Khamis, Julai 10, 2025

Jana semula 'tenaga' rock

petikan Harian Metro 10 Julai 2025

Syafil Syazwan Jefri  syafil.syazwan@hmetro.com.my

M Nasir bakal gegar Axiata Arena menerusi Konsert Datuk M Nasir: Cipta 3.

"Saya sentiasa bersedia. Persoalannya, adakah anda semua bersedia untuk rock?".

Demikian kata Datuk M Nasir yang digelar Sifu dalam industri muzik tanah air yang sekali lagi bakal beraksi di Konsert Datuk M Nasir : Cipta 3 pada 27 September 2025 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Sinonim dengan genre rock dalam karya-karyanya pada era 1980-an dan 1990-an, jiwa ke arah genre muzik itu masih menebal dalam dirinya. Namun, 'tenaga' itu perlu digali semula bagi menghidup semula jiwa berkenaan.

"Dari sudut permainan muziknya, tentunya tidak seperti konsert terdahulu kerana ia bertemakan rock. Saya cuba mendapatkan 'tenaga' rock itu.

"Persiapan saya adalah nak kumpulkan balik jiwa rock dalam diri saya sebab dah lama tinggalkannya dan dah bagi orang lain buat. Tapi, jiwa rock itu sebenarnya sentiasa ada.

"Saya bermula pun dengan menghasilkan album-album rock antaranya untuk kumpulan Search, Wings, Bloodshed dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai persiapan dari segi pemakanan dan penjagaan diri, M Nasir mengakui, ada pantang-larang yang harus diikutinya.

"Pantang-larang dari segi makanan mestilah ada. Jangan buat benda yang tak sepatutnya kita buat contohnya, makan terlalu banyak," katanya.

Berkongsi mengenai gubahan dan susunan muzik, dia yang akan beraksi di pentas selama lebih tiga jam dan mempersembahkan lebih 30 lagu akan menyusun karyanya sebaik mungkin.

"Lagu-lagu rock itu saya akan persembahkan dan lagu-lagu yang bukan rock, saya akan buat susunan muzik rock. Kebanyakan idea akan hadir sewaktu sesi 'jamming'. Jadi, saya akan fikirkan mengenai gubahan muziknya.

"Rock ada pelbagai fahaman juga. Macam-macam jenis fahaman rock. Jumlah lagu 32 lagu semuanya. Lagu-lagu rock panjang, jadi mungkin kalau 20 lagu pun dah tiga jam," katanya.

Penyanyi lagu Mantera Semerah Padi ini juga antara selebriti tanah air yang baru-baru ini menunaikan ibadah haji dan berkongsi pengalamannya.

"Di sana cuaca panas dan saya di sana hampir sebulan. Perubahan cuaca ada beri sedikit kesan kepada kesihatan, tapi masih dapat dikawal. Alhamdulillah.

"Paling istimewa saat menunaikan haji, apa yang kita jangka tak semestinya berlaku. Bagi orang yang pertama kali masuk ke Tanah Suci, dia akan merasa syahdu. Pertama kali melihat Kaabah itu, mungkin ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan di situ.

"Tapi, bagi mereka yang betul-betul mengharapkan rahmat Tuhan, dia akan rasa syahdu, sedih tanpa sebab. Mungkin kerana kecintaan yang teramat diekspresikan dengan tangisan," katanya.

Menurutnya lagi, kerinduan kepada Tanah Suci tidak dapat dinafikan walaupun sudah beberapa kali ke sana.

"Tetapi, walaupun sudah beberapa kali ke sana pun, kita akan rasa perasaan sama. Bagi mereka yang sudah selesai mengerjakan haji dan ditanya sama ada nak datang lagi, semua akan cakap nak datang lagi kalau boleh.

"Saya boleh faham perkara itu sebab saya pun alami perkara sama. Alhamdulillah saya dapat mengerjakan haji," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran, M Nasir berkata, cabaran terbesar adalah untuk menjaga pertuturan memandangkan setiap yang berlaku di sana adalah di luar jangkaan.

"Sebenarnya, semuanya mudah dikerjakan. Tapi, apabila sampai di sana, tak semudah disangka dengan keadaan ramai umat manusia, segalanya jadi berbeza.

"Perasaan jadi lain, rasa nak cakap sesuatu atau betulkan suasana, sentiasa ada dalam fikiran. Jadi, kita kena kawal benda-benda itu terutamanya mulut kita daripada merungut.

"Selepas selesai haji, saya pergi menziarahi beberapa tempat lain juga. Saya pernah melawat beberapa tempat semasa umrah dahulu.

"Jadi, saya pergi lagi. Antaranya, memanjat Bukit Uhud sampai ke atas puncak. Sempat juga saya ke puncak Gua Hirak," katanya.

Tiada ulasan: