brandnuendo (Innuendo) dan Perjalanan Seni S M Salim (Tan Sri Datuk S M Salim).

Apapun, AIM bukanlah medan pertempuran artis sebaliknya, mengiktiraf usaha karyawan, artis, penggubah lagu, penulis lirik dan mereka yang terbabit secara langsung.

Pada mereka yang terpilih menjadi 'Top 5' dalam kategori masing-masing sudah tentunya gembira kerana AIM bukan calang-calang anugerah.

Oleh itu, apa kata kita lihat pandangan finalis kepada wartawan Harian Metro, HASWARI ALI dan NORHADIANA BAHAROM mengenai AIM yang masuk tahun kesembilan.

Sarimah Ibrahim

PENGACARA kids@ntv7 ini melahirkan perasaan gembira apabila terpilih dalam kategori Artis Baru Terbaik selepas cubaan pertamanya melahirkan album berjudul, Sarimah, menjadi. Gadis kacukan Melayu- Irish akan berentap bersama Maya Karin, Joe Radzwil serta kumpulan Pretty Ugly dan Frequency.

Bagaimanapun, dia memberitahu tidak meletakkan sebarangkemenangan kerana kehadirannya sekadar memeriahkan majlis. Cuma, Sarimah melahirkan rasa terkilan apabila klip videonya, Kini Kau Tiada, tidak dicalonkan bagi kategori Muzik Video Terbaik.

“Entahlah, mungkin klip video itu terlalu seksi atau kebaratan. Tapi, itulah identiti saya separa Melayu dan Irish. Tetapi, saya yakin, AIM mempunyai alasan yang kukuh. Bagi kategori yang dicanangkan saya tidak kisah seandainya menang ataupun kalah” jelas Sarimah ramah.


Rabbani

AIM tahun lalu kumpulan ini menang besar untuk tiga anugerah utama iaitu Album Nasyid Terbaik, Persembahan Vokal Berkumpulan Di Dalam Album dan Album Keseluruhan Terbaik, menerusi album Iqrar.

Tahun ini pula mereka mencagarkan dua album, Intifada dan Aman, kedua-duanya dicalon untuk kategori yang sama iaitu Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dan Album Nasyid Terbaik. Mungkinkah mereka mampu mengulangi sejarah sekali lagi?

Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dan Album Nasyid Terbaik.

“Kedua-dua album mempunyai kekuatan dan keistimewaannya tersendiri. Cuma, kalau nak diukur dari segi kualiti rakaman, album Intifada lebih kuat dari album Aman,” kata ketua kumpulan Rabbani, Asri.


Ziana Zain

NAMPAKNYA kedatangan semula JLO Malaysia ini menjadi menerusi album Aku Cintakan Mu. Malah, ramai pengkritik mengatakan album ini adalah penghasilan terbaik buat Ziana sepanjang 12 tahun bergelar penyanyi.

Bagaimanapun dia tidak boleh terlalu selesa kerana album berkenaan turut disaingi artis setaraf dengannya seperti M Nasir, Syafinaz, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza, untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dan Album Pop Terbaik.

“Saya berterima kasih kepada AIM, selama 12 tahun saya terbabit dalam industri ini, nama saya masih dicalonkan. Kerana saya percaya kalau kita buat terbaik InsyaAllah usaha kita akan dihargai,” jelas Ziana yang sudahpun menghantar fabrik kepada Michael Ong sejak tahun lalu untuk majlis itu nanti.


Ella

Tahun lalu album Ella berjudul El berjaya memenangi kategori Kulit Album Terbaik. Tahun ini pula Ratu Rock ini disenarai dalam kategori Album Rock Terbaik untuk album Ilham Bicara, menyaingi artis lelaki rock lain seperti Def Gab C, Kamikaze, Saleem dan Pretty Ugly.

Kata Ella, dia terkejut dengan keputusan ini, apatah lagi inilah buat pertama kali dia tercalon dalam kategori ini. Amat gusar juga apabila saingannya adalah kalangan album berelemen 'heavy rock'.

“Ella tak yakin Ilham Bicara boleh menang sebab album Ella lebih menekankan melodi dan agak mendayu-dayu. Tapi kalau pihak juri memilih album ini disebabkan muzik dan konsepnya, Ella bersyukur,” katanya yang turut mengadakan persembahan madley dengan beberapa artis pada malam gemilang itu nanti.


M Nasir

“Syukurlah kalau menang. Tapi seperti yang katakan tadi kita mestilah tabah dalam membuat sesebuah album, itu paling penting. Kerana kita tidak boleh terlalu mengharapkan orang sangat,” kata M Nasir.

Dia juga tidak menafikan menerima saingan yang cukup hampir untuk lima kategori yang dicalonkan, terutama Album Pop Terbaik dan dua ciptaannya sendiri, Raikan Cinta dan Masirah bagi kategori Lagu Terbaik.

Namun, siapa tahu, tidak satu dua atau tiga dari kategori mampu disasarkan dan mana tahu jika Phoenix Bangkit layak bergelar Album Terbaik AIM tahun ini.


Afdlin Shauki

Nama pengacara berpewatakan humor ini sudah cukup sinonim dengan AIM. Malah, kalau diberi tanggungjawab mengendalikan AIM sendirian, impaknya cukup memberi kesan. Namun, siapa menduga tahun ini adalah kali terakhir buatnya mengacarakan majlis gilang gemilang ini. Disebabkan itu juga dia mengundang Bob Lokman mengacarakan AIM bersamanya.

“Saya mengundangnya secara suka rela, lagipun apa salahnya tahun ini kita tampilkan Bob. Sekurang-kurangnya untuk AIM akan datang peminat dah boleh terima Bob. Tambahan pula saya akan lahir dengan album solo dalam bulan Mei atau Jun nanti, sebab itulah saya tidak akan mengacarakan AIM lagi,” katanya yang akan juga bertindak sebagai penulis skrip AIM tahun ini.


Syafinaz dan Dayang Nurfaizah

Kedua-dua penyanyi popular ini bakal berentap dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album. Mereka juga mempunyai kekuatan vokal masing-masing, Dayang dengan suara serak merdunya manakala Syafinaz dengan suara soprano bertenaganya.

Tambahan pula mereka juga datangnya dari satu label yang sama, EMI (M).

“Pemilihan berdasarkan pencapaian album terbaik tahun ini. Pemilihan juri pula berdasarkan halwa telinga masing-masing. Sebaik mana mutu vokal artis itu di dalam album itu terpulang kepada kebijaksanaan juri kerana kelima-lima calon mempunyai kekuatannya tersendiri,” jelas Syafinaz yang akan tampil membuat persembahan di majlis itu nanti.

Bagaimanapun, Dayang lebih bersikap merendah diri dan tidak memendam harapan tinggi memenangi tiga kategori yang dicalonkan, terutama kategori Album Pop Terbaik dan Lagu Terbaik kerana baginya terlalu mentah untuk menandingi artis yang lebih lama daripadanya.

Tiada ulasan: