Khamis, Disember 01, 2011
M. Nasir Kagum Kebolehan Artis Muda Mencipta Lagu
petikan mstar.com.my 1 Disember 2011
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
SUBANG JAYA: Komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir melahirkan rasa kagum terhadap artis-artis muda yang berkebolehan menghasilkan lagu dan lirik mereka sendiri.
M.Nasir ketika ditemui berkata, perkara itu adalah satu perkembangan yang baik dalam industri muzik tanah air kerana mereka mampu berdiri dengan usaha sendiri untuk berjaya.
"Kebanyakan artis baru hari ini tahu apa yang mereka mahu baik dari segi lirik dan melodi lagu mereka dan masyarakat nyata menerima mereka dengan baik," ujarnya.
Tambahnya lagi, golongan ini bagaimanapun perlu bekerja keras demi memastikan kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi ruang yang ada tetapi perlu membuktikan mereka boleh kekal lama.
Ujarnya, perkara itu adalah penting kerana persaingan dalam dunia muzik tempatan hari ini semakin hebat dan citarasa peminat bertukar dengan pantas.
"Kerja keras perlu diberikan perhatian oleh mereka jika ingin kekal lama dalam industri ini," katanya.
Sementara itu, M. Nasir memberitahu dia akan menghasilkan beberapa lagunya sendiri sebagai pengubat rindu kepada peminat pada tahun hadapan.
"Sudah lama rasanya saya tidak mempunyai sebarang lagu baru, InsyaAllah tahun depan akan ada beberapa lagu baru untuk peminat," ujarnya.
Tambahnya, dia kini sedang sibuk menghasilkan lagu dan lirik untuk beberapa artis lain yang menggunakan khidmatnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan