Jumaat, Disember 31, 1982

Kembara Setanding Dengan Alleycats

 Sumber asal & tarikh petikan tidak dapat dikenalpasti. Gambar milik M Taufiq (rujuk watermark)

Khamis, Disember 30, 1982

M.NASIR SENIMAN JALANAN

* petikan sebuah majalah tahun 1982 dari koleksi Wiraaz Collezzione. (Terima kasih Abg Wiraaz!)

Ketika menjenguk ke Studio SBC (Perbadanan Penyiaran Singapura) baru-baru ini, BAM secara kebetulan bertemu dan berbual sekejab dengan pencipta muda M.Nasir yang meletupkan kumpulan Alleycats dengan lagu-lagu ciptaannya "Hingga Akhir Nanti" "Andainya Ku Pergi Dulu" dan beberapa lagu lagi.

Beberapa orang teman di studio itu memberitahu BAM bahawa Nasir ini agak aneh sedikit orangnya, bahkan banyak yang aneh, hinggakan sewaktu tampil menyanyi untuk rancangan hiburan di TV, dia berpakaian seperti dia selalu...selekeh dan geloboh sana sini.

Malah, kata mereka isterinya sendiri mengelarkannya "Twilight Zone" kerana dia suka berkhayal....lain yang ditanya, lain yang dijawabnya, masa bujang dulu kata emaknya Nasir selalu tak pulang ke rumah, dia suka tidur di masjid.

Tapi dengan BAM hari tu, Nasir nampaknya serius, tak macam selalu, kalau datang ke pejabat BAM, tingkah lakunya memang pelik sikit, sampai kadangkala BAM malas menegurnya, kerana lain yang ditanya lain yang dijawabnya.

Tapi waktu di studio dia dah pandai bergurau. "Eh, orang KL ada disini, bila sampai?" tanyanya dengan ramah, Kemudian sungguh sungguh Nasir menceritakan perihal dia sekarang sedang serius menulis skrip filem. "Kisah Seniman Jalanan"  Bagus ceritanya, mengenai penghidupan penyanyi rakyat yang menyeluruh segala aspek kehidupan termasuk seks," ujarnya dengan wajah selamba.  "Hai, nak jadi penulis skrip filem pulak?" tanya BAM. "Begitulah." jawabnya sungguh-sungguh, dan mengharap ceritanya ini akan mendapat perhatian dari produser filem.

BAM- Sedang siapkan skrip "Penulis yang terdampar".


nota kaki :  Tahun 1982,  M. Nasir sudah pun menceritakan tentang Filem Kembara Seniman Jalanan. Terima kasih kepada saudara Wiraaz atas petikan majalah ini.

Ahad, Disember 05, 1982

Khamis, April 01, 1982

Mengembara Bersama Puisi

petikan Majalah Penghibur April 1982 ms 38
 Oleh Suzy Elly
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)

Menyanyi dan mengembara bersama puisi….. mereka menjadi kumpulan tempatan terulung berani membawakan pembaharuan begitu. Namun KEMBARA bagi tiga pemuda Singapura belum berpuas hati menghasilkan album sulung mereka yang kini sudah berada di pasaran.

Kumpulan ‘baru’ dari Polygram membawa selera baru kepada seni muzik tempatan kerana salah seorang dari anggota KEMBARA adalah penerbit dan penggubah lagu terkenal M.Nasir. Pencipta muda berbakat inilah yang telah menaikkan kumpulan kumpulan sukaramai seperti Flybaits, Al-Jawaher dan Alleycats.

Nasir membawa perubahan dalam lagu lagu nyanyian penyanyi-penyanyi baru seperti Yusnizar. Dia juga pernah berpadu suara dalam album “Dia Ibuku” . Begitu juga dengan kumpulan “Ideal Sister” tiga bersaudara dari Singapura. Salah seorang dari 3 dara ini, Junainah kini menjadi isterinya.

Kini dengan kumpulannya sendiri, KEMBARA bersama dua pemuda berpengalaman dalam muzik, Shahlan dan A Ali besar kemungkinan akan mencipta gubahan muzik dan lagu yang baik untuk selera peminat.

KEMBARA lahir dengan susunan muzik yang cukup meyakinkan dari usaha dari pemuzik berpengalaman A Ali.  Dengan warisan masa lampau dalam dunia muzik A.Ali menerapkan idea baru dan lama, seiring dan seimbang dalam adunan persembahan KEMBARA dalam LP sulung mereka ini.                                                                                                                                                                                                       
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka Shahlan, pemuda kacak dari seberang tambak Johor ini turut memberikan sokongan yang kuat sebagai anggota KEMBARA. Bagi peminat muzik di selatan Malaysia(Johor), Shahlan merupakan orang baru kepada mereka. Dia telah banyak juga memberikan sumbangan berupa idea serta suaranya yang cukup meyakinkan dalam beberapa lagu yang disampaikan secara solo memberi harapan untuk KEMBARA meneroka hati peminat peminat seni suara kelak.

Lalu, ketiga mereka ini M.Nasir, A.Ali dan Shahlan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan dengan azam yang kuat serta gigih. Mereka ingin mengalihkan pandangan dan perhatian peminat dan pencinta hiburan tempatan agar bersama mereka dalam satu penampilan yang tersendiri sifatnya. Lagu lagu yang dibawakan kepada kita begitu berlainan dari persembahan kumpulan kumpulan lain. KEMBARA telah bekerjasama dan sepakat bagi mendapatkan satu kombinasi idea muzik yang mahu diketengahkan kepada peminat semua.

Dalam album sulung yang hanya diberi nama “Kembara” , Nasir, Ali dan Shahlan telah mempersembahkan sepuluh buah lagu merdu merisik para pendengar. Hampir keseluruhan seni kata lagu-lagu ini adalah petikan dari puisi ciptaan teman teman mereka sendiri. Menggambarkan kisah hidup masyarakat.

Dimuka pertama KEMBARA memuatkan lagu lagu seperti Express Rakyat , Senandung Buruh Kasar, Lagu Untuk Seorang Ibu, Agar Kau Mengerti, dan Oh! Bulan

Dimuka kedua pula lagu-lagu yang dimuatkan ialah Hati Emas, Malam, Ragam Mat Dan Minah, Hidup Cara Sendiri dan Gadis & Kota