ANALITIC

Isnin, November 16, 2026

Eurovision bukan sekadar pertandingan suara – M Nasir

petikan Berita Harian 16 November 2026

Oleh Affan Rostam

KUALA LUMPUR: Menyertai pertandingan berprestij antarabangsa seperti Eurovision Song Contest bukan sekadar mempertaruhkan kehebatan vokal, sebaliknya memerlukan strategi, pemahaman terhadap cita rasa pertandingan serta kemampuan mengetengahkan persembahan yang memikat perhatian penonton dan juri.

Pandangan itu dilontar maestro muzik, Datuk M Nasir, 68, yang menyifatkan Eurovision Song Contest mempunyai identiti dan acuan tersendiri yang perlu difahami setiap negara sebelum mengambil keputusan untuk menyertainya.

M Nasir yang sudah lima dekad berkecimpung dalam industri muzik berpendapat, penilaian pertandingan berkenaan bukan hanya tertumpu kepada kualiti vokal atau muzik, tetapi turut mengambil kira pemilihan lagu, konsep persembahan serta karakter artis.

"Eurovision ini pertandingan yang sudah lama bertapak, kira-kira 60 hingga 70 tahun lalu. Ia mula popular di Eropah, khususnya sejak kemunculan kumpulan ABBA kerana ketika itu, penyertaan hanya membabitkan negara Eropah.

"Sekarang, pertandingan itu mula dibuka kepada dunia dan kita pula cuba menyertainya. Jadi, kita perlu fahami terlebih dahulu apa itu Eurovision dan apa sebenarnya yang dicari penganjur.

"Kita perlu tahu jenis lagu yang sesuai, bentuk persembahan yang diharapkan serta karakter artis yang mampu menarik perhatian mereka. Kita tidak boleh sesuka hati menghantar penyertaan tanpa memahami kehendak pertandingan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, M Nasir berkata, pengamatannya terhadap pertandingan itu sejak sekian lama membuatkan beliau melihat Eurovision Song Contest bukan sekadar medan mengukur kehebatan vokal penyanyi atau kualiti sesebuah karya muzik.

Sebaliknya, elemen tarikan atau 'catchy' menerusi lagu dan persembahan turut memainkan peranan penting dalam mencuri perhatian penonton serta juri.

"Saya sudah mengikuti Eurovision sejak kecil. Namun, bagi saya, pertandingan ini bukan semata-mata mencari muzik paling berkualiti atau penyanyi paling hebat. Persoalannya, apa sebenarnya yang mereka mahukan?

"Mereka bukan sekadar mahu mencari penyanyi yang paling bagus menyanyi, tetapi mahukan lagu dan persembahan yang 'catchy', mudah menarik perhatian serta meninggalkan kesan kepada penonton.

"Mungkin bagi kita, sesuatu persembahan itu sudah cukup bagus, tetapi penilaian dan pandangan di peringkat antarabangsa mungkin berbeza," katanya.

Mengulas penyertaan wakil Malaysia, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu ciptaannya, Bluest Sky, M Nasir berkata, beliau hanya mengikuti perkembangan penyanyi itu sepanjang pertandingan berkenaan secara ringkas.

Aina menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di One Bangkok Forum, Thailand, dengan mengutip 152 markah.

Dalam perkembangan lain, M Nasir bakal mengadakan konsert Magnum Opus: M Nasir Dekad Ke-5 yang bukan sekadar menjanjikan persembahan hiburan, sebaliknya, menjadi wadah apresiasi terhadap budaya dan khazanah muzik tanah air.

Konsert anjuran Lunchai Emas Sdn Bhd yang menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKD) Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures itu dijadual dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), pada 5 Disember depan.

Konsert berkenaan bakal menampilkan karya ikonik M Nasir yang diberi nafas baharu menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Sebanyak 30 karya pilihan akan dipersembahkan dalam susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie yang bertindak selaku pengarah muzik.

Tiada ulasan: