Sabtu, Ogos 06, 2022

Menjengah kerancakan era 80-an dengan Panorama Jingga

petikan MalaysiaKini 6 Ogos 2022

oleh Rimanilzah


ULASAN | Sedang berada di ruang legar Plenary Hall KLCC, seorang abang dalam usia 60-an bersama anaknya datang menyapa. Dia - yang datang dari Klang - bertanya tentang kedudukan surau.

Kami ke surau bersama-sama. Ketika hendak turun ke tingkat tiga, dia menggunakan eskalator kerana ada masalah jika dia menuruni tangga. Di surau, kelihatan lebih ramai lelaki beruban, berambut semakin menipis, dan berperut maju ke depan.

Anak muda banyak juga. Mereka datang dari serata negara.

Di tempat duduk Silver dan Bronze kelihatan lebih ramai penonton berusia senja, lelaki dan perempuan. Kebanyakannya datang dengan anak-anak mereka. Wah, ini memang benar-benar konsert “panorama jingga” nampaknya!

Walaupun harga tiket Silver dan Bronze masih mahal bagi sesetengah orang, tempat penonton ini boleh dikategorikan sebagai “kelas marhaen”. Mungkin ada yang perlu berjimat-cermat untuk ke sini. Mungkin juga ada yang dibelanjai anak-anak mereka.

Mereka datang kerana Kembara dan ada juga yang datang hanya kerana M Nasir. Minat berkenaan tergambar daripada reaksi mereka sewaktu menyaksikan konsert yang berlangsung sepanjang lebih kurang tiga jam itu.

“Mak nak tepuk tangan tapi tak boleh,” kata kakak di sebelah kanan yang datang dengan dua anak perempuannya. Memang berhalanganlah dia, kerana tangan kanannya bersimen.

Menurut kakak itu, sewaktu Kembara mula popular, dia masih remaja. Dia gemar kepada lagu-lagu Kembara yang baginya bersifat kerakyatan dan ketuhanan.

Dua orang penonton di sebelah kiri pula, sewaktu lagu Duit dan Kepadamu Kekasih bergema, mereka mencari lirik lagu melalui Google sebelum kemudian menyanyi bersama.

Begitu juga sewaktu lagu Keroncong untuk Ana, mereka berdua galak menyanyi bersama. Tiba-tiba, apabila M Nasir berubah kepada lagu Keroncong Untuk Ana 2, kedua-duanya jadi terpinga-pinga. Mungkin mereka tidak tahu lagu itu ada sambungannya.

Lagu-lagu lain Kembara nampaknya tidak memberikan apa-apa reaksi dan ada kalanya mereka sibuk menatal telefon genggam untuk melayan media sosial. Mereka hanya kembali bertepuk dan menari apabila ada lagu rancak.

Sama seperti hampir keseluruhan penonton lain, kedua-duanya semakin “naik sheikh” pada bahagian encore. Mungkin mereka peminat M Nasir, bukannya peminat Kembara.

Kelihatan juga beberapa kumpulan anak muda yang lincah dan bersemangat semasa menonton. Ada satu kumpulan - salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Dukun Kebun. Sesuai dengan semangat anak muda, setiap lagu rancak dimainkan, ia disambut mereka dengan gerakan tari dan nyanyian.

Pelbagai rentak

1. Panorama Jingga

2. Tarian Hidup

3. Duit

Kumpulan Kembara memulakan persembahan dengan tiga buah lagu yang dinyatakan di atas. Ketiga-tiga lagu pembukaan itu menjadi penanda zaman era 1980-an.

Sesuai dengan kata M Nasir: “Kita dedikasikan konsert ini kepada tahun 80-an”.

Lagu Panorama Jingga berkisar tentang harapan anak muda yang berhijrah ke kota. Tarian Hidup pula pernah menjadi lagu latar filem Azura dan ia bertemakan pergolakan jiwa anak muda. Keperluan dan kerosakan hidup kerana duit pula digambarkan melalui lagu Duit.

4. Rindu

5. Kepadamu Kekasih

6. Di Manakah Dikau

7. Rozita

8. Putar Alam

9. Bunga Bakawali

10. Perwira

11. Gadis Berpurdah Hitam

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu yang mewakili era 1980-an. Zaman yang dikatakan oleh M Nasir muncul pelbagai rentak muzik. Pada zaman itu, setiap orang ada rentak muzik yang diminati mereka. Antaranya termasuklah irama pop, reggae, blues, nasyid, dan new wave.

Kumpulan Kembara tidak ketinggalan dalam menampilkan lagu dalam pelbagai rentak.

Sebelum menyanyikan lagu Gadis Berpurdah Hitam, M Nasir sempat bersenda dengan berkata: “Temanya agak 80-an, sekarang mungkin tak kena. Sekarang kalau kita buat lagu ni, orang kecam kita”.

Pada 1980-an, pengaruh revolusi Iran mula meresap masuk ke negara ini. Pakaian dengan berpurdah ialah kesan daripada pengaruh tersebut. Lagu itu lahir daripada fenomena tersebut. Kalau dihasilkan pada zaman sekarang mungkin menyinggung pihak tertentu.

12. Ada Sepasang Mata

13. Di Perhentian Pudu Raya

14. Impian Seorang Nelayan

15. Kiambang

Segmen khas yang memberikan penghormatan kepada A Ali (kembali ke rahmatullah pada 21 Nov 2020) telah menyentuh hati penonton. A Ali merupakan salah seorang ahli kumpulan Kembara pada peringkat awal penubuhannya.

Selain menyumbangkan suara sebagai penyanyi, dia turut mencipta beberapa buah lagu untuk Kembara. Sayangnya, lagu Oh, Bulan! tidak termasuk dalam medley yang didendangkan pada malam itu.

16. Kutu

17. Kolar Biru

18. Impian Anak Jalanan

19. Mencurah Janji Di Daun Keladi

20. Kupu Kupu

21. Musim

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu semangat generasi 80-an.

“Saya kira, dah 20 lagu M Nasir nyanyi. Bertenaga sungguh dia,” kata kakak di sebelah saya.

Memang keupayaan M Nasir beraksi di pentas mengagumkan. Tidak kelihatan dia meneguk air pun. Lebih-lebih lagi ketika dia dikhabarkan dijangkiti Covid-19 (penyakit yang mengganggu sistem pernafasan) sebanyak dua kali.

Lontaran vokalnya tetap padu. Hanya dua lagu dibawa oleh adiknya, Zoul, iaitu Putar Alam dan Bunga Bakawali. Lagu-lagu lain semua didendangkan oleh M Nasir.

Selepas lagu Musim, M Nasir berkata, ada tujuh album dihasilkan Kembara dan daripada tujuh itu, ada tujuh saja lagu yang hit.

“Tujuh hit saja, ada tujuh number one hit, tapi yang lain hit hit hit,” sambungnya lagi dan disambut gelak ketawa oleh para penonton.

Kata-katanya itu memang benar jika dikaitkan dengan konsert pada malam itu. Hanya lebih kurang tujuh hingga sembilan buah lagu yang benar-benar disambut dengan penuh semangat oleh keseluruhan penonton.

Antaranya Duit, Kepadamu Kekasih, Keroncong Untuk Ana, Ekpress Rakyat, Perjuangan, Hati Emas, dan Gerhana. Lagu Malam yang turut popular tidak didendangkan dalam konsert pada kali ini.

Kegalauan hidup era 1980-an

Lagu-lagu lain tentu mesra di telinga dalam kalangan mereka yang benar-benar meminati Kembara. Namun, bagi peminat biasa, lagu berkenaan tentu kedengaran asing dan baru pertama kali didengar pada malam konsert.

Namun begitulah Kembara di persada industri muzik tanah air. Mereka popular dengan lagu-lagu berwibawa dengan lirik yang bermakna dan puitis. Sungguhpun lagu-lagu Kembara dicipta pada era 1980-an, namun lagunya merentas masa dan zaman. Masih enak didengar pada masa ini.

22. Keroncong Untuk Ana

23. Keroncong Untuk Ana 2

Lagu Keroncong Untuk Ana terdapat dalam album Seniman Jalanan (1984). Lagu itu lebih dikenali berbanding dengan sambungannya, Keroncong Untuk Ana 2 yang diterbitkan pada tahun yang sama tetapi album berbeza, iaitu 1404 Hijrah.

Mungkin persoalan putus cinta dalam lagu yang pertama lebih dekat di hati pendengar berbanding dengan persoalan rujuk kembali dalam lagu kedua.

24. Nyanyian Jiwa

Secara peribadi Nyanyian Jiwa ialah lagu kegemaran saya. Banyak kenangan yang berkaitan dengan lagu ini dalam hidup saya. Menurut M Nasir, Nyanyian Jiwa dicipta untuk persembahan drama Uda dan Dara.

Dia mengajak penonton bernyanyi dan berjoget dengan lagu itu. Penonton menyambutnya walaupun ia bukanlah lagu popular. Lagu Nyanyian Jiwa bagaikan penanda konsert akan menjadi lebih hangat.

25. Balada Osman Tikus

26. Siapa Orang Kita

27. Rupa Tanpa Wajah

28. Harapan Terakhir

29. Sesat Di Kuala Lumpur

Memulakan segmen Kembara Seniman Jalanan, Pyanhabib (dalam filem - Osman Tikus) muncul di pentas dengan beg jinjing bertulis “politikus itu tengkorak hidup, berkomplot di siang benderang”.

Pyanhabib kemudiannya melontarkan dialog ikonik daripada filem tersebut, “Gua nak nyanyi. Ajarlah gua nyanyi.”

Seterusnya, Tokoh Puisi Kuala Lumpur itu menyampaikan sebahagian lirik lagu Balada Osman Tikus dan sajak kritikan politik berjudul Belalang Kupu-kupu.

Bahagian itu menampilkan lagu-lagu yang menjadi runut bunyi asal filem Kembara Seniman Jalanan. Lirik-lirik lagu dalam segmen berkenaan menyampaikan pernyataan tentang kegalauan hidup pada era 1980-an kerana kebejatan politik, sosial, dan ekonomi. Antara pernyataan tersebut tergambar dalam lirik seperti:


Aku hidup tanpa subsidi

tak tahu besok hidup atau mati

Jangan sedih jangan gusar

Hey, Brother! Kita mesti terus hidup.

(Balada Osman Tikus)


kebendaan menggelapkan

lupa dengan perjuangan

(Siapa Orang Kita)


tiada apa yang kupinta

dalam dunia yang banyak meminta

aku hanya manusia

sekadar kebebasan sangat berharga

(Rupa Tanpa Wajah)


sambutlah tanganku ini

agar hilang hati pilu

bersama menuju cita

impian kan jadi nyata

(Harapan Terakhir)


sesat di Kuala Lumpur

dosa dan pahala bercampur

tapi kita mesti terus hidup

kita mesti terus hidup

(Sesat di Kuala Lumpur)

Selesai lagu Sesat Di Kuala Lumpur, M Nasir tiba-tiba memberitahu konsert itu telah berakhir lalu meninggalkan pentas yang kemudiannya digelapkan.

Namun gimik klise itu ternyata tidak menjadi. Tiada penonton yang percaya dan tiada yang berganjak dari tempat duduk masing-masing. Tidak mungkin konsert Kembara berakhir tanpa lagu-lagu hit yang telah sebati dalam jiwa peminat M Nasir.

30. Ekspres Rakyat

31. Hati Emas

32. Perjuangan

33. Gerhana

Sebanyak 33 lagu dari tujuh album Kembara dipersembahkan di atas pentas, dengan M Nasir mendendangklan 31 lagu dan dua lagi oleh Zoul. Bilangan lagu mengikut album adalah seperti yang berikut:

1981 – Kembara (2 lagu)

1982 – Perjuangan (4 lagu)

1983 – Generasiku (5 lagu)

1984 – Seniman Jalanan (4 lagu)

1984 – 1404 hijrah (6 lagu)

1985 – Duit (8 lagu)

1986 – Kembara Seniman Jalanan (4 lagu)

Walaupun konsert itu memberikan tumpuan pada lagu-lagu ketika Kembara dianggotai oleh lima orang (1984 – 1986), lagu yang paling menambat hati penonton tetap lagu-lagu Kembara pada zaman tiga beradik (1981 – 1984).

Lagu-lagu pada bahagian encore mendapat sambutan yang hangat sekali daripada penonton. Keempat-empat lagu itu terdapat dalam album Kembara zaman tiga beradik.

Ia membuktikan bahawa lagu-lagu Kembara yang awal lebih dekat dan meresap dalam sanubari peminat M Nasir.

Secara keseluruhan, konsert Panorama Jingga itu menghiburkan baik kepada peminat tegar M Nasir yang akrab dengan lagu-lagu Kembara mahupun kepada peminat M Nasir yang tidak tahu yang mana satu lagu Kembara yang mana satu lagu solo M Nasir.

Kepada peminat tulen Kembara yang disebut M Nasir sebagai “yang minat, yang beli album” tentunya ada lagu langka yang terlepas daripada set list konsert.

Saya sendiri berasa ralat kerana lagu Buta Kerana Cinta khabarnya digugurkan pada saat-saat akhir. Saya juga ternanti-nantikan lagu Hidup Cara Sendiri.

Sekalung tahniah kepada Kembara atas persembahan yang hebat. Terima kasih diucapkan kepada anggota Kembara - M Nasir (vokal), Zoul (vokal dan gitar utama), Rahman Suri (gitar bass), Shahrum Basirun (dram), dan Md Shah Othman (keyboard).

Terima kasih juga kepada pemuzik tambahan, Kuzai (gitar) dan Adam (keyboard) serta penyanyi latar Eja dan Awe.

Buat konsert lagi, Kembara, jika berkesempatan dan dipanjangkan umur.

RIMANILZAH ialah peminat Kembara dari 'kota basah' di utara Semenanjung yang menonton konsert Kembara dengan tiket 'harga marhaen'.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Tiada ulasan: