Oleh Suzy Elly
(sumber : Terima kasih Wiraaz Collezzione)
Menyanyi dan mengembara bersama puisi….. mereka menjadi kumpulan tempatan terulung berani membawakan pembaharuan begitu. Namun KEMBARA bagi tiga pemuda Singapura belum berpuas hati menghasilkan album sulung mereka yang kini sudah berada di pasaran.
Kumpulan ‘baru’ dari Polygram membawa selera baru kepada seni muzik tempatan kerana salah seorang dari anggota KEMBARA adalah penerbit dan penggubah lagu terkenal M.Nasir. Pencipta muda berbakat inilah yang telah menaikkan kumpulan kumpulan sukaramai seperti Flybaits, Al-Jawaher dan Alleycats.
Nasir membawa perubahan dalam lagu lagu nyanyian penyanyi-penyanyi baru seperti Yusnizar. Dia juga pernah berpadu suara dalam album “Dia Ibuku” . Begitu juga dengan kumpulan “Ideal Sister” tiga bersaudara dari Singapura. Salah seorang dari 3 dara ini, Junainah kini menjadi isterinya.
Kini dengan kumpulannya sendiri, KEMBARA bersama dua pemuda berpengalaman dalam muzik, Shahlan dan A Ali besar kemungkinan akan mencipta gubahan muzik dan lagu yang baik untuk selera peminat.
KEMBARA lahir dengan susunan muzik yang cukup meyakinkan dari usaha dari pemuzik berpengalaman A Ali. Dengan warisan masa lampau dalam dunia muzik A.Ali menerapkan idea baru dan lama, seiring dan seimbang dalam adunan persembahan KEMBARA dalam LP sulung mereka ini.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka Shahlan, pemuda kacak dari seberang tambak Johor ini turut memberikan sokongan yang kuat sebagai anggota KEMBARA. Bagi peminat muzik di selatan Malaysia(Johor), Shahlan merupakan orang baru kepada mereka. Dia telah banyak juga memberikan sumbangan berupa idea serta suaranya yang cukup meyakinkan dalam beberapa lagu yang disampaikan secara solo memberi harapan untuk KEMBARA meneroka hati peminat peminat seni suara kelak.
Lalu, ketiga mereka ini M.Nasir, A.Ali dan Shahlan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan dengan azam yang kuat serta gigih. Mereka ingin mengalihkan pandangan dan perhatian peminat dan pencinta hiburan tempatan agar bersama mereka dalam satu penampilan yang tersendiri sifatnya. Lagu lagu yang dibawakan kepada kita begitu berlainan dari persembahan kumpulan kumpulan lain. KEMBARA telah bekerjasama dan sepakat bagi mendapatkan satu kombinasi idea muzik yang mahu diketengahkan kepada peminat semua.
Dalam album sulung yang hanya diberi nama “Kembara” , Nasir, Ali dan Shahlan telah mempersembahkan sepuluh buah lagu merdu merisik para pendengar. Hampir keseluruhan seni kata lagu-lagu ini adalah petikan dari puisi ciptaan teman teman mereka sendiri. Menggambarkan kisah hidup masyarakat.
Dimuka pertama KEMBARA memuatkan lagu lagu seperti Express Rakyat , Senandung Buruh Kasar, Lagu Untuk Seorang Ibu, Agar Kau Mengerti, dan Oh! Bulan
Dimuka kedua pula lagu-lagu yang dimuatkan ialah Hati Emas, Malam, Ragam Mat Dan Minah, Hidup Cara Sendiri dan Gadis & Kota
Tiada ulasan:
Catat Ulasan