Selasa, Ogos 02, 2022

Konsert Kembara: Panorama Jingga penuhi impian penonton

petikan BebasNews 2 Ogos 2022

By Khadijah Ibrahim 

Persembahan M.Nasir begitu bertenaga dari awal hingga akhir persembahan.

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada penyanyi Datuk M.Nasir kerana pada usia 65 tahun, masih bertenaga menjayakan Konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah anjuran Shiraz Projects Sdn. Bhd.

Ternyata usia bukan penghalang untuk seorang penyanyi berpengalaman menghibur kira-kira 2,600 penonton yang hadir menonton persembahannya bersama anggota kumpulan Kembara yang berlangsung di di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 31 Julai, baru-baru ini.

Melihat kepada kudrat yang ditonjolkan oleh M.Nasir sepanjang persembahan hampir tiga jam itu, penyanyi baharu pun tak boleh tanding.

Kekuatan M.Nasir terletak pada vokalnya kerana setiap lagu yang dipersembahkan dengan iringan gitar utama oleh Zoul yang juga penyanyi Kembara, bes (Rahman Suri), dram (Shahrum Basiron) dan keyboard (Md. Shah Othman), kedengaran sama seperti kaset yang dirakam lebih 30 tahun lalu.

Konsert Kembara: Panorama Jingga mengubati rindu penonton terhadap lagu-lagu dendangan kumpulan tersebut.

Konsert bermula kira-kira pukul 8.40 malam itu diserikan dengan lagu Panorama Jingga, Tarian Hidup dan Duit yang turut diiringi oleh dua pemain muzik tambahan iaitu Kuzai untuk gitar dan Adam bermain keyboard, manakala Eja dan Awe pula penyanyi latar.

Sebaik selesai mendendangkan lagu Duit, M.Nasir selaku vokalis utama memberitahu bahawa kumpulan yang tampil dengan album pertama, Kembara pada 1981 tidak pernah mengisytiharkan bila ditubuhkan dan berpecah.

“Kembara tidak pernah isytihar ditubuhkan dan berpecah. Sebahagian anggota termasuk saya bekerja di studio. Kita gabung waktu album 1404 Hijrah. Kita ada lebih kurang tujuh album dan kira-kira 70 lagu. Kita akan nyanyi 70 lagu sampai zuhur esok,” katanya gurau membuka bicara menyapa penonton pada malam itu.

M.Nasir kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Rindu, Kepadamu Kekasih, Di Manakah Dikau, Rozita, Putar Alam, Bungak Bakawali, Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.

Penonton sentiasa turut menyanyi bersama M.Nasir.

“Apa khabar anda sekalian, saya sejak lepas sekolah tidak pernah kerja makan gaji. Konsert ini dedikasi untuk era 80-an. Apa yang kita ingat waktu 80-an, bas mini, putar alam atau lagu reggae?,” tanya M.Nasir kepada penonton sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Rozita yang berentak reggae.

Kemudian, adiknya, Zoul diberi ruang menyampaikan lagu Putar Alam dan Bunga Bakawali, diikuti dengan lagu Perwira serta Gadis Berpurdah Hitam, nyanyian M.Nasir.

Jika kita selami lirik-lirik lagu Kembara, ia begitu puitis dan banyak maksud tersirat di sebaliknya. Apa yang penting tak jemu mendengarnya walaupun lagu-lagu dendangan Kembara berusia lebih 30 tahun.

“Istimewanya konsert ini kerana ia merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 80-an. Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang juga pengasas kumpulan ini.

Lagu-lagu dendangan Kembara tetap segar dalam ingatan peminat tegar mereka hingga kini.

Tambahnya, lagu-lagu yang diperdengarkan pada malam itu bukanlah lagu lama tapi malar segar yang turut didendangkan oleh penonton.

“Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (80- an) sahaja. Dan bentuk muzik akan menjangkau generasi,” yang berharap kerancakan konsert tahun ini melimpah ke tahun seterusnya.

Pada malam itu Kembara tidak melupai jasa seorang anggota asalnya iaitu Allahyarham A.Ali yang meninggal dunia pada 21 November 2022.

“Kita ada kawan A.Ali, dia telah cipta lebih500 lagu dan menjadi hits. Dia masuk banyak kumpulan termasuk Sweet Charity tapi tak sempat rakaman, dia dah keluar. Dia banyak cipta lagu untuk kembara. Berikuta adalah antara lagu ciptaannya,” jelas M.Nasir sebelum meneruskan persembahan untuk segmen Tribute To A.Ali.

Sewaktu menyanyikan lagu Gerhana, M.Nasir turun pentas membuatkan penonton teruja.

Antara lagu yang dipersembahkan adalah medley, Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang.

Persembahan malam itu turut menampilkan penyair popular Pyan Habib yang muncul sebagai tetamu istimewa mengimbau kenangan peminat ke zaman filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, dengan wataknya sebagai Osman Tikus.

Pada konsert itu juga, Kembara turut memainkan beberapa lagu yang tidak pernah dimainkan dalam mana-mana persembahan.

“Kita banyak kena main lagu yang belum pernah dimainkan lagi. Jadi kena praktis lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan itu, istimewanya lagu-lagu tersebut telah dirakam lebih daripada 30 tahun lalu.

“Tidak sangka bila Kembara semak semula lagu-lagu yang ada, kami sendiri terkejut kerana terdapat lagu yang sedap seperti Putar Alam dan patut diketengahkan sebelum ini,” jelasnya.

Dari awal hingga akhir persembahan, penonton tidak melihatpun M.Nasir meneguk air dan itu membuktikan bahawa beliau benar-benar mempersiapkan diri untuk konsert tersebut.

Tidak perlu menukar beberapa persalinan pakaian, persembahan M.Nasir tetap tampak ceria dan menghiburkan kerana kehadiran penonton adalah untuk mendengar beliau mendendangkan lagu secara langsung.

Sebelum penonton yang rata-rata terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat usia pulang ke rumah, Kembara mengakhiri persembahan mereka dengan lagu Ekpress Rakyat, Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana.

Tiada ulasan: