ANALITIC

Selasa, Ogos 02, 2022

Konsert Kembara: Panorama Jingga penuhi impian penonton

petikan BebasNews 2 Ogos 2022

By Khadijah Ibrahim 

Persembahan M.Nasir begitu bertenaga dari awal hingga akhir persembahan.

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada penyanyi Datuk M.Nasir kerana pada usia 65 tahun, masih bertenaga menjayakan Konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd.

Ternyata usia bukan penghalang untuk seorang penyanyi berpengalaman menghibur kira-kira 2,600 penonton yang hadir menonton persembahannya bersama anggota kumpulan Kembara yang berlangsung di di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 31 Julai, baru-baru ini.

Melihat kepada kudrat yang ditonjolkan oleh M.Nasir sepanjang persembahan hampir tiga jam itu, penyanyi baharu pun tak boleh tanding.

Kekuatan M.Nasir terletak pada vokalnya kerana setiap lagu yang dipersembahkan dengan iringan gitar utama oleh Zoul yang juga penyanyi Kembara, bes (Rahman Suri), dram (Shahrum Basiron) dan keyboard (Md. Shah Othman), kedengaran sama seperti kaset yang dirakam lebih 30 tahun lalu.

Konsert Kembara: Panorama Jingga mengubati rindu penonton terhadap lagu-lagu dendangan kumpulan tersebut.

Konsert bermula kira-kira pukul 8.40 malam itu diserikan dengan lagu Panorama Jingga, Tarian Hidup dan Duit yang turut diiringi oleh dua pemain muzik tambahan iaitu Kuzai untuk gitar dan Adam bermain keyboard, manakala Eja dan Awe pula penyanyi latar.

Sebaik selesai mendendangkan lagu Duit, M.Nasir selaku vokalis utama memberitahu bahawa kumpulan yang tampil dengan album pertama, Kembara pada 1981 tidak pernah mengisytiharkan bila ditubuhkan dan berpecah.

“Kembara tidak pernah isytihar ditubuhkan dan berpecah. Sebahagian anggota termasuk saya bekerja di studio. Kita gabung waktu album 1404 Hijrah. Kita ada lebih kurang tujuh album dan kira-kira 70 lagu. Kita akan nyanyi 70 lagu sampai zuhur esok,” katanya gurau membuka bicara menyapa penonton pada malam itu.

M.Nasir kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Rindu, Kepadamu Kekasih, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bungak Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

Penonton sentiasa turut menyanyi bersama M.Nasir.

“Apa khabar anda sekalian, saya sejak lepas sekolah tidak pernah kerja makan gaji. Konsert ini dedikasi untuk era 80-an. Apa yang kita ingat waktu 80-an, bas mini, putar alam atau lagu reggae?,” tanya M.Nasir kepada penonton sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Rozita yang berentak reggae.

Kemudian, adiknya, Zoul diberi ruang menyampaikan lagu Putar Alam dan Bunga Bakawali, diikuti dengan lagu Perwira serta Gadis Berpurdah Hitam, nyanyian M.Nasir.

Jika kita selami lirik-lirik lagu Kembara, ia begitu puitis dan banyak maksud tersirat di sebaliknya. Apa yang penting tak jemu mendengarnya walaupun lagu-lagu dendangan Kembara berusia lebih 30 tahun.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80-an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang juga pengasas kumpulan ini.

Lagu-lagu dendangan Kembara tetap segar dalam ingatan peminat tegar mereka hingga kini.

Tambahnya, lagu-lagu yang diperdengarkan pada malam itu bukanlah lagu lama tapi malar segar yang turut didendangkan oleh penonton.

“Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80- an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi,” yang berharap kerancakan konsert tahun ini melimpah ke tahun seterusnya.

Pada malam itu Kembara tidak melupai jasa seorang anggota asalnya iaitu Allahyarham A.Ali yang meninggal dunia pada 21 November 2022.

“Kita ada kawan A.Ali, dia telah cipta lebih500 lagu dan menjadi hits. Dia masuk banyak kumpulan termasuk Sweet Charity tapi tak sempat rakaman, dia dah keluar. Dia banyak cipta lagu untuk kembara. Berikuta adalah antara lagu ciptaannya,” jelas M.Nasir sebelum meneruskan persembahan untuk segmen Tribute To A.Ali.

Sewaktu menyanyikan lagu Gerhana, M.Nasir turun pentas membuatkan penonton teruja.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah medley, Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang.

Persembahan malam itu turut menampilkan penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa mengimbau kenangan peminat ke zaman filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, dengan wataknya sebagai Osman Tikus.

Pada konsert itu juga, Kembara turut memainkan beberapa lagu yang tidak pernah dimainkan dalam mana-mana persembahan.

“Kita banyak kena main lagu yang belum pernah dimainkan lagi. Jadi kena praktis lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan itu, istimewanya lagu-lagu tersebut telah dirakam lebih daripada 30 tahun lalu.

“Tidak sangka bila Kembara semak semula lagu-lagu yang ada, kami sendiri terkejut kerana terdapat lagu yang sedap seperti Putar Alam dan patut diketengahkan sebelum ini,” jelasnya.

Dari awal hingga akhir persembahan, penonton tidak melihatpun M.Nasir meneguk air dan itu membuktikan bahawa beliau benar-benar mempersiapkan diri untuk konsert tersebut.

Tidak perlu menukar beberapa persalinan pakaian, persembahan M.Nasir tetap tampak ceria dan menghiburkan kerana kehadiran penonton adalah untuk mendengar beliau mendendangkan lagu secara langsung.

Sebelum penonton yang rata-rata terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat usia pulang ke rumah, Kembara mengakhiri persembahan mereka dengan lagu Ekpress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana.

Isnin, Ogos 01, 2022

Gamat, Panorama Jingga Kembara hanyutkan emosi, buai nostalgia

petikan Kosmo! Online 1 Ogos 2022

Oleh Mohammad Shahemy Azmi

SELAKU pengasas dan vokalis utama, M. Nasir menghanyutkan emosi 2,600 penonton menerusi konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di KLCC malam tadi.

KUALA LUMPUR – “Puas dan bertenaga!”  

Demikian perasaan yang dapat disimpulkan tentang konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah oleh kumpulan muzik legenda tersohor, Kembara malam tadi.

Konsert yang menampilkan gabungan tenaga dan kehebatan vokal Datuk M. Nasir bersama anggota asal Kembara iaitu Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md. Shah Othman (keyboard) memukau 2,600 penonton berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC.

Selaku vokalis utama Kembara, M. Nasir menyifatkan konsert yang berlangsung itu sungguh istimewa dan ditunggu-tunggu bukan sahaja buat anggota muzik, bahkan oleh peminat lebih-lebih lagi selepas kali terakhir muncul di pentas besar pada 2014.

“Istimewanya konsert ini kerana persembahan yang dibawa merupakan ‘suara’ satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi tahun 1980-an. Selain muzik rock yang keras, Kembara membawa satu muzik yang berbeza iaitu daripada segi senikata.

“Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khasnya,” terang M. Nasir yang juga pengasas kumpulan tersebut.

Tambah penyanyi yang digelar ‘sifu’ itu lagi, muzik yang dihasilkan bukan tertakluk pada satu-satu generasi sahaja, sebaliknya muzik tersebut boleh diterima oleh generasi akan datang.

“Ini bukan muzik lama, tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu sahaja (80-an). Bentuk muzik akan mengjangkau generasi.

Persembahan yang berlangsung selama tiga jam menerusi seleksi 30 buah lagu popular Kembara daripada album keempat hingga album ketujuh itu turut menampilkan penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa membawakan ingatan peminat ke zaman Kembara Seniman Jalanan dengan watak ikoniknya Osman Tikus.

Antara lagu-lagu yang ditampilkan pada malam itu adalah seperti Kepada Mu Kekasih, Gadis Berpurdah Hitam, Mencurah Janji Di Daun Keladi, Kerocong Untu Ana, Nyanyian Jiwa dan lagu yang ditunggu-tunggu peminat, Gerhana.

Pada malam persembahan itu juga, Kembara juga turut memainkan beberapa lagu yang telah dirakamkan lebih daripada 30 tahun lalu dan tidak pernah dimainkan dalam  mana-mana persembahan.

“Kita banyak kena main lagu yang belum pernah dimainkan lagi. Jadi kena praktis lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan itu, istimewanya lagu-lagu tersebut telah dirakam lebih daripada 30 tahun lalu.

“Tidak sangka bila Kembara semak semula lagu-lagu yang ada, kami sendiri terkejut kerana terdapat lagu yang sedap seperti Putar Alam dan patut diketengahkan sebelum ini,” jelasnya.

Tanpa rehat untuk berhenti biarpun meneguk segelas air, M. Nasir mengakhiri persembahannya menerusi lagu Gerhana sekali gus membuatkan penonton yang berada di dalam dewan gamat, berdiri dan menyanyi bersama-sama.

Rata-rata penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur kelihatan puas sehingga ada yang menitiskan air mata apabila dapat melepaskan rindu berhibur dengan kumpulan muzik Kembara yang dibawakan oleh Shiraz Projects Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

Kembara: Konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah

petikan Suara TV 1 Ogos 2022

FendiGhafar

KUALA LUMPUR – Kumpulan Kembara yang pernah popular pada era 80-an dan 90-an kembali di atas pentas semalam dengan konsert Panorama Jingga 1444 Hijrah. Penyanyi dan komposer terkenal M. Nasir memukau ribuan peminat dengan lagu-lagu hit mereka suatu masa dulu.

“Tahun 1980 kita “Kembara” ditubuhkan kini menjadi sejarah setelah 40 tahun “kembara” kembali diatas pentas” M.Nasir

Penonton dalam Dewan Planery KLCC pasti terimbau kenangan perjuangan cetak rompak dan susah payah seniman negara pada era lalu apabila Kembara mula menyanyikan lagu-lagu dari filem “Kembara Seniman Jalanan” (KSJ).

Lagu lagu “Balada Osman Tikus”, “Rupa Tanpa Wajah”, “Siapa Orang Kita”, “Harapan Terakhir” dan “Sesat di Kuala Lumpur” menjadi pemulaan kepada persembahan malam tadi.

Seterusnya lagu-lagu “Panorama Jingga”, “Mencurah Air di Daun Keladi” “Kutu”, “Kolar Biru”, “Nyanyian Jiwa” membuatkan penonton kembali ke era retro 80 90an dengan nostalgia lagu-lagu yang pernah diputar didalam radio dan televisyen.

Lagu “Ekpres Rakyat”, “Hati Emas”, “Perjuangan” dan “Gerhana”; menjadi lagu-lagu terakhir dan membuat peminat teruja lalu berdiri dan turut menyanyi bersama dan menjadikan malam yang sukar dilupakan. Turut tidak boleh dilupakan apabila M Nasir turun dari pentas dan ditarik oleh peminat untuk berselfie bersama.

Persembahan berakhir dengan ucapan terima kasih angota “kembara” kepada semua angota band, krew dan tetamu yg hadir.















Jumaat, Julai 29, 2022

M Nasir perkasa RSG MY

petikan Harian Metro 29 Julai 2022

Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir tiba-tiba menjadi bualan peminat esukan apabila namanya dikaitkan dengan pasukan RSG MY yang memuat naik gambar di akaun media sosial mereka bermula semalam.

Menurut Pengurus Komuniti RSG MY, Mohamad Zawir Zakari perkara berkenaan bukanlah satu bahan jenaka atau 'prank' sebaliknya memang sah M Nasir bakal bergandingan dengan mereka.

"Memang kita mendaftarkannya M Nasir sebagai pemain. Selain itu beliau juga berperanan untuk memberi motivasi kepada pemain-pemain lain. Ini memang bukan 'prank'," katanya ketika dihubungi Arena Metro sebentar tadi.

Ujar Zawir, mereka memang sudah lama berbincang dengan M Nasir dan baru semalam mengumumkan secara rasmi mengenai perkara berkenaan di media sosial.

"Memang sudah lama rancang tapi pengumuman ini memang baru lagi. Lagi pun akan ada pengumuman senarai pemain petang ini iaitu siapa yang bakal beraksi di MPL MY musim ke-10," katanya.

Nama M Nasir pula menjadi tular dalam kalangan penggiat sukan esukan semalam apabila RSG MY memuat naik gambar berbentuk kad permainan penyanyi legenda itu dengan memakai jersi pasukan mereka.

"Mentera Semerah Padi. Seorang lagenda, seorang ikon negara, dan sekarang, sebagai pemain Mobile Legends:Bang Bang (MLBB) RSG dengan IGN Sifu!

"Selamat datang kepada salah seorang pemain flex role kami Datuk M Nasir," kata RSG MY yang pernah muncul juara MPL MY musim ketujuh selepas menumpaskan Todak 4-2.

Ahad, Julai 24, 2022

Terhantar ke terowong masa dengan Kembara

petikan MalaysiaKini 24 Julai 2022

oleh Rimanilzah


Pada 1981, kami sekeluarga berpindah ke perkampungan setinggan di Kampung Sentosa C, Batu 6, Jalan Klang Lama. Pada waktu itu, abang sulung saya, Nyah, pandai menghasilkan speaker buatan sendiri.

Nyah juga ada amplifier dan pemain kaset.

Ketika itu belum ada bekalan elektrik. Jadi, kalau hendak menggunakan amplifier dan pemain kaset, kuasa elektrik dari bateri basah digunakan.

Apabila kuasanya telah kurang, Nyah akan membawa bateri basah itu ke sebuah kedai membaiki motosikal di Batu 6, Jalan Klang Lama untuk dicas.

Di rumah Nyah, saya mula mendengar lagu-lagu Kembara melalui kaset yang dibeli di pasar malam. Harga kaset pada waktu itu RM2.80 jika tidak silap.

Saya perlu menjimatkan belanja sekolah kalau hendak membelinya.

(Sekarang, saya memiliki semua kaset dan cakera padat original kumpulan Kembara.)

Pada 1983, Kampung Sentosa C dilanda kebakaran. Nyah berpindah ke Kampung Pantai Dalam, tetapi kami sekeluarga masih menetap di rumah setinggan yang dibina semula.

Selepas itu, saya selalu lepak di rumah Saha, kawan setinggan saya. Abang kepada Saha ada kaset-kaset Kembara dan sebuah mini compo.

Di rumah Saha, saya semakin meminati lagu-lagu Kembara. Saya juga mula mengenal dan meminati puisi pada waktu itu.

Kumpulan Kembara membawa banyak kenangan kepada saya dan kawan-kawan. Antaranya lukisan pada sampul-sampul kaset Kembara mula menarik minat saya terhadap seni lukis walaupun pada waktu itu saya tidak faham akan makna imej-imej yang terdapat pada karya S Amin Sahab tersebut.


Lagu-lagu Kembara juga membawa makna yang tersendiri kepada kami.

Tahun-tahun 1980-an, tinggal di rumah setinggan dengan atap zink berbahang. Tidak jauh dari rumah ada landasan kereta api. Kalau ke sana, kami melihat kereta api lalu.

Apabila mendengar lagu Ekspress Rakyat, bagai ada perasaan mahu menjelajah seantero tanah semenanjung muncul.

Di tepi jalan dekat Taman Kanagapuram, Jalan Klang Lama kami melihat buruh kasar daripada kaum Melayu, Cina dan India duduk di tepi longkang. Mereka menunggu “kepala” datang mengangkut mereka dengan lori untuk mengambil kong.

Tentulah lagu Senandung Buruh Kasar itu berkesan dan bermakna kepada kami.

Kita mesti terus hidup

Di tepi jalan Batu 6, Jalan Klang Lama ada satu gerai menjual surat khabar. Pak Darus - bapa kepada kawan saya - ialah tuan punya gerai itu. Jadi, ada satu perasaan 'semacam' apabila kami mendengar lagu Penjual Surat Khabar.

Apabila terdengar lagu itu sekarang, saya akan teringat kepada arwah Pak Darus dan anak-anaknya yang menjadi jiran kami.

Mak pula selalu berleter: “Kalau tak ada pelajaran, abang nak jadi apa?”

Jadi, apabila mendengar lagu seperti Perjuangan, Hati Emas, dan Impian Anak Jalanan, semacam ada suatu keazaman untuk berusaha. Seperti ada satu inspirasi apabila mendengarnya.

Semasa di Tingkatan 6 di Victoria Institution, saya dan kawan-kawan membuat pementasan teater. Kami telah memilih lagu Rupa Tanpa Wajah sebagai lagu latar.

Kata-kata “kita mesti terus hidup” yang terdapat dalam lirik lagu Balada Osman Tikus dan Sesat Di Kuala Lumpur pula menjadi moto hidup kami semasa bersekolah.

Saya selalu ke Hentian Pudu Raya untuk membuat dubbing lagu-lagu kegemaran di sebuah kedai kaset di situ. Ada sebuah kedai buku juga yang selalu saya kunjungi. Kadang-kadang saya menghantar kawan, saudara mara, atau buah hati untuk menaiki bas di situ.

Apabila mendengar lagu Di Perhentian Pudu Raya ada kenangan yang muncul.

Lagu menjadi penanda zaman

Kalau ke Kuala Lumpur kami selalu makan di benteng selera. Sekarang, benteng di Jalan Pasar itu sudah tidak wujud lagi. Semasa remaja pula kami menjadi kutu. Kami pakai jeans koyak dan jaket lusuh. Bersembang di tepi tembok dengan Amie, Saiful, dan Sahar macam-macam perkara.

Sekarang, apabila mendengar lagu Benteng Selera dan Kutu, kenangan zaman remaja itu muncul kembali.

Yang paling tidak boleh blah ialah waktu putus cinta. Apabila mendengar lagu Mencurah Janji Di Daun Keladi, hati bagai disayat-sayat sembilu. Tetapi masih tekan butang rewind berulang kali untuk meraikan perasaan terluka dengan mendengar lagu itu.

Banyak lagu Kembara yang membawa semangat zaman tahun-tahun 1980-an. Ada yang kekal relevan sehingga kini, dan ada yang hanya menjadi penanda zaman.

Persoalan dalam lagu seperti Duit, Kolar Biru, dan Kawan masih bersesuaian sehingga sekarang.

Manakala lagu seperti Perwira, Di Perhentian Pudu Raya, dan Panorama Jingga menjadi penanda zaman era 1980-an.

Kata-kata seperti 1984 (Perwira), Pudu Raya (Di Perhentian Pudu Raya), dan mercu tanda Dayabumi (Panorama Jingga) mewakili tahun-tahun kencana 1980-an.

Sesiapa yang membesar pada 1980-an tentu memahami kehidupan marhaen baik di bandar besar mahupun di luar bandar. Ada yang berhijrah ke bandar untuk mencuba mengubah nasib mereka. Yang masih di luar bandar, dengan cabaran masing-masing pula.

Lagu-lagu Kembara banyak mengungkap kegetiran pada zaman itu.

Misalnya, lagu seperti Panorama Jingga dan Sesat Di Kuala Lumpur mewakili anak muda yang baru berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Manakala lagu seperti Impian Seorang Nelayan pula mewakili keperitan kehidupan masyarakat luar bandar.

Lagu-lagu Kembara seolah-olah menjadi soundtrack kepada suka duka hidup golongan marhaen. Apabila didengar pada waktu ini pula, lagu-lagu tersebut bagai membawa diri kita lalu terhantar ke terowong masa di lebuh raya kenangan.

Dari 1981 hingga 1986, Kembara telah menghasilkan tujuh buah album, iaitu:

1981 – Kembara

1982 – Perjuangan

1983 – Generasiku

1984 – Seniman Jalanan

1984 – 1404 Hijrah

1985 – Duit

1986 – Kembara Seniman Jalanan (Lagu-lagu dari filem)

Banyak lagi yang boleh diperkatakan tentang lagu-lagu yang terkandung dalam tujuh buah album tersebut. Dari segi falsafah kehidupan, citra ketuhanan, unsur-unsur alam, pandangan hidup, nilai kemanusiaan, semangat Melayu, dan sebagainya.

Menghuraikannya akan menjadikan tulisan ini lebih panjang.

Saya pertama kali menyaksikan konsert Kembara pada 1986 iaitu di Panggung Anivessary. Konsert itu merupakan penggambaran untuk filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani.


Jadi, kami yang menonton konsert itu bagai menjadi pelakon tambahan. Ada kawan yang sanggup memanjat pokok untuk mendapat sudut pandang yang lebih baik.

Setelah 33 tahun semenjak Kembara muncul di persada seni tanah air, pada 21 hingga 23 Nov 2014, konsert Kembara: Hati Emas diadakan di Istana Budaya. Kali ini konsert tersebut diadakan di tempat mewah dan berhawa dingin dengan harga tiket yang mahal.

Harga sekeping tiket untuk menyaksikan konsert tersebut sama dengan sebulan gaji seorang buruh kasar pada 1980-an. Anggota Kembara juga tidak lagi memakai jeans lusuh, kasut Fung Keong, dan mengikat bandana di kepala.

Namun begitulah perubahan masa. Dari segi pendapatan, kebanyakan 'peminat kipas mati' yang datang menyaksikan konsert Kembara telah semakin stabil. Peminat baru pula datang untuk mengenali dan mendekati zeitgeist 1980-an.

Emosi dan kenangan memang tidak boleh dibeli. Tetapi perasaannya tetap sama apabila terimbau dengan mendengar lagu-lagu Kembara.

Kumpulan Kembara selamanya akan menjadi ikon generasi Melayu 1980-an yang telah melalui perjalanan hidup serba mencabar.

Kumpulan Kembara sekali lagi akan mengadakan konsert, iaitu Panorama Jingga 1414 di Plenary Hall, KLCC pada 31 Julai 2022 ini. Jom berpesta di sana.

