petikan Berita Harian Singapura 28 November 1982
oleh Haron Abdul Majid
KUMPULAN Kembara pimpinan pencipta lagu, penulis seni kata dan penyanyi M. Nasir, kini berada di Bangkok, Thailand, kerana mewakili Singapura dalam Pesta Lagu-Lagu Popular ASEAN.
Nasir yang sempat saya hubungi sebelum beliau berangkat pada 25 November lalu, memberitahu: "Di pesta itu, kami akan membawakan lagu Ekspres Rakyat iaitu salah satu lagu yang terdapat dalam album pertama Kembara."
Menurut Nasir lagi, pemilihan lagu-lagu untuk disertakan ke Bangkok telah dijalankan oleh pihak Singapore Phonographic and Videogram Association (SPVA). Setiap syarikat piring hitam telah diminta mengemukakan sebanyak dua lagu. Setelah pemilihan dibuat, maka lagu yang dicipta oleh M. Nasir dengan seni kata oleh S. Amin Shahab yang telah dirakamkan oleh kumpulan Kembara itu, didapati sesuai untuk dibawa ke Bangkok.
Tetapi, berapa banyakkah jumlah lagu yang telah dikumpulkan oleh pihak SPVA, tidak pula diketahui. Kerana ketika berita ini ditulis, saya tidak dapat menghubungi SPVA untuk keterangan lanjut.
Walau bagaimanapun, sama-samalah kita berdoa semoga kepulangan Nasir bersama kumpulan Kembara esok, Isnin, 29 November, akan membawa khabar yang menggembirakan kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan