petikan Berita Harian 24 November 2026
Norhayati Nordin - norhayati_nordin@hmetro.com.my
Vokalis kumpulan Spider, Tam, ketika bercakap pada sidang media Konsert Sengat Selatan Spider di JW Marriott Kuala Lumpur. FOTO Nabila Adlina AzhariKUALA LUMPUR: Selepas tiga dekad membina nama dalam industri muzik, kumpulan Spider teruja apabila bakal menjayakan Konsert Sengat Selatan Spider di Iskandar Puteri, Johor, tahun depan.
Bertempat di Kompleks Sukan EduCity, konsert berskala mega yang turut menampilkan penyanyi undangan istimewa, Datuk Dr M Nasir itu menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 penonton.
Vokalis Spider, Tam berkata, mereka sangat gembira dan berbesar hati apabila dapat berkolaborasi dengan Sifu M Nasir dalam konsert seperti pernah diimpikan sebelum ini.
Menurutnya, selepas percubaan untuk konsert Spider sebelum ini, akhirnya M Nasir bersetuju untuk bersama dalam Konsert Sengat Selatan Spider kali ini yang akan berlangsung pada 30 Januari 2027.
"Alhamdulillah, memang tak jangka pun. Kita (Spider) tak nak rancang macam-macam dulu, tetapi sekarang perasaan kita sangat teruja. Saya sendiri, sampai ke saat ini teruja. Lebih-lebih lagi, memang 'confirm'.
"Apabila sudah diumumkan bahawa Datuk M Nasir akan muncul bersama Spider, barulah ada macam-macam idea seperti 'arrangement' muzik.
"Terima kasih kepada penganjur, Icon Entertainment kerana dapat merealisasikan impian kolaborasi ini sebab figura dipilih ini pernah bersama dalam album Spider iaitu Datuk M Nasir dan Ella," katanya.
Tam berkata demikian pada sidang media pengumuman Konsert Sengat Selatan Spider yang turut dihadiri anggota Spider iaitu Aie, Judas Isscariot dan Pown Hasril serta Iman Tang.
Bagaimanapun, katanya, kolaborasi bersama Ella dirancang pada konsert Spider akan datang.
"Kalau sini pun (konsert di Johor) nak rembat juga (bawa Ella) tidak ada modallah nanti pada konsert Spider yang lain.
"Jadi, kita kolaborasi satu-satu dulu, tidak bolehlah selitkan semua yang 'best' dalam satu masa, dia kena simpan-simpan sedikit.
"Insya-Allah, kalau ada lagi rezeki konsert Spider akan datang. Alhamdulillah kita sangat 'happy' dengan sambutan yang diterima untuk Konsert Spideraya pada September lalu," katanya.
Untuk rekod, harga tiket bermula dari RM88 sehingga RM288 yang akan mula dijual jam 3 petang pada 26 November ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan