ANALITIC

Khamis, September 25, 2025

M. Nasir ‘lebih rock’ Sabtu ini

 petikan Utusan Malaysia 25 September 2025

KUALA LUMPUR: “Saya akan jadi lebih rock pada konsert itu nanti.”

Demikian jawapan penyanyi dan komposer disegani, Datuk M. Nasir mengenai kelainan Konsert DATO’ M N46IR CIPTA 3 yang bakal dipentaskan di Axiata Arena, Bukit Jalil Sabtu

Kata M. Nasir, buat pertama kali penonton dapat menyaksikan sisi berbezanya dalam mengembalikan nostalgia menerusi lagu yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Bukanlah saya ini tidak pernah sampaikan lagu-lagu rock yang saya hasilkan untuk penyanyi lain.

“Tetapi pada konsert kali ini, dari segi persembahan, saya akan bagi lebih.

“Biasanya, yang penonton lihat atas pentas adalah M. Nasir yang biasa mereka saksikan. Namun kali ini, mereka akan nampak sisi saya yang berbeza, yang lebih rock,” katanya ketika sesi latihan konsert itu baru-baru ini.

Penonton, pada malam bersejarah itu nanti, bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu hits antaranya Pawana, Intanku Kesepian, Sejati dan banyak lagi.

“Untuk saya nyanyikan lagu-lagu ini tidaklah sukar kerana kuncinya saya faham lirik dan masukkan emosi saya sendiri ke dalamnya.

“Cuma yang menjadi cabaran adalah gubahan baharu yang akan diperdengarkan kepada penonton nanti.

“Persoalannya bagaimana lagu-lagu ini digubah dan disesuaikan dengan nada dan suara saya. Itu penonton akan saksikan nanti,” ujarnya

Jumaat, September 19, 2025

'Artis kaya perlu bantu yang susah' - M Nasir

petikan Harian Metro 19 September 2025

Ridzuan Abdul Rahman  mohamadridzuan@hmetro.com.my

M Nasir bergambar selepas sesi latihan Konsert Cipta 3 di My Studio, Bukit Rahman Putra. FOTO NABILA ADLINA AZAHARI

Sungai Buloh : Datuk M Nasir bersetuju dengan kenyataan Datuk Nash yang menasihatkan golongan artis hidup mewah agar tampil membantu artis lain yang kurang bernasib baik.

Kenyataan Nash yang juga Pemegang Amanah YKAT dibuat merujuk kepada Konsert Budi Kasih Malaysia 2025 anjuran yayasan terbabit yang bakal berlangsung pada 3 Oktober ini di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

"Saya pun harap begitu juga. Tapi ini fenomena dunia sebenarnya. Kita pun tak tahu apa yang di Indonesia contohnya, di Singapura ke. Dalam peringkat yang lain mungkin mereka pun begitu juga.

"Tapi ada golongan dalam dunia artis ini. Ada orang yang mahu menyatukan artis ini dan memberi kesedaran, membawa kesedaran kepada dunia 'charity' (kebajikan) ini kan.

"Ada orang tak setuju dengan benda-benda tu. Kita belum sampai lagi. Ada yang okey ada yang tak okey," katanya ketika ditemui pada sesi latihan Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 di My Studio, di sini, semalam.

M Nasir berkata, kalau boleh mereka (artis-artis yang mewah) perlu membantu artis lain yang kurang bernasib baik.

"Tapi untuk gerakkan hati mereka untuk buat tu ada berat sikit. Tapi saya harap tak macam itulah," katanya yang juga Naib Pengerusi YKAT yang diterajui oleh Datuk DJ Dave.

YKAT diwujudkan untuk membantu golongan artis yang kurang bernasib baik seperti sakit dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, M Nasir berkata, persiapan untuk konsert yang bakal berlangsung pada 27 September ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur berjalan lancar mengikut jadual.

"Semua okey. Cuma nak pilih lagu dulu. Kita tak tahu berapa peratus persiapan kita dah buat pasal kita dah buat semua. Jadi kita ulang, ulang-ulang sampai betul-betul sebati dalam badan.

"Setiap kali itu tengoklah perubahan itu ada. Kadang-kadang ada juga. Sebahagian lagu akan dinyanyikan dalam bentuk gabungan.

"Lagu-lagu juga tidak berulang seperti dua konsert sebelum ini. Mungkin satu, dua adalah. Kebanyakannya baru. Ada juga yang lama tapi lebih dari setengah lagu baru," katanya.

