ANALITIC

Rabu, Januari 13, 1982

‘Ekspress Rakyat’ dijangka popular

petikan Berita Harian, 13 Januari 1982

MEMBUKA tirai tahun baru, kumpulan Kembara muncul di tengah-tengah gelanggang rakaman piringhitam dengan album sulungnya berjudul Kembara.

Sesuai dengan cita-cita kumpulan ini untuk merakamkan kisah-kisah penghidupan rakyat jelata dalam bentuk lagu-lagu yang puitis, Kembara memuatkan 10 lagu menarik yang mendedahkan kisah-kisah penghidupan insan sehari-hari.

Keseluruhan kandungan album ini merupakan lagu-lagu ciptaan terbaru M. Nasir, A. Ali dan Eddie Nor.

Terbaru

Senikatanya pula disumbangkan oleh S. Amin Sahab, seorang penulis lirik lagu yang sedang meningkat namanya. S. Amin mencipta senikata untuk empat lagu, sementara M. Nasir menulis lirik untuk enam lagu yang lain.

Selain dari M. Nasir, dua anggota Kembara yang lain terdiri dari A. Ali dan Sahlan. A. Ali adalah bekas anggota kugiran The Night Walkers yang pernah popular dengan lagunya Chok Chok Kendong.

Sejak bergiat di arena muzik pada awal tahun-tahun 60-an dulu beliau telah menganggotai beberapa buah kugiran dan hingga kini masih lagi aktif.

Sahlan pula ialah seorang penyanyi yang berasal dari Pontian, Johor. Mula bergiat di lapangan seni suara sejak meninggalkan bangku sekolah, beliau pernah menunjukkan persembahan nyanyiannya di beberapa buah "pub" di Johor dan Kuala Lumpur.

Sepakat

Menurut M. Nasir, Kembara telah lama wujud, tetapi ura-ura untuk membentuknya secara serius tidak pernah timbul, sehinggalah pada pertengahan tahun lepas di mana mereka mencapai kata sepakat untuk menjadikannya sebuah kumpulan padu suara yang benar-benar hidup.

Kebetulan pula ahli-ahlinya mempunyai paduan suara yang harmoni.

Lagu-lagu dalam album Kembara ialah Ekspress Rakyat (M. Nasir/S. Amin); Malam (M. Nasir); Hati Mas (M. Nasir); Oh Bulan (M. Nasir); Gadis Dan Kota (M. Nasir); Agar Kau Mengerti (Eddie/M. Nasir); Hidup Cara Sendiri (A. Ali/S. Amin); Ragam Mat Dan Minah (A. Ali/S. Amin); dan Senandong Buruh Kasar (A. Ali/M. Nasir/S. Amin).

Menarik

Album Kembara diterbitkan sendiri oleh kumpulan ini, dan penyelia rakaman terdiri dari Johnny Herbet dan Eddie Seet. Kembara dijangka menemui peminat-peminat pop pertengahan bulan ini.

Lagu Ekspress Rakyat diramal akan menjadi lagu kegemaran memandangkan pada irama dan senikatanya yang begitu menarik. Lagu ini telah mendapat pujian dari Encik Ahmad Jaafar, pemimpin Orkestra SBC, semasa Kembara buat kali pertama mendendangkan lagu ini dalam rancangan hiburan Hanya Untukmu terbitan Amirudin Abbas tidak lama dulu. — Oleh SIARA.

Tiada ulasan: