petikan Harian Metro 11 Julai 2022
Riadz Radzi riadz@hmetro.com.my
KEMBARA bakal mempersembahkan lagu-lagu yang tidak mereka mainkan sebelum ini.
"Selain rock muzik yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi lirik. Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia."
Itu kata Datuk M Nasir mengenai Kembara, kumpulan folk rock yang membawa namanya sebagai penyanyi dalam industri muzik Malaysia dan Singapura sejak awal 1980-an sebelum meledak sebagai penyanyi solo.
Begitu juga sebagai komposer dan penerbit album tersohor tanah air.
Pada era itu, muzik Kembara bukan heavy metal, rock & roll atau hard rock seperti Sweet Charity, Search, Lefthanded atau SYJ, tetapi kumpulan trio yang turut dianggotai S Shahlan dan Allahyarham A Ali itu juga mempengaruhi banyak kumpulan rock di sini.
Barangkali imej dan konsep muzik Kembara itu dekat dengan kumpulan rock sedia ada. M Nasir juga banyak dipengaruhi artis folk rock seperti Crosby, Stills, Nash & Young, Bob Dylan selain Queen, Pink Floyd dan Led Zeppelin.
Kini, tanpa A Ali dan S Shahlan, Kembara kembali mengadakan konsert di sini iaitu Konsert Kembara Panorama Jingga : 1444 Hijrah pada 31 Julai ini anjuran Shiraz Projects di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre jam 8.30 malam.
Kali terakhir Kembara mengadakan konsert di sini ialah pada 2014 di Istana Budaya.
Selain M Nasir sebagai penyanyi, Kembara turut dianggotai Zoul (gitar, penyanyi), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard).
Tujuh album dari tahun 1981 hingga 1986 membuktikan Kembara adalah nama yang cukup besar. Sama gahnya dengan band sebelum ledakan budaya rock seperti Sweet Charity, Blues Gang dan Alleycats.
Ditanya mengenai konsert ini, M Nasir berkata, istimewanya ialah kerana ia adalah suara satu generasi. "Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an. Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak hanya tuju kepada generasi itu (1980-an) saja. Bentuk muzik akan menjangkau generasi tetapi dari masa ke masa, kita buat penyegaran muzik dan ini ada penyegaran. Kalau nak cakap teknikal, sukar tetapi muzik Kembara sesuai untuk zaman ini.
"Kita (Kembara) lahir ketika bangunan Dayabumi didirikan dan dalam gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu. Kita lahir era itu. Kita rasa sesuai kembalikan nostalgia itu dan mungkin ada persamaan dengan gelombang orang masa kini," katanya.
Trio Kembara membabitkan M Nasir, A Ali dan S Shahlan tampil dengan album sulung, Kembara pada 1981 dan anggota ini kekal untuk tiga lagi album iaitu Perjuangan (1982), Generasiku (1983) dan Seniman Jalanan (1984).
Tiga album terakhir mereka iaitu 1404 Hijrah pada 1984, Duit (1985) dan Lagu-lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986) menampilkan empat anggota terkini.
Menurut M Nasir, 'line-ups' Kembara ketika ini sebenarnya adalah sama sejak album pertama kerana mereka juga terbabit dalam rakaman empat album terawal itu.
"Kita sudah awal-awal berlatih di Singapura dengan hampir 30 lagu. Kita adalah 'performer' dan pelaku seni. Kita buat persembahan dan cuba hiburkan orang. Kalau dapat sedikit-sebanyak, mahu beri mesej positif pada masyarakat," katanya.
Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan Kembara yang akhirnya terlaksana juga.
"Perbincangan dan perancangan konsert ini sudah bermula sebelum pandemik lagi dan kami akur dengan keadaan yang melanda. Pastinya Kembara akan memberikan sebuah persembahan yang bertenaga dengan lagu-lagu mereka yang cukup nostalgik dan ikonik untuk pendengar.
Sementara itu, pemain gitar, Zoul berkata, mereka sudah membuat persiapan dan berlatih sejak beberapa bulan lalu.
"Kita ada banyak lagu nak dimainkan, termasuk lagu-lagu yang belum pernah dimainkan sebelum ini. Pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan ini istimewa kerana ia dirakamkan lebih 30 tahun lalu.
"Bila kami semak balik lagu-lagu yang ada, tiba-tiba rasa, eh! Lagu ini sedap dan patut diketengahkan sebelum ini.
KEMBARA memberi pengaruh kepada banyak kumpulan dan peminat rock tempatan.
"Kami memang teruja untuk dengarkan lagu ini kepada penonton yang betul-betul meminati Kembara dari album pertama hingga ketujuh," katanya yang juga adik kepada M Nasir.
Zoul berkata, akan ada kejutan dalam konsert itu nanti selain persembahan tribute untuk A Ali.
Tiket-tiket berharga RM860 (Meet and Greet), RM460 (Diamond), RM360 (Platinum), RM260 (Gold), RM200 (Silver) dan RM160 (Bronze) sudah mula dijual sejak 10 Jun lalu.
Peminat Kembara juga boleh membeli kemeja-T eksklusif apabila membeli tiket konsert berkenaan di laman web www.myticket.asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan