ANALITIC

Khamis, Disember 01, 2011

M. Nasir Kagum Kebolehan Artis Muda Mencipta Lagu


petikan mstar.com.my 1 Disember 2011
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

SUBANG JAYA: Komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir melahirkan rasa kagum terhadap artis-artis muda yang berkebolehan menghasilkan lagu dan lirik mereka sendiri.

M.Nasir ketika ditemui berkata, perkara itu adalah satu perkembangan yang baik dalam industri muzik tanah air kerana mereka mampu berdiri dengan usaha sendiri untuk berjaya.

"Kebanyakan artis baru hari ini tahu apa yang mereka mahu baik dari segi lirik dan melodi lagu mereka dan masyarakat nyata menerima mereka dengan baik," ujarnya.

Tambahnya lagi, golongan ini bagaimanapun perlu bekerja keras demi memastikan kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi ruang yang ada tetapi perlu membuktikan mereka boleh kekal lama.

Ujarnya, perkara itu adalah penting kerana persaingan dalam dunia muzik tempatan hari ini semakin hebat dan citarasa peminat bertukar dengan pantas.

"Kerja keras perlu diberikan perhatian oleh mereka jika ingin kekal lama dalam industri ini," katanya.

Sementara itu, M. Nasir memberitahu dia akan menghasilkan beberapa lagunya sendiri sebagai pengubat rindu kepada peminat pada tahun hadapan.

"Sudah lama rasanya saya tidak mempunyai sebarang lagu baru, InsyaAllah tahun depan akan ada beberapa lagu baru untuk peminat," ujarnya.

Tambahnya, dia kini sedang sibuk menghasilkan lagu dan lirik untuk beberapa artis lain yang menggunakan khidmatnya.

Rabu, November 30, 2011

Anugerah MACP 2011: S.Amin Shahab Pemenang Anugerah Nadi Cipta

petikan gua.com.my 30 November 2011

Bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang , Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) malam kelmarin berlangsung dalam suasana sederhana dengan dihadiri oleh ramai penggiat muzik tempatan. Seperti biasa, majlis ini turut mengiktiraf pencapaian sebilangan individu melalui 11 anugerah yang dipertandingkan.

Tahun ini menyaksikan penulis lirik terkenal, S. Amin Shahab dinobatkan sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta yang merupakan salah satu anugerah khas diberikan oleh MACP. S.Amin Shahab dipilih sebagai pemenang kerana individu ini memberi sumbangan yang cukup besar dalam industri muzik negara.

Pada tahun 80-an ke 90-an nama ini cukup popular kerana lagu-lagu tulisannya sering menjadi siulan ramai. Antaranya ialah Suci Dalam Debu (Iklim), Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latif), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra) dan Keroncong Untuk Ana (M.Nasir). Untuk rekod, pemilik nama sebenar Syed Mohd. Amin Syed Hashim Al-Shahab, ini telah telah menghasilkan lirik untuk lebih 500 buah lagu.


Vokalis kumpulan Bunkface, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam turut mencipta kejayaan manis apabila dia dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi. Anugerah khas ini mengiktiraf bakat-bakat muda berusia 25 tahun ke bawah dan pemenangnya ditentukan oleh ahli Lembaga Pengarah MACP sama seperti Anugerah Nadi Cipta.

Buat kali ke 12, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir , mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak. Manakala Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) memenangi anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak sama seperti tahun-tahun terdahulu.

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk trofi. Berikut adalah senarai penuh pemenang Anugerah MACP 2011

Kategori Persembahan Terbanyak

Lagu Bahasa Inggeris
Lagu: You
Penyanyi: Too Phat ft Sharifah Aini
Komposer: Harikrish Menon A/L Ramachandran
Lirik : Malique & Joe Flizzow

Lagu Bahasa Cina
Lagu: Wo Ai Ta
Penyanyi : Ding Dang
Komposer: Tan Vui Chuan
Lirik: Huang Ting


Lagu Bahasa Melayu
Lagu: Dan Sebenarnya
Penyanyi: Yuna
Komposer: Yuna, Adil Ali, Efry Arwis, Farhan
Lirik: Yuna & Syazwani Zawawi

Luar Negara
Lagu: I’m Yours
Penyanyi: Jason Mraz
Komposer: Jason Mraz
Lirik: Jason Mraz ( ASCAP / US)

Kategori Pendapatan Luar Negara Tertinggi

Lagu: Freak
Penyanyi: Sandy Rivera & Haze
Komposer: Sandy Rivera (BMI/US) & Harikrish Menon A/L Ramachandran
Lirik: Sandy Rivera (BMI/US) & Harikrish Menon A/L Ramachandran

Komposer Muda Berpotensi
Sam Bunkface

Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak
Luncai Emas Sdn Bhd

Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak
EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd

Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak
Allahyarham Loloq

Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak
Datuk M. Nasir

Anugerah Nadi Cipta
S. Amin Shahab

S Amin Shahab Menang Anugerah Nadi Cipta MACP 2011


petikan mstar 30 November 2011
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

SUBANG JAYA: Penulis lirik terkenal, Syed Mohd Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S Amin Shahab dianugerahkan Anugerah Nadi Cipta pada majlis Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2011 di Hotel Grand Dorsett disini, malam Selasa.

S Amin ketika ditemui berkata, anugerah tersebut adalah kali pertama di dalam karier seninya sebagai penulis lirik dan terharu dengan pemilihan MACP terhadapnya tahun ini.

"MACP adalah sebuah badan yang menjaga kebajikan penulis lirik, pencipta lagu dari segi royalti dan jasa mereka dalam memperjuangkan hak kami adalah sangat dihargai," ujarnya.

Dalam pada itu, komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir dinamakan sebagai Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak selama 12 kali berturut-turut.

Selain itu, syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd memenangi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Seiring dengan kejayaan M. Nasir, MACP turut mengiktiraf kejayaan sahabat karib dan gandingannya dalam membuat lagu baru iaitu penulis lirik Allahyarham Rosli Khamis (Loloq) apabila lelaki itu memenangi anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sementara itu, Sam Bunkface atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharum memenangi anugerah Komposer Muda Berpotensi (25 tahun ke bawah) manakala lagu Dan Sebenarnya (Yuna, Adil Ali, Efry Arwis, Pa An Td, Syazwani) memenangi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak menerusi Dan Sebenarnya.

Turut memenangi anugerah pada malam itu, Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd.

Kategori lain adalah Persembahan Lagu Cina Terbanyak (Wo Ai Ta / Tan Vui Chuan dan Huang Tin) dan Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak (You / Haze, Malique dan Joe Flizzow).

Setiap pemenang membawa pulang hadiah berbentuk trofi.

Majlis yang diacarakan oleh ND Lala itu turut diserikan dengan persembahan daripada Yuna, Najwa Latif, Bunkface dan Amirah Ali.

Khamis, November 24, 2011

M Nasir Calon Anugerah Jubli Perak ABP 2011

Lama betul Prahara Seni ini tidak diupdated. Mungkinkah disebabkan ketiadaan berita mengenai Dato M Nasir kita ni atau kesibukan SM sendiri?.


Berita terbaru yang boleh SM kongsikan disini adalah mengenai pencalonan M Nasir sebagai Calon Anugerah Jubli Perak, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011. Calon bagi kategori ini adalah semua penerima anugerah Bintang Paling Popular seperti Dato Siti Nurhaliza, Nabil, Rosyam Nor, Sofea Jane, Eman Manan, Zainal Abidin dan ramai lagi. Tunggu apa lagi? Sementara menunnggu PRU, undi calon kita ini dulu. Boleh?

Cara mengundi, boleh rujuk disini

Rabu, Ogos 31, 2011

M.Nasir Gubah Lebih 50,000 Karya

petikan mStar 31 Ogos 2011
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

M. Nasir menyambut Hari Raya Aidilfitri di Singapura. - Foto SHAARI CHE MAT

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer terkenal Datuk M.Nasir akui melakukan kerja mengubah lagu setiap hari sehingga berjaya mengumpul lebih 50,000 buah koleksi lagu.

Namun, penyanyi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud ini belum merancang untuk mengeluarkan semua lagu yang telah digubah itu.

“Saya berkarya setiap hari dan ada sahaja idea untuk menggubah lagu tanpa mengira masa.

“Dalam masa terdekat ini, saya akan menghasilkan sebuah “single” baru nyanyian saya sendiri,” katanya yang turut akan menghasilkan lagu untuk Azlan The Typewriter.

Namun perkara itu masih dalam perancangan dan dijangka akan menghasilkan lagu yang mengikut cita rasa masa kini.

“Saya selesa dengan seni dan kombinasi sesuatu lagu itu bergantung kepada perkembangan semasa dan seseorang penyanyi itu.

“Biasanya, saya menghasilkan lagu mengikut rasa. Kadangkala ada juga lagu yang tidak sesuai dengan seseorang itu sehingga terlampau susah untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang masih menerima tawaran lakonan.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Kias Fansuri ini terpaksa selektif dengan tawaran tersebut bagi mendapatkan cerita yang bersesuaian.

“Saya sukakan skrip cerita yang mempunyai perwatakan menarik. Perkara itu juga menjadi faktor saya menerima tawaran berlakon iklan Kit Kat sebelum ini,” katanya yang kali terakhir berlakon sebagai penampilan khas dalam filem Magika.

Rabu, Ogos 17, 2011

M. Nasir, Jamal serikan lebaran

petikan Utusan Malaysia 17 Ogos 2011

Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH
BUAT pertama kali Hujan dan M. Nasir akan berkongsi pentas menghiburkan penonton.

BAGI menyerikan sambutan lebaran tahun ini, TV9 membawakan satu rancangan khas, Ekspresi Dato M. Nasir dan Jamal Abdillah.

Pastinya sambutan Aidilfitri kali ini akan lebih meriah apabila penonton disajikan dengan lagu-lagu malar segar dua bintang ternama ini.

Sudah tentu alunan suara mereka mendendangkan lagu-lagu seperti Seroja, Gerhana, Keranamu Kekasih dan Satu Hari Di Hari Raya akan membuatkan para penonton terkenang nostalgia lalu.

"Sudah tentu kemeriahan Syawal akan lebih terasa apabila kita dapat bersama dengan keluarga mengimbau nostalgia lalu melalui lagu-lagu dua bintang hebat ini.

"Lagipun ini adalah kali pertama TV9 menyatukan mereka di atas pentas sempena Hari Raya.

"Jadi kita harap ia akan memberikan kepuasan kepada penonton dalam menyerikan lagi kemeriahan Syawal," jelas penerbit konsert berkenaan, Ahmad Shaifullizzam Mohd. Arshad atau lebih suka disapa Gbam yang ditemui selepas rakaman konsert berkenaan baru-baru ini.

Merancakkan lagi konsert yang akan disiarkan melalui dua episod itu, beberapa artis jemputan lain turut diundang bagi bersama berkongsi pentas dengan dua nama besar ini.

Antara artis yang bakal bersama menyerikan konsert itu nanti adalah Fauziah Ahmad Daud, Francissca Peter, Mawi, Hujan dan Awi Rafael.

"Bagi memberikan suatu kelainan pada rancangan ini, kita akan gabungan dua nama besar ini dengan bakat-bakat baru yang mula menyinar seperti Hujan dan Awi Rafael.

"Kita lihat gabungan ini juga merupakan pembuka jalan kepada bakat-bakat baru ini untuk bersama menimba pengalaman dengan mereka yang ternama," tambah Gbam.

Rancangan istimewa yang berdurasi sejam setiap episod itu akan disiarkan pada 2 dan 3 Syawal nanti bermula pukul 11 pagi.

Antara persembahan yang akan disajikan kepada penonton adalah kolaborasi antara Jamal Abdillah bersama Fauziah Ahmad Daud dan Fransisca Peter.

Selain itu, M. Nasir akan berduet dengan Hujan Band mendendangkan lagu medley Aku Yang Terasing dan Juwita Citra Terindah.

Selasa, Ogos 02, 2011

Capati M.Nasir, menu Khatijah

petikan Kosmo! 2 Ogos 2011
M. NASIR dan Khatijah mempunyai cara dan cerita Ramadan dan Aidilfitri masing-masing untuk dikongsi bersama peminat.

MENYAKSIKAN kehadiran figura ini sahaja, gelombang elektromagnetik pada frekuensi tertentu bakal berlegar di segenap tubuh. Belum lagi mendengar suara emas mereka yang mampu menggetarkan jiwa dan rasa. Itulah aura yang dimiliki penyanyi Datuk M. Nasir, 54.

Bagi Datuk Khatijah Ibrahim pula, biarpun kehadirannya dalam industri seni menjangkau hampir usia 40 tahun. Pesona yang dimilikinya masih kuat menjamah hati setiap individu.

Berpeluang bertemu secara empat mata dengan dua figura hebat ini selepas rakaman raya program Sedetik Muzik untuk Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, agenda seni diajukan dahulu kepada mereka sebagai pembuka bicara.

“Setakat ini dua program aku sudah terima untuk hari raya iaitu Sedetik Muzik untuk TV3 dan juga program Ekspresi Kembara bersama Jamal Abdillah untuk TV9.

“Aku ambil ikut rasa dan jika ada kelapangan. Ada lagi tawaran untuk program lain tetapi masih tidak confirm,” kata M. Nasir mengenai program terbaharunya yang selesa membahasakan dirinya sebagai aku.

Menyentuh mengenai projek nyanyiannya pula, pemilik nama Mohd. Nasir Mohamed itu bakal menghasilkan lagu buat bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH), Nor Azlan Rosle.

Untung Azlan yang kini dikenali sebagai Azlan & The Typewriter apabila mendapat sentuhan komposer M. Nasir.

Sebelum ini, kesemua lagu yang dicipta komposer yang menerima jolokan sifu itu popular sehingga menjadi siulan orang ramai yang termasuklah Fantasia Bulan Madu (Search), Sejati (Wings), Mahligai Syahdu (Hattan), Senja Nan Merah (Awie dan Ziana Zain), Ghazal Untuk Rabiah (M. Nasir dan Jamal Abdillah), Takdir Penentu Segala (Jamal Abdillah), Nafas Cahaya (Misha Omar, Angan dan Sedar (Mawi), Cinta Dewa Dewi (Spider), Ada Masa Mata (Datuk Siti Nurhaliza) dan banyak lagi.

Cipta 50 lagu

“Projek lagu untuk Azlan itu masih lagi dalam perancangan,” ujarnya yang kini sudah menghasilkan lebih 50 buah lagu.

Masih tidak tahu lagu-lagunya itu sama ada akan dinyanyikan sendiri olehnya atau diberi kepada penyanyi lain, pemilik syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd. itu sememangnya sangat selektif memberikan lagunya untuk dinyanyikan oleh orang lain.

Baginya, kena ada kombinasi yang bagus antara lagu dengan penyanyi.

“Aku buat lagu ikut rasa. Kadang-kadang bila sesebuah lagu itu siap aku tidak nampak orang lain boleh sampaikan lagu tersebut. Mungkin terlalu sukar untuk orang lain nyanyikan,” katanya yang turut memberitahu banyak sebab sesebuah lagu itu boleh diterima orang ramai sama ada disebabkan penyanyi, pasaran lagu, lirik atau melodi sesebuah lagu tersebut.

Selepas album Sang Pencinta pada tahun 2006, sehingga kini tiada sebarang album yang dikeluarkan M. Nasir biarpun lagu yang dicipta mencecah angka 50. Ditanyakan mengenai perkara itu, katanya yang serasi bekerjasama dengan arwah Loloq itu, semuanya masih dalam perancangan lagi.

Jika dulu M. Nasir begitu serasi bersama arwah Loloq, katanya, kini dia serasi pula bekerjasama dengan AD Samad dalam menghasilkan lagu.

Menganggap lagu dulu lebih mudah didengar, penyanyi, pengubah lagu, pelakon, pengarah dan penerbit filem serta pelukis itu turut menganggap lagu raya malar segar (evergreen) lebih sedap berbanding lagu raya masa kini.

Katanya, lagu raya masa kini lebih ke arah alunan muzik berbanding lirik.

