Ahad, Julai 03, 2022

'Rasa bahagia nyanyikannya'

petikan Harian Metro 3 Julai 2022

Sudirman Mohd Tahir

sudirman@hmetro.com.my

RAFFA akui lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris dekat di hati selain menyifatkan liriknya sangat puitis.

SELAIN mencipta fenomena menerusi single sulungnya, Cinta Sampai Mati, nama penyanyi Indonesia, Raffa Affar turut popular menerusi beberapa lagu nyanyian semula atau 'cover version' yang pernah popular di tanah air seperti Buih Jadi Permadani dan Mencari Alasan nyanyian asal kumpulan Exists.

Berbekalkan lebih empat juta pengikut di aplikasi TikTok, Raffa Affar atau nama sebenarnya Raffa Aldiansyah menerusi lagu 'cover version' itu menjadi bualan dan tular. Malah, nyanyiannya itu turut dijadikan lagu latar bagi kebanyakan pengguna laman sosial.

Harian Metro yang berpeluang menemu bual Raffa menerusi aplikasi WhatsApp mengakui gembira apabila dia dikenali selepas membuat 'cover version'.

"Saya sangat gembira sebab dapat buat 'cover' versi saya sendiri dan saya terkenal sebab selalu buat 'cover' lagu dengan versi saya sendiri," katanya.

Terbaharu, Raffa muncul dengan lagu 'cover version' Tiara yang pernah popular pada 1991 nyanyian kumpulan Kris.

Dalam pada ramai yang memuji, tidak dinafikan terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan lagu bergenre 'slow rock' ciptaan Datuk M Nasir itu tidak kena dinyanyikan dengan cara nyanyian Raffa.

Enggan melatah, Raffa berkata, setiap orang bebas memberikan pendapat masing-masing.

"Semua orang bebas berpendapat. Jadi, saya tak boleh memaksa orang untuk suka atau tidak. Kalau mereka suka alhamdulillah, kalau tak ada yang suka berterima kasih juga. Versi saya ini juga adalah arahan daripada syarikat rakaman dan sudah dipersetujui oleh penerbit. Jadi, saya tak buat sesuka hati.

"Saya tahu lagu Tiara itu popular pada 1991. Saya tahu daripada syarikat rakaman dan saya pun mendengarkannya. Jadi, saya suka lagu yang mendayu-dayu sebegitu. Saya cuba membuat versi 'cover' sendiri," katanya.

Ditanya alasan memilih lagu Tiara untuk dinyanyikan semula, Raffa mengakui lagu itu dekat dalam hati selain menyifatkan lirik lagu itu sangat puitis.

"Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya berasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini. Lirik lagu Tiara ini sangat puitis dan saya mahu dengarkan lagunya yang lain," katanya.

Berkongsi lanjut, Raffa yang meminati kumpulan Exists dalam perancangan untuk membuat 'cover version' lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.

"Penyanyi atau band yang saya suka adalah Exists sebab saya pernah 'cover' dua lagu mereka. Pada masa sama, saya ada perancangan untuk 'cover' lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.

"Kalau nak tahu, saya juga suka kumpulan Floor 88 kerana lagu berjudul Hutang itu sangat terkenal di Indonesia. Insya-Allah, saya juga akan berduet dengan penyanyi Malaysia iaitu Aiman Tino atau Khai Bahar. Jadi doakan semoga perancangan ini dapat dicapai," katanya.

Seiring dengan populariti diraih kini, Raffa berharap dapat datang ke Malaysia untuk bertemu peminatnya di sini.

"Insya-Allah saya akan ke Malaysia dan juga teringin berjumpa orang Malaysia. Saya mahu melihat suasana dan ingin menghiburkan orang Malaysia secara langsung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar berkata, ketika ini menjadi trend lagu Malaysia dirakamkan semula oleh penyanyi Indonesia.

"Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu malar segar daripada pencipta negara ini, boleh pergi jauh hingga ke negara seberang. Kami yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat. Jumlah tontonan di saluran YouTube Raffa mencecah 300,000 setiap hari. Selepas Raffa, ramai yang sudah mula merakamkan semula atau 'cover' lagu ini di Indonesia.

"Terima kasih kepada Datuk M Nasir dan Luncai Emas Sdn Bhd dengan kebenaran yang diberikan untuk merakamkan semula lagu Tiara. Proses pelesenan hak cipta dipermudahkan oleh pihak Luncai Emas.

LAGU Tiara adalah lagu ‘cover version’ ketiga Raffa.

"Dengan kerjasama ini, Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakamkan semula lagu malar segar popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ia dapat memperkenalkan kembali lagu lama kepada generasi muda hari ini," katanya.

Lagu Tiara adalah single kedua hasil kerjasama di antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment manakala, hak cipta lagu ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.

Tiada ulasan: