ANALITIC

Rabu, Mei 22, 2024

M Nasir akui pernah putus asa, kecewa industri seni tempatan tidak sebaris Korea Selatan

petikan AstroawaniAstroawani 22 Mei 2024

KOMPOSER dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir menyifatkan kerjaya seninya merupakan satu perjalanan yang sangat indah meskipun harus melalui pelbagai onak dan duri.

Kata M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed, tanpa fasa jatuh dan bangun, tidak mungkin dia berada di tahap sekarang.

“Perjalanan seni saya ada naik dan turun. Ia bergelombang. Perjalanan secara keseluruhan itu memang indah kerana ia ciptaan Tuhan.

“Dalam sengsara pun ada keindahannya; ada banyak drama yang harus saya tempuhi,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Keroncong Buat Ana itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA’ yang berlangsung di ibu kota pada Isnin.

Katanya lagi, sepanjang 45 tahun dalam bidang seni, rasa susah dan jatuh itu hanyalah satu fasa yang harus dilalui sahaja.

“Namun, saya bukan sejenis yang suka menunjuk apa yang saya lalui. Saya bukan macam segelintir orang, kalau sakit sikit, kena bagitahu semua.

“Saya selalu disokong oleh kawan-kawan. Jadi, segala kesusahan itu tidak saya rasakan sangat. Bercakap fasal sukar, kita kena tahu dahulu erti sukar yang dimaksudkan.

"Pada saya, cabaran itu menyeronokkan. Ia umpama sebuah perjalanan roller coaster yang menyeronokkan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penyanyi asal Singapura ini juga akui dirinya pernah berputus asa dengan bidang seni kerana industri tempatan tidak menunjukkan kematangan yang diharapkan.

“Ada juga fasa yang saya rasa ingin berputus asa tapi saya tak ambil berat sangat perasaan itu. Selalunya berlaku bila kita buat sesuatu tapi tidak menjadi.

“Saya melihat dunia hiburan ini tidak kesampaian seperti apa yang saya cita-citakan. Ia tumbuh tapi tidak cantik. Rasa hormat kepada kita pun kurang.

“Saya merasakan perkara itu sejak di pertengahan kerjaya. Bila melihat industri seni di Korea Selatan, dulu kita berjuang bersama-sama tapi sekarang mereka capai ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Kita yang dulu sama-sama berjuang, ada banyak hal yang menghambat kita. Sebab itu kita tak sampai-sampai lagi ke tahap itu,” ulasnya lagi.

Sementara itu, M Nasir turut merasakan dirinya bertuah kerana dikurniakan bakat untuk menghasilkan lagu-lagu yang disukai ramai.

“Bila melihat kepada kerjaya saya, saya rasa nasib saya ini baik. Saya berpeluang mencipta banyak lagu. Saya juga buat banyak lagu-lagu hit berbanding orang lain.

“Mungkin ini kejayaan yang orang luar lihat. Namun, kalau kita lihat karya P. Ramlee, dia hanya membuat 200 lagu sahaja tapi namanya tidak dapat dilupakan.

“Saya kena buat 3,000 lagu untuk cuba sampai ke tahap itu. Antara faktornya kerana dunia sudah berubah dan industri kita sudah jadi komersial,” akhirinya.

Konsert ‘DATO’ M. N45IR CIPTA anjuran Icon Entertainment bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjemahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis. -Media Hiburan

Selasa, Mei 21, 2024

M. Nasir Kembali Dengan CIPTA Pada Ogos Ini, Harga Tiket Bermula RM238!

 petikan MURAI 21 Mei 2024

oleh NADDY JOE  



Memilih judul yang ringkas namun mengesankan iaitu CIPTA sebagai nama konsert terkini pada 10 Ogos 2024, ia cukup melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M.Nasir.

Seantero Nusantara tahu, seluruh karyawan seni sedar dan belajar daripada banyak karya yang telah diciptakan oleh M Nasir. Beliau adalah ‘otak’, ‘arkitek’, maestro, sifu dan semua yang berkaitan dengan penciptaan karya seni yang berkualiti tinggi.

Dan setiap karya yang dicipta oleh pemilik nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed ini jarang sekali tidak meledak saat dipasarkan, daripada karya yang dibikin untuk penyanyi solo lelaki dan wanita juga kugiran rock mahupun mengusung genre pop dan balada.

Untuk dirinya yang digelar Meastro, figura berusia 66 tahun ini sentiasa mencipta karya-karya hebat, luar biasa dan malar segar sehingga meraih pelbagai pencapaian dalam belantika muzik.

Maka dengan itu apabila CIPTA dipilih sebagai konsert julung kali dari M. Nasir yang diadakan tahun ini, ia merangkumi semua justifikasi maksud ciptaan itu sendiri.

Dijadual berlangsung pada 10 Ogos 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, DATO’ M.N45IR  CIPTA dibawakan khas oleh Icon Entertainment yang sentiasa menyokong karyawan seni.

“Icon Entertainment sedar ini bukan pertama kali penonton atau peminat menyaksikan persembahan sifu M.Nasir sepanjang lebih empat dekad pembabitan beliau dalam industri seni Nusantara.

Tapi menerusi inilah pentas yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativiti daripada seorang karyawan seni ditumpahkan lalu menjadi persembahan visual dan audio yang tidak akan pernah dilupakan.

Menerusi DATO’ M.N45IR  CIPTA, peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaan beliau yang telah melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhan mereka.

Dan di DATO’ M.N45IR  CIPTA, beliau akan mempersembahkan karya-karya yang telah dicipta dalam sebuah bentuk persembahan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” ujar Iman Tang dari Icon Entertainment.

Di bawah bumbung yang sama, irama dan lagu mengalir masuk ke hati sanubari masing-masing dalam lingkaran kenangan terdahulu yang akan menambahkan momen masa hadapan.

Jadi sudahkan anda bersedia untuk ini? Sebuah konsert berskala besar untuk jiwa-jiwa yang ingin terus meraikan CIPTAAN sifu kesayangan mereka. Sebuah konsert yang sememangnya dinanti-nantikan tahun ini dengan visual, repoirtaire lagu, susunan muzik, pemuzik malah penyanyinya sendiri- Dato M.Nasir yang dihormati segenap usia dan golongan.

Jika sudah, mari kita bersama-sama berkumpul di bawah bumbung Axiata Arena pada  10 Ogos 2024 Axiata Arena untuk mencipta satu lagi sejarah terCIPTA bagi Dato dan penggemar melodi, muzik dan lirik-liriknya.

📍27hb Mei – Tiket Online akan mulai di jual pada pukul 11.00am di platform: www.ticket2u.com.my

Harga tiket bermula dengan RM 238 (AWAN NANO), RM338 (SEJATI), RM458 (FENOMENA), RM488 (CINTA KRISTAL), RM528 (MUSTIKA), RM588 (APOKALIPS) menanti anda.

Jangan lepaskan peluang!




Isnin, Mei 20, 2024

M Nasir 'sukar' bersara, ada nikmat orang lain tak rasa

 petikan Berita Harian 20 Mei 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud  farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penghibur tersohor, Datuk M Nasir belum berhasrat untuk bersara meskipun industri hiburan didominasi artis generasi muda.

Bagaimanapun, satu perkara yang membuatkannya rasa kekok adalah apabila terpaksa bersaing dengan artis baharu setiap kali karyanya terpilih beraksi di pentas pertandingan.

Justeru, Nasir, 67, berkata, peluang itu membuatkannya sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

"Sekarang kalau masuk pertandingan, saya sudah jadi orang yang paling tua dalam kalangan peserta. Yang bertanding, budak-budak lagi.

"Tapi, muzik yang saya buat itu, muzik orang muda. Jadi, saya ada sedikit rasa macam mana nak sesuaikan," katanya kepada BH Online.

Mengulas tempoh diberikan untuk bergiat aktif dalam dunia seni, pelakon filem Imam itu tidak meletakkan tanda noktah kepada kerjaya diceburinya sejak 45 tahun lalu.

"Selagi rasa saya boleh berkarya dan itu juga sebahagian satu pekerjaan. Bila bersara, rasa susah nak hidup. Saya risau juga.

"Tapi, saya suka dengan bidang penciptaan lagu. Kita buat daripada ia tak ada, kemudian ada bentuk dan orang suka. Itu satu nikmat yang orang lain tak dapat.

"Jadi, susah kalau ditanya bila saya nak berhenti atau bersara. Selagi dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti," ungkap pemilik nama lengkap Mohamad Nasir Mohamed ini

Nasir ditemui pada majlis sidang media Konsert Datuk M Nasir Cipta anjuran Icon Entertainment di Axiata Arena Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu bakal menyaksikan komposer bergelar sifu itu menterjmahkan perjalanan seni selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.


M Nasir tidak meletakkan tempoh kepada kerjaya muzik diceburinya sejak 45 tahun lalu. - NSTP/Rohanis Shukri

Jumaat, Mei 03, 2024

Campak Bintang - Faizal Tahir & M. Nasir (Official Video)

Beberapa hari lalu dalam akaun IG Faizal Tahir & IG Luncai Emas memberi teaser kolaborasi beliau bersama sifu M Nasir, antaranya video acah "Enjit Enjit Semut" ini & cover art lagu Enjit Enjit semut  🐜🐜🐜🐜  

Faizal Tahir bersama sifu M.Nasir secara rasmi telah merilis sebuah lagu baru bertajuk "Campak Bintang". pada Jumaat , 3 Mei 2024. 

Lagu yang bertajuk "Campak Bintang" kini boleh didengar di semua platform digital seperti Youtube, / Spotify / Shazam / Apple Music dan lain lain.

Composer & Lyricist :

⁠Faizal Tahir (Faithful Publishing)

Romeo (Faithful Publishing)

Glowrush (Faithful Publishing)

Karim Karam (Faithful Publishing)

Producer: LET ZAPIN

Musicians:

Guitar/Drum: Faizal Tahir

Keys/Accordion: Rushdan Ashri

Bass: Karim Karam

⁠Darbuka/Kompang: Abdul Karim_AKZ

Rebana: Achik Wahid

Mix: Felix Voon

Master: Dimas Pradipta @ Sum it! Studio Jakarta, Indonesia



Campak Bintang - Faizal Tahir & M. Nasir (Official Audio & Lyric Video)

-----


Lirik:


Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba



Semalam ku bermimpi kan dia 

Bagai purnama terangi gelap gelita

Seluas angkasa hati terbuka 

Mengharapkan kasih tuan yang punya 



Mengidam kasih sang bidadari

Bertemankan di syurga



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana dia paling ku cinta 

Tiada lebih ku puja



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana cahaya atas cahaya

Ku sanggup lepaskan

Bintang yang pernah ku idamkan



Dia pergi tinggalkan cahaya

Menerangi segala pelusuk gelita

Menghidupkan jiwa sang pengembara

Dahagakan kasih tuan yang punya



Mengidam kasih sang bidadari

Bertemankan di syurga



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana dia paling ku cinta 

Tiada lebih ku puja



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana cahaya atas cahaya

Ku sanggup lepaskan

Bintang yang pernah ku idamkan



Jauh diri, merindui 

Menyinar kasih bak sang mentari

Tak memilih kasih tak berbagi 

Degupan jantung engkaulah nadi



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana dia paling ku cinta 

Tiada lebih ku puja



Ku campak bintang luar angkasa

Jatuh bulan angan di riba

Kerana cahaya atas cahaya

Ku sanggup lepaskan

Bintang yang pernah ku idamkan


Maksud disebalik lagu Campak Bintang - Faizal Tahir, Dato' M.Nasir dan Karim Karam



Sabtu, Februari 03, 2024

Salam terakhir Hattan buat sifu

petikan Berita Harian 3 Februari 2024

Oleh Farihad Shalla Mahmud -farihad@bh.com.my


Hattan dan M Nasir buat persiapan konsert yang bakal menggegarkan SICC, Kota Kinabalu, malam ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Permulaan kerjaya seni Datuk Hattan banyak dibantu oleh komposer dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir dengan menghasilkan lagu hits untuknya.

Antara lagu ciptaan M Nasir yang membuatkan nama Hattan meledak hingga menjadi talian hayat untuknya terus bertahan hingga hari ini adalah Memburu Rindu, Mahligai Syahdu, Dari Kekasih Kepada Kekasih dan banyak lagi.

Daripada anak murid dan guru, hubungan Hattan dan komposer yang berasal dari Singapura itu bertukar menjadi sahabat baik yang saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan jasa komposer yang mendapat jolokan sifu itu terhadap perkembangan karier nyanyiannya, Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 60, pernah menghasilkan album berjudul Mentor sekitar tiga dekad lalu yang menyaksikannya menyanyikan semula lagu-lagu ciptaan M Nasir.

Sanjungan Hattan terhadap M Nasir terus diperkukuhkan dengan penganjuran Konsert Sifu dan Aku yang menjadi konsert kemuncak kepada kerjaya seninya yang bakal bernoktah, Jun ini.

"Ketika mula-mula menceburi bidang seni, saya banyak belajar dengan M Nasir.

"Bila dapat berkongsi pentas dengannya melalui Konsert Sifu dan Aku ini, saya anggap ini adalah kemuncak kepada kerjaya nyanyian saya kerana apa yang diimpikan selama ini sudah tercapai," katanya kepada BH Online.

Berkongsi persiapan konsert yang bakal menggegarkan Sabah International Convention Center (SICC), Kota Kinabalu, malam ini, penyanyi yang berasal dari Seri Menanti, Negeri Sembilan itu mengakui sudah untuk menghiburkan peminat di sana.

"Sekarang ini kami dalam peringkat persiapan terakhir iaitu untuk membuat penambahbaikan mana-mana bahagian yang kami rasakan ada kekurangan. Dari segi logistik, ada pasukan yang sudah pun pergi ke Sabah sebelum kami menyusul pada hari ini (semalam).

"Dari segi keserasian, saya rasa tiada masalah kerana kami kenal lama. Lagipun perkara berkaitan keserasian tak boleh nak dirancang. Mujur kami sudah kenal lama ketika zaman di Bangsar dahulu.

"Cuma, buat masa ini, kami kena jaga kesihatan supaya persembahan akan berjalan lancar," kata Hattan.

Hattan anggap Konsert Sifu dan Aku sebagai kemuncak kerjayanya, M Nasir pula mahu cipta kejutan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Hattan anggap Konsert Sifu dan Aku sebagai kemuncak kerjayanya, M Nasir pula mahu cipta kejutan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sementara itu, mengenai apakah konsert bakal di bawa ke Kuala Lumpur, Hattan berkata, ia bergantung kepada sambutan dan permintaan peminat.

"Kalau sambutan bagus dan rezeki, kita tengok macam mana. Tapi, saya ada konsert yang bakal menunggu pada Jun depan.

"Cuma, buat masa ini, saya tak boleh nak dedahkan butirannya. Konsert itu nanti bakal menjadi konsert terakhir saya sebelum saya bersara," ungkap Hattan.

Mengulas pertanyaan apakah konsert akan mempunyai elemen tempatan seperti dari segi gubahan lirik, M Nasir berkata, kebanyakan lagunya memang mendapat inspirasi dari Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Kebanyakan lagu saya memang mendapat inspirasi dari Sabah. Jadi elemen tempatan memang sudah ada. Mungkin ada perubahan dari segi susunan muzik.

"Kalau nak tahu kena datang konsert. Buat masa ini, anggap sahaja itu satu kejutan daripada kami," kata penyanyi Mentera Semerah Padi ini ditemui pada sesi latihan yang diadakan di studio di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Pada sesi itu, media yang hadir dapat menyaksikan dinamik duo itu mendendangkan himpunan lagu bakal dipersembahkan pada konsert.

Konsert berdurasi lebih dua jam itu terbahagi kepada tiga segmen iaitu persembahan solo dua seniman, manakala segmen duet menjadi penutup tirai.

Konsert anjuran Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading turut mendapat kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group.

Jumaat, Januari 12, 2024

M. Nasir ‘menggila’ gamatkan anak muda

petikan KOSMO 12 Januari 2024

Oleh NUR EMIRA SAIZALI

TAMASYA Anak Muda, acara anjuran Luncai Emas yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.

MERIAH dalam acuan sendiri. Tamasya Anak Muda (TAM) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama dua hari pada 5 dan 6 Januari lalu.

Acara yang diadakan di JioSpace, Petaling Jaya tersebut menghimpunkan barisan artis popular, termasuklah Datuk M. Nasir, Amir Jahari, Pitahati, Margasatwa, Iqbal M. dan Fazleena & The Lasykar.

Meskipun tidak segempak konsert-konsert arus perdana lain, TAM tetap dilihat berjaya menghimpunkan kelompok anak muda yang rata-rata penyokong dan pencinta muzik Nusantara.

Boleh dikatakan, acara anjuran Luncai Emas Sdn. Bhd. tersebut ibarat lokasi ‘healing’ selain antara konsert pembuka bagi tahun 2024.

Selain konsert pada hari kedua, hari pertama dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program diadakan, antaranya melibatkan Tamasya Sunburst Marketplace yang menampilkan jenama terkemuka, kedai unik serta instalasi seni yang menarik serta muzik ‘busking’ untuk dinikmati pengunjung.

BAND yang berpaksikan irama 1970-an, Margasatwa tidak ketinggalan menjadi daya tarikan Tamasya Anak Muda anjuran Luncai Emas baru-baru ini. – AFIQ RAZALI

Hari kedua konsert dibuka dengan persembahan Fazleena & The Lasykar yang terkenal dengan karya-karya puitis membuai emosi.

Menerusi persembahannya, Fazleena mendendangkan lima buah lagu antaranya Sederhana, Bertahan dan Kota Kenangan.

Tidak menunggu lama, penyanyi meningkat naik, Arish Mikhael pula memeriahkan pentas dengan lagu Mulanya Di Sini, Antara Puisi dan Nukilanmu.

Ariel berjaya memukau ramai dengan kehebatan vokal yang sebelum ini kerap disamakan dengan penyanyi legenda, Allahyarhaam Sudirman Arshad.

Mengambil alih pentas, Satwo dan Leaism menghiburkan penonton menerusi nyanyian bertenaga selain sebagai persembahan terakhir bagi sesi pertama tersebut.

Memasuki babak kedua, kumpulan Margasatwa menghangatkan pentas dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu pop Nusantara yang diperjuangkan.

Menyampaikan tujuh buah lagu seperti Yang Asli, Ego dan Asmara Botol Kaca, termasuk single baharu, Kasa Rubia, ternyata kemunculan Margasatwa antara persembahan yang paling dinanti-nanti ramai pada hari tersebut.

Kehangatan konsert diteruskan Amir Jahari yang berjaya memukau emosi ramai dengan lagu-lagu berhantunya iaitu Ingin Pulang, Tanpamu dan Penghibur Jalanan.

Persembahan Amir juga dilengkapkan dengan runut bunyi filem Imaginur berjudul Hasrat yang bakal berentap pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 pada Mac depan.

Amir berjaya menutup segmen kedua dengan cemerlang sebelum diteruskan oleh kumpulan Pitahati dan Iqbal M dalam segmen ketiga.]

PADA usia 66 tahun, aura M. Nasir sebagai penghibur tidak pernah padam bahkan mampu menguasai kepala anak-anak muda zaman sekarang.

M. Nasir ‘menggila’

Persembahan paling dinanti-nanti ramai, kemunculan M.Nasir pada malam tersebut membuatkan seramai 1,500 penonton pulang dengan senyuman puas di wajah masing-masing.

Pada usia emas 66 tahun, M. Nasir masih berjaya memberi persembahan bertenaga selama satu jam tanpa henti menerusi rangkaian 10 buah lagu popularnya.

“Terima kasih kerana datang, marilah anak muda bersatu melawan kesesatan,” laungnya sebelum persembahan.

Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana antara lagu yang didendangkan pada minit awal persembahan sebelum para penonton ‘naik minyak’ berjoget sepanjang Raikan Cinta dinyanyikan.

Meriahnya seperti berada dalam sebuah pesta tarian!

Sifu muzik penuh aura itu juga tidak ketinggalan menyampaikan hits sepanjang zamannya, Apokalips, Phoenix Bangkit, Falsafah Cinta dan Juwita sebelum mengakhiri persembahan dengan Mentera Semerah Padi serta Ada.

Membuat kejutan, M. Nasir turut menyampaikan rangkaian lagu medley ciptaannya yang dipopularkan kumpulan Search dan Wings iaitu Gadisku, Hukum Karma dan Pawana dengan penuh bertenaga.

Pada malam tersebut, M. Nasir diiringi barisan pemuzik terdiri daripada Aznan Alias (gitar), Norman (bass), Ujang (dram), Firdaus (Keyboard) dan Pa’ang (perkusi).

Acara turut dijayakan Sunburst Store, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), SIAR dan Fung Keong serta disokong Yayasan Hasanah dan Arts FAS.

AMIR JAHARI melunakkan halwa telinga peminat dengan lagu-lagu hitsnya.

Rabu, Januari 03, 2024

Pemain keyboard Kembara meninggal dunia

petikan Sinar Harian 3 Januari 2024

PEMAIN keyboard kumpulan Kembara, Md Shah Othman meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru tengah hari tadi.

Menurut menantunya, Nazrul Tahir, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan kanser kelenjar selepas disahkan menghidapnya sejak setahun yang lalu.

Md Shah, 73, merupakan tulang belakang yang bersama Kembara sejak kumpulan itu merakamkan album pertama.

Pada 1994, Md Shah secara rasmi diperkenalkan sebagai anggota Kembara selepas kumpulan itu tampil dengan lima anggota dan menerbitkan album 1404 Hijrah.

Kali terakhir Allahyarham beraksi bersama Kembara ketika konsert Kembara: Panorama Jingga 1444 Hijrah di Dewan Plenarry, Kuala Lumpur Convention Centre pada 2022.

Selain bersama Kembara, Allahyarham juga merupakan pemain kibod kumpulan Ilusi yang popular dengan lagu, Segalanya Ku Terima. - Awani

Ahad, Disember 31, 2023

M Nasir okay tak masuk AJL

 petikan Harian Metro 31 Disember 2023

Ramlah Zainal 

Kuala Lumpur: Komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, menerima dengan hati yang terbuka apabila lagu ciptaannya, Menyantun Kasih nyanyian Siti Nordiana gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

M Nasir berkata, pihaknya juga akur dengan keputusan juri membabitkan pemilihan lagu yang mara ke acara berprestij itu.

"Kita kena terimalah apa yang juri rasa dan fikir masa proses penjurian itu. Ada lagu lain yang dicalonkan kali ini mungkin lebih bagus dari lagu (Menyantun Kasih) itu," katanya.

Mengenai pemilihan 12 lagu yang mara pula, kata M Nasir, pada pandangannya semua lagu yang berjaya mara ke AJL38 juga okay.

"Ia bergantung pada 'mood' dan 'rasa' keadaan sekarang," katanya.

Sementara itu, ditanya lagu untuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) pula, kata M Nasir, selaku Duta Kemanusiaan atau 'Goodwill Ambassador', dia juga ada perancangan untuk menghasilkan lagu khusus untuk persatuan itu.

"Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk mendekatkan lagi Mercy Malaysia dengan masyarakat," katanya.

Kali terakhir M Nasir tampil mempertandingkan karyanya di AJL adalah menerusi lagu Awan Nano nyanyian Hafiz Suip yang turut diangkat sebagai Juara Lagu ke-26 pada 2011.

Jumaat, Disember 29, 2023

Keperibadian M Nasir layak jadi Duta MERCY Malaysia

petikan Berita Harian 29 Disember 2023

Oleh Affan Rostam - affan.rostam@bh.com.my

M Nasir terbuka hati terima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan. - NSTP/Sadiq Sani

KUALA LUMPUR: Selepas 24 tahun ditubuhkan, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) buat kali pertama memilih individu di kalangan selebriti iaitu Datuk M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atau 'Goodwill Ambassador'.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pelantikan M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atas usaha mempromosikan nilai dan amalan kemanusian secara lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.

"Kami berbesar hati M Nasir yang juga tokoh seni menjadi duta MERCY Malaysia. Usaha dan penelitian melantik M Nasir mengambil masa selama setahun sebelum melamarnya.

"Selain itu, lantikan ini dibuat secara berhati-hati. Kami sedar sekiranya tersalah pilih duta, apa sahaja kontroversi yang bakal timbul mungkin memberi impak buruk kepada kami," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, di sini, semalam.

Mengulas pemilihan M Nasir sebagai duta selama tiga tahun, Ahmad Faizal berkata, perwatakan dan keperibadian dimiliki komposer dan penyanyi legenda itu memiliki tarikan kuat.

"Selain tarikan, M Nasir juga 'superstar' dalam bidang muzik dan wajahnya turut dikenali dalam bidang perfileman. Itu antara faktor M Nasir seorang yang boleh didekati dan rendah hati untuk menjadi duta.

"Antara lain, sikap M Nasir yang sangat rapat dengan masyarakat bukan hanya golongan elit, malah orang biasa juga. Tarikannya melangkaui batasan sosial daripada pelabagai lapisan masyarakat.

"Jadi, kami kira tarikan M Nasir begitu luas dan kuat," katanya kepada BH Online.

M Nasir (dua dari kiri) dan Ahmad Faizal (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MERCY Malaysia dan M Nasir di Dataran Muzium Negara, semalam. - NSTP/Sadiq Sani

Sementara itu, M Nasir berkata, dia terbuka hati menerima pelawaan MERCY Malaysia atas dasar keprihatinan terhadap situasi menimpa dunia ketika ini, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.

"Selepas melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, ia membuka hati. Banyak perkara yang buat saya terbuka terutama apabila melihat keluarga.

"MERCY Malaysia sememangnya sudah berkembang, saya menjadi duta ketika persatuan ini sudah berada pada tahap yang baik.

"Tanpa saya, mereka juga boleh jalan sendiri. Tapi, saya sedang berbincang dengan MERCY Malaysia untuk mendapatkan banyak perkara yang boleh diberikan kepada masyarakat melalui persatuan ini.

"Mungkin saya boleh bantu daripada sudut itu. Kalau dari segi wang ringgit, mungkin saya tidak boleh bagi, tapi boleh cari duit bersama," katanya.

Kerjasama strategik MERCY Malaysia dan M Nasir antara lain untuk memberi dorongan kepada sektor kemanusian di Malaysia dan rantau ini khususnya melalui usaha dengan cara pengukuhan falsafah dan advokasi kemanusian melalui seni, budaya dan muzik.

Ini termasuk menjadikan seni dan muzik sebagai platform komunikasi massa serta strategik bagi penyebaran nilai, prinsip dan maklumat kemanusiaan.

'Kita semua perlu bekerja, takkan nak berkabung saja di rumah?' - M Nasir

petikan Harian Metro 29 Disember 2023

Ramlah Zainal  am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Boleh buat konsert tapi jangan berlebihan. Anda hendak semua orang berkabung di rumah? Semua orang perlu bekerja dan bukan artis saja," kata komposer dan penghibur legenda, Datuk M Nasir, 66, ketika diminta mengulas dakwaan netizen mengatakan golongan artis tidak sensitif dengan menganjurkan konsert ketika rakyat Palestin berdepan serangan Israel ketika ini.

M Nasir berkata, sebagai penghibur, mereka hanya melakukan kerja untuk menghiburkan orang ramai yang juga mahukan bahan hiburan.

"Selain menghiburkan orang, mereka juga perlu sedar dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.

"Boleh buat konsert kerana orang tetap mahukan hiburan tapi buatlah pada tahap yang sederhana," katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan Konsert Sifu dan Aku bersama Datuk Hattan, M Nasir berkata, setakat ini, persiapan berjalan lancar seperti direncanakan.

Konsert Sifu dan Aku bakal menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari depan.

"Dari segi jualan tiket, saya tidak tahu perkembangan setakat ini. Saya pun nak kena tanya (penganjur). Tapi bila orang yakin nak buat, saya juga yakin semuanya berjalan lancar. Insya-Allah akan dapat sambutan ," katanya.

Ditanya pandangan ada konsert artis yang terpaksa ditunda kerana jualan tiket kurang memberangsangkan, M Nasir berkata, dalam dunia perniagaan ini, bukan semua konsert yang dirancang akan berjaya.

"Ada masanya konsert yang dirancang tak jadi, itu nasiblah. Memang kita dengar artis rancak buat konsert ketika ini tapi bukan semuanya menjadi," katanya.