“Bukan mahu prejudis pada lagu baharu, tetapi kita sering mahukan lagu yang ada unsur nostalgia. Sebagai contoh, lagu Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan kesan psikologikal. Lagu baharu juga ada yang sedap didengar,” katanya yang mengaku masih minat berlakon tetapi tetapi tidak berminat dengan jalan cerita skrip-skrip yang diterimanya.

Kali terakhir kelibat M. Nasir di layar perak apabila muncul untuk watak cameo sebagai Naga Tasik Chini menerusi filem Magika.

Lontong hari raya

Beralih pula kepada persiapan puasa dan raya, dia yang terkenal dengan watak Hang Tuah dalam iklan Kit Kat itu memberitahu, tidak suka berlebihan semasa bersahur mahupun berbuka puasa. M. Nasir turut mengajar anak-anaknya untuk bersederhana setiap kali berpuasa.

“Setiap kali bersahur atau berbuka aku lebih selesa makan secara minimal, sebab sedar mengenai ekonomi,” katanya yang menggemari menu capati setiap kali berbuka.

Ditanya kepada isterinya, Datin Marlia Musa pula, dia berkata: “Dia (M. Nasir) sangat simple tetapi cerewet. Setiap kali bulan puasa dia akan cakap pada anak-anak apa tujuannya kita berpuasa.

“Setiap kali berbuka selama sebulan dia dan anak-anak akan makan capati. Anak-anakpun sudah biasa dan tidak merungut. Cuma pada hujung minggu baru kami berbuka dengan nasi”.

Bercerita tentang hari raya pula, M. Nasir mahupun Marlia sepakat beraya di sebelah keluarga Marlia dahulu sebelum pulang ke negara kelahiran M. Nasir, Singapura.

“Kebanyakan keluarga Marlia ada di Kuala Lumpur, jadi pagi raya kami akan beraya di Kuala Lumpur. Pada sebelah petangnya barulah kami balik Singapura,” ujar M. Nasir yang menggemari menu lontong setiap kali sambutan hari raya.

Sibuk memasak

Sementara itu bagi pelantun lagu Doa Buat Kekasih, Datuk Khatijah Ibrahim atau nama pentasnya Khaty, kebiasaannya pada setiap kali bulan puasa dia akan sibuk memasak di restoran miliknya, Khatijah’s Kitchen yang terletak di Jalan Bukit, Petaling Jaya, Selangor.

Tahun ini katanya, sebanyak 40 menu termasuk rendang tok, kambing tomato, ikan panggang kuali, terung goreng telur dan sambal serta kuih kasui bakal menghiasi menu restorannya.

“Tahun ini macam tahun-tahun sebelumnya, Khatijah’s Kitchen ada menyediakan bufet Ramadan. Antara menu yang akan disediakan untuk bulan puasa tahun ini ialah rendang tok dan daging dinding,” katanya.

Adik kepada Latiff dan Sophia Ibrahim itu juga membuat tiga jenis biskut raya iaitu Almond London, tat nanas dan cornflake untuk dijual kepada rakan-rakannya sahaja.

Walaupun sibuk dengan restorannya, ibu kepada sepasang anak itu akan tetap menyediakan juadah berbuka untuk anak-anaknya. Namun, bila menyentuh mengenai bersahur pula, kata Khaty, jika bersahur dia tidak boleh makan terlalu banyak.

“Biasanya kalau bersahur saya tidak boleh makan terlalu banyak. Sekadar air masak dan kurma sahaja. Anak-anak pula biasanya akan makan sebelum tidur,” ungkapnya yang setiap tahun akan beraya di rumah abangnya di Hulu Klang.

Kesibukannya pada tahun ini kian bertambah apabila Khaty turut melancarkan album baharunya pada 28 Julai lalu.

Diminta mengulas mengenai album baharunya, kata Khaty terdapat dua buah lagu yang dihasilkan oleh arwah adiknya, Tahir Ibrahim. Salah satu daripadanya ialah Kamar Sepi.

Rabu, Julai 20, 2011

M.Nasir, Yuna, Aizat & Najwa Akan Beraksi Solo Di DFP

Petikan gua.com.my 20 Julai 2011


Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra-MPO) dengan bangganya melangkah ke musim konsert 11/12 pada bulan September 2011.

Merupakan musim konsert yang ke-14, DFP dan MPO kekal setia pada misi mereka untuk terus memberi hanya yang terbaik untuk seni dan budaya serta mengangkat industri hiburan ke peringkat yang lebih tinggi. Misi ini diterjemahkan melalui lebih 100 konsert-konsert yang menyaksikan penglibatan MPO, artis-artis tempatan dan antarabangsa.

Bagi peminat muzik tempatan pastinya penampilan sulung Dato’ M Nasir bakal mempesonakan hidup anda dengan kolaborasi unggul beliau bersama MPO pada bulan Julai 2012. Sertai perjalanan seni penyanyi/komposer ini di bawah pimpinan Konduktor Bersekutu Kevin Field.

Selain M.Nasir, turut mendapat peluang beraksi secara solo di pentas berprestij itu ialah Yuna, Aizat dan Najwa menerusi iri DFP Spotlight yang sangat popular di kalangan penggemar muzik jazz dan pop. Pelantun lagu Dan Sebenarnya, Yuna bakal beraksi pada bulan September 2011, Aizat (Oktober 2011) dan Najwa (Mei 2012); sebuah refleksi masa depan industri muzik tempatan.

Musim konsert ini akan dimulakan dengan persembahan gemilang Konsert Gala MPO pada 17 September 2011. MPO di bawah pimpinan Pengarah Muzik Claus Peter Flor akan berkolaborasi dengan tiga pemain piano tempatan Foo Mei Yi, Bobby Chen dan Tengku Ahmad Irfan secara serentak!

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Box Office di talian 03-20517007 atau faks 03-20517077 atau email dfp_boxoffice@petronas.com.my. Sila dapatkan brosur musim konsert terbaru di Box Office atau layari laman web www.mpo.com.my.

Updated : sila rujuk brosur DPMO 11/12 Season. Sila lihat page 21

Jumaat, Jun 17, 2011

Iklan TV Kit Kat bersama M Nasir

sumber Youtube



Ini adalah promo TV coklat Kit Kat yang menampilkan M Nasir sebagai dirinya sendiri dan watak Hang Tuah yang dipegangnya dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Wah! Kelakar jugak sifu kita ni rupanya....
Hahahha... :)

Sabtu, Jun 04, 2011

Yunizar ahli terapi bertauliah

petikan Utusan Malaysia 4 Jun 2011

PASANGAN duet... Yunizar Hoessein dan M.Nasir begitu popular pada awal 1980-an kerana lagu duet mereka Dua Insan.

LEBIH lima tahun menetap di Vancouver, Kanada kerana mengikut suami yang bertugas di sana, tidak dipersia-siakan oleh Yunizar Hoessein apabila beliau berpeluang mempelajari ilmu terapi.

Yunizar,53, atau lebih mesra dipanggil June pernah popular menerusi lagu duet bersama Datuk M. Nasir, Dua Insan, menggunakan kepakarannya itu untuk mencipta pati aroma terapi dan mempraktikkan rawatan tersebut di rumah.

Sebagai ahli terapi bertauliah, Yunizar dapat 'melihat' masalah dalaman yang dihadapi oleh seseorang dan mencadangkan minyak pati aroma yang sesuai untuk menenangkan perasaan.

"Sekarang ini ,saya membuat rawatan terapi di rumah untuk kawan-kawan dan klien tetap sahaja.

"Di samping memberi rawatan terapi, saya turut mencipta dua minyak pati aroma untuk digunakan pelanggan," ceritanya kepada S3 ketika ditemui di Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini, selepas 25 tahun tidak bersua muka.

Difahamkan, Yunizar sekeluarga menetap di Bangkok, Thailand sejak tahun 2007 tetapi singgah ke Kuala Lumpur baru-baru ini atas urusan peribadi.

Kata Yunizar, beliau mencipta pati aroma terapi Zen Zest yang sesuai digunakan untuk mengelak daripada kesan negatif yang ada pada badan orang lain, terkena kepada badan kita.

Selain Zen Zest, kata Yunizar, beliau turut mencipta Limitless, khusus untuk orang yang kurang berkeyakinan.

"Terapi yang saya amalkan untuk pelanggan adalah terapi kristal, reiki, shirodhara (minyak panas) dan urutan abhyanga.

"Saya puas hati kerana pati aroma yang saya hasilkan itu ternyata berkesan kepada rakan-rakan yang juga pelanggan saya," katanya.

Selain membabitkan diri dalam bidang terapi, Yunizar yang berkahwin dengan lelaki berbangsa Itali pada 1993, turut berkemahiran membuat barangan kraf.

Kata ibu kepada sepasang cahaya mata, Francisco Fahad, 16, dan Karima Althea, 12, kraf yang dihasilkannya dibuat daripada barangan terbuang.

"Selain daripada menggunakan kulit siput sebagai hiasan, saya turut menggunakan herba dan rempah ratus pada setiap produk yang saya hasilkan.

"Semua ini saya lakukan untuk mengisi masa lapang selain meluangkan masa bersama anak-anak," katanya yang pernah menghasilkan album Cinta (1979), Yunizar (1980), Dia Ibu Ku (1981), Semasa (1982) dan M.Nasir & Yunizar (1995).

Cerita Yunizar lagi, minatnya bukan terbatas kepada bidang terapi dan kraf, sebaliknya beliau juga suka menghias rumah.

Sentuhan ajaib Yunizar membuatkannya diangkat sebagai pereka hiasan dalaman dan hasil sentuhannya itu pernah disiarkan dalam sebuah majalah dekorasi dalaman di Thailand.

Yunizar yang enggan mendedahkan nama mahupun pekerjaan suaminya bagaimanapun tidak keberatan berkongsi cerita kehidupan yang dilaluinya selepas meninggalkan dunia nyanyian.

Kata Yunizar yang juga popular menerusi lagu, Di Hari Persandingan Mu, selepas berkahwin tumpuannya lebih kepada rumah tangga dan mendidik anak-anak.

"Walaupun anak-anak belajar di Sekolah Antarabangsa Bangkok dan dibesarkan di luar negara namun, jati diri sebagai orang Melayu tetap diterap dalam diri mereka.

"Bukan setakat anak-anak, malah suami pun dididik begitu. Mula-mula dulu saya perkenalkan petai kepada dia. Saya kata, makanan itu baik untuk buah pinggang. Sekarang ini petai menjadi salad kegemarannya.

"Anak-anak pula, jangan sangka mereka lahir dalam keluarga campuran, mereka tidak tahu agama.

"Mereka lancar membaca surah Yasin kerana saya percaya, hanya agama yang dapat membimbing mereka ke arah kehidupan mulia," katanya yang akan berpindah pula ke Rom pada Ogos ini kerana suaminya akan bertugas di sana.

Kata anak bongsu daripada sembilan beradik itu, dalam mendidik anak-anak, beliau lebih senang meletakkan dirinya seperti seorang kawan.

Ini kerana, jelasnya, pendekatan itu memudahkannya untuk berkomunikasi dengan anak-anak.

Bukan setakat anak-anak dianggap kawan, malahan, kata Yunizar, rakan-rakan anaknya juga suka berkawan dengannya.

"Setiap minggu, rumah saya akan menjadi tumpuan kawan-kawan anak-anak saya untuk melepak.

"Mereka akan datang untuk berlatih muzik kerana anak sulung saya ada kumpulan muzik dengan kawan-kawan sekolah.

"Saya suka mereka datang kerana daripada mereka keluar tidak tentu hala, itu lagi membimbangkan saya.

"Lagi pun, kawan-kawan anak-anak saya memang suka datang ke rumah kerana mereka akan kenyang sebab saya suka memasak," ujarnya.

Terlanjur sebut soal masak, Yunizar juga memberitahu, beliau adalah seorang katerer yang menerima tempahan untuk majlis tertentu.

Yunizar menambah, darah seni yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada allahyarham bapanya.

"Sewaktu arwah bapa, Mohamed Hoessein Enas meninggal dunia, semua hasil seninya diserahkan kepada saya.

"Dia tahu saya ada bakat itu dan sekarang ini, semua lukisan yang ada di rumah adalah hasil kerja tangan saya," katanya yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Itali, Sepanyol, Perancis, Thailand, Urdu dan Indonesia