Menerusi Konsert yang membawa tema Malam Ini Gua Rock, dia akan menyampaikan koleksi lagu-lagu ciptaannya untuk kumpulan Kembara serta dua kumpulan rock terkenal, Search dan Wings.

'Nada tinggi bukan segalanya' - M Nasir

petikan Harian Metro 19 September 2025

Serimah Mohd Sallehuddin  am@hmetro.com.my

M NASIR bercakap pada sidang media selepas sesi latihan Konsert Cipta 3 di My Studio, Bukit Rahman Putra. FOTO Nabila Adlina Azahari

Sungai Buloh: Datuk M Nasir, menolak tanggapan kononnya kemenangan penyanyi dalam sesebuah anugerah hanya kerana kemampuan mencapai nota tinggi.

Katanya, tidak semua penyanyi bernada tinggi boleh dianggap hebat kerana ada yang sekadar menjerit sehingga menjejaskan keindahan lagu.

"Dalam budaya kita, memang suka suara tinggi. Contohnya, ketika mengaji, kita kagum dengan qari dan qariah yang mampu mencapai nada tinggi.

"Tetapi dalam nyanyian, ada penyanyi bersuara tinggi tetapi tidak sedap didengar. Bezanya dengan yang menang kali ini, suaranya tinggi dan sedap. Itu kekuatannya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert Dato' M Nasir Cipta 3, di sini, semalam.

Menurut penyanyi dan komposer berusia 68 tahun itu, kemampuan mencapai nada tinggi adalah bonus tambahan tetapi bukan penentu mutlak kemenangan.

"Bukan sebab suara tinggi, penyanyi itu layak menang. Kalau nada tak tinggi pun, boleh menang asalkan penyampaian ada rasa hingga menyentuh hati pendengar.

"Namun, kalau mampu membawa nada tinggi dengan merdu, tepat dan kena pada tempatnya, itu memang bonus besar," katanya.

Penerima anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 dan 2024 itu berkata, penjurian lazimnya dibuat berdasarkan gabungan dinamik vokal serta kebolehan teknikal penyanyi.

"Penyanyi dinilai daripada beberapa sudut – pertama, jangkauan vokal atau rentang suara; kedua, keindahan nada; dan ketiga, aspek teknikal seperti kawalan dinamik, teknik pernafasan serta permainan ritma.

"Kalau ada tiga penyanyi, mungkin seorang memiliki rentang luas, seorang lagi nada lebih sedap, manakala seorang pandai bermain teknik.

"Penyanyi bersuara tinggi yang menang kali ini, dia ada semua kelebihan itu. Bukan sekadar kerana nadanya tinggi. Cara dia terbitkan suara ketika rakaman juga penting. Selebihnya, adalah soal rezeki," katanya.

Isu kriteria kemenangan penyanyi kembali hangat selepas penyanyi Atilia Haron memuat naik hantaran di media sosial membandingkan industri tempatan dengan penyanyi antarabangsa seperti Norah Jones dan Sade yang mampu menawan dunia tanpa perlu meninggikan tona suara.

"Kalau Norah Jones jadi penyanyi di Malaysia, adakah dia akan menang anugerah? Tidak, sebab dia tidak menjerit ketika menyanyi. Sama juga dengan Sade," tulis Atilia.

Bagaimanapun, Atilia kemudian bertindak memadamkan hantarannya.

Meskipun Atilia tidak menyebut sebarang nama, kenyataannya pantas dikaitkan netizen dengan kejayaan besar Aina Abdul yang merangkul trofi utama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-24 di Arena of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu.

Rabu, September 17, 2025

Pameran Lukisan Jiwa M Nasir

 sumber : Muzium Pahang

Pameran Lukisan Jiwa M Nasir 31 Ogos 2025 - 31 Disember 2025

Buat julung kalinya, Muzium Maritim di Pulau Beram, Pekan yang baru dinaik taraf kini mempersembahkan pameran sulungnya: “Lukisan Jiwa M. Nasir”

Ikon seni tanah air, Dato’ M. Nasir, lebih dikenali ramai melalui penglibatannya dalam industri muzik, namun pameran ini membawa anda menyelami sisi lain beliau sebagai seorang pelukis dan pencinta seni halus. Jangan lepaskan peluang ini untuk menyaksikan bagaimana karya seni visual menjadi cerminan rohani, falsafah dan renungan diri seorang seniman sejati.

Mari alami sendiri manifestasi jiwa seorang seniman dalam dimensi kehambaan, melalui karya-karya yang menggugah rasa dan menyentuh jiwa.

—————————————————————————

MAKLUMAN

Muzium Maritim, Pulau Beram, Pekan masih dalam proses naik taraf untuk fasa-fasa berikutnya. Hanya pameran ‘Lukisan Jiwa M. Nasir’ yang dibuka bagi kunjungan orang awam buat masa ini.

WAKTU OPERASI:

Isnin :Tutup

Selasa hingga Khamis : 9 pagi - 5 petang

Jumaat : 9 pagi - 12.15 tengah hari

(rehat dan solat Jumaat)

2.45 petang - 5 petang

Sabtu dan Ahad :  9 pagi - 5 petang

Masuk adalah percuma

Khamis, Julai 10, 2025

Jana semula 'tenaga' rock

petikan Harian Metro 10 Julai 2025

Syafil Syazwan Jefri  syafil.syazwan@hmetro.com.my

M Nasir bakal gegar Axiata Arena menerusi Konsert Datuk M Nasir: Cipta 3.

"Saya sentiasa bersedia. Persoalannya, adakah anda semua bersedia untuk rock?".

Demikian kata Datuk M Nasir yang digelar Sifu dalam industri muzik tanah air yang sekali lagi bakal beraksi di Konsert Datuk M Nasir : Cipta 3 pada 27 September 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Sinonim dengan genre rock dalam karya-karyanya pada era 1980-an dan 1990-an, jiwa ke arah genre muzik itu masih menebal dalam dirinya. Namun, 'tenaga' itu perlu digali semula bagi menghidup semula jiwa berkenaan.

"Dari sudut permainan muziknya, tentunya tidak seperti konsert terdahulu kerana ia bertemakan rock. Saya cuba mendapatkan 'tenaga' rock itu.

"Persiapan saya adalah nak kumpulkan balik jiwa rock dalam diri saya sebab dah lama tinggalkannya dan dah bagi orang lain buat. Tapi, jiwa rock itu sebenarnya sentiasa ada.

"Saya bermula pun dengan menghasilkan album-album rock antaranya untuk kumpulan Search, Wings, Bloodshed dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai persiapan dari segi pemakanan dan penjagaan diri, M Nasir mengakui, ada pantang-larang yang harus diikutinya.

"Pantang-larang dari segi makanan mestilah ada. Jangan buat benda yang tak sepatutnya kita buat contohnya, makan terlalu banyak," katanya.

Berkongsi mengenai gubahan dan susunan muzik, dia yang akan beraksi di pentas selama lebih tiga jam dan mempersembahkan lebih 30 lagu akan menyusun karyanya sebaik mungkin.

"Lagu-lagu rock itu saya akan persembahkan dan lagu-lagu yang bukan rock, saya akan buat susunan muzik rock. Kebanyakan idea akan hadir sewaktu sesi 'jamming'. Jadi, saya akan fikirkan mengenai gubahan muziknya.

"Rock ada pelbagai fahaman juga. Macam-macam jenis fahaman rock. Jumlah lagu 32 lagu semuanya. Lagu-lagu rock panjang, jadi mungkin kalau 20 lagu pun dah tiga jam," katanya.

Penyanyi lagu Mantera Semerah Padi ini juga antara selebriti tanah air yang baru-baru ini menunaikan ibadah haji dan berkongsi pengalamannya.

"Di sana cuaca panas dan saya di sana hampir sebulan. Perubahan cuaca ada beri sedikit kesan kepada kesihatan, tapi masih dapat dikawal. Alhamdulillah.

"Paling istimewa saat menunaikan haji, apa yang kita jangka tak semestinya berlaku. Bagi orang yang pertama kali masuk ke Tanah Suci, dia akan merasa syahdu. Pertama kali melihat Kaabah itu, mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan di situ.

"Tapi, bagi mereka yang betul-betul mengharapkan rahmat Tuhan, dia akan rasa syahdu, sedih tanpa sebab. Mungkin kerana kecintaan yang teramat diekspresikan dengan tangisan," katanya.

Menurutnya lagi, kerinduan kepada Tanah Suci tidak dapat dinafikan walaupun sudah beberapa kali ke sana.

"Tetapi, walaupun sudah beberapa kali ke sana pun, kita akan rasa perasaan sama. Bagi mereka yang sudah selesai mengerjakan haji dan ditanya sama ada nak datang lagi, semua akan cakap nak datang lagi kalau boleh.

"Saya boleh faham perkara itu sebab saya pun alami perkara sama. Alhamdulillah saya dapat mengerjakan haji," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, M Nasir berkata, cabaran terbesar adalah untuk menjaga pertuturan memandangkan setiap yang berlaku di sana adalah di luar jangkaan.

"Sebenarnya, semuanya mudah dikerjakan. Tapi, apabila sampai di sana, tak semudah disangka dengan keadaan ramai umat manusia, segalanya jadi berbeza.

"Perasaan jadi lain, rasa nak cakap sesuatu atau betulkan suasana, sentiasa ada dalam fikiran. Jadi, kita kena kawal benda-benda itu terutamanya mulut kita daripada merungut.

"Selepas selesai haji, saya pergi menziarahi beberapa tempat lain juga. Saya pernah melawat beberapa tempat semasa umrah dahulu.

"Jadi, saya pergi lagi. Antaranya, memanjat Bukit Uhud sampai ke atas puncak. Sempat juga saya ke puncak Gua Hirak," katanya.

Jumaat, Julai 04, 2025

Peminat bertuah Konsert M Nasir berpeluang bawa pulang motosikal Harley Davidson

Petikan Harian Metro 4 Julai 2025

Oleh Syuhada Sukapeli   am@hmetro.com.my

M NASIR bersama Kamaludin bergambar dengan sebuah motorsikal Harley Davidson yang dimiliki oleh bakal pemenang cabutan bertuah yang membeli tiket konsert Datuk M. Nasir : Cipta 3 di aplikasi Etiqa+ pada sidang media pengumuman cabutan bertuah di Dataran Maybank, Bangsar. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Peminat Datuk M Nasir bukan sahaja berpeluang menikmati malam penuh nostalgia dan semangat rock menerusi Konsert Dato M Nasir Cipta 3, malah berpeluang membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson bernilai RM114,000.

Konsert yang bakal berlangsung pada 27 September ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur tampil lebih istimewa dengan kerjasama Harley Davidson dan Etiqa selaku rakan strategik utama malam bersejarah itu.

Lebih menarik, motosikal model Harley Davidson Softail STD FXST lengkap dengan perlindungan insurans Etiqa akan dihadiahkan secara ikhlas oleh M Nasir sendiri kepada seorang pembeli tiket bertuah.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, pemenang motosikal eksklusif itu akan dipilih secara cabutan bertuah yang terbuka kepada semua pembeli tiket, tanpa mengira kategori tempat duduk.

"Ini hadiah paling istimewa dalam sejarah penganjuran konsert Dato M. Nasir. Peminat bukan sahaja pulang dengan kenangan konsert, malah mungkin pulang menunggang Harley Davidson," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, kerjasama ini bukan sekadar meraikan muzik, tetapi mencipta pengalaman berbeza untuk masyarakat.

"Kami percaya muzik adalah jambatan yang menyatukan kita. Melalui aplikasi Etiqa+, kami berikan akses eksklusif untuk pembelian awal tiket dan peluang menyertai aktiviti menarik berkaitan konsert ini," katanya.

Konsert Yang membawa tema 'Malam Ini Gua Rock', turut menggalakkan penonton hadir dengan gaya bebas dan ekspresif menerusi konsep 'Rock Cara Lu… Janji Rock', demi menyemarakkan lagi suasana malam penuh kenangan dan semangat rock.

Pra-jualan eksklusif dibuka menerusi aplikasi Etiqa+ sejak semalam manakala jualan umum bermula jam 11 pagi ini.

Khamis, Julai 03, 2025

KONSERT DATO' M.NASIR CIPTA 3

“Yang mana kau pilih, isi atau kulit? Kertas bungkusan yang indah coraknya Membungkus benda tak kira nilainya Yang mana berharga, isi atau kulit? Hiasan cantik permainan mata Budi yang baik santapan jiwa Isi dan Kulit (1985) 🎶

🔥 Tak payah cakap banyak, Jom beli tiket. Layan lagu ROCK. Tak kiralah ROCK Keras ke, ROCK Cintan ke, Pop ke, Ringan ke, Balada ke, Kapak ke atau Kangkang… Janji ROCK!! 

🤟🏻 Ketua Segala ROCK aka SIFU dah panggil... Jom aaaa… Apa Lagi? 27 September 2025 (Sabtu) 8:30 malam Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur. 

Tiket kategori seperti berikut: RM 258 - TEGUH RM 358 - OPERA HIDUP RM 458 - ISI DAN KULIT RM 488 - SEJATI RM 558 - GADISKU RM 628 - PAWANA 

📍Tiket boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.my/MNasirCipta3 : Pra Jualan tiket akan dibuka untuk pengguna Aplikasi ETIQA+ pada: Khamis, 3 July 2025, 2 petang. Tiket untuk umum akan di jual pada: Jumaat, 4 July 2025 pada 11pagi 

♦️Setiap pembelian tiket, anda akan layak memenangi sebuah motorsikal Harley Davidson pada malam tersebut. (Anda harus add on beli physical tiket untuk cabutan tersebut) 

C I P T A 3 M A L A M I N I G U A R O C K ! ! 

🔥🤘🏻🤟🏻🔥 #datomnasir #datodrhajimnasir #hajiSIFU #Sifu #cipta3 #malamniguarock 









Isnin, Jun 30, 2025

'Lebih baik berunding' - M Nasir

petikan Harian Metro 30 Jun 2025

Syafil Syazwan Jefri syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, komposer dan penerbit, Datuk M Nasir melihat bahawa rundingan damai adalah jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan kemelut antara Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit Muzik Malaysia (3P Muzik Malaysia) serta tiga pengerusi Collective Management Organisation (CMO), yang tular baru-baru ini.

M Nasir ketika ditemui di sidang media Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 berkata, isu itu juga sudah dibawa ke peringkat undang-undang dan tidak dapat diulas olehnya.

"Benda ini sudah dibawa ke peringkat undang-undang. Rundingan adalah penyelesaian terbaik," katanya.

Terdahulu, Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan meluahkan kekecewan dengan keengganan tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik yang tidak bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

"Sebenarnya nak cakap susah, tak cakap pun susah. Sebab tiga pengerusi CMO boleh dikatakan kawan kami dan ahli kami. Bukan orang lain pun.

"Tapi saya nak mohon jangan keterlaluan sehingga kelihatan biadap kepada kerajaan. Ini kerana arahan bila keluar harus dipatuhi," katanya.

Sidang media yang dijalankan baru-baru ini dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) yang dilihat tidak akur dengan ketetapan baharu dibuat kerajaan dalam isu kutipan royalti.

'Pencipta ada hak, penyanyi pun ada hak' - M Nasir

petikan Harian  Metro 30 Jun 2025

Syafil Syazwan Jefri   syafil.syazwan@hmetro.com.my

Penyanyi, Datuk M Nasir ketika sidang media pengumuman Konsert Cipta 3 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO RAIHANA MANSOR

Kuala Lumpur : "Boleh dibuat perbincangan sebab masing-masing ada hak," kata Datuk M Nasir ketika diminta mengulas mengenai isu hak cipta yang sedang panas antara pasangan komposer, Man Senoi dan Mama Rap dengan kumpulan 4U2C yang akan mengadakan konsert pada September ini.

M Nasir ketika ditemui di sidang media Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 berkata, pencipta dan penyanyi ada hak masing-masing dan perbincangan adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan kemelut ini.

"Pencipta lagu dia ada hak yang kuat untuk lagu-lagu dia. Orang yang merakamkan lagu pun ada hak dia. Biarlah (perbincangan) berjalan dulu.

"Penganjur tidak ada hak terhadap lagu. Jadi, pencipta lagu mempunyai hak yang kuat terhadap lagu," katanya.

Katanya, penyanyi perlu berurusan mengikut saluran sepatutnya seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan rundingan boleh dilakukan dengan pencipta lagu sehingga mendapat keizinan.

"Penyanyi kena berurusan dengan pencipta lagu atau secara kebiasaannya, dia tak perlu berurusan, tapi melalui MACP. Yang penting, dibayar.

"Tapi, kalau pencipta lagu tak beri izin dia main, dia ada hak juga berbuat begitu," katanya.

Terbaharu, M Nasir akan mengadakan Konsert Datuk M N46ir Cipta 3 pada 27 September 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil. Konsert berskala besar ini akan mengangkat tema rock dan mempertaruhkan lagu-lagu rock ciptaannya.

Konsert Dato’ M.N46ir Cipta 3 gegarkan Axiata Arena September ini