RIMANILZAH ialah peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj dari ‘kota basah’ di utara Semenanjung.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Selasa, Julai 19, 2022

Nostalgia Seni: Kumpulan Kembara

Sumber Youtube TV3

Temubual bersama M Nasir dalam rancangan Malaysia Hari Ini  (MHI) pada 19 Julai 2022 yang menerangkan inspirasi muzik Kembara dan sejarah ringkas Kembara. Datuk M Nasir juga mendengangkan lagu KepadaMu Kekasih secara akustik.

Kembara pilih lagu lebih 30 tahun tak dimainkan

petikan Berita Harian 19 Julai 2022

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin bhnews@bh.com.my

Selepas konsert terakhir pada 2014, Kembara kembali dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai ini.

KUALA LUMPUR: Lapan tahun bukan tempoh masa singkat untuk muncul dengan konsert yang meninggalkan 1,001 kenangan manis.

Selepas muncul dengan konsert terakhir pada 2014, kumpulan ikonik era 1980-an, Kembara kembali dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah yang dibawa Shiraz Projects Sdn Bhd di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Julai ini.

Bermula jam 8.30 malam, konsert yang menghimpunkan Datuk M Nasir selaku vokalis, Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) itu akan turut mengheret penonton ke satu dimensi masa bersama lagu-lagu berjiwa besar mereka.

Zoul selaku gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada 1979 itu berkata, semangat kali ini lebih membara.

"Saya berasakan semangat lebih, walaupun usia sudah agak menjangkau, tetapi semangat kuasa kuda masih sama. Kami teruja dengan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah.

"Kami sudah memulakan persiapan sejak dua bulan. Banyak lagu yang akan dimainkan khusus untuk peminat setia.

"Menarik lagi, pemilihan lagu ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa.

"Kami akan memainkan lagu-lagu yang belum pernah didendangkan lagi. Jadi, latihan juga kena lebih," katanya kepada BH Online.

M Nasir (tengah) menyifatkan Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah sebagai suara satu generasi.

Mengulas pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, Zoul berkata, lagu-lagu dipilih dirakamkan lebih 30 tahun.

"Tak disangka apabila Kembara semak semula, kita ada lagu berusia 30 tahun yang belum diketengahkan," katanya.

Pemain dram, Shahrum berkata, dia tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu, jadi sangat ternanti konsert ini.

"Konsert ini tentunya yang terbaik, apatah lagi, saya tidak dapat beraksi dalam konsert lalu disebabkan tuntutan kerja," katanya.

Sementara itu, M Nasir pula menyifatkan, konsert itu sebagai suara satu generasi.

"Istimewanya, konsert ini kerana ia adalah suara satu generasi. Generasi dimaksudkan ialah generasi 1980-an.

"Selain genre rock yang keras, Kembara membawakan satu muzik berbeza, iaitu dari segi seni kata.

"Lagu Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas kami," katanya yang juga vokalis dan pengasas kumpulan ini.

"Ini juga bukan muzik lama, tetapi sekarang. Bila buat muzik, kami tidak hanya tuju kepada generasi 1980-an sahaja. Genre muzik akan menjangkau generasi," katanya.

Tiket pakej istimewa, termasuk sesi ramah mesra dengan anggota Kembara berharga RM860; Diamond (RM460), Platinum (RM360), Gold (RM260), Silver (RM200) dan Bronze (RM160), mula dijual di www.myticket.asia pada bulan lalu. Peminat juga boleh mendapatkan kemeja-T eksklusif Kembara apabila membeli tiket.

Isnin, Julai 18, 2022

ZRA STRIM kupas topik M Nasir Sukar Difahami & Kembara: Ensiklopedia Malaysia

sumber Youtube ZRA Strim

Ikuti temubual Tuan Haji Zainal Ahmad (ZRA Strim) bersama Datuk M Nasir. 

Membincangkan sejarah dan falsafah di sebalik lagu-lagu kumpulan Kembara. 

Temubual melibatkan dua bahagian.

Bahagian 1 : M Nasir sukar difahami - (strim live pada 17 Julai 2022)

_____________________________

Bahagian 2 : Kembara: Ensiklopedia Malaysia - (strim live pada 18 Julai 2022)


* trivia bagi peminat sifu pada minit 29 , M Nasir menerangkan maksud disebalik pemilihan tajuk album Saudagar Mimpi. 

Wajib tonton!

Isnin, Julai 11, 2022

Ubat rindu peminat Kembara

petikan Harian Metro 11 Julai 2022

Riadz Radzi riadz@hmetro.com.my

KEMBARA bakal mempersembahkan lagu-lagu yang tidak mereka mainkan sebelum ini.

"Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi lirik. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia."

Itu kata Datuk M Nasir mengenai Kembara, kumpulan folk rock yang membawa namanya sebagai penyanyi dalam industri muzik Malaysia dan Singapura sejak awal 1980-an sebelum meledak sebagai penyanyi solo.

Begitu juga sebagai komposer dan penerbit album tersohor tanah air.

Pada era itu, muzik Kembara bukan heavy metal, rock & roll atau hard rock seperti Sweet Charity, Search, Lefthanded atau SYJ, tetapi kumpulan trio yang turut dianggotai S Shahlan dan Allahyarham A Ali itu juga mempengaruhi banyak kumpulan rock di sini.

Barangkali imej dan konsep muzik Kembara itu dekat dengan kumpulan rock sedia ada. M Nasir juga banyak dipengaruhi artis folk rock seperti Crosby, Stills, Nash & Young, Bob Dylan selain Queen, Pink Floyd dan Led Zeppelin.

Kini, tanpa A Ali dan S Shahlan, Kembara kembali mengadakan konsert di sini iaitu Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah pada 31 Julai ini anjuran Shiraz Projects di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre jam 8.30 malam.

Kali terakhir Kembara mengadakan konsert di sini ialah pada 2014 di Istana Budaya.

Selain M Nasir sebagai penyanyi, Kembara turut dianggotai Zoul (gitar, penyanyi), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard).

Tujuh album dari tahun 1981 hingga 1986 membuktikan Kembara adalah nama yang cukup besar. Sama gahnya dengan band sebelum ledakan budaya rock seperti Sweet Charity, Blues Gang dan Alleycats.

Ditanya mengenai konsert ini, M Nasir berkata, istimewanya ialah kerana ia adalah suara satu generasi. "Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an. Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (1980-an) saja. Bentuk muzik akan menjangkau generasi tetapi dari masa ke masa, kita buat penyegaran muzik dan ini ada penyegaran. Kalau nak cakap teknikal, sukar tetapi muzik Kembara sesuai untuk zaman ini.

"Kita (Kembara) lahir ketika bangunan Dayabumi didirikan dan dalam gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu. Kita lahir era itu. Kita rasa sesuai kembalikan nostalgia itu dan mungkin ada persamaan dengan gelombang orang masa kini," katanya.

Trio Kembara membabitkan M Nasir, A Ali dan S Shahlan tampil dengan album sulung, Kembara pada 1981 dan anggota ini kekal untuk tiga lagi album iaitu Perjuangan (1982), Generasiku (1983) dan Seniman Jalanan (1984).

Tiga album terakhir mereka iaitu 1404 Hijrah pada 1984, Duit (1985) dan Lagu-lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986) menampilkan empat anggota terkini.

GAMBAR kulit abum Kembara berjudul 1404 Hijrah pada 1984 yang diambil di Orchard Road, Singapura.

Menurut M Nasir, 'line-ups' Kembara ketika ini sebenarnya adalah sama sejak album pertama kerana mereka juga terbabit dalam rakaman empat album terawal itu.

"Kita sudah awal-awal berlatih di Singapura dengan hampir 30 lagu. Kita adalah 'performer' dan pelaku seni. Kita buat persembahan dan cuba hiburkan orang. Kalau dapat sedikit-sebanyak, mahu beri mesej positif pada masyarakat," katanya.

Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan Kembara yang akhirnya terlaksana juga.

"Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk pendengar.

Sementara itu, pemain gitar, Zoul berkata, mereka sudah membuat persiapan dan berlatih sejak beberapa bulan lalu.

"Kita ada banyak lagu nak dimainkan, termasuk lagu-lagu yang belum pernah dimainkan sebelum ini. Pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan ini istimewa kerana ia dirakamkan lebih 30 tahun lalu.

"Bila kami semak balik lagu-lagu yang ada, tiba-tiba rasa, eh! Lagu ini sedap dan patut diketengahkan sebelum ini.

KEMBARA memberi pengaruh kepada banyak kumpulan dan peminat rock tempatan.

"Kami memang teruja untuk dengarkan lagu ini kepada penonton yang betul-betul meminati Kembara dari album pertama hingga ketujuh," katanya yang juga adik kepada M Nasir.

Zoul berkata, akan ada kejutan dalam konsert itu nanti selain persembahan tribute untuk A Ali.

Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah mula dijual sejak 10 Jun lalu.

Peminat Kembara juga boleh membeli kemeja-T eksklusif apabila membeli tiket konsert berkenaan di laman web www.myticket.asia.

Khamis, Julai 07, 2022

MBI lindungi hak pengkarya

petikan Berita Harian 7 Julai 2022

Oleh Balqis Jazimah Zahari  bhnews@bh.com.my

Rumaizi (kiri) dan M Nasir bertukar dokumen pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MBI dan MACP di Majlis Bandaraya Ipoh, kelmarin. - NSTP/L Manimaran

IPOH: Selaras matlamat menjadikan Ipoh, Perak sebagai bandar raya seni, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad bagi menjaga hak pengkarya seni.

Dengan termeterai memorandum itu, MBI muncul pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan MACP.

Inisiatif itu dapat memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) dan semua acara persembahan awam yang dianjurkan, mendapat lesen sah daripada MACP.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata MoU dimeterai dengan MACP melakar sejarah dalam industri muzik tempatan.

"MoU ini membolehkan kita menjalin kerjasama strategik dan mantap," katanya selepas menandatangani MoU bersama MACP di Bangunan MBI, Ipoh, Perak, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan Pengurus Besar MACP, Mary Yap.

Rumaizi berkata, kerjasama dengan MACP membuktikan MBI sebagai pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak pengkarya muzik.

"Usaha ini juga menzahirkan hak cipta perlu dihormati dan muzik sebagai harta intelek perlu diberi ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkarya," katanya.

Rumaizi berkata, MBI akan sentiasa cakna dan menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan.

"Sesebuah karya sudah pasti karya akan menjadi warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya," katanya.

Sementara itu, M Nasir menghargai usaha MBI menjaga hak pengkarya muzik tempatan.

"Sebelum ini, kita mungkin tidak ada MoU sebegini dan kita tidak dapat apa-apa daripada aktiviti (karya muzik) di sini (Ipoh).

"Saya mewakili MACP sangat bersyukur kerana Datuk Bandar Ipoh sendiri merealisasikan perkara ini dan peka dengan hasil golongan kreatif yang sepatutnya dibela. Ini usaha yang sangat baik," katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan penyanyi Indonesia, Raffa Affar mengolah lagu Tiara ciptaannya untuk kumpulan Kris pada program siaran langsung sehingga mencetuskan perdebatan netizen, M Nasir enggan perkara itu diperbesarkan.

"Itu (cover version) sudah biasa terjadi dalam industri, jadi tiada masalah. Kita (penyanyi tempatan) pun buat sebegitu.

"Ia pendapat peribadi (komen netizen), sama ada hendak marah atau tidak," katanya.

M Nasir menghargai usaha MBI menjaga hak pengkarya muzik tempatan. - NSTP/L Manimaran

Didakwa dendangan Raffa merosakkan melodi dan keaslian lagu, M Nasir berkata, apa yang berlaku adalah fenomena yang tidak terkawal.

"Itu (rosak lagu) iyalah sikit, tetapi perkara ini tetap berlaku dan kita tidak dapat mengawal.

"Kita kalau hendak buat sesuatu (tindakan) boleh, tetapi saya ingat dalam keadaan sekarang, tak payah (perbesarkan) kerana mereka kawan kita juga," katanya.

M Nasir yang popular dengan lagu Mentera Semerah Padi mengakui lagu Tiara versi saduran mendapat tontonan lebih tinggi.

"Aliran sekarang zaman media sosial lain sedikit, halwa telinga pun lain," katanya.

Baru-baru ini, tular klip video dari seberang yang tular menyaksikan Raffa yang mencipta fenomena dengan lagu Cinta Sampai Mati, menyanyikan semula lagu Tiara dalam program hiburan rancangan siaran langsung.

Penyanyi yang mempunyai lebih 22 juta pengikut di platform YouTube itu dituduh merosakkan lagu berkenaan.

Netizen menganggap penyanyi muda itu tidak layak menyanyikan kembali lagu berstatus 'legenda' ciptaan M Nasir itu.

MACP adalah organisasi pengurusan kolektif mewakili hak cipta muzik seperti komposer, pengubah lagu, penulis lirik dan penerbit muzik sebagai ahlinya.

Berpegang objektif membantu melestarikan hak ekonomi pengkarya tanah air melalui pelesenan penggunaan muzik secara komersil, penyampaian kepada awam, penyiaran kepada awam atau pada persembahan awam.