Jumaat, Julai 04, 2025

Peminat bertuah Konsert M Nasir berpeluang bawa pulang motosikal Harley Davidson

Petikan Harian Metro 4 Julai 2025

Oleh Syuhada Sukapeli   am@hmetro.com.my

M NASIR bersama Kamaludin bergambar dengan sebuah motorsikal Harley Davidson yang dimiliki oleh bakal pemenang cabutan bertuah yang membeli tiket konsert Datuk M. Nasir : Cipta 3 di aplikasi Etiqa+ pada sidang media pengumuman cabutan bertuah di Dataran Maybank, Bangsar. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Peminat Datuk M Nasir bukan sahaja berpeluang menikmati malam penuh nostalgia dan semangat rock menerusi Konsert Dato M Nasir Cipta 3, malah berpeluang membawa pulang sebuah motosikal Harley Davidson bernilai RM114,000.

Konsert yang bakal berlangsung pada 27 September ini di Axiata Arena, Kuala Lumpur tampil lebih istimewa dengan kerjasama Harley Davidson dan Etiqa selaku rakan strategik utama malam bersejarah itu.

Lebih menarik, motosikal model Harley Davidson Softail STD FXST lengkap dengan perlindungan insurans Etiqa akan dihadiahkan secara ikhlas oleh M Nasir sendiri kepada seorang pembeli tiket bertuah.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, pemenang motosikal eksklusif itu akan dipilih secara cabutan bertuah yang terbuka kepada semua pembeli tiket, tanpa mengira kategori tempat duduk.

"Ini hadiah paling istimewa dalam sejarah penganjuran konsert Dato M. Nasir. Peminat bukan sahaja pulang dengan kenangan konsert, malah mungkin pulang menunggang Harley Davidson," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Etiqa Insurans & Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, kerjasama ini bukan sekadar meraikan muzik, tetapi mencipta pengalaman berbeza untuk masyarakat.

"Kami percaya muzik adalah jambatan yang menyatukan kita. Melalui aplikasi Etiqa+, kami berikan akses eksklusif untuk pembelian awal tiket dan peluang menyertai aktiviti menarik berkaitan konsert ini," katanya.

Konsert Yang membawa tema 'Malam Ini Gua Rock', turut menggalakkan penonton hadir dengan gaya bebas dan ekspresif menerusi konsep 'Rock Cara Lu… Janji Rock', demi menyemarakkan lagi suasana malam penuh kenangan dan semangat rock.

Pra-jualan eksklusif dibuka menerusi aplikasi Etiqa+ sejak semalam manakala jualan umum bermula jam 11 pagi ini.

Tiada ulasan: